AGAK-AGAKLAH TUAN IBRAHIM KALAU IA PUN MASIH NAK PERTAHANKAN SANUSI!!


Sementara Hadi Awang masih berdiam diri, manakala Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menegur Sanusi Mohd Nor agar menjaga mulut ketika berucap di pentas politik, Timbalan Presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya tampil mempertahankan kelakuan Menteri Besar Kedah yang dilihat memperlekehkan Sultan Selangor.


Selain mengatakan ucapan Sanusi telah diputar belit media, beliau juga seakan setuju dengan kata-kata Pengarah Pilihanraya PN itu yang menyentuh isu perlantikan Menteri Besar oleh Sultan Selangor.


“Kita lihat serangan khusus soal peribadi yang berlaku dalam ucapan Menteri Besar Kedah… Soal pelantikan Menteri Besar bukan nak hina Raja-Raja, Sultan Selangor atau negeri-negeri lain.


“Tidak timbul pun.. ini soal percaturan politik bukan melibatkan pihak istana tetapi cuba dikaitkan dengan istana. Berita itu ‘dispin’ (putar belit),” katanya.


Tuan Ibrahim juga berkata, serangan bertali arus dilakukan terhadap Sanusi adalah berikutan Menteri Besar Kedah itu seorang yang hebat dari segi kepimpinannya mentadbir negeri.


Disebabkan itu, dakwa beliau, Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan yang lebih kepada negeri Jelapang Padi itu dan tidak menumpukan kempen mereka di negeri lain seperti Kelantan atau Terengganu yang turut berlangsung PRN.


“Serangan dilihat bertali arus terhadap Sanusi ini, siang malam (Sanusi) seorang saja kena serang.


“Seolah pilihan raya ini Sanusi seorang. Pasal apa? soalnya.


Kepada Tuan Ibrahim, adalah tidak benar ucapan Sanusi yang didakwa memperlekehkan Sultan Selangor itu adalah hasil cetusan putar belit media.


Kalau didengar, memang ucapan Sanusi bermaksud demikian, walaupun nama Sultan Selangor tidak disebut dalam ucapannya.


Kalau dia mempertikaikan Menteri Besar Selangor iaitu Amirudin Shari yang dilantik ke jawatan itu adalah seorang yang “cokia”, bukankah ia dengan mudah difahami sebagai mempertikaikan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat perlantikan?


Tambahan lagi, dalam ucapannya itu, Sanusi jelas membandingkan dengan Sultan Kedah yang didakwanya hanya melantik pemimpin hebat seperti dirinya sebagai Menteri Besar.


Siapa pun yang mendengar ucapan Sanusi itu, tidak dapat disanggah lagi ia adalah perlekehan yang terang lagi nyata terhadap Sultan Selangor.


Oleh yang demikian, tidak perlu, bahkan memalukan saja bagi Tuan Ibrahim sebagai pemimpin nombor dua sebuah parti Islam jika tidak dapat memahami maksud ucapan Sanusi itu.


Budak sekolah pun rasanya tidak ada masalah untuk memahaminya?


Selain itu, hujah pembelaan Tuan Ibrahim bahawa isu yang disentuh Sanusi hanya berkaitan perkiraan politik semata-mata dan tidak terkait dengan Istana adalah juga tidak benar, tidak tepat serta menyeleweng daripada fakta.


Harus beliau tahu dan sedar, soal perlantikan Menteri Besar adalah merupakan hak, budi bicara serta atas kebijaksanaan Sultan atau Raja di sesebuah negeri itu dan ia telah lama termaktub dalam perlembagaan.


Tidakkah dengan mempertikaikan mengapa seseorang yang “cokia” dilantik sebagai Menteri Besar, ia bermakna memperlekehkan kuasa yang melantik itu?


Lebih-lebih lagi jika dibanding-bandingkan dengan Sultan negeri yang lain.


Buat Tuan Ibrahim, agak-agaklah kalau ia pun masih nak mempertahankan Sanusi yang celupar dan biadap itu? – ShahbudinHusin 16/07/2023.


https://shahbudindotcom.net/