Harga Barang Naik, Muhyiddin Perbodohkan Rakyat, Kata Dr Dzul




SHAH ALAM 14 MEI : Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus peka kepada teguran orang ramai terhadap kenaikan harga barangan dan bukannya marah terhadap kritikan sebegitu, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad.
Muhyiddin juga berbohong apabila mendakwa Malaysia satu- satunya negara yang mengawal harga barangan dengan memberi subsidi bagi mengurangkan beban rakyat, kata beliau.
"Kita tahu di negara barat pun sistem subsidi itu memang diberikan, Amerika memberi subsidi besar kepada sektor pertanian mereka dan sebagainya, begitu juga kepada negara-negara yang maju seperti Eropah, Jepun dan sebagainya." kata Dr Dzulkifli.
"Jadi Muhyiddin ni..samada dia betul- betul jahil ataupun dia buat-buat tak tahu atau nak menipu rakyat," tambah beliau.
Pagi tadi Muhyiddin sekali lagi memilih majlis membabitkan penduduk luar bandar untuk mendakwa kononnya Malaysia adalah negara ulung memberikan subsidi kepada rakya.
Justeru, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak wajar pihak-pihak tertentu menggunakan alasan kenaikan harga barang untuk mempersalahkan kerajaan.
“Kenaikan harga barangan yang berlaku tidak boleh dijadikan alasan untuk menuduh kerajaan tidak bertanggungjawab atau tidak buat sesuatu untuk kepentingan rakyat.
“Tidak ada kerajaan lain yang kawal harga, kalau negara lain, mereka bayar dengan harga pasaran sebenar,” kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis Sarapan Pagi 1 Malaysia di Kampung Sungai Ular Pahang.
Rakyat Malaysia terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan pimpinan Najib Razak memotong subsidi yang mengakibatkan harga barangan keperluan seperti gula dan petrol meningkat secara mendadak.
Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli berkata, kerajaan turut menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.
Dr Dzulkifli berkata keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barangan berpaksi kepada dasar-dasar tidak seimbang kerajaan khususnya yang membabitkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar.
"Dia (Muhyiddin) masih dalam pemikiran lamanya yang belum sedar bahawa rakyat hari ini sudah celik dan punya keberanian untuk menegur bahkan mengkritik kerajaan sebab rakyat hari ini tahu bahawa mereka sebenarnya yang mengangkat kerajaan."
"Dia masih lagi mempunyai minda lama yang menganggap bahawa kerajaan itu bos dan rakyat mesti dengar dan ambil apa saja yang kerajaan beri, kononnya kerajaan tahu semua," tambah Dr Dzulkifli
Muhyiddin mendakwa walaupun harga barangan naik “rakyat dapat menikmati limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang ada ekoran kemasukan pelaburan asing.”
Ini bukan kali pertama Muhyiddin memberikan maklumat salah kepada penduduk luar bandar. Pada pilihanraya Sarawak beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara maju, malah antara yang terbaik di seluruh dunia.

“Perisytiharaan” itu dibuat kepada sekumpulan pengundi Iban di sebuah rumah panjang berhampiran Sri Aman Sarawak.

Kenyataan itu bercanggah dengan ketetapan agensi-agensi antarabangsa yang masih menyenaraikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi membangun. Malah Perdana Menteri Najib Razak sendiri mensasarkan 2020 untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, jika ekonomi berkembang purata lapan peratus setahun.

'Pengalaman Dalam UMNO Matangkan Saya ' - Anwar




SHAH ALAM 14 MEI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menyesal menyertai UMNO hampir 30 tahun lalu dan menyifatkan ianya merupakan pengalaman paling berharga dalam karier poltiknya.

Menurut Anwar, pengalaman yang berharga itu berjaya mematangkan dirinya disamping hubungan baik beliau bersama teman- teman dan golongan ulama masih kekal baik.
“Alhamdulillah saya bersyukur, kerana pengalaman saya dalam kerajaan cukup berharga. Walaupun ada sebahagian teman-teman tidak bersetuju, saya tidak kesali keputusan saya menyertai Umno. Saya kesali mungkin ada hal-hal yang patut saya buat lebih baik dari dahulu. Ya, itu ada,” katanya dalam Forum pengkisahan Sejarah Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM.

Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982 yang ketika itu di bawah kepimpinan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Beliau menambah, pengundurannya daripada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM dan ABIM adalah untuk memberi peluang kepada ganerasi baru ketika itu dan menegaskan tidak pernah meninggalkan ABIM sebaliknya hanya melepaskan jawatan dalam ABIM.

“Bukan meninggalkan, meninggalkan jawatan ABIM. Jangan salah faham istilah. Saya merasakan sudah lama sumbangan saya dan cukup untuk meberikan ruang kepada yang lain,” katanya.

Anwar mengakui kagum dengan ketokohan yang ditonjolkan oleh bekas Timbalan Presiden ABIM, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan turut mengimbau kata-kata kebimbangan yang diucapkan kepadanya dalam satu pertemuan panjang.

“Ya, ana (saya) doakan sebaiknya kerana ana (saya) tidak pernah pertikai niat anta (awak) dan keupayaan Anwar. Cuma ana (saya) bimbang satu perkara, mereka akan khianati anta (awak),” katanya.

Ungkapan ‘Khianat’ diucapkan sebanyak tiga kali sebagai tanda kebimbangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor terhadap Anwar, bermula pada tahun 1982, ketika Anwar meninggalkan Pemuda UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 1987 dan sebelum beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998.
Turut berucap dalam forum ini ialah dua mantan Presiden ABIM, Prof. Razali Nawawi dan Dr. Siddiq Fadzil.

Prof. Razali Nawawi melahirkan rasa terkilan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak faham dengan perjuangan ABIM sehingga sanggup melebelkan mereka sebagai ekstrim dan untuk mencetuskan huru-hara dalam negara.

“Saya nak beritahu ABIM ada dalam kerajaan sejak dahulu lagi sehingga sekarang. Boleh semak mereka-mereka yang berada dalam kerajaan sekarang. Siasat adakah mereka-mereka yang bersama ABIM cuba untuk mensabotaj dasar kerajaan,” katanya.

Menurut Dr. Siddiq Fadzil, walaupun mereka tidak mendokong mana-mana parti politik, seluruh warga ABIM turut merasakan kesedihan yang dihadapi oleh Anwar dan keluarga apabila diaibkan setiap hari tanpa pengecualian.

“Apabila maruah beliau dicemarkan dan diaibkan dengan melampau, maka seluruh warga ABIM merasakan kesedihannya kerana ia melibatkan semua maruah gerakan Islam yang disertai,” katanya.

Forum pengkisahan Sejarah Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM diadakan di Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam dihadiri oleh aktivis-aktivis yang masih bersama dengan perjuangan ABIM.

Turut diundang Ulama Besar Syiria, Sheikh Prof Dr. Wahbah Al Zuhaily.

Video Lucah 'Datuk T' Ditabur di Masjid





SHAH ALAM 14 MEI : Video lucah fitnah Datuk T yang dimuat naik di Youtube selain di pos kepada pemimpin politik tertentu dan diedar di kawasan perumahan, kini di sebarkan di masjid-masjid pula untuk mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pihak yang tidak dikenali meletakkan rakaman seks itu di Masjid Al-Hadiyah Telok Panglima Garang Kuala Langat pada Ahad lalu.
Nazir Masjid Al- Hidayah, Rahman Amir berkata video berkenaan dijumpai semasa jemaah masjid bersarapan selepas mendengar kuliah subuh di masjid itu.
"Nasib baiklah saya yang menemui dan tidak jemaah lain yang menjumpainya. Saya dengan tindakan sendiri sebagai seorang nazir tidak mahu bersubahat dengan perkara yang mana mungkin membolehkan terjadinya keadaan yang huru hara, kerana benda ini kita tonton kerap di TV. Tidak cukup di TV, disebar luas pula di masjid, tempat suci umat islam beribadah," kata beliau

Rahman kesal terhadap kesanggupan pihak yang tidak bertanggungjawab mencalar kesucian masjid dan agama untuk tujuan politik jahat dengan menyebarkan video itu.
Dewan Pemuda PAS Kuala Langat (DPPKL) turut mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak bertamadun”.
Ketua DPPKL, Hairul Nizam Tohar berkata pengedaran video lucah di masid bukan sahaja menghina kesucian agama Islam tetapi turut menyuburkan budaya fitnah di kalangan rakyat.
“Penyebaran VCD lucah ini dilihat sebagai agenda politik sempit dan kotor yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh. Tidak mustahil ada lagi VCD yang disebarkan di masjid lain,” kata beliau kepada TVSelangor.
Mengulas isu yang sama, ADUN Sijangkang, Ahmad Yunus Khairi menegaskan rakyat harus menolak fitnah seks tersebut berikutan Islam menggariskan hukum yang jelas sebelum menuduh seseorang itu melakukan zina.
"Islam meletakkan 4 orang saksi. Ini bukan main- main. Saksi mestilah cerdik, adil, muqallaf," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah yang membuat sumpah laknat dalam usahanya membabitkan Anwar dalam pertuduhan itu.
"Dalam Islam sumpah laknat di dalam zina hanya dibenarkan apabila suami menuduh isterinya berzina dan perkara tersebut berlaku di dalam mahkamah," jelasnya.
Tindakan Eskay membuat sumpah laknat sebelum ini dibidas oleh beberapa pihak termasuk mufti-mufti yang menegaskan hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani isu- isu fitnah.
Video seks 21 minit itu ditayangkan oleh Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim.
Sebelum ini video seks fitnah dan risalah memalukan Anwar dikesan diedarkan secara meluas dari rumah ke rumah di daerah Klang.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Yew Boon Lye semalam membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah dan cakera padat (CD) rakaman video seks itu ke rumah-rumah di Teluk Gadung Indah Klang.

Boon Lye mensyaki perbuatan itu didalangi oleh kumpulan pro Umno. Mereka mula mengedarkan risalah dan video itu dari rumah ke rumah sekitar jam 10.00 malam Sabtu lalu.

Menurut Boon Lye lagi, kegiatan mengedarkan bahan lucah itu juga turut aktif sewaktu Ceramah Perdana Anwar di Klang baru-baru ini dimana ia dilihat bertaburan di sekitar kawasan perumahan.

"Mereka Risau Isu Agama Rasmi, Hukum Qazaf, Sumpah Laknat ? " - DSAI





AYER KEROH 13 MEI: Bekas Pesiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Sri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan tentang tahap pemahaman masyarakat yang semakin menipis berhubung agama Islam.

Ini kerana menurutnya, pemikiran rakyat kini dikongkong dengan kejahilan sehingga rakyat terhindar daripada memahami prinsip Islam sebenar.

Berucap dalam program Seminar Maqassid Syariah Peringkat negeri Melaka sebentar tadi, Anwar menyifatkan Islam tidak mampu berkembang tanpa pemahaman khusus.

Justeru katanya, matlamat menerapkan nilai Maqassid Syariah adalah demi menjaga kehormatan insan.

"Mereka sibuk risaukan negara jadi negara Kristian akan tetapi hukum Qazaf, sumpah (laknat) dan hukum Syarak tidak dipatuhi sesetengah individu," ujarnya.

Ujarnya lagi sebarang bantahan perlu disuarakan mengikut landasan yang betul, seraya mengelak perbuatan menghina kaum yang berlainan agama.

Beliau mengambil contoh kejadian membakar gereja Kristian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang disifatkan tidak mengikut syiar Islam tentang menghormati kedudukan agama lain di negara ini.

Anwar berkata Maqassid Syariah yang diperkenalkan merangkumi keadilan sosial.

Justeru beliau menyuarakan gesaan membela nasib rakyat dengan kekayaan negara yang diperolehi dan bukan hanya kepentingan sesetengah pihak.

"Bank Islam catat untung tapi kalau tidak diberikan kepada rakyat maka ianya tidak memenuhi prinsip Maqassid," jelas beliau di hadapan 100 orang yang hadir ke program berkenaan.

Turut memberi ucapan Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Ustaz Abdul Ghani Rahman.

Dalam pada itu tetamu khas yang diundang Profesor Dr. Wahbah Zuhaili dalam ucapannya berbahasa Arab menyatakan kepentingan Maqassid Syariah sebagai pilihan terbaik kepimpinan negara yang menitik beratkan hubungan hak asasi manusia.

Justeru beliau menyeru agar masyarakat berbilang kaunm di negara ini mendalami ilmu Maqassid yang menjaga kepentingan semua kaum dan agama.

Beliau kemudian mengakhiri ucapannya dengan mengajak umat manusia menyertai kumpulan yang mengangkat kedamaian.


Arah Hentam Buku Jingga Bukti Najib Takut




SHAH ALAM 13 MEI : Arahan khusus Pejabat Perdana Menteri agar media arus perdana terutama Utusan Malaysia menghentam tawaran 100 hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga mengambarkan kebimbangan kerajaan pemerintah berada pada tahap yang serius.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata kerajaan Najib Razak hanya mampu mengkritik dan memburuk- burukkan tawaran Pakatan Rakyat, melalui media kawalannya dan bukannya menawarkan dasar yang jauh lebih baik dari gagasan itu.

"Mereka lari daripada membincangkan isu dasar, kehadiran 'Buku Jingga' kami meletakan dasar yang akan membawa tranformasi besar, dan UMNO-Bn tidak lagi mampu untuk keluarkan satu dasar sebagai pembandingan menandingi 'Buku Jingga', walaubagaimanapun rakyat yang akan menilai," katanya.

Portal berita Malaysiakini melaporkan Pejabat Perdana Menteri didakwa memberi arahan khas kepada akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional (BN), Utusan Malaysia untuk menghentam Buku Jingga.

Arahan itu dikesan melalui nota seorang wartawan kanan kepada pengarang dan pembantu pengarang berita Utusan Malaysia yang diletakkan dalam 'satu sistem' akhbar itu pada 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, semua akhbar diminta mendapatkan komen pelbagai pihak antaranya pemimpin parti komponen BN, penganalisis ekonomi dan tokoh akademik bagi menyokong kenyataan Najib itu.

Mengluas situasi ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata ternyata kewujudan Buku Jingga Pakatan Rakyat amat meresahkan UMNO BN, lantaran terpaksa mengumpul segala jentera bagi menenggelamkan relevannya tawaran gagasan itu.

"Bukti sememangnya utusan media yang dikuasai dan digunakan untuk kepentingan UMNO, arahan untuk membawa artikel-artikel tertentu dalam usaha memburukan Pakatan Rakyat," katanya.

Khlaid berkata, meskipun Najib dan pengikutnya seringkali memperlekehkan Buku Jingga, hakikatnya mereka memperakui kekuatan buku itu.

"Ianya juga bukti walaupun mereka rasa bahawa 'Buku Jingga' ini lekeh, dan dimain-mainkan, tetapi hakikatnya ia merupakan suatu perkara yang cukup dikhuatiri kerana takut dasar yang dibawa ini akan mendapat sokongan rakyat, atau menghasilkan sokongan untuk Pakatan Rakyat, ini adalah sebab kenapa mereka minta 'Buku Jingga' dijadikan sasaran utama pihak media, kerana mereka tahu, ini adalah bahan pilihanraya paling utama," ujarnya lagi.

Buku Jingga adalah dasar bersama yang dipersetujui PAS, DAP dan PKR, yang bakal dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat jika diberi mandat menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada pilihanraya umum akan datang.

"Henti aibkan Anwar"- Nik Aziz


Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 Mei: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga Ketua Pembangkang itu.

Menurutnya, beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah yang begitu tersiksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap suaminya sejak sekian lama.

"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.

Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.

Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.

“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya.


Saya kenal siapa suami saya, Azizah pertahan Anwar


Oleh Zulaikha ZulkifliMay 14, 2011
SHAH ALAM, 14 Mei — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi melahirkan kekecewaan kerana masih ada pihak yang terus mengaitkan lelaki dalam video seks, yang didedahkan trio “Datuk T” Mac lalu adalah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga memberitahu beliau dikecam oleh pelbagai pihak sehingga ada yang menyuruhnya agar mencari suami lain.

“Saya kenal siapa suami saya... tengok badan pun saya tahu. Takkanlah saya tak kenal dia. Itu (lelaki dalam video) bukan suami saya.

“Ada yang suruh saya cari suami lain dan bercerai dengan Anwar. Cerai itu memang dibolehkan tetapi ia tidak disukai Allah dan saya sendiri tidak suka,” kata beliau lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam berkata rakaman video seks itu adalah tulen setelah mendapat input pakar pengimejan video Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa si pelaku dalam video itu.

Dr Wan Azizah (gambar) menambah, “banyak yang telah saya lalui bersama Anwar dalam perkahwinan saya.”

“Lagipun atas alasan apa saya mahu tinggalkan dia,” kata beliau pada satu ceramah di Jalan Kebun dekat sini malam tadi.

Selain itu, beliau juga berkata, video seks yang disebarkan itu, yang difahamkan kini boleh didapati dalam benuk CD merupakan satu penipuan dan suatu fitnah.

Malah, sedutan rakaman itu disebarkan menerusi Internet sebelum ini.

“Datuk T” mempertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu.

“Ini satu penipuan. Ini Fitnah. Fitnah itu lebih teruk dari membunuh. Fitnah ini, kita akan tanggung dosa sampai bila-bila... jangan main-main dengan fitnah. Cukup-cukuplah kata dekat Anwar,” kata Dr Wan Azizah yang telah beberapa kali menafikan si pelaku dalam rakaman video seks adalah Anwar.

Bagi membuktikan lelaki dalam video tersebut bukan suaminya, Dr Wan Azizah turut menceritakan rutin harian Anwar ketika beliau dipenjarakan selama enam tahun.

“Semasa enam tahun dipenjarakan, dia (Anwar) berpuasa Isnin-Khamis dengan makan makanan yang dalam kuantiti yang sedikit.

“Dia akan makan setengah untuk sahur dan setengah lagi untuk berbuka. Jadi lelaki dalam video itu bukan suami saya, tengok perut pun tau. Dia tak ada perut macam itu,” seloroh Dr Wan Azizah.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut mengecam tindakan individu yang menghantar mesej SMS ugutan terhadap anaknya Nurul Izzah Anwar yang mengugut mahu menculik anak sulungnya.

“Semalam ada orang hantar SMS kepada Nurul Izzah untuk apa-apakan cucu saya. Apa jenis manusia ini?” tegas beliau.

Semalam, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau menerima mesej SMS yang mengugut anak perempuan berusia tiga tahun akan diculik jika beliau terus memberi sokongan kepada Anwar.

Dalam ceramahnya Dr Wan Azizah juga berkata, pihak musuh kini lebih menumpukan usaha untuk menjatuhkan Anwar berbanding isu lain yang lebih penting.

“Berapa banyak pelajar kita yang habis belajar tidak bekerja, isu gula... tetapi apa isu di negara kita? (Tapi hanya) pasal Anwar.

“Negara kita perlu diselamatkan. Saya tak boleh buat seorang... tak menjadi tak apa. Sekurang-kurangnya kita boleh jawab di akhirat nanti,” ujarnya.