AMANAH Wilayah Persekutuan merayu pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri, agar pampasan yang adil diberikan kepada sebahagian penduduk Kampung Sungai Bharu susulan apa diperoleh beberapa pemilik rumah di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Pengerusinya, Khalid Ab Samad berkata, salah seorang dari pemilik yang terkesan di Taman Desa itu,Edmund Lim, akan menerima pampasan sebanyak RM 950,000 untuk tanahnya seluas 1,009 kaki persegi iaitu bersamaan dengan RM 941.53 untuk setiap kaki persegi.
“Harap maklum bahawa ini adalah untuk tanah di Taman Desa yang semestinya tidak setinggi nilainya berbanding tanah berhampiran KLCC, seperti tanah Kg. Sg. Bharu.
“Namun demikian, tanah di Kg. Sg. Bharu dibayar pampasan hanya separuh dari itu, iaitu dalam RM450 sekaki persegi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, dilaporkan pampasan kepada beberapa pemilik rumah di Taman Desa berjumlah keseluruhannya sebanyak kira-kira RM6 juta akan dibayar oleh DBKL kepada yang terkesan dengan penggunaan sebahagian tanah mereka untuk membina Jalan Taman Bukit Desa di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Laporan berkenaan menyebut bahawa perkara tersebut berlaku hasil daripada kesilapan kiraan oleh pihak pemaju.
Kesilapan tersebut menyebabkan tanah yang dimiliki beberapa penduduk digunakan dan dengan itu DBKL akan membayar pampasan kepada pemilik-pemilik yang terkesan.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihak kerajaan sewajarnya memikirkan kembali nasib yang menimpa sebahagian penduduk Kampung Sungai Bharu susulan kes Taman Desa.
Tegas beliau, penduduk di lokasi berhampiran KLCC itu sepatutnya mendapat pampasan yang lebih wajar berbanding dengan apa yang diterima mereka sekarang.
“Kemungkinan besar telah berlaku kesilapan atau campur tangan golongan berkepentingan semasa pernilaian dibuat.
“Kalau tidak, tak mungkin pernilaiannya serendah itu. Antara kesilapan adalah hujah “harga masa depan” yang pernah dikemukakan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau penuh yakin bahawa kerajaan Madani yang berpaksikan prinsip keadilan dan keprihatinan menginginkan pampasan yang adil diberi kepada semua pemilik di Kampung Sungai Bharu.
“Kes Taman Desa adalah bukti yang jelas bahawa tuntutan pemilik untuk pampasan sebanyak RM 950 sekaki persegi adala adil, wajar dan munasabah.
“Dan ianya adalah berdasarkan pernilaian semasa bukan “harga masa depan”.
“Permintaan pemilik adalah sangat munasabah memandangkan ada penilai swasta yang meletakkan nilai tanah mereka setinggi RM 1,500 – 2,000 sekaki persegi!” tegas Khalid.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata, jika pampasan yang adil dan wajar diberikan kepada penduduk terlibat, sudah pasti tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang akan merungut dan mendakwa mereka dizalimi.
“Ini akan menghalang pihak-pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan kerajaan dengan rakyat sebagaimana kesempatan yang diambil oleh mereka dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
“Dalam kes ini akan ada yang mendakwa kerajaan memberi pampasan yang baik dan adil kepada bukan Melayu tetapi dengan orang Melayu, pampasan diberi adalah sangat rendah dan tidak adil,” ujarnya.
Khalid menambah pihak pemaju juga seharusnya tidak keberatan untuk membayar kadar pampasan yang adil dan munasabah kerana mengikut satu lagi laporan media, pembangunan Kg Sg Bharu akan menghasilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 2.64 bilion.