Perisik di pejabat AG, SAMM lapor polis seluruh negara

Perisik di pejabat AG, SAMM lapor polis seluruh negara

KUALA LUMPUR 15 NOV: Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM) menggesa supaya segala aktiviti yang melibatkan Pejabat Peguam Negara (AG) perlu dibekukan segera dan Tan Sri Gani Patail harus diberkas untuk disoal siasat.

Gesaan tersebut dibuat ekoran dakwaan serius Tun Mahathir mengatakan terdapat dua ejen perisik CIA yang bekerja di pejabat Peguam Negara ketika ini.

“Berdasarkan tuduhan Tun Mahathir(Mohamad) yang dinyatakan dalam akuan bersumpah Mat Zain Ibrahim (bekas Pegawai Kanan Polis), negara mungkin dipengaruhi agenda jahat Amerika Syarikat secara terus melalui pejabat AG.

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Polis harus bertindak segera manakala Tun Mahathir harus tampil memberi penjelasan,” kata pengarah propaganda SAMM Edy Noor Reduan (gambar).edy_nor_reduan_samm
Katanya, SAMM tidak menolak kemungkinan kecelaruan dan musibah yang berlaku melibatkan pemalsuan bukti dalam kes fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengintipan menyebabkan kehilangan Pulau Batu Puteh di mahkamah antarabangsa.

“Pulau Batu Puteh juga tidak wajar terlepas. Namun apakah mungkin ia diatur demi kedudukan strategik Singapura yang menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat? soalnya.

Justeru, bagi terus memberi tekanan supaya pejabat AG dibersihkan dari anasir pengintip dan tindakkan lebih agresif, laporan polis akan dibuat oleh SAMM esok (16 November) secara serentak di seluruh negara.
“Laporan polis akan mula dibuat oleh SAMM Pulau Pinang jam 11.00 pagi di Balai Polis Bayan Baru.
“SAMM juga menyeru orang ramai dan aktivis sekutu turut membuat laporan polis di atas kecelaruan yang dibiarkan ini,” gesanya.

Beliau juga menegaskan akan memberi tekanan yang lebih kepada pihak polis sekiranya tidak bertindak dengan sewajarnya mengatasi isu ini.


“Sekiranya polis masih lagi bermain wayang dan tidak bertindak sewajarnya, maka pada tarikh 24 November (Ahad) akan datang, SAMM seru semua aktivis, pengamal kepartian dan orang ramai berkumpul di depan IPD Dang Wangi untuk memberi tekanan yang jauh lebih serius,” tegasnya.