Pelaburan “tidak masuk akal”: Apa yang Isa Samad cuba sembunyikan?



KUALA LUMPUR, 7 JUNE: Sudahlah mencatatkan kerugian tahun demi tahun sejak ditubuhkan, kini Global Ventures Holdings (FGVH) nampaknya semakin kacau bilau apabila mengumumkan pengantungan empat pegawainya semalam kononnya atas dakwaan salah laku.
Pegawai Eksekutif (CEO) FGVH, Datuk Zakaria Arshad dan tiga lain digantung ahli lembaga pengarah sementara siasatan audit dalaman dilakukan terhadap urus niaga FGVH, membabitkan anak syarikatnya Delima Oil Production dan syarikat Afghanistan Safitex.
Bagaimanapun, Zakaria seperti dilaporkan media menafikan dakwaan yang mengatakan beliau membenarkan Satifex melakukan pembelian tanpa surat kredit yang menyebabkan berlakunya kelewatan bayaran dan mendakwa urus niaga itu diluluskan CEO yang terdahulu.
Beliau berpandangan perkara itu dibangkitkan hanya untuk menyingkirkan beliau daripada syarikat berkenaan ekoran membantah dalam beberapa pelaburan “tidak masuk akal” yang diluluskan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.
Menurut Zakaria, beliau diketepikan dalam membuat keputusan dalam pelaburan Felda Cambridge Nanosystems Ltd yang kini sedang mencari RM550 juta untuk mengembangkan operasinya selepas kerugian RM117 juta dalam tempoh empat tahun.
Selain itu, beliau juga mendakwa telah membantah untuk membayar RM300 juta untuk 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer di Klang.
“Mengapa saya hendak bagi RM300 juta untuk perniagaan bukan teras? Mereka juga ketepikan (keputusan saya dan) walaupun EXCO sendiri tidak bersetuju, pelaburan itu masih diteruskan,” katanya dipetik laporan media.
Bimbang dengan gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua justeru menggesa Pengerusi FGVH, Tan Sri Isa Samad menjelaskan dakwaan Zakaria berkenaan.
“Kegagalan pengerusi bukan eksektuif FGVH (Isa Samad) menjelaskan dakwaan skandal di atas akan mendedahkan beliau terhadap ‘pelanggaran kod tadbir urus korporat’,” ujarnya Tony dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan turut menarik perhatian terhadap baki wang FGVH yang hanya sebanyak RM1.8 bilion berbanding hutang syarikat berkenaan yang kini mencecah RM4 bilion. 

SK Pulau Sepanggar ‘dimakan laut’, keselamatan murid terjejas


KOTA KINABALU, 7 JUN: Keselamatan murid Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar di sini dalam bahaya apabila blok yang menempatkan tiga bilik darjah mereka berisiko ‘dimakan laut’ kerana struktur tanah yang menampung bangunan berkenaan mengalami hakisan pantai.
Murid SK Sepanggar menuju ke sekolah dari jeti.
Apa yang mengecewakan, meskipun perkara ini didedahkan pihak sekolah sejak Februari lalu, lawatan Roketkini mendapati keadaan sekolah itu masih belum diambil tindakan susulan.
Sewaktu tinjauan dijalankan, blok bilik darjah satu tingkat menempatkan pelajar darjah lima dan enam itu masih digunakan seperti biasa.
Selain bilik darjah, turut terancam hakisan ialah binaan yang menempatkan sistem solar hybrid bernilai hampir setengah juta ringgit bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik yang terletak hanya bersebelahan dengan blok bilik darjah itu.
Apa yang turut menjadi persoalan, ke mana perginya peruntukan Kementerian Kewangan sebanyak RM500 juta bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan seperti yang diumum dalam laporan Belanjawan 2017?
Sistem solar hybrid turut diancam hakisan.
Salah seorang penduduk Pulau Sepanggar yang mahu identitinya dirahsiakan melahirkan rasa hairan mengapa sekolah tersebut masih belum dibaiki sedangkan hakisan yang berlaku semakin ketara.
“Saya berasa sedih juga kenapa sekolah ini masih belum dibaiki. Kita tidak mahulah jadi apa-apa yang tidak elok,” katanya.
Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin yang turut melakukan lawatannya ke pulau itu sebelum ini telah mengetengahkan beberapa cadangan berhubung kebajikan dan keselamatan murid-murid sekolah terbabit.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, YB Jimmy Wong Sze Phin
“Bagi Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya, saya berharap supaya kementerian menyediakan kemudahan asrama yang juga dapat membantu kurangkan kos pengangkutan dan menjimatkan keperluan keluarga murid-murid ini.
“Kerajaan juga boleh pertimbangkan untuk sediakan pengangkutan bot percuma kepada murid dan guru-guru di sekolah tersebut.
“Pengangkutan air yang baik sangat penting kerana ini melibatkan keselamatan dan kehadiran murid ke sekolah terutamanya Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar,” katanya lagi.
Sekolah Kebangsaan Sepanggar menempatkan sekitar lebih 350 murid lelaki dan perempuan dan majoriti mereka bukan dari Pulau Sepanggar.
Rata-rata murid yang bersekolah di situ berasal dari Kampung Numbak yang mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit menaiki bot dari jeti kampung tersebut.
Terpaksa bersesak-sesak naik bot
Murid terpaksa bersesak-sesak dalam bot.
Dalam tinjauan ini, Roketkini turut berpeluang mengikuti perjalanan menaiki ‘bot sekolah’ bersama 120 murid yang lain. Turut sama dalam lawatan ini ialah Penyelaras DAP Inanam Edward Liau dan Florence Lim.
Sejak jam 6.20 pagi, suasana jeti bot menuju Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar meriah dengan suara kanak-kanak.
Mereka terpaksa duduk bersempit-sempit menunggu rakan-rakan yang lain untuk tiba menaiki bot dengan kekuatan enjin 130 kuasa kuda.
Berdasarkan pemerhatian, sebahagian besar murid mengenakan jaket keselamatan yang disumbangkan oleh kerajaan.
Ahmad Askalan, pengendali bot sekolah.
Setiap murid dikenakan bayaran sebanyak RM2.50 seorang pergi dan balik. Bagaimanapun, ada ibu bapa yang mengahantar anak mereka terpaksa berhutang kerana tidak mampu membayarnya.
“Saya bayar esok ya,” kata seorang ibu kepada pengendali bot.
Menurut salah seorang pengendali bot, Ahmad bin Askalan, 48, sebelum pengharaman pump boat (bot pam) yang merupakan pengangkutan utama di kawasan tersebut, ibu bapa murid-murid ini tidak berhadapan dengan sebarang masalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Keluarga miskin, tidak mampu bayar tambang
Namun, setelah kerajaan mengharamkan penggunaan bot pam itu, kehadiran murid ke sekolah juga terjejas.
Pintu masuk ke SK Sepanggar dari jeti.
“Masalahnya murid kampung ini tidak turun ke sekolah sebab tidak dibenarkan lagi pakai enjin pump boat. Jadi sekarang ibu bapa terjejas tidak dapat pencarian di laut.
“Kalau dapat (ditahan pihak berkuasa menggunakan pump boat), akan ditangkap. Tiada buat kesalahanpun ditangkap,” ujarnya.
Ahmad mengadu, pengharaman bot pam oleh kerajaan telah menyukarkan warga setempat mencari rezeki dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.
Lawatan Roketkini ke Pulau Sepanggar bukan sekadar meninggalkan tanda tanya mendalam terhadap pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam pembangunan pendidikan malah juga persoalan melibatkan pembangunan sosio ekonomi rakyat negara ini khususnya bagi kumpulan masyarakat yang terpinggir seperti warga di Kampung Numbak dan sekitarnya.  –Roketkini.com
*Foto oleh Hafiz Zainuddin 

Al-Fatehah : Rozaimin Elias: Anak terbaik Pulau Pinang


“Nasib terbaik adalah tidak dilahirkan, yang kedua dilahirkan tapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua. Rasa-rasanya memang begitu. Bahagialah mereka yang mati muda.”
Ini kalimat yang sering diatributkan kepada Soe Hok Gie, aktivis terkenal Indonesia yang mati pada usia cuma 26 tahun.
Saya sering menyebut bahawa jalan perjuangan aktivisme politik anak muda dan mahasiswa adalah jalan yang sangat singkat.
Di satu saat kita berkumpul mengacungkan tangan ke langit, melaungkan ‘Hidup Rakyat’, ‘Student Power’, ‘Mampus UMNO’ dan sebagainya.
Namun di satu saat kemudian, tangan yang sama diserah kepada doktor, untuk diperiksa kandungan gula dalam darah, atau betapa tinggi rendah tekanannya.
Jalan perjuangan orang muda, adalah seperti matahari. Malas terbit awal pagi. Hanya panas di tengah hari. Kembali malap menjelang petang. Dan terus tenggelam setiba malam.
Malam, bagi sahabat saya, Rozaimin Elias; seakan tiba terlalu awal. Bahkan sebelum sempat fajar 5 Ramadan menyinsing kabus pagi.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, Min (nama manjanya dalam kalangan teman-teman rapat) sudah tiga kali berulang ke hospital. Kali pertama beliau ditahan di unit rawatan rapi, hampir sahaja seluruh negara terhenti seketika.
Namanya diulang sebut dalam doa dan harapan kawan-kawannya yang ramai. Pelawat datang bertali arus ke Hospital Besar Pulau Pinang. Orang biasa, budak-budak punk, ahli politik, aktivis masyarakat, penulis, wartawan; berbilang bangsa dan agama semuanya. Jururawat saling bertanya, siapa ini Rozaimin Elias. Kenapa istimewa benar orangnya.
Kali kedua, Min tidak mahu beritahu sesiapa.
Kali ketiga, kami sudah mengagak ada sesuatu yang tidak kena.
Kata doktor, paru-paru Min dijangkiti kuman. Bukan sahaja itu, paru-parunya dipenuhi air. Semuanya cuba disedut keluar ketika Min koma di hospital pada kali pertama. 40 kilo katanya beratnya hilang.
“Ayaq (air) saja. 40 kilo. Peha aku kecut; semua dah tak terkepit,” kata dia penuh riang. Kami ketawa.
Min memang punya masalah berat badan. Makanan kegemarannya, nasi kandar; seperti juga ramai anak negeri Pulau Pinang.
Saya masih ingat, bagaimana ketika perhimpunan Bersih 5, Min mengadu tidak larat berjalan ikut demo. Lututnya sakit, jadi mohon supaya boleh bantu gerak kerja yang lain.
“Aku boleh tolong tweet,” dia kata.
Saya ambil dia di stesyen LRT, setelah sekian lama tidak bertemu. Tubuhnya membelon comel. Masuk ke tempat duduk hadapan, kereta langsung senget ke kiri. Kami saling pandang dan meletup ketawa. Padahal saya pun tidak kurang gemuk juga.
Sekarang kami dua-dua sudah tidak boleh makan nasi kandar lagi.
Anak terbaik Pulau Pinang
Rozaimin dikenali ramai kerana baik budi dan tulus hatinya. Beliau tidak berpenampilan seperti para bijak pandai. Dengan topi, seluar jeans dan tshirt yang sering gagal menutup perutnya; Min tidak membawa dirinya sebagai seorang pemikir atau perencana.
Min lebih banyak buat kerja berbanding bercakap. Dan tindakannya tidak datang dari akal tetapi dari hati. Jenis orang yang buat baik tanpa fikir untung, tetapi untuk memuaskan hati sendiri.
Ketika pulang bekerja di Pulau Pinang, Min lah yang pertama sekali bertanya khabar di laman sosial, mengajak duduk bersembang.
“Hang ka yang belah kerja Suaram? Jom mai lepak minum.” Demikianlah lebih kurang sapaan beliau yang tidak pernah memperkenalkan diri sebagai aktivis mahupun anggota sekretariat Suaram Pulau Pinang.
Min bahkan tidak pernah bercerita langsung tentang amal kerja baiknya sejak awal tahun 2000, ketika menggerakkan Food Not Bombs, memberi makan para gelandangan dan fakir miskin.
Tahun 2000, saya baru tingkatan 4. Min yang hanya tua dua tahun usia saya, sudah beraktivisme; membuat kerja sosial dan berbakti kepada masyarakat hasil bacaan dan pengamatan beliau tentang apa yang dicemuh orang sebagai ‘budaya punk’ pada zaman itu.
“Punk bukan sekadar muzik,” katanya berulang-ulang. Punk mendidik beliau untuk menghadirkan perubahan yang beliau mahu lihat dalam masyarakat. Min kemudiannya mendidik masyarakat agar saling sayang-menyayang, bekerjasama, menolak perkauman dan membawa perubahan kepada fabrik sosial.
Saya tidak begitu faham tentang punk sepertimana Min memahami punk, skinhead, antifa dan sebagainya. Sebagaimana saya tidak memahami kenapa Min lebih menyukai nasi kandar Deen Jelutong berbanding nasi kandar Raffee Pulau Tikus.
Saya lebih tidak faham bagaimana rombongan kami dari Kuala Lumpur, tidak perlu beratur di nasi kandar Deen, setibanya Min di sana.
Min hanya perlu cari meja, duduk; ada orang akan datang kepadanya dan ambil pesanan. Selebihnya beliau lah yang aturkan. Min seakan punyai sakti. Ke mana pun beliau pergi, akan ada yang menegur sapa, bersalaman; seolah-olah beliau seorang YB.
Tapi betul. Bagi kami, Rozaimin lah anak negeri yang patut menjadi Ketua Menteri. Malah tidak melampau kalau ada yang mencadangkan Rozaimin menjadi TYT. Bukannya beliau tidak pernah bekerja di kediaman rasmi Gabenor dan Ketua Menteri, sebelum menjadi tukang kebun Masjid Negeri.
Ya, itu satu hal lagi. Ramai yang tidak percaya; namun rumput di masjid itu tidak terpotong sendiri; melainkan Rozaimin lah yang memotongnya. Min memang orang masjid, walaupun punya band punk sendiri dan mahir memetik gitar meski jarinya gemuk-gemuk belaka. Naik cemburu kita dibuatnya.
Orang masjid, gitaris band punk, penggiat skuter, antifa, skinhead, aktivis sosial, penggerak parti DAP. Tidak hairanlah kenapa orang tidak berhenti mulut menyebut nama Rozaimin meski sudah seminggu beliau telah pergi meninggalkan kita.
Walaupun hanya beberapa tahun mengenali Min dan berkawan biasa-biasa sahaja dengannya; pemergian yang tidak diduga itu sangat memberi kesan dan meninggalkan bekas yang amat dalam. Hatta hanya seminggu kemudian barulah dapat menyusun ayat untuk mengucapkan selamat jalan kepada abang yang tidak pernah saya ada itu.
Min meninggalkan kita semua awal pagi 5 Ramadan setelah jantungnya berhenti berdenyut ketika sedang lena dibuai mimpi.
Walaupun sudah jauh berlalu pergi, dan nadinya telah berhenti; jasa baktinya dan ingatan kami terhadapnya akan terus hidup dalam setiap denyut nadi dan nafas kami.
Wey Min. Selamat jalan. Semoga kita bertemu lagi. – Roketkini.com

PENGAKUAN PEGUAM JADIKAN PENDEDAHAN RAFIZI BERHARGA

FGV: PRESTASI ZAKARIA BAIK, SEPATUTNYA ISA SAMAD YANG DISINGKIR – ANAK

BUKANKAH LEBIH MUDAH SEPERTI INI?



Dua peguam yang didakwa oleh Rafizi Ramli menerima bayaran RM325,188 daripada Najib Razak yang dipercayai bersumberkan dana SRC International dengan pantas mengakui perkara itu, tetapi menjelaskan mereka tidak mengetahui punca wang tersebut.

Ghazi Ishak dan Salehuddin Saidin masing-masing memberitahu sebuah portal dalam perbualan telefon berasingan bahawa pembayaran RM325,188 itu telah diagihkan antara mereka dan dua firma guaman yang lain.

Bayaran tersebut adalah sebagai yuran guaman untuk mengenepikan sapina kepada Najib untuk tampil memberi keterangan dan disoal-balas semasa perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, kedua-dua peguam itu menafikan sebarang pengetahuan bahawa wang berkenaan adalah berkaitan dengan SRC International
"Pada masa itu, saya fikir Najib tandatangan cek itu sendiri, ia tidak datang daripada mana-mana syarikat," kata Ghazi.
Salehuddin pula berkata "tidak ada sebab untuk beliau mempersoalkan sumber wang itu" dan mereka tidak diwajibkan untuk menjawab soalan itu.
Bukankah mudah seperti kedua-dua mereka ini?
Pantas untuk tampil dengan pengakuan yang jujur serta berterus-terang menerims bayaran daripada Najib.
Sebagai peguam, memang tidak menjadi kesalahan bagi mereka menerima bayaran atas khidmat yang diberikan, apatah lagi menyelidiki punca wang yang diterima daripada pelanggan, tetapi dalam soal ini wibawa Najib tentu saja terus menjadi persoalan.
Beliau dilihat dengan mudah dan sanggup membuat pembayaran sebegitu lumayan hanya untuk kes mengenepikan sapina yang dikenakan terhadapnya.
Tidakkah tindakan mudah dan sanggup membuat bayaran itu membayangkan betapa mudahnya juga wang itu diperolehi?
Adakah jika ia hasil titik-peluh atau tabungan hasil keringat, pembayaran selumayan itu sedia dibayar hanya untuk mengenepikan suatu sapina dan bukan untuk mengelakkan hukuman penjara atau sebagainya?
Secara tidak langsung, dengan kepantasan Ghazi dan Salehuddin memberikan reaksinya ini, jawapan daripada Najib sama-sekali tidak lagi diperlukan.
Beliau malah boleh terus mendiam dan membisukan dirinya.
Namun, tidakkah dalam kes bayaran RM9.5 juta, lebih baik juga jika Shafee Abdullah yang didakwa oleh Sarawak Report menerima wang itu dapat menjadi seberani dan sepantas kedua-dua peguam ini untuk tampil memberi penjelasannya? (ShahbudinHusin 06/06/2017).

(function() { var d = document, w = window; w

TIDAK RASA BERDOSAKAH MEMFITNAH?

“Oleh itu, saya telah mengarahkan Peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang di mana satu Notis Tuntutan telah diserahkan kepada Raz...