PAS umum calon Kerdau, Merlimau Khamis ini

PAS umum calon Kerdau, Merlimau Khamis ini


l

PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang serentak dengan nama calon bagi DUN Merlimau, Melaka Khamis ini.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata nama calon bagi DUN Kerdau akan diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan nama calon DUN Merlimau.

“Walaupun masa agak suntuk kerana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) baru menetapkan pilihan raya kecil Kerdau diadakan serentak dengan Merlimau semalam, tapi tiga nama telah disenarai pendek untuk Kerdau.

“PAS dah kenal pasti nama-nama ini dari awal lagi dan apabila berlaku kematian, PAS teliti semula nama-nama ini sebelum disenarai pendek,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan 30,000 Pemuda PAS di Kota Sarang Semut dekat sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil DUN Kerdau.

“Persiapan dilipatgandakan di peringkat unit peti undi dan semua lokaliti dan PAS berharap dapat memperbaiki jumlah majoriti dan dapat keputusan lebih baik,” katanya.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari Barisan Nasional (BN) pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Sementara itu, kerusi Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Januari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

Semalam SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau dan DUN Merlimau diadakan serentak pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua DUN itu ditetapkan pada 26 Februari ini.

PRK Kerdau, Merlimau serentak elak asakan Pakatan Rakyat

Jika bagai dikata.. maka jentera pilihanraya negeri perlu diuji bagi memastikan kekuatan jentera dapat berjalan dengan lancar

hazayani Zakaria

kUALA LUMPUR, 20 Feb: Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau secara serentak merupakan isyarat jelas pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat harus berwaspada dengan isyarat itu kerana kemungkinan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubarkan sejurus selepas kedua-dua PRK ini.

"Ini satu isyarat yang harus diberi perhatian oleh PAS dan Pakatan Rakyat untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum Sarawak.

"Kemungkinan SPR menyegerakan (pilihan raya kecil) Kerdau ini kerana mereka nak tumpu Sarawak. Kemungkinan selepas sahaja pilihan raya kecil di kedua-dua tempat ini, Dun Sarawak akan dibubarkan maka pilihan raya kecil itu disegerakan," kata beliau ketika ditemui di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-jaminan PAS di Shah Alam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mendakwa Umno BN mahu PRK Merlimau dan Kerdau diadakan serentak kerana enggan berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat seperti siri PRK sebelum ini.

Umno BN dalam setiap PRK, katanya terpaksa menghabiskan wang yang banyak untuk menawan hati pengundi bagi bersaing dengan Pakatan yang menurunkan kekuatan jentera dari seluruh negara.

Contoh yang paling hampir ujarnya pada PRK di Tenang yang menyaksikan Umno BN terpaksa berusaha keras menarik hati pengundi meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat Umno.

"Seperti di Tenang, walaupun Tenang itu kawasan kuat Umno tapi mereka tidak lagi mudah menang seperti pilihan raya kecil sebelum ini.

"Mereka terpaksa berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat, terpaksa berbelanja banyak untuk melaksanakan tawaran yang dijanjikan kepada rakyat kerana kita mengumpulkan seluruh tenaga kita di Tenang.

"Mereka mengharapkan dengan buat pilihan raya kecil serentak, tenaga kita tidak tertumpu kepada satu-satu tempat sahaja, terpaksa dipisah dua. Jadi pilihan raya itu tidak serancak yang berlaku sebelum ini," katanya.

Namun demikian, Mahfuz mahu jentera Pakatan Rakyat melihat keputusan itu secara positif dan menjadikannya sebagai latihan praktikal terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Kepada petugas parti saya harap mereka melihat secara positif kerana memang pun dalam pilihan raya umum jentera di peringkat jentera kawasan dan negeri masing-masing yang berkerja. Kita boleh berkerja dan boleh menang di beberapa negeri.

"Kita harap kita hadapi pilihan raya kecil ini seperti kita hadapi pilihan raya umum. Tiada siapa yang membantu kita tapi jentera tempatan itu akan lebih agresif," katanya.

Selain itu katanya, Pakatan Rakyat boleh menggunakan waktu ini untuk mengenal pasti kelemahan sebelum ini dan memperbaikinya.

"Kita harap ini akan menjadi lapangan sasar menembak terakhir untuk membuat latihan praktikal hadapi pilihan raya umum untuk kita lihat di mana kelemahan kita sebelum ini yang perlu dibaiki.

"Jabatan pilihan raya pusat dan negeri perlu kenal pasti kenapa setiap negeri yang ditugaskan di setiap peti undi tak dapat nak meningkatakan lonjakan undi," katanya.

PAS, katanya akan membuat pengagihan jentera dengan sebaik mungkin untuk bertugas di kedua-dua kawasan.

"Kita akan buat pengagihan selepas ini supaya jentera dapat dimanfaatkan sebaiknya," katanya.