ProGuam jawab kekeliruan masyarakat tentang UEC


Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) tampil menjawab kekeliruan masyarakat berhubung Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang lulusannya diiktiraf untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).
Presidennya, Noorazmir Zakaria seperti dipetik Sinar Harian berkata, kekeliruan itu timbul ekoran sikap masyarakat yang cenderung memandang UEC dari sudut sentimen kaum semata-mata tanpa memahami apa itu UEC dan di peringkat mana.
“Pada hari ini masyarakat keliru dengan menganggap UEC seperti ijazah.
“Individu yang mahu menduduki peperiksaan (CLP) itu, mesti memenuhi syarat dan kemudiannya tetap mengambil ijazah dalam undang-undang di peringkat universiti pula,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan, hari ini.
Malah tegas Noorazmir lagi, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) telah lama mengiktiraf lulusan UEC untuk menduduki CLP sejak – era pentadbiran Barisan Nasional (BN) – 20 tahun lalu.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa hanya kerajaan berhak mengiktiraf UEC.
Meskipun bersetuju dengan pandangan itu, Noorazmir menegaskan, dari sudut profesionalisme peguam ia adalah berbeza dan harus dilihat secara terperinci.
Jumaat lalu, Pengerusi LPQB, Tommy Thomas yang juga Peguam Negara dilaporkan berkata, mulai 1 Januari 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian, termasuk Bahasa Melayu, di peringkat SPM / 0-Levels / setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama dan lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada peringkat Senior Middle 3 dan.