Amerika, Eropah mahu jatuhkan Hadi?


oleh: amirulmukminin
Puak UG PAS mungkin tidak lagi mampu berfikiran waras apabila mendakwa presiden parti itu mahu dijatuhkan oleh komplot Barat.

Komen Nik Abduh kononnya wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama kelihatan mengarut.

Lebih mengarut lagi, kata Nik Abduh komplot itu menyebabkan PAS diserang, bermula dengan melemahkan pimpinan utama, agar PAS tidak menjadi parti yang kuat mendominasi Pakatan Rakyat (PR).

Tuduhan komplot Barat tentu sahaja cuba mengaitkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai perancang utama memusnahkan PAS. Ini kerana Anwar rapat dengan pemimpin negara Barat dan baru-baru ini dihentam habis-habisan oleh Hadi Awang.

Inilah yang cuba disampaikan oleh Nik Abduh. Nampaknya pemimpin UG PAS memang mahu PR memecat mereka daripada gabungan itu. Sekiranya mereka tidak dipecat maka akan lebih banyak lagi isu akan ditimbulkan terutama berkaitan Hudud apabila Umno mula memanaskan jawatankuasa Hudud Umno - PAS di Kelantan

Umno perguna UG 

Cuma yang menjadi  tanda tanya adakah puak UG ini tidak sedar permainan Umno atau pun mereka diberi ganjaran oleh puak Umno?

Mustahil mereka tidak faham Umno tidak mahu melaksanakan Hudud tetapi berpura-pura ingin bekerjasama dalam isu itu hanya untuk memecahkan PR. Melihat tindak tanduk Umno dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor lalu, jelas parti sekular itu sememangnya terus membuli PAS.

Umno tidak memberi royalti kepada kerajaan PAS Kelantan tetapi melakukannya melalui Majlis Agama Islam Kelantan. Untuk apakah memberi separuh royalti kepada MAIK dan bukannya kerajaan negeri sebagaimana yang terjandung dalam Akta Petroleum 1974?.

Bukan satu lawak jenaka sekiranya PR memecat PAS hari ini, sehari kemudian Umno akan menggantung jawatankuasa Hudud. Tiada lagi kekuatan PAS untuk mereka bekerjasama. Sebahagian ahli PAS menyertai PasMa dan hanya separuh sahaja yang akan terus bersama PAS.

Mustahil Umno akan melaksanakan Hudud sekiranya mereka mampu menawan semula Kelantan. Namun sekiranya puak UG ini tidak menyedari keadaan itu, apakah kuasa yang mendorong mereka melakukan sabotaj demi sabotaj ke atas PR?

Adakah kerana ego dan merasa hebat keanggotaan PAS yang mencecah 1 juta ahli? Mereka tidak lagi memerlukan kaum Cina dan India. Melayu sudah cukup untuk menyokong perjuangan PAS. Apatah lagi jika bergabung bersama Melayu Umno maka PAS dan BN akan menjadi kuasa dominan dan menentukan hukum Islam ditegakkan.

Tapi nanti dulu. Bagi puak UG yang ‘berpandangan luas’ itu mereka perlu ingat sudah 50 tahun PAS wujud namun adakah orang Melayu di Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan menerima mereka? Sehingga sebelum Anwar Ibrahim dipenjarakan dan puak professional berduyun-duyun menyertai PAS parti itu hanya dipimpin oleh ustaz.

PAS sebelum hujung 1990an dilihat tidak mampu membawa pembangunan. Bukan orang Melayu tidak mahu mengundi alim ulama tetapi mereka tidak terfikir guru-guru agama itu mampu menarik pelabur asing, mentadbir dengan baik atau menjadi faktor penyatu antara Islam dan bukan Islam.

Semua faktor negatif itu beransur-ansur ditolak ke tepi apabila golongan professional menyertai PAS dan PAS bergabung pula dengan PKR dan DAP yang sememangnya mempunyai ramai pemimpin berkaliber. Rakyat akhirnya menaruh pengharapan, suatu hari nanti mereka akan dipimpin oleh gabungan PAS dan PR.

Terus dibuli

Namun perkembangan dua bulan kebelakangan ini yang memperlihatkan kesombongan dan kedegilan ulama PAS membuat rakyat berfikir kembali adakah berbaloi meneruskan sokongan terhadap mereka?

PAS akan kembali menjadi parti ustaz yang jumud, tidak tahu perkembangan sains dan terknologi moden , lembab bertindak serta tidak mempunyai urus tadbir yang baik.

Imej ustaz yang tidak toleran ditunjukkan dalam Muktamar ke 60 telah menakutkan golongan bukan Islam dan mencemaskan orang Melayu bahawa negara akan dibawa ke kancah Taliban atau Isil.

Tiada siapa akan mengundi PAS jika perjuangan hanya untuk Islam dan Melayu. Malah orang Melayu yang waras tidak akan mengundi mereka dan kembali kepada BN sebagai faktor keseimbangan dan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Kalah dan dipresi

Apa yang diperjuangkan oleh Zuhdi, Tantawi, Nik Abduh terlalu bahaya untuk masa depan PAS. Parti itu akan kalah teruk pilihan raya dan terbelah dua sekiranya perjuangan sempit menjadi arus perdana PAS. Kekalahan pilihan raya dan depresi ahli yang taksub mungkin menyebabkan mereka melawan kerajaan secara yang tidak demokratik untuk menegakkan negara Islam.

Akibatnya mungkin boleh berulang kembali tragedi-tragedi ngeri yang dialami PAS pada 1960an hingga 1980an lalu akibat sikap yang kurang mahu berunding. Pemerintah akan mengambil peluang membantai parti itu lantaran tuduhan ekstremisme.

Pada tahap sekarang puak UG mungkin berkata jika PR membuang mereka maka Umno boleh dijadikan sekutu. Tetapi sejarah akan berulang. Umno akan memperdaya PAS ke arah ekstremisme sebagaimana yang dilakukan selepas berpisah dari BN pada 1978.

Umno memprovok PAS dan kemudian parti sekular itu bertindak ke atas Ibrahim Libya pada 1985. Kematian syuahda Memali memburukkan nama PAS sehingga parti agama itu hanya menang satu kerusi parlimen pada pilihan raya 1986.

Jika puak UG tidak percaya masa hadapan mereka akan lebih buruk, maka dipersilakan keluar dari PR dan teruskan dengan garis perjuangan Islam - Melayu.

Beberapa tahun daripada sekarang mungkin puak UG akan menulis sekali lagi mengenai usaha antarabangsa menjatuhkan presiden mereka yang tidak terkenal itu. Kali ini mereka tidak menyindir Anwar sebagai agen kejatuhan tetapi akan menyebut Umno telah menipu mereka pada 2014.