Saman Anwar terhadap Mohd. Saiful 23 Sept

KUALA LUMPUR 27 Mei - Saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana niat jahat dalam membuat laporan polis bahawa beliau diliwat oleh ketua pembangkang itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 September.


Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, K.Pavani menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam Jason Tay dan Zamri Idrus yang mewakili Mohd. Saiful.
Zamri memberitahu pemberita bahawa peguam plantif (Anwar) meminta mahkamah untuk tarikh lain bagi sebutan kes itu sementara menunggu perbicaraan jenayah Anwar mengenai pertuduhan liwat di Mahkamah Tinggi Jenayah.


Mahkamah Tinggi Jenayah telah menetapkan 31 Mei hingga 4 Jun ini untuk meneruskan perbicaraan liwat Anwar. Mahkamah juga menetapkan sebulan dari 2 hingga 30 Ogos untuk perbicaraan tersebut.
Anwar, 63, memfailkan saman itu terhadap Mohd. Saiful, 25, pada 30 Jun 2008 yang mendakwa bahawa bekas pembantunya itu membuat laporan polis itu dengan motif jahat dan juga untuk menjejaskan peribadinya sebagai seorang ahli politik.


Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata, Mohd. Saiful mengetahui bahawa pertuduhan liwat itu adalah palsu tetapi meneruskan dan membuat laporan polis pada 28 Jun 2008.


Beliau mendakwa ekoran laporan polis itu, reputasi beliau telah terjejas dan beliau sangat sengsara dan malu.
Mohd. Saiful dalam kenyataan pembelaannya pada Mei 2009 berkata, laporan polis itu adalah wajar dan jika tidak benar, pendakwaan tidak akan mengenakan pertuduhan liwat terhadap Anwar. - Bernama

Timbalan Naib Cencelor UITM ke MAIPP

Timbalan Naib Cencelor UITM ke MAIPP


2 Pimpinan Universiti (UITM) iaitu Prof.Madya Dr. Zaini Abdullah Timbalan Naib Cancelor ( Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof.Madya Mohd Zaki Abdullah Pengarah UITM Pulau Pinang kunjung hormat ke MAIPP bertemu Pemangku YDP MAIPP YB. Hj Mohd Salleh Man dimana YDP MAIPP Ust Hj.Ellias Zakaria sedang bercuti dan berada di luar negara.
Perbincangan banyak ke arah memajukan pendidikan di Pulau Pinang dan umat Islam amnya.



kiriman. pas bukit bendera

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan semakan Anwar

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan semakan Anwar

PUTRAJAYA 26 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan panel terdahulu yang mengisytiharkan bahawa pemecatannya daripada semua jawatan Kabinet, 12 tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria akan menetapkan tarikh lain bagi mendengar permohonan itu sementara menunggu alasan penghakiman terhadap satu kes berbeza yang diputuskan pada 25 Februari lalu.

Keputusan tersebut merupakan yang terkini dicapai oleh mahkamah tertinggi negara berhubung permohonan semakan menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Pada 25 Februari lalu, Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel tiga hakim bersidang memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa menyemak rayuan yang telah diputuskan.

Hakim Zulkefli menyatakan demikian ketika menolak rayuan akhir Anwar untuk mengakses semua dokumen penting pendakwaan serta spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat Ketua Pembangkang itu.

Hakim Arifin bersidang bersama Hakim Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Hari ini, Anwar mencabar kesahihan kuasa Perdana Menteri di sisi perlembagaan bagi mendapat perisytiharan muktamad bahawa pemecatannya daripada semua jawatan dalam kerajaan, sebagai tidak sah dan terbatal.

Pada 8 Mac lalu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang mengetuai sidang memutuskan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dibuat berlandaskan perlembagaan.

Terdahulu, peguam Karpal Singh yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah sama ada panel hari ini mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan semakan tersebut.

Ini kerana, Hakim Zulkefli dalam keputusan ringkasnya menyatakan, Kaedah 137 tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada mahkamah itu menyemak keputusan yang telah dipertimbang dan dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said berhujah, tiada salahnya permohonan semakan itu diteruskan bagi menentukan sama ada permohonan itu menepati kehendak-kehendak yang melayakkan ia didengar oleh mahkamah.

Hakim Arifin kemudian mencelah, ada baiknya permohonan hari ini ditangguhkan sementara menunggu alasan penghakiman (Hakim Zulkefli) yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, mereka perlu meneliti alasan penghakiman itu terlebih dahulu dan memutuskan sama ada bersetuju atau mengetepikannya.

Berhubung cadangan Karpal agar satu panel lima hakim mendengar permohonan itu, Hakim Arifin menyatakan, ia akan dipertimbangkan.