Niat asal mungkin mahu menyindir Anwar Ibrahim dengan gelaran “Guru”.






WAN BINA


Sekali lain pula yang jadi.
Bila kisah Yayasan Anda Akademik (YAA) kembali diperkatakan, ruangan komen media sosial tiba-tiba bertukar macam reunion besar-besaran bekas pelajar.
Seorang demi seorang muncul.
Bukan budak muda yang baru kenal Anwar selepas dia jadi PMX.
Ini bekas pelajar dari tahun 1971, 1973, 1976, 1977, 1978 sampailah awal 1980-an.
Lebih 50 tahun sudah berlalu.
Ada yang sekarang sudah berusia 60-an dan 70-an. Ada yang sudah bersara. Ada yang menjadi guru, masuk universiti, belajar undang-undang dan membina kehidupan masing-masing.
Tapi satu nama mereka masih ingat.
“Cikgu Anwar.”
Ada juga yang panggil “Abg Nuar”.
Dan ada yang hari ini memilih satu gelaran yang kebetulan sedang hangat diperkatakan dalam politik.
“Guru”.
Paling menarik, cerita mereka bukan sekadar puji-pujian umum.
Mereka mula bercerita pengalaman masing-masing ketika belajar di Yayasan Anda.
Azizah Azuddin misalnya memperkenalkan dirinya sebagai antara kumpulan pertama pelajar Tingkatan Enam Yayasan Anda sekitar 1971 hingga 1972.
Dan cerita yang dikongsikannya memang menarik perhatian.
Menurut Azizah, beliau belajar hampir dua tahun di situ tanpa perlu membayar yuran.
“Saya adalah salah seorang pelajar Tingkatan 6, 1st batch tahun 1971-1972 di Yayasan Anda Akademik Kg Baru. Belajar secara PERCUMA TANPA BAYAR YURAN selama hampir 2 tahun.
“Terima kasih GURU,” tulisnya.
Kalau seorang sahaja yang muncul, mungkin orang boleh kata itu sekadar satu kenangan peribadi.
Tapi kemudian datang pula yang lain.
Mawarkini tampil memperkenalkan dirinya sebagai pelajar Yayasan Anda pada 1971/72.
Malah beliau masih mengingati peranan Anwar ketika itu.
“Saya adalah pelajar Yayasan Anda tahun 1971/72 dalam Tingkatan 6 bersama-sama Allahyarham Fuad Hassan. PMX adalah pengetua dan guru Kertas Am.”
Maknanya cerita Anwar sebagai “Guru” ini bukan muncul selepas beliau menjadi Perdana Menteri.
Anak murid dari lebih 50 tahun lalu sendiri yang datang bercerita.
Kemudian muncul pula Mohd Zin.
Beliau belajar sekitar 1973 dan 1974.
Bayangkan, selepas lebih lima dekad, nama guru-gurunya pun masih boleh disebut satu persatu.
“Membaca komen-komen, saya mencari pelajar tahun 1973 & 74 yang sama belajar, kenangan masih segar.
“Guru-guru yang mengajar pun hebat. Cikgu Zaki ada dua, Cikgu Zainol, Usman Bakar, Ismail Mina, Khalid, Kamarudin, Nd. Nor dan lain-lain.
“Masih ingat kerana dari golongan pelajar yang dapat peluang kedua sudah pasti tidak dapat dilupakan.”
Ayat terakhir itu mungkin menjelaskan kenapa selepas puluhan tahun mereka masih muncul untuk bercerita.
“Peluang kedua.”
Sebab Yayasan Anda bagi sebahagian mereka bukan sekadar sebuah sekolah.
Ia tempat mereka mendapatkan peluang selepas laluan pendidikan biasa hampir tertutup.
Rem Ba’s pula berkongsi bahawa beliau merupakan pelajar YAA Kampung Baru pada 1976.
Selepas itu, beliau berjaya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di ITM.
“Saya bekas pelajar YAA Kg Baru 1976. Dapat masuk ITM buat law.
“Cikgu Anwar banyak jasanya pada kami semua. Jasanya tidak dapat dilupakan.”
Seorang lagi bekas pelajar, Mohd Shuhaimi Ibrahim, membawa cerita yang lebih dekat dengan realiti ramai anak muda pada zaman tersebut.
Beliau sendiri mengaku pernah tercicir dalam pelajaran.
“Saya di antara pelajar Yayasan Anda tahun 70-an, tercicir pelajaran.
“Terima kasih ‘Abg Nuar’. Kini sudah berusia 64 tahun. Pelajaran dan ilmu sangat penting.”
Daripada seorang anak muda yang pernah tercicir, hari ini usianya sudah 64 tahun.
Tapi “Abg Nuar” masih dia ingat.
Zaharah Bakar pula tidak bercerita tentang dirinya.
Dia bercerita tentang kakaknya.
Keluarga mereka datang dari luar bandar dan kakaknya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur serta menumpang dengan saudara semata-mata mahu meneruskan pelajaran.
“Kakak saya salah seorang penuntut Yayasan Anda. Malah, PMX pernah menjadi guru dia.
“Kami dari luar bandar. Kakak, anak sulung, terpaksa berhijrah ke KL, tinggal dengan saudara demi menuntut ilmu.
“Yayasan Anda ini merupakan satu-satunya alternatif yang anak-anak kampung ada untuk melanjutkan pelajaran sekiranya tak dapat ke Tingkatan 6 atau tawaran ke mana-mana universiti atau kolej teknikal.”
Hari ini mungkin mudah untuk kita melihat pendidikan daripada perspektif zaman sekarang.
Tapi bagi anak kampung pada era itu, apabila gagal mendapat laluan tertentu, pilihannya tidak sebanyak hari ini.
Sebab itu peluang kedua seperti ini meninggalkan kesan.
Ismail Mohd Salleh turut berkongsi memori hampir sama.
Menurutnya, ketika itu terdapat sekolah swasta untuk pelajar yang tidak berjaya dalam SRP, tetapi YAA menjadi pilihan sebahagian keluarga kurang berada kerana yurannya lebih mampu dibayar.
“Di Kg Baru ada dua sekolah swasta bagi murid-murid yang tak lulus SRP iaitu Ibnu Sinar dan YAA, tapi yang kurang berada pilih YAA kerana yurannya berpatutan.
“Itulah sekolah yang banyak membantu anak-anak Melayu yang susah untuk tidak ketinggalan dalam arus akademik.”
Kemudian muncul pula cerita Zainon Arahman.
Beliau bukan sekadar mengingati sekolah.
Nota Yayasan Anda pun masih melekat dalam ingatan.
“Saya salah seorang pelajar Tingkatan 6 yang banyak membeli nota YAA bagi menghadapi peperiksaan STP/HSC.
“Tak sangka ada insan hebat di sebalik YAA yang banyak membantu kami anak-anak kampung yang serba kekurangan untuk mendapatkan bahan pembelajaran.
“Hasilnya saya berjaya mencapai kejayaan cemerlang dan dapat melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Alhamdulillah.”
Daripada nota pembelajaran, akhirnya sampai ke Universiti Malaya.
Tapi cerita YAA bukan sekadar peperiksaan.
Bintu Daman, yang belajar sekitar 1977 dan 1978, masih mengingati pendidikan agama dan dakwah yang diterimanya ketika itu.
Malah ada satu pesanan Anwar yang menurutnya masih diingati selepas hampir setengah abad.
“Tahun 78 bulan Jun saya dipanggil belajar ke maktab perguruan di P. Pinang. Cikgu Anwar menggalakkan saya ke maktab perguruan tersebut sambil berpesan, ‘Jangan tinggalkan dakwah.’
“Begitulah sikap dan perjuangannya terhadap Islam.”
Menurut Bintu, pendidikan yang diterimanya di Yayasan Anda kemudian dibawa bersama apabila menyambung pengajian.
“Berbekalkan didikan Islam yang kuat di YA saya berdakwah sehingga ramai yang bertudung dan mengikut cara Islam.”
Lain orang, lain pula ceritanya.
Nakura Quyang memperkenalkan dirinya sebagai “produk Yayasan Anda Akademi” pada awal 1980-an.
Dan selepas puluhan tahun, beliau masih bangga memanggil Perdana Menteri hari ini sebagai gurunya.
“Saya bangga jadi anak muridnya dan saya bangga dia guru saya yang kini sudah jadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Doaku sebagai bekas anak muridnya semoga GURU KU terus success dan kekal jadi PM.
“Sesungguhnya saya muridmu amat berbangga dengan kejayaanmu.”
Yang menarik, cerita Yayasan Anda juga bukan datang daripada bekas pelajar Melayu atau Islam sahaja.
Govindan Narayanan tampil berkongsi pengalamannya sebagai pelajar YAA di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur pada 1982/83.
“Saya salah seorang pelajar YAA, Jalan Pantai Baru, KL, tahun 1982/83. Belajar STPM.
“Walaupun pelajar bukan Islam tidak ramai, saya mengambil kertas Sejarah Islam dan dibenarkan duduk dalam kelas agama Islam, tapi tak wajib.”
Malah Govindan masih mengingati moto institusi tersebut:
“Insan Akademik yang Bertaqwa.”
Dan mungkin bahagian paling cantik daripada kisahnya ialah apa yang berlaku selepas itu.
“Sekarang saya telah bersara sebagai seorang guru setelah berkhidmat selama 33 tahun. Terima kasih YAA.”
Masuk YAA sebagai pelajar.
Keluar membina kehidupan.
Kemudian menjadi guru selama 33 tahun.
Din Sandang pula berkongsi kisah kakaknya.
“Kakak saya adalah seorang lepasan YAYASAN ANDA dan berjaya melanjutkan pelajaran ke UM dan menjadi guru.”
Seorang lagi pengguna, Princess Rose, masih mengingati bahan pembelajaran Yayasan Anda.
“Saya pernah juga berebut kertas soalan dari YA ni. Terbaik contoh-contoh soalannya.”
Tayazi Kadir pula mengingati pengajiannya di Yayasan Anda sekitar 1978/79 di Alor Setar.
Seorang pengguna lain turut berkongsi bahawa sepupunya pernah belajar di Yayasan Anda di Kampung Baru pada awal 1980-an.
Satu cerita mungkin sekadar nostalgia.
Dua cerita mungkin kebetulan.
Tetapi apabila bekas pelajar daripada tahun dan latar belakang berbeza mula muncul satu demi satu, gambaran yang terbentuk menjadi lebih besar.
Ada yang masuk Universiti Malaya.
Ada yang masuk ITM.
Ada yang belajar undang-undang.
Ada yang menjadi guru.
Ada yang membawa pendidikan agama dan dakwah ke tempat baharu.
Ada yang datang daripada keluarga luar bandar.
Ada yang pernah tercicir.
Ada yang memilih YAA kerana yuran lebih mampu dibayar.
Dan ada yang mendakwa belajar hampir dua tahun tanpa membayar yuran langsung.
Mereka mungkin tidak semuanya mempunyai gelaran besar hari ini.
Tetapi mereka berkongsi satu perkara.
Mereka masih ingat peluang yang pernah diberikan ketika hidup mereka memerlukan jalan kedua.
Sebab itu komen Aini Noor mungkin antara yang paling tepat menggambarkan apa yang sedang berlaku.
“Jiwa pendidik dah lama wujud dalam diri DSAI.
“Di pihak sana ingat nak perli sinis, tapi akhirnya orang mula kenal siapa tokoh di sebalik satu yayasan yang bukan motif untung tapi memberi ruang belajar.
“Tahniah Guru Anda berjaya.”
Itulah ironinya.
Satu perkataan “Guru” dimainkan dalam gelanggang politik.
Sekali orang buka sejarah.
Bila sejarah dibuka, bekas pelajar pula muncul.
Bukan seorang.
Bukan daripada satu tahun.
Dan bukan semuanya membawa cerita yang sama.
Masing-masing datang dengan cebisan kehidupan mereka sendiri.
Ada yang ingat kelas.
Ada yang ingat nota.
Ada yang ingat guru.
Ada yang ingat yuran.
Ada yang ingat bagaimana mereka hampir tercicir.
Ada pula yang masih ingat pesanan Anwar selepas hampir setengah abad.
Lebih menarik, semua cerita ini bukan Anwar yang keluar ceritakan tentang dirinya.
Anak-anak muridnya sendiri yang datang.
Hari ini orang boleh sokong Anwar.
Orang juga boleh tentang Anwar.
Kerajaan boleh dikritik dan dasar PMX boleh dipersoalkan.
Itu politik.
Tetapi jasa yang pernah menyentuh kehidupan seseorang mempunyai sifat yang agak pelik.
Ia boleh diam selama 50 tahun.
Tapi apabila pintu kenangan dibuka, orang yang pernah merasainya masih boleh datang mengetuk.
Lebih setengah abad dahulu, mereka mengenalinya sebagai Cikgu Anwar dan Abg Nuar.
Hari ini lelaki yang sama sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Anak-anak muridnya pula sudah berusia 60-an dan 70-an, ada yang sudah bersara dan mempunyai keluarga sendiri.
Tapi apabila orang cuba menjadikan perkataan “Guru” sebagai sindiran, mereka datang semula membawa cerita masing-masing.
Iyeker?
Ingat nak perli “Guru”.
Sekali terbuka sejarah sekolah.
Ingat nak serang Anwar.
Sekali bekas anak murid beramai-ramai datang jawab:
“Terima kasih, Guru.”



RAFIZI TUNGGU DISAMAN-TABUNG HAJI RUGI RM64 JUTA AKIBAT PELABURAN DI DALAM PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD

 









Saya masih menunggu saman dari Dato’ Seri Jamil Khir Baharom atau Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dua orang pemuka Umno yang berlatar belakangkan pengajian Islam dan diberi tanggungjawab memberi imej Islam kepada Umno. Kedua-dua mereka telah menuduh saya secara terbuka bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji, malah menyebabkan ramai pendeposit hilang kelayakan untuk menunaikan haji kerana termakan dengan fitnah saya itu.
Selagi saya tidak mendapat surat saman daripada mereka untuk berjumpa di mahkamah agar perkara ini diselesaikan di mahkamah, saya akan terus mendedahkan satu persatu kerugian yang ditanggung oleh pendeposit akibat pelaburan-pelaburan Tabung Haji.
Pada 29 Disember 2016, secara senyap-senyap Tabung Haji telah melupuskan sebanyak 10.3 juta saham dalam sebuah syarikat minyak bernama Perisai Petroleum Teknologi Berhad (“PERISAI”). Sehari sebelum itu pada 28 Disember 2016, Tabung Haji telah pun menjual 8.8 juta sahamnya di dalam PERISAI.
PERISAI adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewakan sistem carigali minyak (“rigs”) kepada syarikat-syarikat minyak yang terlibat di dalam aktiviti carigali minyak.
Penjualan pada 29 Disember 2016 itu penting kerana akibat dari penjualan tersebut, jumlah saham yang dipegang Tabung Haji jatuh ke bawah paras 5% lalu menjadikan pegangan Tabung Haji sebagai pegangan kecil di dalam PERISAI. Pelaburan yang tidak dikategorikan sebagai pelaburan penting (seperti ini) tidak perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur jika ada sebarang urusan jual beli.
Tabung Haji mula menjual saham-saham PERISAI secara bertubi-tubi akibat pelbagai masalah kewangan yang berlaku di PERISAI yang menyebabkan nilai pelaburan Tabung Haji susut dan mengalami kerugian besar.
Semakan berita-berita perniagaan memberikan kedudukan kewangan berikut mengenai PERISAI:
i. Pada 4 Oktober 2016, pemegang kertas hutang PERISAI (“bondholders”) menolak permohonan PERISAI untuk menangguhkan pembayaran hutang sebanyak RM377 juta
ii. Akibatnya, pada 13 Oktober 2016, PERISAI mengisytiharkan kedudukan kewangannya telah mencapai status PN17 (bagi kategori syarikat-syarikat yang disenaraikan tetapi tidak tidak mampu melangsaikan tanggungan hutang atau berhadapan masalah kewangan lain)
iii. Saham PERISAI terus jatuh menjunam pada sekitar harga 8 sen sahaja sesaham
Sudah tentu, Tabung Haji yang merupakan salah satu dari pemegang saham terbesar PERISAI sebelum itu mula menjual sahamnya secara agresif seperti yang saya tunjukkan di atas. Tabung Haji mula mengumpul saham-saham ini secara agresif di antara Oktober 2014 ke Disember 2014 sehingga menjadi salah satu pemegang saham terbesar di dalam PERISAI.
Mengikut anggaran The Edge yang disiarkan pada 25 Oktober 2016 (sebaik sahaja PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17), saham-saham PERISAI dikumpul oleh Tabung Haji pada nilaian purata 83 sen sesaham. Pada kemuncak pembelian Tabung Haji, jumlah terkumpul saham-saham PERISAI yang dipegang Tabung Haji adalah 79.88 juta saham yang melibatkan penggunaan wang pendeposit Tabung Haji sebanyak RM66.3 juta.
Sebenarnya Tabung Haji telah membeli saham-saham ini (sekitar Oktober ke Disember 2014) pada kala harga sahamnya telah jatuh menjunam dan telah ada tanda-tanda sektor minyak dan gas mengalami kemelesetan yang teruk (rujuk carta harga saham di bawah):
Sejak awal tahun 2015, harga saham PERISAI terus menjunam. Ini dijangka kerana kemelesetan yang berlaku di dalam sektor minyak dan gas.
Malangnya, pengurusan pelaburan di Tabung Haji terus memegang saham-saham ini dan hanya ada 2 penjualan di antara tarikh saham-saham ini dibeli secara agresif (Oktober ke Disember 2014) dan tarikh PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17, seperti berikut:
i. 7 Oktober 2015, Tabung Haji menjual sebanyak 600,000 saham pada harga sekitar 25 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 58 sen sesaham atau RM348,000
ii. 4 Oktober 2016, Tabung Haji menjual sebanyak 1.75 juta saham pada harga sekitar 8.5 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 74.5 sen sesaham atau RM1.3 juta
Saham-saham yang dlupuskan diantara 28 dan 29 Disember 2016 sebanyak 19.1 juta dianggarkan diniagakan sekitar 5 sen sesaham, menyebabkan kerugian 78 sen sesaham atau RM15 juta.
Baki saham-saham PERISAI yang masih dipegang Tabung Haji selepas 1 Januari 2016 yang dianggarkan sebanyak 60 juta saham mungkin telah dilupuskan secara diam-diam tanpa perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur. Pada anggaran harga 5 sen sesaham iaitu kerugian 78 sen sesaham, kerugian yang tidak dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM47 juta.
Maka, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit Tabung Haji atas pelaburan ini sahaja dianggarkan (berdasarkan harga saham semasa) mencecah RM64 juta (dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta).
Wang RM64 juta ini adalah milik pendeposit yang sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji atau pun dikembalikan kepada pendeposit dalam bentuk dividen yang lebih tinggi.
Kenapa pengurusan kanan Tabung Haji tidak mengambil langkah lebih berhati-hati dengan melupuskan saham-saham PERISAI lebih awal kerana ketika Tabung Haji mula membeli saham-saham itu, harganya memang pun telah jatuh merudum kerana kemelesetan sektor minyak dan gas yang telah berlaku?
Apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan dan Ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini? Apa tindakan yang telah diambil terhadap Dato' Seri Jamil Khir Baharom sendiri yang diberi amanah untuk mengawalselia perjalanan Tabung Haji?
Rakyat hilang keyakinan dengan Tabung Haji akibat pengurusan pelaburan yang menyebablan kerugian beribu juta wang pendeposit, bukannya kerana saya mereka-reka cerita. Esok saya akan tunjukkan lagi pelaburan-pelaburan lain yang merugikan Tabung Haji.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
MANTAN NAIB PRESIDEN KEADILAN
PRESIDEN BERSAMA






MELAYU TERANCAM


Che Ibrahim Mohamed


 Harga makanan untuk melayu terancam, semakin tinggi harganya semakin tinggi ancamannya.





Misi Diplomatik PM Anwar Diteruskan Ke Maldives

 


Lawatan rasmi Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu ke Malaysia jelas merapatkan hubungan antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang buat kali pertama ke negara itu pada 14 September 2026.

MALE, 14 Sep – Misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diteruskan ke sebuah pulau indah dikelilingi biru Lautan Hindi dengan panorama yang mengasyikkan.

Setelah melengkapkan misi diplomatik dengan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi diikuti dengan menghadiri acara rasmi di Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke negeri Keralam, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India serta meneroka kerjasama dalam bidang baharu, misi seterusnya menuju Maldives.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Mufti Agung India, Sheikh Abubakr Ahmad di Markazu Saquafathi Sunniya yang juga dikenali sebagai Jamia Markaz pada 13 September 2026. Foto PMO

Dalam siri-siri diplomatik tertinggi bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomat Torkayev dan tuan rumah, Narendra Modi, pelbagai perkembangan terbaharu dapat disaksikan rakyat Malaysia yang mengikuti ‘jelajah’ yang lain daripada yang lain kali ini.

Di Male nanti, Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu yang akan bertemu Anwar dijangka akan menilai perkembangan hubungan dua hala, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan strategik bersama.

Misi diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di India terutama di Keralam menghadiri majlis rasmi membuka lenbaran baharu hubungan kedua-dua pihak. Foto PMO

Perkongsian strategik yang menguntungkan kedua-dua negara dijangka dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dengan populasi sekitar 530 ribu orang, dengan Malaysia sebagai peneraju industri halal akan memberi nilai tambah kepada ekonomi negara itu.

Menurut Wisma Putra, pada tahun 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Maldives kekal kukuh pada RM762.78 juta, dengan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM751.67 juta.

Sambutan hangat diberikan buat kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke negeri Keralam pada 13 September 2026. Foto PMO

Katanya, Maldives kekal sebagai rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dan merupakan destinasi eksport yang penting bagi Malaysia.

“Lawatan ini dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala serta memupuk pertumbuhan jangka panjang menerusi kerjasama dalam bidang yang membawa manfaat bersama.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut di sini pada 4.56 petang waktu tempatan (7.26 petang waktu Malaysia).

“Ia berteraskan asas kukuh yang telah terbina sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1968,” katanya.

Dalam rangka lawatan berkenaan, Anwar akan diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Republic Square, di sini, sebelum mengadakan mesyuarat empat mata dengan Muizzu, disusuli mesyuarat delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin kemudian dijadual mengadakan sidang akhbar bersama, dengan kemuncak lawatan itu Perdana Menteri akan diraikan dalam jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Muizzu.