Maria Chin Pengerusi baru Bersih 2.0

OLEH JENNIFER GOMEZ
November 12, 2013

Aktivis, Maria Chin Abdullah (gambar) dilantik sebagai Pengerusi baru Bersih 2.0, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, selepas hanya beliau seorang dicalonkan dalam pemilihan pertama badan itu yang akan diadakan pada penghubung bulan ini.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan yang akan secara rasminya melepaskan jawatan pada 30 November adalah salah seorang yang mencalonkan Maria bagi jawatan pengerusi itu.

Jawatan Naib Pengerusi Bersih 2.0 akan menyaksikan pertandingan antara Dr Ahmad Farouk Musa dan Syed Ibrahim Syed Noh sementara perlawanan satu lawan satu turut berlaku bagi jawatan bendahari antara Masjaliza Hamzah dan Nahar Md Nor.
Pemilihan akan diadakan di Perpustakaan PJ pada 30 November dan kempen dijangka berlangsung hingga 29 November.

Lima ahli yang dipilih untuk memimpin badan itu di peringkat kebangsaan akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun.

Ahli Jawatankuasa Pemilih Bersih 2.0, Stanley Yong, berkata walaupun tiada pertandingan bagi jawatan pengerusi, pengumuman rasmi mengenai jawatankuasa pemandu itu akan hanya dibuat pada 30 November.
Seramai enam ahli jawatankuasa akan dilantik kemudian bagi peringkat negeri, bagi menambah kepada pasukan lima ahli dalam peringkat kebangsaan.


Sebanyak 90 organisasi dalam Bersih 2.0 akan mempunyai satu undi dalam pemilihan pada 30 November ini. – 12 November, 2013.