Pendaftaran PADU tidak ditangguh, isu teknikal diselesaikan segera


 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan tidak akan menangguhkan proses pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) meskipun berlaku beberapa isu teknikal berhubung proses pendaftaran maklumat pengguna selepas ia dilancarkan semalam.



Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu mesyuarat pertama Kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan PADU akan diteruskan sebagaimana dirancang.



"Jemaah Menteri tidak memutuskan sedemikian (tangguh PADU). Pada waktu ini kita dapati sistem itu berjalan lancar dengan isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.



"Pemantauan tentang aspek keselamatan terus dilakukan, jadi tidak timbul isu untuk menangguhkan," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.



Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan mendapati sistem pangkalan data itu berjalan dengan lancar dan isu-isu berbangkit berjaya diselesaikan dalam tempoh masa singkat.



Katanya masalah berbangkit terutama mengenai isu keselamatan khususnya data peribadi sentiasa diutamakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta pasukan PADU.



Jelasnya Jemaah Menteri turut dimaklumkan tentang keselamatan siber yang menjadi keutamaan dalam sistem PADU.



Dalam hal ini, katanya pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) yang turut terlibat sebelum PADU dilancarkan membantu Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenal pasti kerentanan pada sistem tersebut.



CSM juga mengadakan pertemuan bersama DOSM serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi terus menambah baik sistem PADU, katanya.



"Saya menyarankan semua rakyat yang berhasrat untuk mendapatkan bantuan kerajaan untuk mengisi dan mendaftar dalam sistem PADU. Jangan risau dan gunakan (PADU) tanpa was-was kerana isu yang dibangkitkan sentiasa dipantau.



"Kerajaan pandang serius isu keselamatan data peribadi dan menjamin tidak berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini," katanya.



Terdahulu bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa masalah keselamatan diperbetulkan.



Menurutnya langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.



Bekas Ahli Parlimen Bangi itu turut meminta orang ramai segera mendaftar di portal PADU kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan individu lain kerana kelulusan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) yang mengambil masa tiga hari.

Namun Rafizi semalam menjelaskan pendaftaran e-KYC boleh dilakukan dalam tempoh kurang lima minit.



Fahmi menjelaskan setakat 10 pagi ini seramai 233,782 orang telah mendaftar ke dalam sistem PADU dengan seramai 118,115 telah selesaikan melakukan proses pengesahan e-KYC.



Sistem PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.



Fungsi utama PADU ialah membantu rakyat mengemas kini dan membolehkan kerajaan membuat penyasaran bantuan secara tepat selain menghentikan ketirisan.

 

No comments: