MB : Rakyat S'gor Disaran Rebut Peluang Perniagaan

SHAH ALAM 7 OGOS : Rakyat di negeri Selangor diingatkan supaya memanfaatkan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan ekonomi masing-masing melalui skim-skim pinjaman dan perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM 70 juta sebagai kemudahan pinjaman melalui Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) dan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

“Mereka yang mempunyai niat untuk berniaga atau menceburi bidang keusahawanan bermula daripada kecil-kecilan, boleh berbincang dengan kakitangan di pejabat-pejabat daerah atau pejabat dun masing-masing untuk mendapatkan maklumat,” katanya pada majlis Ihya Ramadhan 1432H Meraikan Anak-anak Yatim, Ibu Tunggal dan Fakir Miskin di ‘Bukit Megawati’ Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Beliau menambah, barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha dengan lebih tekun dalam usaha membawa kejayaan kepada Selangor dengan semangat ‘Selangorku’ agar segala hasil yang diperolehi dapat dikembalikan kepada seluruh rakyat untuk dikongsi bersama.

“Kita perlu bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat hidup di negeri yang serba ada ini dan bersama-sama sematkan di dalam hati, bahawa inilah ‘Selangorku’ iaitu sebuah negeri yang sentiasa menjalin keakraban antara rakyat dan pihak kerjaan negeri dalam usaha meneruskan dan mengekalkan pembangunan negeri yang dicintai ini bagi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Selangorku merupakan program terbaru yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan konsep rakyat Selangor turut serta dalam pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Pada majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Antara badan amal yang menerima sumbangan ialah Rumah Amal Kasih, Puchong, Rumal Amal al-Firdaus, Denai Alam, Pusat Jagaan asuhan Raudhatul Ikhwan, Seksyen 13, Rumah Aman Shah Alam, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Batang Kali, Ulu Selangor dan Dun Batu Tiga.

Majlis berbuka ini juga turut mendapat penyertaan lapan peniaga yang berdaftar dibawah skim MiMBAR untuk memperkenalkan produk yang mereka hasilkan termasuklah kiosk burger MiMBAR yang dilancarkan baru-baru ini.

No comments: