xMGF05042019_CERAMAH-UMUM-PH08-681x454
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kuala Sawah, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2019.
PRK RANTAU – Penjualan kapal mewah Equinimity oleh kerajaan Malaysia kepada Genting Malaysia Berhad adalah bukti jelas bahawa skandal penyelewengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sememangnya berlaku.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia bukan lagi merupakan cerita rekaan atau ciptaan seperti yang didakwa oleh pemerintah terdahulu, Barisan Nasional (BN).
“Mereka cakap 1MDB itu tipu dan rekaan semata mata oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“Sekiranya ini penipuan dan rekaan seperti didakwa mereka (BN) bagaimana kami boleh jual kapal dengan dengan RM514.5 juta.
“Ini bukan tipu, penjualan kapal untuk $126 juta bukti 1MDB betul betul berlaku,” katanya ketika berceramah di hadapan kira kira 250 penduduk pelbagai kaum di Taman Jed Indah, Kuala Sawah, Rantau malam ini.
Beliau hadir di sini sempena kempen Pilihan Raya Kecil DUN Rantau yang turut disertai calon PH, Dr S. Streram; Menteri Pengangkutan Anthony Loke merangkap Pengerusi Organisasi DAP; dan Naib Pengerusi DAP merangkap Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.
Menurut Guan Eng, skandal itu bukan sekadar 1MDB sahaja tetapi juga melibatkan penyelewengan lain seperti puluhan bilion ringgit milik kerajaan dan rakyat.
Katanya, kerajaan baharu yang hanya berusia 11 bulan ini juga mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan institusi-institusi lain yang lebih bermasalah.
“Felda dan juga Tabung Tabung Haji juga dua aset utama negara yang turut diseleweng kewangannya yang dikhususkan kerajaan untuk pembangunan warga Felda dan kaum Melayu dengan pelantikan ahli politik mereka dalam kedua-dua institusi itu.
“Saya sebagai Menteri Kewangan menyokong Menteri yang bertanggungjawab Mujahid Yusof Rawa untuk selamatkan institusi Tabung Haji.
“Mereka yang curi kita yang selamatkan, mereka merosakkan negara kita memulihkan tetapi kita disalahkan, jangan kena tipu lagi kali ini setelah ditipu begitu lama oleh mereka,” ujarnya lagi.
Menurutnya, penyelewengan tersebut melibatkan wang rakyat yang kini cuba diselamatkan kerajaan untuk dipulangkan kepada rakyat semula.
“Oleh demikian saya harap semua bersatu padu lawan rasuah untuk mengatasi masalah ekonomi suoaya kerajaan bersih dan boleh membuat terbaik untuk menjamin kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
“Yang sudah pasti sesuatu yang bukan mudah tetapi akan diusahakan sebaik-baiknya,” tegas beliau.