Mansuhkan ISA, kelak mansuhkan POTA?

Mansuhkan ISA, kelak mansuhkan POTA?
Mansuhkan ISA, kelak mansuhkan POTA?

Mansuhkan ISA, kelak mansuhkan POTA?

Saya amat kecewa dan terkejut apabila bangun pada pagi 7 April 2015 dan mendapati bahawa Akta Pencegahan Keganasan atau Prevention of Terrorisme Act (POTA) telah diluluskan di Parlimen setelah dibahaskan dan diundi.

Walaupun saya sudah menjangka rang undang-undang tersebut bakal diluluskan dengan ‘rubber stamp’ oleh ahli Dewan Rakyat daripada BN.

Namun saya berharap ia tidak akan diluluskan begitu cepat dan tanpa pindaan walaupun telah ditentang bermati-matian oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Ini bermakna igauan ngeri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan pada 2012 datang kembali!
Ya, bukan setakat mimpi tetapi igauan buruk kerana selama berpuluh-puluh tahun sejak 1960 ISA digubal, pelbagai penganiayaan, penyeksaan, salah guna kuasa, pencabulan kemanusiaan dan keadilan telah berlaku.

Ini telah dicatatkan sebagai fakta dalam surat akuan bersumpah (afidavit), memorandum kepada Suhakam, memorandum kepada kerajaan dan pembangkang, memorandum kepada menteri, memorandum kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti, laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kes saman oleh bekas tahanan dan buku-buku yang ditulis sendiri oleh bekas tahanan.\

Apakah segala usaha demikian perlu dikembalikan untuk memansuhkan POTA pula? Apakah rakyat terpaksa bangkit semula berjuang untuk memansuhkan POTA?
Semasa memimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), saya melihat sendiri penderitaan dan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh tahanan dan ahli keluarga.

Mereka terpinga-pinga apabila suami atau ayah mereka ditahan tanpa sebab melainkan dikatakan telah mengancam keselamatan negara. Mereka tambah hiba apabila tidak diberitahu di mana suami atau ayah mereka ditahan.

Dan hancur harapan mereka apabila mendengarkan suami atau ayah mereka ditahan selama dua tahun dan boleh dilanjutkan dua tahun secara berterusan tanpa boleh membela diri atau menyemak keputusan menteri.

Dangkal, tak berprinsip

Ungkapan seperti “tak perlu takut pada POTA, kalau tak buat salah” oleh menteri amatlah dangkal dan tidak berprinsip. Ia serupalah juga seperti berkata kita tak perlu takut pada perompak yang pegang pistol ke arah kita, kalau kita tidak bersalah!
Pada masa yang sama, untuk mewajarkan sokongan kepada POTA kerana ia demi kepentingan rakyat dan negara adalah rumusan mudah yang tidak berpegang kepada fakta, sejarah dan pengajaran lampau.

ISA dahulu juga dikatakan wujud untuk melindungi rakyat dan negara daripada ancaman keselamatan tetapi sejarah telah membuktikan ramai ahli politik, aktivis dan rakyat biasa ditahan, diseksa, disoal siasat tanpa apa-apa kaitan dengan keselamatan negara, sebaliknya kerana motif politik.

Benar, POTA tidak akan dikenakan kepada ahli politik kerana kepercayaan atau ideologi politik mereka tetapi pokoknya pelanggaran keadilan dan hak asasi manusia tidak boleh berlaku kepada sesiapa, tidak kira sama ada ahli politik, kakitangan kerajaan, pihak keselamatan, peniaga, penoreh, petani, cikgu, mahasiswa atau rakyat biasa!

Definisi keselamatan negara dalam ISA terlalu kabur seperti mana juga definisi ‘terlibat’ dan ‘menyokong’ dalam POTA. Apakah usaha-usaha membantu kebajikan keluarga tahanan POTA akan dianggap sebagai ‘menyokong’?

Jaminan menteri dalam negeri bahawa POTA akan melindungi hak asasi manusia tahanan dan bukan menggantikan ISA bagi saya merupakan satu jaminan yang terhormat tetapi sangat bercanggah dan mustahil ditunaikan.

Bagaimanakah hak asasi manusia boleh dilindungi apabila seseorang itu tiada hak perbicaraan atau pembelaan di bawah POTA? Bukankah itu bercanggah dengan hak asasi manusia?
Hati-hati dalam membuat jaminan terutama apabila kita bergantung kepada kumpulan lain yang mungkin ada kefahaman lain atau tidak memahami erti hak asasi manusia.

Perkara paling asas dalam hak asasi manusia dan keadilan ialah hak untuk tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah atau innocent until proven guilty.

Nasi jadi bubur

Dengan POTA, anda didapati bersalah tanpa penghakiman mahkamah dan ditahan selama 59 hari serta boleh dilanjutkan tahanan selama dua tahun dengan arahan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan, bukan sebuah mahkamah tetapi sebuah lembaga yang dipilih oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, keputusan Lembaga Pencegahan Keganasan tersebut tidak boleh dicabar oleh mahkamah. Kalau ISA dahulunya, keputusan ditangan menteri dalam negeri tetapi sekarang keputusan di tangan Lembaga. Namanya berbeza tetapi kuasa tetap sama dan tidak boleh dicabar.

Tambah buruk, peruntukan undang-undang habeas corpus juga tidak dibenarkan di bawah POTA iaitu peruntukan mencabar undang-undang atas dasar teknikal. Nampaknya POTA tidak menggantikan ISA tetapi POTA lebih kebal daripada ISA!
Justeru saya ingin soal perdana menteri dan menteri dalam negeri, di manakah agenda transformasi politik yang dilaungkan sebelum ini dengan pemansuhan ISA, akta kediaman terhad dan Ordinan Darurat apabila POTA 2015 digubal dan Prevention of Crime Act (POCA) dipinda dan diketatkan?

Bukankah kita sudah ada SOSMA (yang juga bermasalah) dan Kanun Keseksaan lain yang boleh menangani jenayah keganasan?
Saya memahami soal keselamatan dan keganasan memerlukan pencegahan tetapi ciri-ciri dan prinsip utama seperti keadilan, kebebasan dan keehsanan tidak boleh digadaikan.

ISA bercanggah dengan semua ciri dan prinsip ini termasuk tuntutan agama dan ketamadunan. Begitu juga POTA. Berkali-kali dan bertahun-tahun GMI dan rakyat menegaskan perkara ini sehinggalah ISA dimansuhkan.

Cuma apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. POTA diluluskan oleh Parlimen yang diwakili oleh majoritinya wakil rakyat BN pada 7 April 2015.

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan seluruh wakil rakyat BN wajib bertanggungjawab jika berlaku kezaliman, ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia, salah guna kuasa dan pelanggaran hak kemanusiaan dengan wujudnya POTA, POCA, SOSMA dan Akta Hasutan (dengan pindaan yang bakal diluluskan).

SYED IBRAHIM SYED NOH ketua penerangan PKR dan mantan pengrusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Tiada ikat jamin, Akta Hasutan seperti kesalahan membunuh?

Tiada ikat jamin, Akta Hasutan seperti kesalahan membunuh?
Tiada ikat jamin, Akta Hasutan seperti kesalahan membunuh?

Tiada ikat jamin, Akta Hasutan seperti kesalahan membunuh?

Tindakan Putrajaya meminda Akta Hasutan 1948 dianggap seperti “membunuh” dengan wujudnya peruntukan menghapuskan kuasa ikat jamin bagi mana-mana individu yang dituduh, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan berkata Putrajaya tidak seharusnya meminda akta berkenaan sehingga ke tahap sedemikian dengan beranggapan semua dituduh mempunyai potensi ‘flight risk’.

“Apa anda fikir apabila jaminan dihapuskan, ia seperti kes bunuh, pesalah Akta Hasutan tidak boleh dianggap semuanya ‘flight risk’ jadi bila melaksanakan pindaan tersebut, ia serupa anda membunuh,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Putrajaya hari ini membentangkan pindaan Akta Hasutan 1948 dalam usaha mengukuhkan undang-undang berkenaan, iaitu meliputi peruntukan menyatakan ikat jamin tidak dibenarkan untuk mereka yang didakwa mengikut akta tersebut.

Cadangan pindaan akta berkenaan akan memasukkan dua seksyen baru – 5A dan 5B – yang mana Seksyen 5A menyatakan, mana-mana individu ditahan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dan jika terdapat pengesahan bertulis, jika tidak melibatkan kepentingan awam untuk memberikan ikat jamin kepada tertuduh, ikat jamin tidak akan diberikan.

Seksyen lain pula menyatakan mahkamah berkuasa untuk menghalang mereka yang ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan dibebaskan dengan jaminan, daripada meninggalkan negara dengan mengarahkan mereka menyerahkan dokumen perjalanan untuk suatu tempoh masa.

Beliau berkata kerajaan meminda enakmen Akta Hasutan mungkin kerana beranggapan untuk mencegah daripada individu dituduh tidak lari di luar negara seperti yang terjadi, kepada blogger seks Alvin Tan lari ke Amerika Syarikat dan Ali Abd Jalil yang mendapat perlindungan suaka di Sweden.

“Kita tidak boleh samakan setiap kes seperti Alvin dan Ali, kita lihat bagaimana cara menangani dan menguruskan dengan tindakan berlebihan (meminda Akta Hasutan) bukan jawapan,” katanya.
Jazlan berkata ia juga turut termasuk memperluaskan Akta Hasutan kepada pengguna laman sosial dengan mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa ingin menjustifikasi tuduhan tersebut.

“Apabila terlalu disekat kita bimbang hasilnya akan bertentangan iaitu ia tidak menimbulkan ketakutan, tetapi membangkitkan semangat lawan.

“Bila diperkuasa media sosial bagaimana pihak berkuasa ingin menghukum pengguna di luar negara atau mereka menggunakan akuan palsu,” katanya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pindaan-enakmen-akta-hasutan-seperti-membunuh-kata-pengerusi-pac#sthash.yQTEyHtn.dpuf


Konspirator luar guna facebook lagakan pemimpin PAS – Mujahid Yusof

Konspirator luar guna facebook lagakan pemimpin PAS – Mujahid Yusof
Konspirator luar guna facebook lagakan pemimpin PAS – Mujahid Yusof

Konspirator luar guna facebook lagakan pemimpin PAS – Mujahid Yusof

Dua bulan lagi menuju Muktamar PAS ke-61 yang dianggap paling panas, antara punca PAS berpecah kini mula disedari dengan terdedahnya satu persatu hala tuju laman-laman Facebook ‘hantu’ tanpa nama yang menyerang dan melaga-lagakan pimpinan PAS.

“Saya yakin, musuh PAS adalah di sebalik mereka ini,” kata AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, salah seorang yang menjadi mangsa serangan laman Facebook hantu ini.

Mula-mulanya El-Haraki, lepas itu Tuc Tok Usin Ceroi dan kini Keli Laut. Kesemuanya laman Facebook yang tidak diketahui siapa pemiliknya, tetapi sangat aktif menyerang dan melaga-lagakan pimpinan PAS dari Pusat, negeri dan kini ke peringkat kawasan menjelang muktamar PAS ke-61 Jun ini.

Akaun Facebook Keli Laut membuat posting minggu lalu kononnya berlaku kekecohan menjelang mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS kawasan Selayang.

Modus operandi laman ini sama saja seperti El-Haraki dan Tuc Tok Usin Ceroi, iaitu akaun tanpa dikenali tuannya dan menyerang sebahagian pemimpin PAS yang tidak disukai mereka.
Laman ini menyerang dengan jelas Ketua Pemuda PAS Selayang Fauzan Mazlan serta adik beradiknya yang aktif dalam PAS di samping menyerang Yang di-Pertua PAS Selayang Zaidy Talib yang juga exco kerajaan negeri Selangor.
“AGM Dewan Pemuda PAS Selayang:: Panas panas panas!!!!! Menggunakan YB Zaidi untuk mempengaruhi Pengerusi JK Pemilihan negeri untuk membolehkan orang tak layak bertanding untuk bertanding,” tulis Keli Laut dalam laman Facebooknya.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 posting dibuat Keli Laut berhubung apa yang berlaku dalam PAS Selayang.

Sebelum ini, El-Haraki menyerang Mujahid dan lain-lain rakannya, termasuk Datuk Husam Musa, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad dan lain-lain lagi dengan berselindung sebagai penyokong kepimpinan ulama.

Tuc Tok Usin Ceroi pula melabelkan kesemua pemimpin ini sebagai ‘jebon’ dengan satu alasan sahaja, iaitu kononnya mereka tidak bersama menyokong kepimpinan ulama yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Yang terkini Mohamad Sabu, timbalan presiden dan Datuk Mustafa Ali, setiausaha agung PAS menjadi sasaran Tuc Tok Usin Ceroi.

Bagi Mujahid, kalau El Haraki berperanan di peringkat nasional, Tok Usin di peringkat negeri, kini Keli Laut bermain di peringkat kawasan yang menjelaskan siapakah sebenarnya orang di belakang laman-laman hantu ini, kata Mujahid kepada The Malaysian Insider.

“Bagi saya, ini kerja musuh. Perpecahan dalam PAS sekarang bukan semata-mata kerana perbezaan pendapat termasuk isu hudud, kerana kita sudah lama berbeza pendapat dalam banyak isu tetapi tidak pernah berpecah.

“Tetapi suasana kemusnahan ini pasti ada tangan-tangan lain yang ambil kesempatan,” kata Mujahid mengulas isu ini.

PAS mengalami krisis yang paling teruk dalam sejarahnya hatta dikatakan lebih teruk dari 1982 apabila presidennya Tan Sri Asri Muda terpaksa mengundurkan diri.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberi respon secara bertulis kepada pemilik akaun Facebook Tuc Tok Usin Ceroi dan meminta orang di sebalik akaun ini untuk datang ke depan jika dia benar-benar serius dalam dakwaannya terhadap Mohamad Sabu.

“Jawatankuasa Siasatan mengalu-alukan kesudian Tuc Usin Ceroi untuk tampil memberi kenyataan aduan terhadap audio klip yang disebarkan di Facebooknya dan tuduhan terhadap Timbalan Presiden PAS.
“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa menunggu kedatangan Tuc Usin Ceroi ke Pejabat Agong PAS secepat mungkin.

“Beliau boleh menghubungi saya secara terus atau Khairul Faizi, selaku Penolong Setiausaha Agung dan setiausaha jawatankuasa siasatan untuk menentukan masa beliau yang sesuai untuk menghadirkan diri,” kata Mustafa dalam kenyataan yang ditujukan kepada Tuc Usin Ceroi itu.

Sebelum ini, Tok Usin mendedahkan satu rakaman audio kononnya ia suara Mohamad Sabu yang sedang merancang strategi untuk menjatuhkan Hadi.

Namun jawatankuasa siasatan yang diketuai Mustafa dikatakan tidak mahu membuat sebarang siasatan mengenainya melainkan ada aduan rasmi atau pemilik akaun laman Facebook itu sedia ke hadapan dengan berjumpa beliau atau penolongnya, Khairul Faizi.

Melihat kepada semua senario ini, Mujahid berpendapat mangsa sebenar permainan laman-laman Facebook hantu ini adalah ahli PAS yang tidak tahu apa-apa tetapi terpengaruh dengannya kerana mereka ini berselindung di belakang pemimpin PAS dan kepimpinan ulama.

“Yang menjadi mangsa adalah ahli PAS yang jujur dan ikhlas kerana mereka pertaruhkan ulama termasuk nama presiden sendiri.

“Ia cukup bahaya dan mereka menjadi mangsa kepada ‘keyboard warior’ ini sedangkan orang di belakang mereka sebenarnya pelaksana kepada tuan-tuan mereka yang mahukan PAS berpecah,” kata Mujahid.

PasMa sedia jadi parti politik jika PAS keluar PR



PasMa sedia jadi parti politik jika PAS keluar PR

PasMa sedia jadi parti politik jika PAS keluar PR

NGO pro-Pakatan Rakyat, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) sedang membuat kajian berhubung menubuhkan satu parti baru sekiranya PAS keluar daripada gabungan pembangkang.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, parti yang mungkin akan ditubuhkan itu lebih cenderung ke arah ‘parti Islam’ bagi mengisi kekosongan PAS dalam pakatan.

“Banyak desakan untuk kita jadi parti politik dalam keadaan sekarang ini, jadi saya buat keputusan untuk buat kajian.

“Tapi (menubuhkan parti) ini bergantung dengan Pakatan Rakyat, bukan kita akan berdiri sendiri.

“Dan kita akan jadi sebahagian daripada komponen Pakatan barulah wujud parti politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelasnya lagi, keputusan mewujudkan parti itu bagaimanapun bergantung dengan perkembangan hubungan Pakatan.

Berkemungkinan parti itu akan ditubuhkan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, jika perlu, tambah Phahrolrazi (atas).

PAS semalam terus membayangkan sesuatu apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu mampu berjuang bersendirian walaupun disingkir daripada Pakatan.

PAS berdepan dengan kontroversi dalam Pakatan apabila berkeras mahu melaksanakan hudud walaupun gagal mendapat kata sepakat rakan Pakatan.

DAP telah mengumumkan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam.