WAN AZIZAH BOLEH SAH MENJADI MB MELALUI FASAL 53(2) (a)

Dari : Greenboc

 

Peluang Wan Azizah Sebagai Menteri Besar Masih Cerah


Muktamad, jawatan MB Selangor milik PKR - Mustafa

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Justeru, katanya PAS tidak akan menghantar nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Kita tidak akan calonkan Adun PAS untuk jawatan itu kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini, ini adalah muktamad," ujarnya ketika dihubungi pagi ini.

Malam tadi, beliau mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan PAS negeri itu yang turut disertai Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dan setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Menurutnya, mesyuarat itu tidak menyentuh mengenai isu Menteri Besar Selangor sebaliknya beliau hanya menjelaskan kronologi kemelut jawatan menteri besar kepada ahli PAS negeri itu.

PAS, katanya tetap dengan pendirian akan mempersembahkan tidak kurang daripada dua nama Adun PKR kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon menteri besar yang baharu.

"Jika ada laporan yang sebut saya kata sekurang-kurangnya tiga nama, itu tak betul," jelasnya.

Beliau berkata, PAS akan menghantar senarai nama itu kepada Istana Selangor sebelum 3 September ini.

Semalam, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar sebelum 3 September.

Surat itu dialamatkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan salinan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mahukan calon yang dinamakan itu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Baginda menitahkan supaya PAS, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan. - HARAKAHDAILY


PAS tetap mahu kemuka dua nama

PAS tidak mengendahkan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tetap bertegas bahawa parti itu akan mengemukakan dua nama kepada istana Selangor untuk jawatan menteri besar.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata parti Islam itu akan mematuhi titah pemerintah.

"Kita tidak boleh dilihat sebagai memaksa istana (dengan mengemukakan satu nama)," katanya.

Tambahan pula, katanya, kesediaan PAS mencalonkan Wan Azizah untuk jawatan tersebut, boleh dilihat sebagai tanda penghormatan kepada PKR.

Petang ini, Anwar merayu kepada PAS supaya berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos untuk hanya mencadangkan Wan Azizah untuk jawatan itu.

Pada hari Selasa, baginda sultan meminta Pakatan mengemukakan "dua atau lebih nama", dengan tarikh akhir untuk berbuat demikian, ditetapkan para hari Rabu depan.

Bagaimanapun, PKR dan DAP, dengan memetik konvensyen, menyatakan bahawa hanya nama Wan Azizah yang akan dikemukakan.
-mk



PKR: PAS tak kisah pun 'paksa' sultan sebelum ini

PKR enolak hujah yang dikemukakan oleh PAS berhubung keputusan parti Islam itu untuk mengemukakan dua nama kepada istana bagi jawatan menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata selepas pilihan raya umum lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bermasalah untuk hanya mengemukakan satu nama, walaupun sultan meminta empat nama.

PAS Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali berhujah jika tidak mengemukakan lebih daripada satu nama seperti yang dititahkan baginda sultan, ia boleh ditafsirkan sebagai "memaksa" istana.

Mustafa juga menjelaskan bahawa keadaannya berbeza pada masa lalu kerana isu itu tidak diketahui umum seperti yang berlaku sekarang.

Mustafa berkata demikian dalam reaksinya terhadap rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya PAS berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 17 Ogos untuk hanya mencalonkan Wan Azizah.
-mk


 

Sepatutnya kena jengah dulu Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.


Fasal 53(2)(a) memperuntukkan bahawa Sultan perlulah melantik seorang ahli Dewan yang pada hematnya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

Menurut pandangan seorang peguam, apa saja budibicara Tuanku Sultan untuk melantik seorang Menteri Besar tidak boleh melanggar Fasal 53(2)(a) kerana seseorang Menteri Besar mesti mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

Cuma sekarang ini PR berpecah. PKR & DAP hantar 1 nama, PAS hantar banyak nama. Dalam keadaaan apa pun, "nama" itu perlulah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan. Yang jelas sekarang ini, yang dah dapat sokongan majoriti ahli dewan ialah 1 nama saja iaitu.... (anda tahu sendiri).

Yang penting majoriti ahli dewan menyokongnya. Sekalipun PAS ada menghantar nama orang lain sebagai MB Selangor selain Wan Azizah, ia tetap dari PKR. Dan ADUN-ADUN PKR seperti Azmin dan nama ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad misalnya, namun kedua-dua ADUN berkenaan telah terikat dengan Akuan Bersumpah untuk menyokong Presiden mereka, Dr. Wan Azizah sebagai MB. Soal samada Sultan Selangor berkenan atau tidak terhadap nama berkenaan tidak timbul.

Soal PAS tolak wanita sebagai MB pun tidak benar. Jika benar, PAS tak lansung calonkan nama Wan Azizah sebagai MB.

Desas-desus menyatakan Sultan Sulangor tidak berkenan dengan Wan Azizah sebagai MB itu juga tidak benar. Ia hanya propaganda pihak tertentu. TS Khalid Ibrahim sendiri pernah menyatakan bahawa Istana belum menolak pencalonan Wan Azizah. Cuba lihat video ini:




Kerjasama dengan Azmin, Umno: PAS letih berjuang?

Kerjasama dengan Azmin, Umno: PAS letih berjuang?

Oleh: AMIRULMUKMININ


Seandainya tepat laporan The Malaysian Insider bahawa Presiden PAS Hadi Awang berkeras ingin mencadangkan nama Azmin Ali sebagai MB Selangor yang baharu pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS 25 Ogos lalu, maka PAS telah menghidapi sindrom keletihan.

Sesetengah pemimpin tertinggi PAS tidak lagi bernafsu melawan Umno BN sebaliknya bagi mereka bekerjasama lebih baik.
Bagaimanapun, keletihan itu tetap juga sukar diterjemahkan oleh Hadi, Mustafa Ali dan sebilangan strategis PAS menjadi realiti kerajaan yang boleh diterima.

Masakan tidak, PAS mencadangkan Azmin, Khalid bersama Umno sebagai paksi baharu memerintah Selangor. Pemimpin PAS sepatutnya lebih cermat dalam menyusun strategi. Khalid meletak jawatan kerana merajuk PAS menarik balik sokongan kepada beliau dan mengekalkan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat pada 17 Ogos lalu.

Tiba-tiba PAS ingin pula melibatkan Khalid dalam kerajaan baharu dan Azmin sebagai MB. PAS mesti maklum persengketaan peribadi Khalid dan Azmin dalam PKR terlebih dahulu sebelum mengusulkan pakatan bersama mereka.

Jika PAS mahu strateginya diterima maka PAS perlu ada kebijaksanaan. Dan PAS kelihatan tidak bijaksana apabila sebelah kaki masih dalam PR namun sebelah kaki pula bersama Umno.

Hal itu menyebabkan golongan profesional yang lebih berpaksi kepada integriti tidak lagi mempercayai parti berkenaan. Sekiranya PAS menganggap Umno BN sebagai musuh maka mereka perlu bertindak menentang BN, bukan berkawan.

Memang terdapat garis keras dalam PAS seperti Dr Zuhdi  yang mempromosi kerjasama politik dengan BN. Namun itulah punca PAS diperlekeh oleh kedua-dua belah pihak BN dan PR. BN melihat PAS mudah dibeli. Ahli politik PAS, terutama ulama mudah merajuk dengan PKR dan DAP dan mereka akan menunjuk kekuatan bertindak sebagai kuasa penentu serta sanggup bergabung dengan BN.

PAS di mata BN tidak sama dengan sekutu sekular seperti MCA, MIC dan parti-parti di Malaysia Timur. PAS dilihat boleh dijadikan kuda tunggangan untuk memastikan orang Melayu bersatu menentang DAP.

Jika PAS tidak percaya, mereka boleh bertanya kepada pemimpin Hindraf Waythamoorthy yang  mengikat perjanjian dengan BN sebelum pilihan raya ke 13. Enam bulan selepas pilihan raya, tiada apa pun yang dilakukan BN bagi meningkatkan kebajikan kaum India.

Waytha marajuk dan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kini Waytha kembali kepada perjuangan Hindraf yang asal.

Bagi PR pula, perangai PAS yang tidak konsisten membuat mereka kurang yakin dengan keikhlasan parti itu untuk terus berjuang bersama pembangkang.

PAS dalam dilema hari ini, sama ada meneruskan langkah politik yang kurang cermat atau kembali menunjukkan kesetiaan kepada PR.

Ulama PAS mungkin berkata parti itu telah cukup kuat untuk bergerak seorang diri. Mereka boleh memenangi pilihan raya melalui sokongan kelab penyokong Cina dan India. Mana-mana pemenang pilihan raya ke 14 kelak yang ingin membentuk kerajaan akan menawarkan PAS peluang tertentu bagi parti itu ikut serta dalam kerajaan.

PAS bermimpi situasi politik Malaysia akan sama dengan Eropah atau sekurang-kurangnya India selepas ini. Dengan itu PAS akan mampu meluluskan undang-undang hudud jika BN ingin bersekutu dengan mereka. Malah jika PR sekali pun, syarat PAS ialah hudud.

Tetapi sabar, jangan gopoh! Realiti politik Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain. Di negara ini kaum lebih diutamakan berbanding Islam. Rakyat masih tidak percaya sebuah parti dengan keanggotaan berbilang kaum mampu menyelesaikan masalah pelbagai kaum.

Mereka tetap juga mengutamakan kaum yang dominan dalam sesuatu parti. Sekurang-kurangnya untuk 20 tahun lagi kaum akan menjadi keutamaan bagi pengundi memilih parti. Dengan keadaan yang mengutamakan kaum, PAS sebagai parti agama, tanpa persepakatan dengan PR atau BN akan menemui jalan sukar.

Malah Kelantan juga tidak mungkin boleh dipertahankan jika PAS bersendirian dan kerusinya ditandingi juga oleh parti komponen PR, iaitu PKR dan DAP. Umno akan mengambil peluang dan PAS akan kehilangan negeri itu.

PAS juga tidak boleh lupa separuh ahli parti itu menjadi anggota selepas 1998. Kemasukan pada era Reformasi mesti dihitung sebahagiannya adalah penyokong Anwar tetapi ingin berpolitik dalam lingkungan agama.

Apabila PAS mula membuat onar ingin bekerjasama dengan Umno, bukan sedikit ahlinya yang berkata akan meninggalkan parti itu sebaik sahaja kerjasama terjalin. Juga bukan sedikit penyokong atas pagar PAS berkata tidak lagi akan mengundi PAS jika parti itu terus bersikap lalang.

Langkah yang dilakukan para ulama dan pemimpin aliran lama dalam PAS adalah perjalanan mengundur ke belakang. Maka sudah tiba masanya golongan yang lebih muda menguasai parti itu.

Daripada membiarkan PAS terus kembali ke era Asri Muda dan berpecah belah maka lebih baik pemimpin yang boleh diterima dan tegas dalam perjuangan mengambil tempat. Muktamar pada bulan depan di Johor sepatutnya dijadikan permulaan untuk mendesak kepimpinan gaya lama meletak jawatan dan diisi dengan pemimpin yang lebih berwibawa.

Lagi pun pemimpin seperti Mustafa Ali, Hadi Awang dan seangkatan dengannya telah terlalu lama ditampuk kuasa. Dr Mahathir pun mempunyai tarikh luput dan bersara. Pemimpin baharu seperti Tuan Ibrahim, Husam Musa, Dr Mujahid Yusof, Khalid Samad dan banyak lagi wajar diberi peluang memimpin parti itu agar lebih dinamik dan diterima pengundi pada PRU 14 kelak.

Jika PAS mengekalkan kepimpinan yang telah letih berjuang ini, sama ada parti itu bersama PR atau menjadi bebas maka rakyat tetap akan letih untuk mengundi mereka.