PAS Sedia Jumpa Jais, Gereja

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Satu pertemuan antara Pas dengan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) dan gereja akan diadakan untuk mendapat penjelasan berhubung serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Rabu lepas.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata, pertemuan itu dibuat bagi merungkai segala kontroversi yang berlaku ketika ini.

“Tindakan kepada Datuk Dr Hasan tak timbul. Kita akan jumpa terus Jais dan gereja,” ujarnya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Laporan lanjut menyusul.

Mahasiswa Lancar Kempen 'Jom Baca Media Alternatif'

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini melancarkan kempen ‘Jom Baca media Alternatif di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) bermula jam 2 petang tadi.

Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata, kempen itu dibuat menjurus ke arah untuk menjadikan media alternatif sebagai sumber maklumat utama kepada rakyat di negara ini.

Selain itu katanya, ia bertujuan mendidik rakyat untuk mengutamakan kesahihan berita, mendedahkan mereka kepada persepsi yang lebih terbuka, dan memberi peluang kepada rakyat melihat realiti Malaysia berdasarkan dimensi yang berbeza.

Semalam, SMM telah menganjurkan Flash Mob sekitar Kuala Lumpur untuk mempromosikan kempen itu.

Menurut Ahmad Shukri, peserta yang terlibat telah memakai baju khas yang tertera alamat laman sesawang media altetnatif di Malaysia, sambil melakukan edaran risalah dan buah tangan kepada warga kota.

Pelancaran kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ diadakan pada hari ini dengan siri wacana ‘Mahasiswa Selamatkan Rakyat’ yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji nadir bumi Lynas.

Tambah Ahmad Shukri, Sasterawan Negara, Datuk A Samad turut diberi penghormatan pada majlis tersebut sekali gus ikon perjuangan rakyat untuk melancarkan program itu.

SMM terdiri dari beberapa pertubuhan mahasiswa. Antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).

MB : Rakyat S'gor Disaran Rebut Peluang Perniagaan

SHAH ALAM 7 OGOS : Rakyat di negeri Selangor diingatkan supaya memanfaatkan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan ekonomi masing-masing melalui skim-skim pinjaman dan perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM 70 juta sebagai kemudahan pinjaman melalui Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) dan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

“Mereka yang mempunyai niat untuk berniaga atau menceburi bidang keusahawanan bermula daripada kecil-kecilan, boleh berbincang dengan kakitangan di pejabat-pejabat daerah atau pejabat dun masing-masing untuk mendapatkan maklumat,” katanya pada majlis Ihya Ramadhan 1432H Meraikan Anak-anak Yatim, Ibu Tunggal dan Fakir Miskin di ‘Bukit Megawati’ Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Beliau menambah, barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha dengan lebih tekun dalam usaha membawa kejayaan kepada Selangor dengan semangat ‘Selangorku’ agar segala hasil yang diperolehi dapat dikembalikan kepada seluruh rakyat untuk dikongsi bersama.

“Kita perlu bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat hidup di negeri yang serba ada ini dan bersama-sama sematkan di dalam hati, bahawa inilah ‘Selangorku’ iaitu sebuah negeri yang sentiasa menjalin keakraban antara rakyat dan pihak kerjaan negeri dalam usaha meneruskan dan mengekalkan pembangunan negeri yang dicintai ini bagi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Selangorku merupakan program terbaru yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan konsep rakyat Selangor turut serta dalam pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Pada majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Antara badan amal yang menerima sumbangan ialah Rumah Amal Kasih, Puchong, Rumal Amal al-Firdaus, Denai Alam, Pusat Jagaan asuhan Raudhatul Ikhwan, Seksyen 13, Rumah Aman Shah Alam, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Batang Kali, Ulu Selangor dan Dun Batu Tiga.

Majlis berbuka ini juga turut mendapat penyertaan lapan peniaga yang berdaftar dibawah skim MiMBAR untuk memperkenalkan produk yang mereka hasilkan termasuklah kiosk burger MiMBAR yang dilancarkan baru-baru ini.

Tokoh Akademik Sertai DAP

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP sekali gus meneruskan perjuangan menentang politik perkauman dan menggalakkan hubungan erat antara kaum.

Beliau menyertai DAP atas keyakinan bahawa parti itu bukan sahaja ditegakkan atas dasar berbilang kaum tetapi juga mengamalkan politik yang menolak perkauman.

"Pemilihan parti ini bagi saya ialah kerana ia tidak mementingkan kaum sebaliknya berorientasikan kaum dan mewakili semua kaum"katanya.

“Selama lebih 30 tahun saya aktif dalam gerakan hak asasi manusia serta menentang korupsi dan salah guna kuasa serta menggalakkan amalan demokrasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Ariffin, 62, adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur.

Beliau yang dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang bersekolah di St Xavier’s Institution, sebelum ke Universiti Sains Malaysia untuk memperolehi ijazah sarjana muda (B.A.).

Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Singapore University dengan memperolehi ijazah sarjana (M.A.). Setelah mengajar di USM, beliau memasuki Australian National University untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1991.

Beliau terkenal sebagai salah seorang pengasas gerakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara Aliran pada 1977.

Karya beliau yang terkenal serta menjadi rujukan kolej dan universiti antarabangsa ialah Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945 – 1950 terbitan Oxford University Press, 1993.

Beliau juga adalah pengarang buku Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan-Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada Tahun 1946 (2001, USM Press) yang memaparkan kajian tentang kejatuhan pemerintahan diraja di Sumatra Timur pada 1946, dan buku Bumiputra Policies: Dynamics and Dilemmas (2004, Kajian Malaysia) mengenai masalah negara yang berlaku akibat kerajaan mengenepikan keadilan sosial di Malaysia.

Dr Ariffin yang juga seorang Fulbright Fellow di University of Utah, Amerika Syarikat, kini sedang menulis buku mengenai hubungan antara kaum dan kebebasan beragama di Malaysia.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari.

SALAH SIAPA PELAJAR GAGAL KUASAI BAHASA INGGERIS- MUHYIDDIN MERUNGUT

KOMEN DARI SEORANG GURU KE KARUNG EMAIL. MASUK JUGA LAH KERANA DILIHAT SEBAGAI HARAPANKEPADA KAUM GURU.CIKGU BAHASA INGGERIS KEDAH.


Dasar BI dahulunya telah ditentang oleh PR kerana sememangnya tidak mahukan BI dijadikan sebagai bahasa utama dalam Pengajaran dan pembelajaran.Bukan itu caranya menjadikan murid-murid cekap berbahasa Inggeris.Kita ambil contoh negara Jepun,Korea,Russia,Jerman,Perancis....


Kemudiannya apabila ditentang dimansuhkan P&P dalam PPSMI..mengaar sains dan maematik dalam bahasa Inggeris..Elauns dibayarkepada semua guru-guru yang mengajar matapelajaran ini dengan 10% dari gaji,Namun pemantauan dan pengukuhannya tidak dilakukan.Akhirnya guru-guru ini tidak langsung menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka.Maka jadilah umpama mendapat elauns buta tanpa menggunakan bahasa Inggeris....

Apabila Kementerian menafikan PPSMI ini, dan membawa masuk guru-guru Bahasa Inggeris dari luar dengan gaji hampir 3 kali ganda atau 4 kali ganda sebagai pemudahcara kepada semua guru Bahasa Inggeris (Bukan Guru PPSMI), maka dilihat ianya sebagi satu bebanan kepada guru bahasa inggeris yang hadir setiap sekali seminggu , namun guru PPSMI yang juga mendapat elauns yang sama 10% juga..tidak di wajibkan hadir.

Ini menunjukkan bahawa, cara, sistem, dan juga kesilapan kementerian dalam menguruskan soal bahasa inggeris telah beraku .Tidak ada pengurusan penggunaan bahasa inggeris dalam subjek PPSMI di sekolah, guru Bahasa Inggeris yangmengajar bahasa inggeris dilihat keseorang di sekolah mengajar menggunakan bahasa inggeris, sedangkan yang mengajar PPSMI tidak di pantau dan menggunakan bahasa Inggeris, malahan tidak tahu pun menggunakan bahasa inggeris ketika mengajar....namun tetap mendapat elauns yang sama dengan guru bahasa Inggeris tadi.Tidak tahu berbahasa inggeris,lemah menggunakan bahasa inggeris,adalah dipihak guru-guru2 PPSMI dan sepatutnya guru-guru ini diberikan latihan yang lebih dan bukan guru bahasa Inggeris yng terkial-kial di sekolah.




Muhyiddin: Saya sendiri tak mampu jawab sebab pelajar gagal kuasai BI

August 06, 2011

SEGAMAT, 6 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasai bahasa penting itu sebagai bahasa kedua.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melaksanakan kajian itu.

Menyatakan pandangan beratnya terhadap soal menguasai bahasa tersebut oleh pelajar, Timbalan Perdana Menteri berkata, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan ekonomi.

“Bagaimana sistem pendidikan negara selama 13 tahun, dengan lima tahun di sekolah menengah, masih tidak mampu membuatkan murid-murid kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

“Saya sendiri tidak mampu menjawapnya,” katanya ketika berucap sempena lawatannnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Maokil, Labis di sini.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, kajian itu yang akan dikendali Bahagian Kurikulum Bahasa Inggeris akan melihat sama ada kelemahan itu berpunca dari kekurangan guru Bahasa Inggeris, peralatan atau punca-punca lain.

Katanya, murid-murid mungkin beranggapan bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu tidak penting untuk mereka, sehingga mengakibatkan mereka berhadapan dengan masalah ketika di peringkat universiti.

Beliau menolak tanggapan pelaksanaan dasar “Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” (MBMMBI), telah mengakibatkan Kementerian Pelajaran mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris.

“Itu tanggapan yang salah, saya dan Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, kementeriannya telah melakukan audit menyeluruh tentang kedudukan infrastruktur pendidikan negara, dalam usahanya untuk menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh sekolah-sekolah.

Walaupun kementeriannya menerima peruntukan pembangunan di antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun, tetapi katanya, ini tidak mencukupi kerana bilangan sekolah di negara ini adalah besar serta pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan pembinaan sekolah-sekolah baru.

ABIM : Serbuan Jais, Jangan Buat Kesimpulan Melulu




SHAH ALAM 5 OGOS : Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor menggesa semua pihak agar tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Abim memandang serius laporan berita berkenaan, kata Yang Dipertuanya, Khairudin Abas.

Menurut Khairudin, pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4).

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

“Abim menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan medianya.

Katanya, Abim Selangor merasakan bahawa itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.

Menurutnya, mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti itu amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata, setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukkan berlandaskan undang-undang.

Tambahnya, Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Justeru, ujarnya sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.

“Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” ujarnya.

Katanya, Abim Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan