[gempak] LOKMAN ADAM BALUN KAW KAW, PAS YANG ASIK MENGADU DOMBA!

Ekonomi jadi fokus utama Kerajaan Madani tahun ini




Oleh: Helmi Mohd Foad



Keutamaan bagi Kerajaan Madani tahun ini adalah memberikan fokus kepada soal ekonomi bagi mendorong kemasukan lebih banyak pelaburan ke dalam negara.



Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penekanan tentang perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pertama pada tahun ini.



"Tahun ini fokus bagi kerajaan adalah aspek ekonomi yang dilihat menjadi keutamaaan yang mendorong pelaburan dari dalam dan luar negara masuk ke Malaysia.



"...dengan tujuan untuk merancakan ekonomi negara ini," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.



Fahmi memberitahu, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga memberikan pandangan mengenai fungsi yang perlu dimaikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).



Katanya perkara itu penting bukan sahaja untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi malah malah beberapa penelitian perlu dilakukan.



"Seperti kita maklum banyak syarikat GLC ini mempunyai pelaburan di luar negara.



"Jadi ada beberapa penekanan yang PM berikan yang kita akan lihat penyelarasan dalam tahun ini," ujarnya.



Seperti di kementeriannya, Fahmi berkata perbincangan dengan agensi seperti Digital Nasional Bhd (DNB) perlu dilakukan kerana tiada sebarang keputusan dibuat terutama apabila diwujudkan dua kementerian termasuk Kementerian Digital.

Selain itu, beliau berkata, PM juga memberikan penegasan terhadap langkah untuk mempermudahkan proses kelulusan membabitkan sesuatu permohonan terutamanya pelaburan.

"PM sebelum ini ada umumkan bahawa pelaburan yang berhasrat untuk masuk ke Malaysia sangat besar, cecah hingga ratusan bilion.



"PM tegaskan aspek kelulusan perlu diutamakan bukan longgar tapi dipercepat ini fokus kerajaaan," katanya.



Akhirnya beliau berkata melalui hasil pelaburan itu, kerajaan berharap gaji penjawat awam dapat dinaikkan tahun ini selain pelaksanaan gaji progresif untuk pekerja swasta.



"Keutamaan bagi kerajaan tahun ini adalah ekonomi, ekonomi, ekonomi," ujar Fahmi lagi.

 

PM – JAWATAN YANG TIDAK LAGI MENJANJIKAN NIKMAT BERPANJANGAN


 Jawatan Perdana Menteri adalah kedudukan yang amat istimewa dan hanya mereka yang terpilih serta teristimewa saja layak mendudukinya.

Sejak negara kita merdeka, hanya 10 insan terpilih yang berjaya menduduki kerusi tersebut.

Bayangkan betapa istimewanya 10 insan terpilih tersebut daripada 32 juta rakyat Malaysia yang ada?

Sebab itu, ramai yang berebut-rebut mahu bersalam dan bergambar dengan Perdana Menteri, termasuk daripada kalangan yang pernah mengecam serta memaki sebelumnya.

Tetapi, melihat kepada apa yang berlaku terhadap Najib Razak dan berita yang tersebar sehari dua ini, kedudukan sebagai Perdana Menteri itu nampaknya tidak menjanjikan keistimewaan atau kenikmatan yang berpanjangan.

Setelah tiada lagi jawatan tersebut, tiadalah juga segala keistimewaan dan nikmat yang dibangga-banggakan itu.

Sementara Najib sudah dihukum penjara atas satu hukuman berkaitan salah laku dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB, beberapa bekas Perdana Menteri yang lain pula semacam sedang menuju laluan yang sama.

Selain Mahiaddin Md Yasin sedang dibicarakan berkaitan penyelewengan Program Jana Wibawa, beliau bersama seorang lagi bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan turut disiasat berkaitan salah guna dana awam sebanyak RM700 juta untuk menghebahkan pencapaian kerajaan ketika mereka berkuasa antara 2020 hingga 2022.

SPRM dilaporkan telah pergi ke Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta baru-baru ini.

“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul,” kata satu sumber berkaitan siasatan terhadap pentadbiran Mahiaddin dan Ismail Sabri.

Di samping dua pemimpin berkenaan yang disiasat, beberapa bekas pegawai kedua-dua bekas Perdana Menteri tersebut juga dilaporkan berada dalam radar siasatan SPRM.

Ini berikutan dana pembayar cukai yang dilihat mungkin diselewengkan cukup besar iaitu berjumlah RM700 juta hanya dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Berita penuh di sini – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/02/sprm-siasat-belanja-rm700-juta-promosi-kerajaan-2-pm/

Di waktu yang sama, berikutan Tun Daim Zainuddin sedang disiasat SPRM, malah Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu telah disita, wujud desakan agar seorang lagi bekas Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad juga perlu disiasat sama.

Tun Mahathir digesa banyak pihak untuk disiasat bukan saja berkaitan kekayaannya, tetapi juga tentang bagaimana semua anak-anaknya amat berjaya dalam perniagaan.


Dalam perkembangan berkaitan, sebuah media ada melaporkan bahawa seorang bekas pemimpin tertinggi negara sedang disiasat SPRM kerana disyaki menggunakan dana kerajaan untuk menyelamatkan perniagaan anaknya sehingga syarikat gergasi petroleum negara mengalami kerugian mencecah RM500 bilion sejak 1979.

Syarikat petroleum negara itu juga didakwa diadikan alat untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan yang menghadapi masalah kewangan.

“Dana daripada syarikat petroleum negara itu disyaki telah digunakan untuk membina beberapa projek mega.

“Selain bekas pemimpin tertinggi itu, ada juga taikun-taikun perniagaan yang turut berada dalam radar siasatan SPRM,” tambah sumber berkenaan.

Membaca laporan di atas, tidak sukar meneka siapakah bekas pemimpin tertinggi yang dimaksudkan itu.

Ertinya, kecuali Tun Abdullah Badawi, semua bekas Perdana Menteri lain yang masih hidup sekarang ini, semuanya sama ada telah dipenjara, dibawa ke mahkamah dan disiasat pihak berkuasa.

Semua keadaan ini pastilah menjadikan tidur malam mereka tidak lagi senyenyak tidur rakyat biasa yang mungkin sekadar kais pagi makan pagi.

Laluan kehidupan di hadapan mereka ternyata tidak menentu dan silap-silap akan berakhir dengan penjara.

Begitu juga dengan bekas pegawai semua bekas Perdana Menteri yang disiasat itu, tidak mustahil ada di antaranya sentiasa berpeluh dingin, walaupun cuaca di luar hujan sedang turun mencurah-curah.

Makna kata sekarang ini, jawatan Perdana Menteri yang istimewa itu sudah hilang kenikmatannya.

Berkaitan ini, ramai yang memuji Anwar kerana ketegasannya dalam memerangi rasuah.

Namun, apa yang berlaku ini juga merupakan peringatan kepada mereka yang sedang berkuasa – Perdana Menteri, menteri-menteri dan segala macam pegawai sama ada di PMO atau kementerian-kementerian – jangan sesekali terjebak dalam keghairahan menghimpun kekayaan.

Silap langkah, naik saja PM11 nanti, giliran mereka pula pergi ke mahkamah. – ShahbudinHusin 03/01/2024.





KEADILAN Pahang anjur latihan kemahiran digital pimpinan ranting


Oleh: Abdullah Zaid



Seramai 20 peserta dalam kalangan ketua dan setiausaha ranting KEADILAN Pahang hadir dalam latihan kemahiran digital bagi memantapkan keupayaan dan kompetensi ahli, baru-baru ini.


Menerusi satu kenyataan, inisiatif itu dilancarkan di bawah Ketua Biro Ekonomi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Pimpinan Wanita Negeri (MPWN) KEADILAN Pahang.


Menurut kenyataan itu lagi, latihan di Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC), DUN Tanjung Lumpur turut dikendalikan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu Samsuri yang merupakan graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Tokyo, Jepun.


"Melalui latihan ini, para peserta di kalangan pemimpin komuniti didedahkan dengan manfaat dan cara penggunaan efektif aplikasi Google, penggunaan aplikasi Canva dan penyediaan kertas kerja projek bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pemimpin-pemimpin komuniti ini kepada masyarakat.


"Ianya diharap membantu menggerakkan aktivisme ranting-ranting di peringkat pembangunan akar umbi," kata Sridayu.



Dalam kenyataan sama, Ketua Ranting Kampung Kempadang, Mohd Supian Abdul Wahid mengakui program tersebut amat baik dalam melatih beliau untuk lebih mahir menggunakan google drive dan aplikasi Canva dalam menjalankan kerja-kerja komuniti selepas ini.


Ketua Wanita Ranting Kampung Baru Seri Teruntum, Cabang Kuantan, Nordiyana Aziz pula berkata, program latihan berkenaan turut mengajar kaedah yang jelas dalam menggunakan aplikasi digital terutama untuk beliau menggerakan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasannya.


Sementara itu, Naib Pengerusi MPN Pahang Fakhrul Anuar Zulkawi memaklumkan program tersebut akan diluaskan penganjurannya ke seluruh 14 Cabang KEADILAN Pahang pada tahun ini untuk meningkatkan lagi kemahiran digital pimpinan-pimpinan akar umbi.


Katanya, usaha itu akan digerakkan bersama seluruh jentera parti pelbagai peringkat dengan memanfaatkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

 

Pendaftaran PADU tidak ditangguh, isu teknikal diselesaikan segera


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan tidak akan menangguhkan proses pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) meskipun berlaku beberapa isu teknikal berhubung proses pendaftaran maklumat pengguna selepas ia dilancarkan semalam.



Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu mesyuarat pertama Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan PADU akan diteruskan sebagaimana dirancang.



"Jemaah Menteri tidak memutuskan sedemikian (tangguh PADU). Pada waktu ini kita dapati sistem itu berjalan lancar dengan isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.



"Pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan, jadi tidak timbul isu untuk menangguhkan," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.



Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan mendapati sistem pangkalan data itu berjalan dengan lancar dan isu-isu berbangkit berjaya diselesaikan dalam tempoh masa singkat.



Katanya masalah berbangkit terutama mengenai isu keselamatan khususnya data peribadi sentiasa diutamakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta pasukan PADU.



Jelasnya Jemaah Menteri turut dimaklumkan tentang keselamatan siber yang menjadi keutamaan dalam sistem PADU.



Dalam hal ini, katanya pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) yang turut terlibat sebelum PADU dilancarkan membantu Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenal pasti kerentanan pada sistem tersebut.



CSM juga mengadakan pertemuan bersama DOSM serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi terus menambah baik sistem PADU, katanya.



"Saya menyarankan semua rakyat yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan kerajaan untuk mengisi dan mendaftar dalam sistem PADU. Jangan risau dan gunakan (PADU) tanpa was-was kerana isu yang dibangkitkan sentiasa dipantau.



"Kerajaan pandang serius isu keselamatan data peribadi dan menjamin tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini," katanya.



Terdahulu bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa masalah keselamatan diperbetulkan.



Menurutnya langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.



Bekas Ahli Parlimen Bangi itu turut meminta orang ramai segera mendaftar di portal PADU kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan individu lain kerana kelulusan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) yang mengambil masa tiga hari.

Namun Rafizi semalam menjelaskan pendaftaran e-KYC boleh dilakukan dalam tempoh kurang lima minit.



Fahmi menjelaskan setakat 10 pagi ini seramai 233,782 orang telah mendaftar ke dalam sistem PADU dengan seramai 118,115 telah selesaikan melakukan proses pengesahan e-KYC.



Sistem PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.



Fungsi utama PADU ialah membantu rakyat mengemas kini dan membolehkan kerajaan membuat penyasaran bantuan secara tepat selain menghentikan ketirisan.