KENAPA PILIHANRAYA 13 TAK BOLEH NAK JALAN

PR Berbakti Pada Setiap Waktu




IJOK, 5 FEB : Kerajaan Pakatan Rakyat mengamalkan dasar bekerja untuk rakyat tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena Pilihanraya Umum sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan PR bukan sekadar memancing undi sebaliknya dilakukan sejak memegang tampuk negeri pada tahun 2008.

"Setiap tahun semenjak 2008, kita memperuntukkan dana lebih daripada RM16 juta kepada sekolah persendirian Cina, Tamil dan Agama Rakyat yang sebelum ini tidak dihiraukan oleh Barisan Nasional selama berpuluh-puluh tahun.

"Ini bukti bahawa kita telah dapat jalankan tugas dan menunaikan janji-janji kita kepada rakyat," ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Sambutan Pesta Ponggal Peringkat DUN Ijok yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chi Batang Berjuntai petang tadi.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahwa kerajaan PR turut membawa banyak perubahan dalam pentadbiran negeri antaranya dari segi ekonomi dan sosial.

"Sebelum ini tidak pernah kita berpeluang menggunakan Sekolah Tiong Hua untuk sambutan perayaan Ponggal. Tapi kini kita sudah berpeluang.

"Inilah antara bukti bahawa kita telah bawa perubahan dalam minda tiap-tiap rakyat," jelas Khalid lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung selain kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Kumpulan Bersenjata Halang Ceramah PR Di N Sembilan

SHAH ALAM 6 FEB: Usaha sebuah cabang PKR Negeri Sembilan untuk mengadakan ceramah di Rantau, Negeri Sembilan semalam dihalang oleh sekumpulan lelaki bersenjata tajam yang mendakwa mereka penyokong Umno-BN.

Setiausaha PKR Rembau, Nor Azizi A Aziz berkata insiden itu berlaku apabila petugas PKR dari Cabang Rembau tengah membuat persiapan bagi ceramah itu di kawasan lapang di dalam Taman Jade Indah, Rantau.

"Ketika beberapa petugas sedang membuat persiapan bagi menjayakan ceramah itu pada kira-kira jam 6.30 petang, datang sekumpulan lebih kurang 30 orang bersenjata tajam ke arah mereka lalu membuat ugutan supaya ceramah itu tidak diteruskan.

"Kumpulan mereka menjadi lebih besar selepas itu dengan kehadiran lebih ramai orang. Salah seorang daripada mereka mengakui sebagai Ketua Kampung Kuala Sawah manakala yang lainnya mengatakan mereka penyokong Umno-BN.

"Mereka juga menyatakan tidak akan membenarkan sebarang program atau ceramah PR diadakan di situ kerana kawasan itu kawasan Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Kumpulan itu juga melaungkan kata-kata kesat kepada petugas PKR berbangsa India yang terlibat di dalam kerja-kerja persiapan ceramah tersebut.

Azizi berkata, kehadiran polis selepas itu menyebabkan kumpulan tersebut bersurai meninggalkan kawasan tapak ceramah itu.

Ekoran insiden itu, pihaknya sudah membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kuala Sawah Rantau selepas itu.

Katanya, pihaknya berharap polis menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, disebabkan itu juga ceramah PR yang melibatkan beberapa pemimpin termasuk ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard terpaksa dipindahkan ke Taman Pnggiran, Senawang.