MRA BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Tautan Kasih VI berjalan dengan baik

Seramai 60 orang merangkumi peserta dan kakitangan sokongan MRA telah terlibat didalam simulasi latihan Tautan Kasih VI yang ditelah diadakan di Pos Bersih, Slim River, Perak. Program ini juga merangkumi Pos Keding, Pos Tenau dan Pos Gesau.

Sebanyak 7 modul latihan telah diaplikasikan sepanjang program latihan ini disamping dua tim medikal telah dibentuk dan hampir 200 lebih penduduk kampung telah berjaya diberikan rawatan perubatan yang sewajarnya.

Program yang berlangsung dalam bulan Ramadhan ini benar-benar menguji kesediaan setiap peserta simulasi ini untuk memberikan yang terbaik sepanjang latihan ini.

Shahru Peshawar

Zunar terus dapat pengiktirafan antarabangsa

Zunar terus dapat pengiktirafan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Kartunis Zunar telah diberi penghargaan dengan dipilih sebagai salah seorang Artists-in-Residence 2011 dalam program “Art and Censorship” (Seni dan Penapisan) anjuran BilbaoArte/Fundacion BBK, iaitu sebuah yayasan kesenian di Bilbao, Sepanyol.

Menurutnya, BilbaoArte menganjurkan program tiga bulan bagi membantu artis-artis memperjuangkan dan mempertahankan hak berkarya mereka yang menghadapi penapiasan/tekanan pihak berkuasa.

Katanya, seramai 20 artis dari seluruh dunia yang merupakan pelukis, pengukir dan pencipta hasil seni yang lain dipilih untuk menyertai program ini bagi tahun ini.

“BilbaoArte BilbaoArte menyediakan geran khas kepada artis untuk mengusahakan projek khas dalam tempoh itu, dan saya memilih politik Malaysia sebagai subjek.

“Dengan menyertai program ini saya akan berada di Sepanyol dari awal Oktober hingga akhir Disember tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau juga akan mengambil bahagian dalam VI Festival Against Censorship (Festival Melawan Penapisan ke V1) yang akan diadakan dari 7 hingga 15 November juga di Bilbao.

Festival itu, ujarnya menampilkan karya-karya seni penyanyi, pemuzik, penulis, pelukis, pengarah filem dari seluruh dunia yang ditapis/diharamkan.

Beliau akan mempamerkan 70 karya-karya kartun editorial yang pernah dihasilkan.

“Saya juga merasa bangga kerana diberi penghormatan untuk mencipta dan mereka bentuk poster untuk festival tersebut bagi tahun ini,” katanya yang mempunyai nama sebenar Zulkiflee Anawar Ulhaque.

Menurutnya lagi, pemilihan sebagai Artists-in-Residence oleh BilbaoArte-Producciones Serrano ini bukan sahaja merupakan satu pengiktirafan kepada karya-karya kartunnya, malah merupakan satu kejayaan bagi aktivis-aktivis yang berjuang menentang penapisan dan kekangan hak bersuara di Malaysia.

“Pengktirafan ini memberi kekuatan baru untuk saya menghasilkan karya-karya yang lebih tajam dan berkesan dalam usaha menentang korupsi, pembaziran wang rakyat, salah guna kuasa dan kezaliman yang diamalkan oleh pemerintah di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau menambah, ia juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan Malaysia menghentikan segala bentuk ancaman, ugutan dan tindakan jenayah terhadap beliau dan artis-artis lain di Malaysia, kerana masyarakat seni di seluruh dunia sedang memerhatikan segala tindak tanduk mereka.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada peminat, penyokong, pembaca, teman-teman dan semua pihak sentiasa memberi sokongan sehingga membolehkan saya mencapai ke tahap ini.

Bookmark and Share

Strategi Komunikasi K'jaan Langgar Etika



SHAH ALAM 18 OGOS : Sikap berdiam diri kerajaan Persekutuan dan negeri Sarawak bersabit perlantikan firma penerbitan Tv dan komunikasi strategik, FBC Media bagi menjalankan kempen media secara haram menimbulkan tanda tanya, kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, tindakan membayar firma media Britain itu dengan jumlah jutaan ringgit untuk memperoleh perkhidmatan komunikasi strategik dan pengeluaran sama sekali melanggar undang-undang asas dan etika media antarabangsa.

"Apa yang dipertikaikan ialah bukan amalan mengambil penasihat media atau firma hal ehwal awam tetapi pengambilan mereka yang dibayar dalam jumlah yang besar hanya untuk menyokong dan memberikan imej yang baik kepada kerajaan sahaja," katanya dalam kenyataan media.

Awal bulan lalu PKR menuntut pihak terbabit menjelaskan bahawa FBC Media dibayar sebanyak RM15 juta setahun oleh Kerajaan Sarawak.

Ini berikutan pendedahan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan menerusi Pejabat Perdana Menteri telah membayar sebanyak RM57.68 juta kepada FBC Media antara tahun 2008 dan 2009.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memberitahu bahawa FBC Media turut membayar syarikat perunding Israel, APCO untuk mempengaruhi Amerika Syarikat bagi pihak kerajaan Malaysia.

"FBC kini berjaya menarik perhatian akhbar-akhbar dunia dan telah menjejaskan nama Malaysia di peringkat global berikutan sikap kerajaan yang gemar menggunakan cara yang salah dalam menjalankan kempen," jelas beliau.

Tambahnya, tindakan FBC Media itu sama sekali bercanggah sebagai penerbit TV dan firma komunikasi yang menerbitkan program berat sebelah bagi penyiaran antarabangsa.

“Peranan bercanggah FBC Media sebagai penerbit TV dan firma komunikasi strategik menimbulkan persoalan memandangkan mereka menerima bayaran daripada Kerajaan Persekutuan dan Sarawak untuk menerbitkan program TV yang berat sebelah dan ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC, CNN dan BBC,” ujarnya lagi.

Skandal kerajaan membelanjakan jutaan ringgit dalam membiayai kempen haram ini timbul selepas kerajaan menapis majalah the Ecomist berhubung perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Julai lalu.

Sekaligus menyebabkan Perdana Menteri diasak untuk mengalah supaya menyiarkan polisi mengenai akta penapisan negara.

Izzah Gesa K'jaan Teliti Semula Gred Gaji Penjawat Awam Sektor Perubatan


Slug : Izzah-PPUM
KUALA LUMPUR 18 OGOS: Pakatan Rakyat menggesa kerajaan agar lebih prihatin terhadap perbelanjaan sektor kesihatan di negara ini dengan mengambil kira aspek penyelarasan semula skim gaji para medik dimana ia perlu dipertingkatkan serta diberi keutamaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata, ini kerana skim gaji para medik itu kini dilihat tidak berbaloi dengan usaha dan penat lelah mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Jika dilihat sistem kesihatan di Malaysia, doktor yang bekerja di pusat perubatan kerajaan memiliki gaji yang rendah berbanding hospital swasta tetapi mereka tetap memberikan perkhidmatan terbaik, begitu juga dengan jururawat mereka. Jadi kita perlu pertahankan mereka.

“Perkara ini juga perlu diambil secara serius kerana pada masa depan nanti, saya fikir sistem kesihatan yang sedia ada perlu peningkatan dari segi perbelanjaan, perkapita dalam perubatan di Malaysia.” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 300 pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap bidang kesihatan ini di negara ini berikutan kurang mendapat perhatian kerajaan terutamanya dalam penyediaan bajet kesihatan yang semakin berkurangan jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Saya nampak apabila dalam mana-mana belanjawan Malaysia, perkara pertama dipotong adalah bajet kesihatan. Maka kalau kita pergi ke klinik-klinik farmasi di hospital kerajaan rata-rata banyak ubat-ubatan yang kekurangan kerana mereka menjadi mangsa dalam potongan kepada belanjawan.”

Lantaran itu, beliau meminta kerajaan mengkaji semula perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan selama ini yang dilihat terdapat banyak kelonggaran dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam mana-mana negara pun, tanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan. Maka tidak wujud istilah perkhidmatan kerajaan atau perkhidmatan swasta.

“Khusunya Petronas dengan Prince Court dan sebagainya.”

“Kerana kerajaan perlu jadi pengatur, dia memantau selia bagaimanakah perjalanan perbelanjaan dan gajian pada doktor dan jururawat yang perlu dipertingkatkan sekarang ini.” ujarnya lagi.




Fuziah Dakwa Pembahagian PSC Berat Sebelah


KUALA LUMPUR 18 OGOS : Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz untuk mewujudkan awatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya bagi menjamin proses pilihan raya umum akan datang berjalan dengan bebas, adil dan demokratik disifatkan sebagai hanya sekadar wayang kerajaan pemerintah.

Malah, menurut Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh amalan bermain wayang ini sering menjadi pilihan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam memberi gambaran baik kepada dunia bahawa mereka dalam cerdik mentadbir sesebuah negara.

“Pengumuman itu hanyalah wayang, nak tunjuk pada satu dunia yang kononnya (UMno-BN) akan melaksanakannya tapi apa pula dengan kenyataan Nazri yang tidak menjamin pembersihan daftar pengundi sebelum pilihanraya?

“Mereka juga tidak bersungguh-sungguh dan tidak memberikan komitmen dengan betul,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, sama sekali tidak bersetuju dengan pembahagian Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Nazri Aziz semalam ekoran pembahagian kerusi yang tidak adil.

Menurut Fuziah, jawatankuasa yang dicadangakn itu jelas berat sebelah dimana ianya dianggotai sembilan wakil - lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Tambahnya lagi, ahli parlimen dari bebas tidak berhak mendapat pembahagian walaupun seorang, berdasarkan jumlah kesuluruhan ahli parlimen.

“Jika kita lihat pada peratus kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen bebas yang memiliki 8 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan tidak mewakili 1 peratus dari 8 ahli jawatan kuasa,”

“Kita boleh lihat ketidakseimbangan pembahagian jawatan kuasa ini kerana bebas tidak sampai 0.5 peratus pun untuk dilantik menjadi jawatankuasa. Satu wakil bebas dan hanya tiga wakil dari PR tidak mengikut pembahagian,”

Nazri yang dipetik dalam laporan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew semalam berkata, walaupun penggubalan undang-undang adalah satu proses yang panjang, tetapi kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka jawatankuasa itu akan diketuai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala wakil-wakil pembangkang pula akan diputuskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.