Jamzuri Ardani
Seperkara yang mungkin ramai dikalangan kita hari ini yang tidak perasan ialah, ketika ajaran para rasul dan agama mula berkembang ribuan tahun dahulu, pada zaman itu akses kepada ilmu sangat terbatas. Mungkin tidak sampai 5% dari manusia zaman itu yang mempunyai akses kepada ilmu agama dan ajaran para rasul. Medium penyebaran ilmu dan maklumat hanyalah dari mulut ke mulut. Tidak ada buku seperti zaman ini, tidak ada mesin cetak, tidak ada alat komunikasi yang canggih.
Nabi ISA AS sendiri diberitakan hanya mempunyai sekumpulan 12 orang pengikut yang setia. Kepada mereka inilah Nabi Isa AS banyak menyampaikan ilmu tentang agama di samping dakwah yang disampaikan kepada khalayak.
Malah orang yang dikatakan membawa ajaran Kristian ke Rom yang sebut sebagai Paul The Apostle itu sendiri tidak termasuk di kalangan Hawariyun. Sewaktu Nabi Isa AS masih bersama mereka, Paul dikatakan termasuk di kalangan orang yang menentang ajaran Nabi Isa AS. Bagaimanapun setelah peristiwa salib, Paul mendakwa Nabi Isa AS datang menemuinya secara ghaib dan mengajarkannya ajaran Kristian dan beliau pun beriman dengan Nabi Isa AS.
Ajaran Kristian di Eropah dibawa dan diasaskan oleh Paul The Apostle. Ini berdasarkan bacaan saya yang terhad tentang agama Kristian. Ketika ajaran Kristian berkembang di Eropah, komunikasi mereka dengan penganut ajaran Nabi Isa AS di Baitul Maqdis sangat terbatas atau hampir tiada. Ratusan tahun Kristian berkembang di Eropah, perbezaan teologi di kalangan mereka sebagai menjarak dan membesar. Perbezaan teologi ini akhirnya membawa kepada kebencian, permusuhan, dan peperangan di kalangan aliran penganut Kristian yang berbeza.
Sebenarnya perbezaan teologi ini hanya melibatkan segelintir pemimpin agama sahaja. Adapun majoriti besar pengikut mereka ini tidak mempunyai akses pun terhadap ilmu dan maklumat teologi ini. Mereka hanya ikut apa yang dikatakan oleh pemimpin agama mereka tanpa mereka sendiri berpeluang mentelaah dari sumber ilmu itu sendiri. Bila pemimpin agama kata, aliran tertentu itu sesat dan wajib dimusuhi, itulah juga sikap yang diambil dan dipegang oleh pengikut-pengikut mereka.
Jadi, boleh dikatakan `the average Christians on the street of Europe` pada waktu itu tidak mempunyai akses yang cukup terhadap teologi Kristian itu sendiri. Di kalangan orang Arab pula sudah tentu lebih rendah tahap pengetahuan mereka tentang teologi agama Kristian.
Soalnya, bagaimana Al-Quran yang diturunkan ke atas masyarakat Arab melalui seorang manusia yang tidak boleh membaca boleh menceritakan secara agak extensive dan tepat maklumat tentang teologi Kristian. Inilah sebebnarnya salah satu keajaiban Al-Quran.
Buktinya, ketika peristiwa Hijrah Ke Habsyah berlaku dialog antara Jaafar bin Abu Talib RA dengan Raja Najasyi berkenaan ajaran agama Kristian dan Jaafar RA membacakan ayat-ayat Al Quran yang menyebabkan Raja Najasyi tersentak dengan ketepatan dan kejituan maklumat teologi Kristian di dalam Al Quran.
Padahal masyarakat Arab secara umumnya tidak terdedah dengan maklumat teologi Kristian, kecuali mungkin segelintir sahaja.