'Bagi satu contoh Kerajaan Perpaduan abai orang Melayu' - Anwar


 Kerajaan Perpaduan bukan dibentuk hanya semata mata atas titah Yang di-Pertuan Agong atau kerana pemimpin Pakatan Harapan dan BN mahu merebut jawatan, sebaliknya adalah untuk membela rakyat.


Sehubungan itu, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pembangkang PN yang sering mempertikaikan kerja kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sejak 8 bulan lalu.


Tegas Anwar, Kerajaan Perpaduan tidak sebagaimana yang dituduh kononnya sepanjang 8 bulan tidak lakukan apa apa kecuali berceramah.


Beliau juga menolak tohmahan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak lagi membela Melayu apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai DAP.


"Saya nak beritahu keputusan dia, ketegasan dia dalam perpaduan dan Jemaah Menteri, saksi ada. Tidak berganjak daripada prinsip perjuangan membela nasib Melayu dan rakyat Malaysia.


"Buat apa berdegar degar cakap soal Melayu, Islam tak ada perubahan, tetapi dalam masa 7 - 8 bulan banyak masalah dapat kita selesikan untuk petani, nelayan, pekebun kecil getah. Untuk pesawah padi.


"Saya pengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri belum pernah satu kes pun kita bertelagah dalam agenda nak tolong Melayu atau tingkat martabat Islam.


"Yang dibicara di luar (oleh pembangkang) jauh berbeza," katanya dalam ceramah program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, malam tadi.


Dalam ceramah itu juga PM bertanya apakah Kerajaan Perpaduan telah mengkhianati orang Melayu.


Katanya, beliau pernah bertanya soalan serupa dalam sidang Dewan Rakyat di hadapan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan Hj Hadi Awang, namun tidak mendapat apa apa jawapan.


"Prinsip Perlembagaan yang disepakati (mengenai Melayu, Islam) tidak dikompromi. Saya tanya di parlimen di depan Marang, di depan Pagoh dan pimpinan lain, beri satu contoh di mana kita khianat Islam. Bagi satu contoh kita abaikan nasib orang Melayu.


"Tidak ada. Sebab itu kita minta rakyat Kedah bangkit tolak fitnah, tolak khianat dan bangkit bela nasib rakyat," katanya.


Dalam ceramah itu, Pengerusi PH berkenaan sekali lagi membangkitkan isu cabutan judi yang dinaikkan daripada 8 kepada 22 oleh pemimpin PN dan dakwaan gabungan tersebut mendapat wang daripada tauke judi.


Menteri Kewangan itu mencabar PN untuk menyamannya berhubung dakwaan tersebut.


Anwar juga berkata, kempen Pilihan Raya Negeri akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam mood menyerang selepas ini kerana serangan PN yang bertali arus dan menggunakan fitnah ke atas kerajaan.


Beliau turut memberitahu dalam tempoh 8 bulan pentadbirannya, berpuluh bilion ringgit pelaburan dari luar masuk dan yang terbaru tokoh teknologi digital dunia, Elon Musk pun tertarik untuk melabur di Malaysia kerana situasi politik yang stabil.


"Kita bawa Elon Musk masuk. Merata Asia mereka pujuk Elon Musk (untuk melabur ke negeri mereka). Dia pilih Malaysia. Sebab Malaysia aman.


"Sebab apa? Politiknya stabil. Terima kasih Zahid (kerana keputusan sertai Kerajaan Perpaduan), hang hero.


"Saya tengok sekarang dalam kempen melawan UMNO, saya tengok Bersatu, Pas dia tak serang UMNO sangat, dia serang Zahid sebab dia minta orang UMNO separuh itu berpindah (sokongan).


"(Oleh itu) kita jadikan PRN di Kedah ini, gunakan segala kekuatan yang ada pada UMNO, MCA, MIC dan PH, ini masa kita ajar mereka," katanya lagi.
sk. online



'Biar kami jaga rakyat Kedah' - Fadhlina

 









Oleh: Noraini Nordin


Kedah perlu ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan kerana negeri itu banyak menyumbang jasa kepada rakyat Malaysia melalui jelapang padinya.


Menurut Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, tibalah masanya Kerajaan Perpaduan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini membalas budi rakyat Kedah dengan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.


"Beras yang kita makan adalah hasil jerih perih rakyat Kedah.


"Biarlah selepas ini kami pula (Kerajaan Perpaduan) menjaga rakyat Kedah.


"Beri kami peluang menjaga rakyat Kedah," kata beliau dalam ucapan penuh bersemangat dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, malam tadi.


Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut mengimbau mengenai sekolah pertama yang dilawatinya sebagai anggota jemaah Menteri.


Katanya, beliau mengangkat sumpah sebagai menteri pada 3 Disember tahun lalu dan sekolah pertama yang dilawatinya pada 16 Disember ialah SK Tebengau di Alor Setar.


"Ia adalah komitmen kita untuk menoktahkan sekolah daif di negara ini.


"Jadi, Kedah ini adalah negeri pertama saya pergi sebagai komitmen untuk menoktahkan sekolah daif di Malaysia," tambahnya di hadapan lebih sepuluh ribu orang yang menghadiri program malam tadi.


Oleh itu, tegas beliau, komitmen kerajaan sebenarnya sangat besar dalam PRN Ogos bagi memastikan agenda-agenda yang dirancang terus berjalan dengan baik.


Seterusnya, Fadhlina yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal menyeru sesuai dengan semangat sambutan Maal Hijrah minggu depan, agar sama-sama mengambil ibrah daripadanya iaitu semangat perpaduan, kestabilan dan memastikan kepimpinan hari ini dapat dipertahankan.


Sebagai pesanan, di akhir ucapan beliau mengungkapkan sebuah pantun


Biarlah orang menanam buluh,

Mari kita menanam padi,

Biarlah orang bertanam musuh,

Biar kita membuat budi.