Fuziah Dakwa Pembahagian PSC Berat Sebelah


KUALA LUMPUR 18 OGOS : Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz untuk mewujudkan awatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya bagi menjamin proses pilihan raya umum akan datang berjalan dengan bebas, adil dan demokratik disifatkan sebagai hanya sekadar wayang kerajaan pemerintah.

Malah, menurut Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh amalan bermain wayang ini sering menjadi pilihan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam memberi gambaran baik kepada dunia bahawa mereka dalam cerdik mentadbir sesebuah negara.

“Pengumuman itu hanyalah wayang, nak tunjuk pada satu dunia yang kononnya (UMno-BN) akan melaksanakannya tapi apa pula dengan kenyataan Nazri yang tidak menjamin pembersihan daftar pengundi sebelum pilihanraya?

“Mereka juga tidak bersungguh-sungguh dan tidak memberikan komitmen dengan betul,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, sama sekali tidak bersetuju dengan pembahagian Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Nazri Aziz semalam ekoran pembahagian kerusi yang tidak adil.

Menurut Fuziah, jawatankuasa yang dicadangakn itu jelas berat sebelah dimana ianya dianggotai sembilan wakil - lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Tambahnya lagi, ahli parlimen dari bebas tidak berhak mendapat pembahagian walaupun seorang, berdasarkan jumlah kesuluruhan ahli parlimen.

“Jika kita lihat pada peratus kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen bebas yang memiliki 8 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan tidak mewakili 1 peratus dari 8 ahli jawatan kuasa,”

“Kita boleh lihat ketidakseimbangan pembahagian jawatan kuasa ini kerana bebas tidak sampai 0.5 peratus pun untuk dilantik menjadi jawatankuasa. Satu wakil bebas dan hanya tiga wakil dari PR tidak mengikut pembahagian,”

Nazri yang dipetik dalam laporan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew semalam berkata, walaupun penggubalan undang-undang adalah satu proses yang panjang, tetapi kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka jawatankuasa itu akan diketuai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala wakil-wakil pembangkang pula akan diputuskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.