Kebelakangan ini seolah-olah terdapat kecenderungan yang sengaja diada-adakan untuk menyulitkan proses peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Di sebalik PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu bersama dengan Warisan sudah memiliki majoriti dalam Parlimen dan dalam masa yang sama terdapat perjanjian penyerahan kuasa mesti dilakukan di pertengahan penggal, ada yang mengatakan proses memilih pengganti Perdana Menteri itu mesti diserahkan semula kepada 222 Ahli Parlimen menentukannya.
Kata yang memberi pendapat, kalau 112 atau lebih Ahli Parlimen setuju memilih Anwar, maka beliaulah Perdana Menteri seterusnya.
Tetapi, tambah mereka lagi, jika Anwar gagal mendapat undi sebanyak yang dikehendaki itu, bermakna jawatan Perdana Menteri boleh jatuh kepada sesiapa saja Ahli Parlimen yang lain yang berupaya memperolehi sokongan lebih banyak daripada Ahli-Ahli Parlimen.
Tidak kurang pula memberi pendapat kuasa memilih Perdana Menteri sebenarnya adalah kuasa Yang Dipertuan Agong, dengan itu ia hendaklah diserahkan kembali kepada baginda untuk menentukannya.
Kata yang berhujah, hanya kiranya Agong berkenan dan setuju dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, barulah Presiden PKR itu berpeluang memegang jawatan itu.
Sebaliknya, tambah mereka, jika Agong memperkenankan Ahli Parlimen lain, misalnya Tengku Razaleigh Hamzah, Azmin Ali atau waima Ahmad Maslan sekali pun, maka melepaslah peluang Anwar daripada jadi Perdana Menteri.
Dicampur dengan golongan tertentu dalam PH dan pembangkang yang terus-menerus menyarankan agar Tun Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal dan mengatakan biarlah rakyat membuat pilihan siapa Perdana Menteri seterusnya melalui mandat PRU15 akan datang, hakikat sebenarnya ialah mereka yang memberi pelbagai pendapat ini hanya ingin menolak Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Mengapa ramai orang, termasuk daripada dalam PH sendiri, tiba-tiba jadi takut dan tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri?
Sedarkah mereka, PH ini atau sebelumnya PR, diasas, ditubuh, digembleng dan dikukuhkan oleh siapa?
Kenapa ketika nama Anwar dinamakan sebagai pengganti Tun Mahathir dan Tun Mahathir sendiri kemudiannya berjanji hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, mereka pada waktu itu tidak bangun membantah?
Begitu juga, jika tidak mahu sangat kepada Anwar jadi Perdana Menteri, mengapa ketika Tun Mahathir datang ke mahkamah untuk berbaik semula dengan Presiden PKR itu dan daripada situlah Pengerusi Bersatu itu mendapat lebih kepercayaan daripada PH, tidak ada sesiapa yang cuba memprotesnya?
Mengapa hanya setelah PH menang PRU14, setelah Tun Mahathir dapat jadi Perdana Menteri buat kali kedua dan hanya menunggu proses peralihan kuasa sebagaimana yang dijanjikan dilaksanakan, pelbagai karenah jelek tidak ingat janji ini tiba-tiba muncul?
Haruslah diingat, yang menang PRU14 lalu dan berjaya membentuk kerajaan ialah PH bersama dengan Warisan, manakala lain-lain parti seperti UMNO, Pas dan sebagainya sudah berubah taraf menjadi pembangkang.
Sebagaimana PH telah berjaya memenangi pilihanraya, membentuk kerajaan dan memilih Perdana Menteri sebaik mencapai kemenangan pada 10 Mei 2018 lalu, proses menentukan pengganti Perdana Menteri juga adalah hak mutlak PH selagi ia menguasai kerajaan.
Ia adalah proses yang sama sepertimana Tun Hussein Onn menyerahkan jawatan kepada Tun Mahathir, Tun Mahathir menyerahkan jawatan kepada Tun Abdullah Badawi dan Tun Abdullah Badawi menyerahkan jawatan kepada Najib Razak sebelum ini.
Kenapa ketika semua peralihan jawatan itu tidak ada sesiapa mengeluarkan pendapat agar Ahli Parlimen diberi kuasa membuat pengundian atau diserahkan kepada Agong membuat pilihan?
Mengapa juga Pas pada waktu itu tidak sibuk-sibuk mengenai proses penggantian Perdana Menteri sebagaimana mereka macam cacing kepanasan sekarang ini apabila Anwar semakin hampir disahkan sebagai pengganti ketua kerajaan?
Sedarkah mereka bahawa kerja menentukan siapa pengganti Perdana Menteri adalah urusan parti kerajaan, bukan urusan pihak pembangkang?
Apa yang penting ialah Tun Mahathir mesti berpegang kepada janji dan bersama Majlis Presiden PH mesti meyakinkan Agong bahawa gabungan kerajaan yang ada ini masih memiliki majoriti yang sah dan dengan demikian, penyerahan jawatan kepada Anwar akan dapat dilakukan dengan lancar dan teratur.
Tidak perlu pembangkang sebagai orang luar untuk masuk campur atau sengaja menawarkan sokongan mereka kerana memilih Perdana Menteri adalah urusan parti yang membentuk kerajaan, manakala kerja pembangkang hanyalah memilih Ketua Pembangkang saja.
Ketika memilih Ketua Pembangkang, adakah parti-parti yang berada dalam kerajaan pernah cuba masuk campur? (Shahbudindotcom 16/08/2019)
Kongsikan artikel ini