Kerajaan Selangor tidak kekal lama jika MB baharu daripada PAS, kata Mat Sabu


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tetap berpegangan kepada keputusan parti yang kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 18 September, 2014. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tetap berpegangan kepada keputusan parti yang kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 18 September, 2014.Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak akan bertahan lama sekiranya Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan melantik menteri besar baharu daripada kalangan pemimpin PAS, kata Mohamad Sabu.
Timbalan presiden PAS itu berkata, pelantikan itu tentu tidak akan dipersetujui DAP dan PKR sementara PAS juga akan komited mempertahankan kerusi menteri besar itu sebagai milik PKR.
"Kalau DAP dan PKR tidak setuju daripada PAS (sebagai menteri besar), Selangor akan jadi kerajaan sementara," kata Mohamad yang ditemui pemberita di Batu Pahat, Johor selepas Muktamar Tahunan PAS ke-60 hari ini.

"Keputusan dibuat, kerusi itu milik PKR," katanya ketika ditemui dalam muktamar itu.
Sultan Selangor akhirnya membuat keputusan muktamad memilih menteri besar baharu dan menetapkan tarikh 23 September ini sebagai majlis angkat sumpah.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor akan diadakan pada Selasa depan di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang, pada pukul 10 pagi.
Pejabat Istana Selangor ketika dihubungi mengesahkan kad jemputan itu yang sudah mula diedarkan kepada pembesar istana, wakil rakyat, penghulu, serta pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK).
Namun begitu, sumber itu enggan mendedahkan individu yang akan dilantik Sultan Selangor  itu.
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua ketika bercakap dengan The Malaysian Insider menganggap berita itu adalah benar namun pihaknya masih belum menerima sebarang jemputan.
Perkara ini juga disahkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Sallehen Mukhyi ketika ditemui mengakui pejabatnya menerima jemputan itu, namun beliau masih belum menerima jemputan secara rasmi.
Beliau yang dimaklumkan berita itu hari ini, berkata masih lagi tidak mengetahui calon yang akan dilantik Sultan, dan menafikan dirinya akan diangkat sebagai menteri besar.
"Cuma saya tidak tahu lagi siapa menteri besar... yang penting bukan saya," katanya.
"Kita harap ini jalan penyelesaian terbaik. Kita tiada lagi ruang terbaik kecuali rakan PR terima," katanya dan menambah, berita itu diterimanya daripada seorang penghulu yang menerima jemputan berkenaan.
Terdahulu hari ini, Munir mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan konvensyen sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sehingga kini, PAS dikatakan menghantar tiga nama iaitu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan satu Adun PAS.
Ketiga-tiga mereka dikatakan Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok), Dr Yakub Sapari (PKR-Kota Anggerik) dan Adun Cempaka Iskandar Samad, pesuruhjaya PAS Selangor yang exco kerajaan negeri.
Tidak diketahui apakah PKR dan DAP menambah bilangan calon mereka selepas dititah murka oleh Sultan Selangor kerana hanya menghantar satu nama sahaja sedangkan istana menitahkan dihantar lebih daripada dua nama.
PKR dan DAP sebelum ini memutuskan calon mereka hanya satu iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan pelantikan menteri besar Selangor hanya akan dibuat selepas Muktamar PAS ke-60 yang bakal berakhir pada 20 September iaitu Sabtu ini. – 18 September, 2014.

Azizah, Azmin atau Iskandar?

Azizah, Azmin atau Iskandar?

 | September 18, 2014
Sekiranya pihak Istana mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, Wan Azizah akan dilantik sebagai Menteri Besar.
COMMENT
selangor300Beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa Pilihan Raya Negeri akan berlaku adalah satu mimpi sahaja ekoran jemputan yang telah dikeluarkan oleh pihak Istana.
Sebelum ini, banyak pihak yang meramal bahawa krisis pertukaran Menteri Besar ini tidak akan dapat diselesaikan dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memohon kepada pihak Istana supaya DUN dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri diadakan.
Namun kini, ia hanyalah ramalan palsu belaka.
Sebentar tadi, pihak FMT telah menerima maklumat bahawa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor akan berlangsung pada 23 September (Selasa) ini jam 10 pagi bertempat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Surat-surat jemputan sudah dihantar kepada Istana bagi menjemput wakil-wakil kerajaan dan orang-orang kenamaan.
Pihak FMT sendiri telah menghubungi wakil Istana, Encik Arfiq Farid sebentar tadi. Beliau mengesahkan perkara tersebut.
Namun demikian, nama Menteri Besar dan dari parti mana, masih belum diketahui dan hingga saat berita ini dikarang ia masih lagi menjadi misteri.
Ekoran itu, beberapa spekulasi telah beredar di laman sosial yang mengatakan bahawa tiga nama calon yang hangat dibincangkan adalah Iskandar Samad (PAS), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), dan Azmin Ali (PKR).
Ini sesuai dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustafa Ali bahawa tiga nama yang diserahkan kepada Istana terdiri daripada dua calon daripada PKR dan seorang calon daripada PAS.
Calon PKR yang diserahkan oleh Mustafa Ali adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sedangkan nama calon PAS pula tidak didedahkan. Calon PAS yang menjadi spekulasi kini adalah Iskandar Samad.
Oleh yang demikian, pada kali ini, percaturan Anwar Ibrahim untuk menaikkan isterinya yang juga merupakan Presiden PKR mungkin tidak menjadi sebagai Menteri Besar jika Azmin atau Iskandar yang dipilih sebagai Menteri Besar, dan ini akan memberi tamparan yang besar kepada Anwar Ibrahim.
Walaubagaimanapun, sekiranya pihak Istana mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Wan Azizah akan dilantik sebagai Menteri Besar, ekoran beliau sendiri telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk menjadi Menteri Besar.
Sultan mungkin sahaja boleh untuk membuat kejutan, Wallahualam.

SURAT JEMPUTAN PERLANTIKAN MB...SIAPA?

TERKINI: WAJIB BACA ........ Ucaptama Hadi: Tiada yang baru untuk renungan ahli

Oleh:  Amirulmukminin


Ucaptama Presiden PAS Hadi Awang merasmikan Muktamar PAS ke 60 di Johor tidak mengandungi sesuatu yang baharu dan boleh dijadikan bahan renungan para ahli.

Hadi berucap di tengah-tengah kemelut krsis Selangor dan campurtangan rasmi PAS dalam perlantikan MB Selangor yang baharu. Kerusi MB yang dikhaskan buat PKR ditentukan oleh Hadi nama-nama pengganti yang sesuai, dan dipilih pula oleh kalangan pemimpin PAS yang tidak mesra Pakatan Rakyat.

Oleh itu, tidak ada apa-apa yang istimewa apabila Hadi berucap meminta ahli PAS terus beristiqamah bertahaluf siyasi bersama PR. Selama ini pun PAS telah bertahaluf tetapi tindakan Hadi yang klok klek (bahasa Terengganu untuk flip flop) tidak memaparkan semangat tahaluf itu.

Team A Team B

Sebenarnya PAS sedang menuju ke arah politik dua puak atau mungkin wujud Team A dan Team B.

Sebelum ini, dalam Muktamar Pemuda, terdapat puak yang mempertikai perwakilan tidak sah hadir mengundi dalam muktamar lalu bagi melantik Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat. Terdapat spekulasi Team A PAS mahu pemilihan semula jawatan ketua pemuda agar Nik Abduh yang tidak mesra PR dilantik sebagai ketua pemuda baru berbanding Suhaizan yang pro PR.

Kemudian terjadi u-turn oleh pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yaakob. Beliau dalam ucapan yang diedar kepada wartawan menyebut menyokong Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Namun pada sebelah petang Muktamar Dewan Ulama, selepas portal on line membesarkan berita itu, Ahmad berkata media tersalah lapor.

"Saya tidak hilight pun tadi. Dia dah dipecat dari parti dia dan tak ada apa lagi kita nak kepada dia.

"Saya hanya bagi contoh pendekatan (membuat keputusan) mengikut dasar hukum Islam, bukan Ulamak Pusat nak pada Khalid lagi.

"Yang itu tak berbangkit, tak releven lagi," katanya pada sesi penggulungan perbahasan ucaptama.

Apakah pengucapan kontroversi menjadi kebiasaan pemimpin PAS sejak kebelakangan ini? Sehingga kini, hanya Timbalan Presiden Mohammad Sabu sahaja yang tidak flip flop dalam ucapannya. Mat Sabu jelas menyokong PR dan dalam ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS, terang-terang menyokong penubuhan dan perjalanan NGO PasMa.

Mungkinkah puak ulama unity government (UG) akan melakukan serangan ke atas Mat Sabu pada perbahasan penuh bermula hari ini? Bunga-bunga telah dilihat ketika perbahasan dewan pemuda yang mempersoalkan Mat Sabu tidak sehaluan dengan Presiden dan wujudnya ‘banyak’ ketua dalam PAS.

Membeli masa

Malah Timbalan Mursyidul Am Haron Din yang diketahui tidak gemar kepada Anwar Ibrahim dalam ucaptamanya telah mengusul cadangan mengkaji tahaluf siyasi PAS bersama PR. Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan. Sekiranya jawatankuasa itu kelak mengusulkan PAS keluar PR maka satu muktamar khas akan dipanggil.

Malah ucapan presiden meneruskan tahaluf juga mungkin akibat tekanan dalaman PAS agar isu itu tidak mendominasi muktamar. Sedangkan umum sedar presiden mempunyai kuasa veto dan boleh membawa keluar PAS pada bila-bila masa dengan memanggil muktamar khas. Majlis Syura Ulama juga boleh membuat keputusan untuk keluar PR. Dan hampir kesemua pemimpin ulama PAS tidak lagi gemar bertahaluf, cuma mereka mungkin perlukan lebih masa untuk mentarbiyah ahli bawahan.

Ahli PAS seluruh negara sekiranya dibuat pungutan suara maka lebih 50 peratus mahu kekal dalam PR. Malah penyokong tegar PAS muak dengan konflik yang dicetus presiden. Kebanyakan mereka berpegang kepada hujah isu MB Selangor adalah masalah dalaman PKR dan PAS tidak perlu masuk campur.

Sama seperti pemecatan Hassan Ali, krisis MB Kedah dan sebagainya yang mana PKR sama sekali tidak campurtangan.

Tindakan presiden campurtangan dalam krisis di Selangor sehingga rumahtangga PAS bergolak dan hampir runtuh menjengkelkan mereka. Lebih dicemburui ialah PKR sendiri tidak bergolak dalam kemelut MB. Sepatutnya, kata mereka, PAS tenang sebagaimana DAP, bukannya berperang antara puak UG dan pro PR.

Namun tidak dapat diduga sokongan perwakilan terhadap presiden jika muktamar khas dipanggil. Sekiranya perwakilan walak maka Hadi akan mendapat undi cukup untuk membawa PAS keluar PR. Namun sekiranya Mat Sabu mempunyai keajaiban memotong walak maka puak ulama UG akan malu apabila usul tidak diluluskan.

Sekiranya kedua-dua situasi berlaku maka PAS tetap akan berpecah selepas ini. Ulama UG tidak akan membiarkan Team B pro PR berkuasa.

Rakyat undi reformis

Bagaimanapun Team B tidak perlu gusar kerana sekiranya mereka disisihkan maka mereka boleh membentuk parti baru atau bertanding atas tiket parti lain.

Iklim politik Malaysia semakin kritikal. Kelompok berparti semakin berkurangan. Banyak ahli parti tidak lagi mahu kekal sebagai ahli sebaliknya menggabung diri dalam kelompok atas pagar. Mereka kecewa dengan kedua-dua PR dan BN.

Tumpuan mereka kini hanyalah memilih gabungan mana yang lebih praktikal ideologi politik atau tawaran manifesto pilihan raya.

Bagaimanapun idea perubahan menguasai golongan atas pagar. Sekiranya, profesional PAS disingkir maka peluang mereka lebih luas untuk menang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan jika bertanding atas tiket reformis kecuali di Kelantan dan Terengganu.

PAS memang mempunyai keahlian yang besar di Pantai Barat Semenanjung tetapi separuh ahli yang masuk selepas gelombang reformasi bukan individu yang walak sangat kepada presiden. Kebanyakan mereka menyokong Anwar tetapi inginkan politik agama yang memberi pahala. Namun jika politik agama akhirnya condong kepada Umno maka tiada pahala yang akan diperolehi maka lebih baik mereka memangkah mana-mana calon pembaharuan dalam PRU.

PAS mungkin boleh belajar statistik daripada Umno yang berkeahlian 3.5 juta. Tetapi dalam pilihan raya undi yang didapat oleh Umno di kawasan-kawasan yang dimenangi PAS tidak menggambarkan jumlah keahlian Umno di kawasan itu. Jadi tentunya ahli Umno yang memangkah PAS. Maka situasi sebaliknya akan berlaku jika PAS akhirnya bersikap menolak politik baru.

PENDEDAHAN TERKINI DARI TULANG BESI.ANTARA MUKA DAN PERSONALITI PENTING UG?















HADI TIDAK DIBOIKOT?

OLEH: AMIRULMUKMININ


Tindakan sekumpulan perwakilan Pemuda PAS memboikot ucapan perasmian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bakal membuka jalan tindakan sama dilakukan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang esok, kata pengguna media sosial.

Manakala itu, laman Facebook El-Haraki mencabar mereka yang tidak menyokong ulama dan presiden PAS agar keluar semasa ucapan dasar Hadi dalam Muktamar penuh PAS ke 60 pagi ini.

"Mendapat khabar berita, Mat Sabu and the geng sedang mengatur strategi pula untuk keluar dewan apabila Tuan Guru Presiden berucap di Muktamar penuh nanti. Keluarlah, tiada siapa yang bimbang dan takut," tulis laman Facebook anti kumpulan profesional PAS itu.

Semalam media melaporkan minoriti 50 daripada 700 perwakilan Pemuda PAS bertindak meninggalkan dewan muktamar sebaik saja Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu itu memulakan ucapan perasmian muktamar itu.

Bagaimanapun Mohamad dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menafikan perkara itu berlaku. Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat turut menepis laporan media tentang perkara itu.

Menurut laporan media semalam, perwakilan Pemuda PAS dari Terengganu yang memakai vest bertulis "Kami menyokong presiden dan Majlis Syura Ulama" keluar meninggalkan dewan muktamar dengan diikuti perwakilan dari beberapa negeri lain termasuk Pahang, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Mohamad yang merasmikan muktamar di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor berkata, waktu itu adalah waktu solat Asar dan tidak timbul isu penyokong presiden PAS meninggalkan muktamar.

"Saya tidak nampak... memang waktu itu mereka keluar pergi sembahyang. Biasalah keluar masuk. Itu masuk waktu Asar," katanya kepada pemberita selepas selesai muktamar berkenaan semalam.

Tentang pakaian yang dipakai oleh mereka yang meninggalkan dewan itu, Mohamad berkata: "Pakaian itu biasa, kita tidak tentukan pakaian, ada yang pakai baju Unit Amal, bersama Pakatan.”

Tindakan 50 perwakilan itu diserang pengguna laman sosial dengan menyifatkan mereka tidak beradab dan mencatat sejarah tersendiri apabila ia berlaku dalam muktamar Pemuda PAS semalam.

"Siapa kamu hendak dibandingkan dengan Abng Mat, hujung kuku beliau pun kamu tidak boleh lawan," tulis Zulkifli Yacob, bekas ketua pemuda PAS Kelantan dan bekas exco Pemuda PAS Pusat di akaun Facebooknya.

Zulkifli berkata, Mohamad konsisten sehingga kini dalam menentang Umno dan berkata:"Lokap adalah rumah keduanya, Kem Kemunting kampung halamannya, jatuh bangun, pujian dan fitnah adalah makanan hariannya, jutaan ringgit dikutip melalui ceramahnya untuk kelangsungan parti PAS.

"Sedikit kelemahannya bukan penyebab kamu hendak tolak sejuta jasa yang ditabur dalam perjuangan ini," tulis beliau hari ini merujuk kepada peristiwa semalam.

Tidak kurang juga yang menyindir tindakan ini sebagai "menggambarkan akhlak yang beradab tinggi, kerana menunjukkan setia dan wala’ yang tinggi kepada presiden parti sebab itulah mereka memakai vest 'Kami bersama presiden dan majlis syura ulama'.

Mahmud Zaim Musa menambah, "Tindakan mereka sebenarnya menggambarkan hasil tarbiyyah dan doktrin wala’ kepada presiden dan Majlis Syura Ulama".

Cadangan kaji tahaluf siasi dijangka panaskan Muktamar PAS 2014


Muktamar 2014 yang bermula hari ini dijangka panas dengan isu mengkaji semula kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Gambar fail The Malaysian Insider.Muktamar 2014 yang bermula hari ini dijangka panas dengan isu mengkaji semula kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Gambar fail The Malaysian Insider.Cadangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang kemudiannya menjadi resolusi Muktamar Dewan Ulama PAS semalam agar parti Islam itu mengkaji kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat (PR) bakal menjadi isu panas muktamar PAS ke-60 yang bermula hari ini.
Ini kerana, sejak beberapa muktamar yang lalu, usul diluluskan agar kerjasama dengan PR diperkukuhkan.
Seorang peguam PAS, Fitri Asmuni berkata PAS mesti dilihat lebih berjaya berbanding kedudukan PAS yang ada sekarang jika PAS benar-benar mahu keluar PR.Haron ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama mencadangkan ulama PAS mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) dalam PR, jika kerjasama yang ada melanggar syarat tahaluf.

Sehubungan itu, muktamar Dewan Ulama semalam meluluskan satu usul agar PAS menubuhkan jawatankuasa bagi mengkajinya.
Ia juga berkait dengan resolusi Multaqa Ulama yang diadakan pada 14 September 2013 di Alor Setar yang turut meminta ia dikaji.
Usul itu ialah: Mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam PR sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan PR untuk lonjakan PRU ke-14.
Sebelum ini, dalam Muktamar 2012 di Pengkalan Chepa, Kelantan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penutup muktamar itu menegaskan PR diperkasakan.
Berdasarkan usul yang diluluskan di muktamar itu, Hadi berkata, PAS terus beriltizam memperkukuhkan PR dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk.
Katanya, begitu juga Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.
“Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui PR kita berjaya menghasilkan resolusi dalam 3 konvensyen yang diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik itu. – 18 September, 2014.