Anwar Gesa Negara Timur Tengah Laksana Perubahan Politik




KUWAIT CITY 7 JUN : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara Timur Tengah untuk melakukan perubahan politik ke arah lebih telus dan terbuka dalam pentadbirannya bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara itu dan mengelakkan krisis tercetus berikutan ketidakpuasan hati rakyat.

Menurut Anwar, kerajaan perlu memberi komitmen terhadap perubahan mereka untuk membetulkan pentadbiran dan menguatkan prinsip demokrasi selain penghapusan amalan-amalan korupsi dalam pentadbiran.

"Kita tahu arus perubahan politik ada pasang dan surutnya bergantung kepada kekuatan atau kelemahan komitmen terhadap demokrasi dan kebebasan.
"Seperti yang pernah saya katakan, jika mahu perubahan ini bermakna, ia mesti menguatkan demokrasi dan bukan melemahkannya, memperbaiki pentadbiran dan tidak memberi muka kepada korupsi dan kronisme. Komitmen jelas untuk memastikan keadilan sosio-ekonomi dan pengagihan kekeyaan yang saksama akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi," kata Anwar dalam Ucaptama Persidangan mengenai Kewangan Islam dalam Membiayai Pembangunan di sini hari ini.

Keadaan Timur Tengah dilihat bergolak lantaran pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan yang dianggap mereka menekan hak rakyat seperti di Tunisia, Mesir, Libya dan beberapa negara lain sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun beberapa negara teluk lain telah mula mengorak langkah supaya lebih telus dan adil dalam pentadbiran mereka.

"Pengajaran Tunisia dan Mesir mengingatkan kita bahawa kelangsungan masyarakat demokratik, kuasa dan autoriti mesti berpaksikan kedaulatan undang-undang. Keterbukaan dan ketelusan mesti dipromosikan oleh pentadbiran negara," tegas Anwar.

Anwar turut menyeru agar kerajaan tidak perlu risau untuk berubah kerana proses demokrasi langsung tidak menghalang kepada pembangunan ekonomi sebaliknya akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara itu dan serantau.

"Hanya satu perkara yang boleh mengatasi hal ini iaitu perniagaan mesti berteraskan budaya pentadbiran korporat yang bernilaikan ketelusan dan amalan beretika. Perlu ada semangat politik untuk menentang korupsi dan menghalang konglomerat berniat jahat yang bersekongkol dengan pihak autokrat untuk merogol tanah dan memusnahkan alam sekitar. Kita lihat hal ini berlaku di Timur Tengah dan Asia Tenggara, " kata beliau

Omong Kosong Bakal Perdana Menteri Malaysia




KOMENTAR : Rakyat bimbang dengan pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwarnai dengan kenaikan harga barangan, pemotongan subsidi dan sebagainya. Namun mereka harus lebih gusar jika Tan Sri Muhyidin Yassin menjadi Perdana Menteri baru pada satu masa kelak.

Kenyataan-kenyataan Muhyiddin sejak akhir-akhir ini menampakkan seorang pemimpin yang mengharapkan retoriknya dan pengumuman “ peruntukan satu dua juta ringgit” ke mana sahaja beliau pergi adalah cukup untuk menarik sokongan rakyat.

Tidak apa jika retorik itu adalah pembohongan semata-mata – contohnya di Sarawak, beliau mengumumkan Malaysia adalah sebuah Negara Maju kepada pengundi Iban di rumah panjang. Umum tahu kita masih, lebih-lebih lagi sekarang, dikategorikan sebagai Negara Membangun.
Di Pahang, bulan lalu, Muhyiddin dengan selamba memberitahu masyarakat petani, kononnya hanya Malaysia satu-satu negara yang memberikan subsidi kepada rakyat.

Sekali lagi, beliau lupa masyarakat tani juga mempunyai anak pinak berpelajaran yang tahu sistem subsidi diamalkan di hampir semua negara termasuk Amerika Syarikat.

Semalam pula beliau memberi satu lagi “bola tanggung” - Malaysia menurut Muhyiddin sudah lama menjadi negara berkebajikan kerana menyediakan subsidi untuk barangan dan pendidikan percuma serta rawatan hospital pada kadar yang nominal.

Kenyataan itu dibuat semata-mata untuk menempelak komitmen PAS menubuhkan Negara Berkebajikan seperti mana yang dituntut oleh Islam.

Persoalan mudah yang perlu ditanya kepada Muhyiddin ialah, jika Malaysia sudahpun menjadi Negara Berkebajikan kerana memberi subsidi kepada rakyat, maka kenapa subsidi itu kini dipotong dan ditarik balik manakala harga barangan dibiarkan naik?

Oh ya! Kerajaan Umno-BN terpaksa berbuat demikian kerana defisit negara semakin mengembang – 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Persoalan seterusnya: kenapa defisit dibiarkan begitu tinggi sepanjang zaman pemerintahan Umno-BN? Adakah ia berpunca daripada sikap boros dalam pengurusan kewangan? Bagaimana dengan faktor penyelewengan dan ketirisan?

Kenapa kerajaan dari zaman Mahathir hingga sekarang terus membiarkan defisit negara ini meningkat, dan subsidi untuk syarikat-syarikat IPP pula dilindungi manakala kadar elektrik untuk rakyat dinaikkan?

Siapakah yang bertanggunjawab di atas kos sara hidup tinggi yang dibebankan kepada rakyat – adakah ia salah Mahathir, Pak Lah atau Najib atau ketiga-tiga mereka sekali?

Rasanya Muhyiddin akan lebih bijak dan jujur di mata rakyat jika beliau cuba menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur dan mengurangkan retorik.

Rasanya, tidak perlulah beliau mendakwa Malaysia sudah pun menjadi Negara Berkebajikan selagi rakyat dipaksa menerima pelbagai kenaikan harga barangan manakala kontrak-kontrak lumayan dibolot oleh juak-juak tertentu yang berkait dengan Umno.

Sehingga hari ini Muhyiddin dan menteri-menteri lain mengelak daripada memberi maklumat mengenai kontrak yang diikat dengan IPP mahupun kontrak yang dinikmati oleh syarikat konsesi air di Selangor.

Negara Berkebajikan bermakna pemerintah yang telus, amanah dan sentiasa mengembalikan nikmat hasil bumi kepada rakyat dan tidak memperkayakan diri.

Negara Berkebajikan tidak bermaksud memberi komisyen “atas angin” RM500 juta kepada syarikat kroni kononnya untuk menguruskan pembelian kapal selam yang akhirnya tidak boleh menyelam.

Masa sudah sampai untuk Muhyiddin memperlihatkan ketokohan, akal minda dan nilai-nilai Islam dan jatidiri unggulnya sendiri jika beliau mahu terus menjual dirinya sebagai seorang yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Sekadar retorik dan menabur pengumuman peruntukan di sana sini sahaja tidak akan memadai.

BANYAK BERNIAGA UNTUNG....HA...HA...HA..SUBSIDI TARAK UNTUK RAKYAT

Petronas melihat perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.

NONEPresiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).

Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi, kata Shamsul Azhar kepada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi.

Harga yang lebih tinggi dan permintaan rancak menyebabkan prestasi yang lebih tinggi bagi semua perniagaan teras, kata naib presiden eksekutif kewangan Petronas Datuk George Ratilal.

"Prestasi Petronas sendiri juga selaras dengan pesaing kami, menunjukkan satu tahun lagi prestasi berdaya tahan kumpulan," katanya.

Beliau berkata perolehan kasar meningkat 12.9 peratus dengan perniagaan hiliran menjadi penyumbang perolehan terbesar pada 42.4 peratus daripada jumlah perolehan kasar.

Tunai daripada operasi adalah RM70.8 bilion berbanding RM56.1 bilion tahun lalu, satu peningkatan 26.2 peratus berikutan perolehan yang lebih baik.

Sejumlah RM34.9 bilion pada perbelanjaan modal digunakan kebanyakannya kepada merancakkan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran dan meneruskan usaha-usaha lain.

Hadi Tidak Mahu Jawatan PM Walaupun Pakatan Menang







KUALA LUMPUR 7 JUN : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat berjaya dalam pilihan raya umum ke-13.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, perjuangan PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

“Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru hari ini.

Memetik laporan Bernama Online, beliau mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan PAS yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang, termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Nazri menegaskan peluang Umno untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas PAS menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam, sebaliknya memperjuangkan ‘negara berkebajikan’ di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Hadi juga menafikan Timbalan Presiden Mohamad Sabu sebagai liabiliti kepada parti setelah beliau dipilih oleh perwakilan dalam pemilihan pada Muktamar PAS minggu lalu.

“Bagi Umno, Mohamad Sabu adalah satu peluang untuk menjatuhkan PAS. Tetapi bagi PAS, Mohamad Sabu adalah satu senjata untuk menjatuhkan Umno,” katanya.

Hadi turut menafikan bahawa wujudnya anggota parti yang kecewa dengan perubahan dasar perjuangan parti itu setelah beliau mengumumkan belum tiba masanya PAS menegakkan negara Islam yang menjadi dasar perjuangan parti itu selama ini, sebaliknya mahu memulakan dulu pelaksanaan negara berkebajikan sejajar tuntutan pakatan pembangkang.

Malahan, katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya.

Malaysia Negara Diktator Bukan Negara Berkebajikan Di Bawah Umno, Kata Pemimpin PAS






SHAH ALAM 7 JUN : Malaysia yang ada sekarang jauh daripada sebuah negara berkebajikan tetapi lebih mirip negara di bawah pemerintahan kuku besi yang menindas rakyat dan memperkayakan pemimpin serta kroni, kata dua pemimpin utama PAS hari ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden Mahfuz Omar menyifatkan sebagai dangkal kenyataan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalannya Muhyiddin Yassin kononnya Malaysia di bawah teraju Umno sudah pun menjadi negara berkebajikan.

Kedua-dua pemimpin Umno itu mendakwa pembinaan prasarana, pemberian subsidi tertentu dan penyediaan projek oleh kerajaan melengkapkan syarat untuk Malaysia dipanggil negara berkebajikan.

Mohamad Sabu berkata anggapan Najib dan Muhyiddin itu menzahirkan minda cetek mereka dari segi pemahaman konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

“Yang ada sekarang ialah, yang kaya bertambah kaya, rasuah berleluasa, penindasan rakyat berlaku. Ini bukan negara kebajikan, ini negara diktator,” beliau memberitahu TVSelangor.

Mohamad Sabu dan Mahfuz berkata negara berkebajikan tidak terbatas kepada mengadakan projek semata-mata atau pun menyediakan subsidi rakyat yang semakin hari semakin berkurangan.

Negara berkebajikan bererti kerajaan tidak mengamalkan rasuah atau penyelewengan kuasa, serta kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat dan bukan dikaut untuk memperkayakan pemimpin, ahli keluarga dan kroni mereka, tambah mereka.

“Negara yang buat projek untuk rakyat semata-mata tidak boleh dianggap negara kebajikan. Sesiapapun yang memerintah akan buat projek. Kalau Umno anggap negara kebajikan adalah kerajaan yang buat projek semata-mata, maka semua negara didunia ini adalah negara kebajikan,

“Tetapi kita tahu pemerintahan Umno jauh daripada konsep mendirikan negara berkebajikan,” katanya.

Mohamad Sabu berkata Najib dan Muhyidin jelas gusar dengan konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS dan Pakatan Rakyat sehingga membuat tuduhan melulu terhadap hala tuju PAS.

“Dia bimbang dengan konsep negara kebajikan ini boleh menarik perhatian orang Islam dan orang bukan Islam terhadap Pas dan Pakatan Rakyat. Ini yang dia bimbang," kata Mohamad Sabu.

Najib hari ini dalam sidang medianya di Astana, Kazakhstan megah berkata UMNO BN sudah lama mengamalkan pemerintahan secara berkebajikan.

Beliau tanpa segan silu turut menyenaraikan jasa kerajaan pimpinannya kepada rakyat termasuklah pendidikan, kesihatan, subsidi makanan, minyak dan banyak lagi.

Mahfuz berkata Najib dan Muhyiddin seharusnya memahami dengan jelas konsep negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Konsep negara berkebajikan adalah sebuah negara yang menitik persoalan yang berkaitan dengan kesejahteraan. Apa yang berlaku hari ini adalah, walaupun diberi sesuatu kepada rakyat, rakyat tidak dapat merasai kesejahteraan dan kedamaian dlam kehidupan negara kita ini, umpamanya beban kos hidup makin meningkat," kata Mahfuz.

Mahfuz juga mempersoalkan kenyataan Najib kononnya barisan kepimpinan PAS yang baru dipilih 4 Jun lalu terlalu memfokuskan soal pilihan raya umum akan datang.

"Salah satu hala tuju PAS ialah pilihan raya. Untuk nak terjemahkan hala tuju PAS itu mestilah kena menang pilihan raya. Apa masalahnya kita beri tumpuan pada pilihan raya. Kita mesti dapatkan kuasa untuk laksanakan hala tuju PAS," trgas Mahfuz.


Mustahil PAS Kembali Bersama Umno





SHAH ALAM 7 JUN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Umno Barisan Nasioanal selain hubungan sesama Islam dengan kepimpinan parti itu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, walaupun mungkin Umno masih mengimpikan untuk bersama-sama PAS, parti itu kini bersama Pakatan Rakyat yang sealiran pendirian dengannya dalam banyak perkara.

"Umno adalah musuh politik kita. Jadi kita bersama dengan Pakatan Rakyat. Musuh politik, bukan musuh peribadi,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

"Jadi kalau mereka (Umno) buka pintu untuk kita berunding dan bekerjasama, memang tak adalah. Kita memang bersama Pakatan Rakyat. Hubungan individu dengan pemimpin Umno, hubungan peribadi, itu biasalah, kita sesama Islam. Tetapi dalam politik, kerjasama tidak. Kita bersama Pakatan Rakyat,” tegas beliau lagi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa pintu Umno masih terbuka kepada PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Malah kenyataan Muhyiddin itu turut disokong ketua penerangan parti itu, Datuk Ahmad Maslan yang mengajak PAS melupakan memori silam antara kedua-dua parti itu.

"Kita tak tahu hujung pangkal. Biarlah peristiwa lama itu berlalu pergi. Sekarang dah beberapa generasi... bukalah buku baru, apa salahnya?" katanya, yang dipetik dari Mstar Online.

Hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu terputus pada 1977.



Sektor Kewangan Islam Mampu Jana Ekonomi Global, Cetus Keamanan Sejagat







KUWAIT 7 JUN : Sektor kewangan Islam mampu menjana ekonomi global dan meningkatkan keadilan sosio-ekonomi rakyat serta mengelakkan kesan masalah ekonomi sedunia berikutan amalan berteraskan ketelusan dan keamanan sejagat, menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyatakan mitos stereotaip bahawa perusahaan orang Islam tidak efisyen dan pemalas perlu dielak kerana realitinya adalah jauh berlainan.

"Realitinya, pembiayaan Islam bukan sahaja membuang perkara yang tidak perlu tetapi terbukti mampu menangani projek infrasturktur berskala besar. Dalam krisis ekonomi baru-baru ini, institusi-institusi kewangan Islam telah membuktikan mereka mampu berhadapan dengan cabaran dengan membiayai projek besar yang sebelumnya merupakan 'padang' ekslusif pasaran kewangan konvensional," tegas beliau.

"Pasaran perbankan dan kewangan Islam kini telahpun dipelbagaikan dalam pelbagai sub-sektor dan terus berkembang. Tidak syak lagi dunia sedang melihat 'corak' ini dan trajektoru pembangunannya," tambah Anwar.

Anwar menyatakan demikian ketika memberikan ucaptama dalam Persidangan Mengenai Kewangan Islam dalam Membiayai Pembangunan, di sini hari ini.

Ucaptama demikian merupakan satu dari acara Persidangan Ekonomi Islam anjuran Perdana Menteri Kuwait Sheikh Naser As Sabah yang bermula hari ini.

Anwar yang juga merupakan bekas Menteri Kewangan Malaysia menekankan keperluan memperkenal instrumen menjana pertumbuhan dan menfaat kepada rakyat kerana prinsip Islam yang menentang sebarang bentuk amalam korupsi dan pembaziran.

"Perkara ini sealiran dengan logik dengan konsep Maqasid Syariah dan hari ini, pelbagai persoalan dikemukakan berkaitan maslaha dan kebaikan awam prinsip kewangan Islam. Saya hanya mahu menekankan hal ini tidak tertutup. Oleh itu, maslaha berkaitan dengan pembangunan selain pembinaan infrastruktur tersebut secara fizikal turut melibatkan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar, " kata Anwar lagi.

Malah Islam menitikberatkan keperluan syariah dalam kehidupan seharian dan tidak hanya terkongkong dalam satu atau dua perkara sahaja.

Justeru Anwar menyeru negara-negara Teluk yang mempunyai kekuatan ekonomi supaya menekankan perkara ini dan menunjukkan dunia konsep Islam mampu mengubah dan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Keperluan pendekatan holistik syariah menunjukkan bahawa Muslim perlu mengintegrasikan semua aspek kehidupan dalam satu sistem yang adil dan saksama. Dalam hal ini kita tidak boleh menolak kepentingan untuk menyokong hubungan kekeluargaan yang kuat, pendidikan, pelindungan alam sekitar, melawan kemiskinan dan ketidakadilan sosial yang lain. Perlu juga ada komitmen untuk kerja-kerja awam, regulasi perlindungan pengguna dan kebajikan komuniti,"kata Anwar.