Nik Aziz Seru Anak Kelantan Pulang Mengundi PRU 13

PETALING JAYA 31 JULAI: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata atas dasar tanggungjawab untuk mengekalkan kerajaan Islam, seluruh anak jati negeri itu yang kini berada di perantauan diseru untuk pulang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, rakyat negeri itu perlu pulang mengundi walau di mana mereka berada dan dengan apa cara sekalipun.

"Kalau ada duit naik kapal terbang, kalau tidak naik kereta, kalau tak dapat juga naik bas.

"Saya tak boleh jamin nak bayar duit, kena tanya bendahari la, kalau ada kita bagi," katanya di hadapan kira-kira 2,000 anak-anak Kelantan yang hadir.

Hadir sama pada majlis perasmian itu kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Ahli-ahli parlimen dan Adun-adun Kelantan.

Selain mereka, wakil kerajaan negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari yang juga Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan negeri turut bersama.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Kelantan di perantauan ekoran kepulangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Kepulangan mereka itu jelasnya telah membantu kemenangan PAS untuk terus memerintah negeri itu.

Mengimbau kembali sejarah empat tahun lalu, beliau berkata kedudukan PAS di Kelantan agak genting sebelum PRU 2008 apabila hanya berkelebihan satu kerusi berbanding BN iaitu 23 PAS dan 22 BN.

Bagaimanapun, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU 2008 itu telah menyebabkan PAS kembali memperteguh kedudukan dengan mendapat 38 kerusi.

Sehubungan itu, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU akan datang sangat-sangat diharapkan.

Dalam pada itu,Nik Aziz sekali lagi menegaskan bahawa beliau menolak hasrat kerajaan pusat untuk menggunakan sistem biometrik pada PRU ke-13 akan datang.

Menurutnya, sistem itu bukan sahaja diragui banyak pihak malah terdedah dengan manipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

"Umno guna biometrik bagi orang luar (dapat kerakyatan) boleh mengundi. Orang Bangladesh pun boleh mengundi nanti.

"Ini bukti Umno yakin orang Melayu dah tolak dia. Kalau PM (perdana menteri) menang pilihan raya pun nanti, kita kata ini PM Bangladesh," katanya disambut ketawa hadirin.

Sistem biometrik yang digunapakai kepada warga asing juga tegasnya boleh mengancam rakyat negara ini dari sudut kerjaya mereka.

Ini kerana, kebanyakan majikan tentunya akan mengambil orang asing bekerja kerana gaji mereka lebih murah.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula cadangan itu ataupun kembali kepada tuntutan asal Bersih 2.0 iaitu menggunakan dakwat kekal bagi menghalang penipuan undi berganda dan undi hantu.

Sementara itu, Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri.

Kami Bebas Kerana Sokongan Rakyat, Kata Dr Jeyakumar




IPOH 30 JULAI : Kesemua enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan semalam selepas ditahan tanpa bicara mengikut Ordinan Darurat (EO) selama 28 hari, percaya bahawa kuasa rakyat terus-menerus mengenakan tekanan terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) adalah faktor utama yang membawa kepada pembebasan mereka.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar, Naib Presiden PSM M Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Ketua Pemuda R Saratbabu dan Setiausaha Cawangan Sungai Siput, A Letchumanan.
Malah Ahli Parlimen Sg Siput Dr Jeyakumar berkata, beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya.
"Kalau tiada kuasa rakyat, kami tak akan keluar. Terima kasih semua,”katanya selepas beberapa jam dibebaskan semalam.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya meneruskan perjuangan untuk menghapuskan Ordinan Darurat.

"Kita kena baik pulih polis, oleh itu kita kena tukar pemerintah. Kita mahu polis yang betul-betul tangkap penjenayah, kalau polis tangkap orang yang tak salah lepas itu bohong rakyat...apa guna jadi polis? soalnya.

"Kita kena pulih sistem kehakiman yang semakin terhakis, kerana agensi itu perlu seimbang dalam melaksanakan undang-undang, tetapi sebaliknya pula yang berlaku," ujarnya.

Jelasnya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM serta akan berjuang demi menuntut keadilan terhadap mangsa tahanan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Dr Jeyakumar lagi, pembebasan mereka kali ini adalah bukti jelas bahawa rakyat Malaysia hari ini sudah berani bangkit menentang kezaliman pemerintahan Umno-Barisan Nasional(BN) yang selama ini hanya bertindak untuk memperbodohkan rakyat.
Tambah Dr Jeyakumar lagi, penahananya enam aktivis PSM kali ini perlu dijadikan ikhtibar oleh semua rakyat Malaysia agar hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan perlu dihormati kerajaan pimpinan Najib supaya tidak sekali-kali cuba untuk merampas hak tersebut.
Sejak jam 7.45 malam, Pusat Perkhidmatan PSM di Sungai Siput dipenuhi kira-kira 100 orang yang menunggu enam pimpinan PSM atau EO6 yang baru dibebaskan dari tahanan sekitar jam 5.30 petang semalam.

Mereka dibebaskan di balai polis Jinjang dan dijadual ke KLSCAH yang mulanya dijadual sebagai lokasi program nyalaan lilin sebagai desakan kepada pimpinan Datuk Seri Najib Razak supaya membebaskan mereka.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, berikutan pembebasan itu, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Keenam-enam aktivis PSM itu ditahan dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung di ibu negara pada 9 Julai lepas.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Pembebasan PSM6 : Tidak Mampu Pulihkan Imej Najib




SHAH ALAM 30 JULAI : Ketua Parlimen Nasional DAP Lim Kit Siang mengingatkan Najib Razak bahawa kredibiliti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kini terjejas teruk berikutan kegagalan pentadbiranya menangani beberapa isu berhubung Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) termasuk penahanan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

Malah katanya, pembebasan keenam-enam mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar tidak akan mampu mengubah persepsi rakyat terhadap pentadbiran Najib ke arah yang lebih positif.

"Ia kegagalan terbesar kepimpinan (Najib) sebagai Perdana Menteri hingga menyebabkan kredibiliti beliau hancur. Ini menyebabkan kenyataan beliau mengenai pembebasan PSM 6 di bawah Ordinan Darurat berlaku menurut undang-undang diperlekeh orang ramai.

"Najib salah, apabila memikirkan dengan pembebasan PSM 6 semalam akan dapat memulihkan kredibilitinya," kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Najib menyatakan bahawa pembebasan keenam-enam ahli PSM mengikut undang-undang dan tindakan Polis itu mengikut 'pemerhatian mereka'.

Enam ahli PSM yang dibebaskan lewat petang semalam selepas ditahan tanpa bicara mengikut Ordinan Darurat (EO) selama 28 hari.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar; Naib Presiden PSM M Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Ketua Pemuda R Saratbabu dan Setiausaha Cawangan Sungai Siput, A Letchumanan.

Bagaimanapun, Kit Siang mencadangkan kepada Najib agar mengambil empat langkah untuk memulihkan imej beliau yang sudah tercalar.

Empat langkah itu ialah mengarahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammudin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar meminta maaf secara terbuka kepada enam ahli PSM terbabit, menarik baik EO dan semua undang-undang tahanan tanpa bicara dan zalim, mengangkat pengharaman Bersih 2.0, dan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja berkenaan Pilihan Raya bebas dan adil.

"Hanya bila Najib bersedia menyelesaikan empat perkara 'asas' ini dia boleh berhadap untuk memulihkan kredibilitinya yang tercalar dalam masa lima minggu ini kerana kegagalan menangani Himpunan Bersih 2.0 dan penahanan PSM 6 itu," kata Lim