Komunis memaksa penjajah British berunding dengan Tunku

Komunis memaksa penjajah British berunding dengan Tunku


Sering kali nama Martin Luther King Jr. (1929 - 1968) diungkit, malah ayat-ayat dalam ucapan beliau yang bersejarah, "I have a dream" (Aku mempunyai satu impian), berulang-kali dipetik ketika memerangi politik perkauman sempit yang masih berleluasa dalam masyarakat pada kurun ke-21 ini. Nama beliau terpahat sebagai ikon dalam sejarah ketamadunan manusia menuntut kesamarataan antara kaum.

Sebaliknya, Malcom X (1925 - 1965), seorang lagi aktivis perjuangan hak kaum kulit hitam yang sezaman dengan Martin Luther King Jr., semakin terpadam dari sejarah. Malcom X adalah nama yang digelar dirinya oleh El-Hajj Malik El-Shabazz, seorang muslim - untuk menonjolkan bagaimana orang putih menghamba-abdikan kaum kulit hitam ketika itu, sehingga hilang nama keturunannya, diganti dengan "X" - simbol pembolehubah yang paling biasa digunakan dalam matematik.

Kedua-dua orang Martin Luther King Jr. dan Malcom X mengalami nasib yang sama, menerima peluru sebagai tanda noktah kepada riwayat hidup mereka. Bagaimanapun, "nasib" mereka selepas meninggal dunia - jauh berbeza. Martin Luther King Jr. diberi reputasi yang lebih tinggi dalam sejarah, berbanding dengan Malcom X. Layanan ini mungkin dibezakan mengikut pendekatan perjuangan kedua-dua mereka, di mana Martin Luther King Jr. menggunakan "cara aman", sementara Malcom X mengangguk kepada keganasan.

Sejarah bukan hakim muktamad, kerana manusia yang mencatat sejarah tidak bebas daripada prasangka dan prejudis dirinya. Sejarah hanya merakamkan kesudahan yang terpampang di depan mata, jarang sekali mengupas secara mendalam kebenaran yang rumit, berlapik-lapik, malah berliku-liku, apatah lagi apabila sejarah ditulis oleh mereka yang menang dan berkuasa.

Hanya mereka yang naif akan percaya bahawa orang putih "insaf" secara tiba-tiba, dan kemudian mengaku salah ke atas segala diskriminasi dan kezalimannya terhadap kaum kulit hitam. Dalam mana-mana pergelutan dan pergolakan yang melibatkan kuasa, sebarang kompromi hanya datang apabila wujudnya penentangan dan tekanan. Berdepan dengan penentangan dari kaum kulit hitam, orang putih Amerika Syarikat terpaksa memilih, antara pendekatan Martin Luther King Jr. dengan Malcom X..., dan sudah tentunya, mereka memilih Martin Luther, King Jr. yang lebih "lembut" berbanding dengan Malcom X yang "ganas".

Namun demikian, apakah orang putih akan berganjak langkah untuk memberi laluan kepada Martin Luther, King Jr. tanpa kemunculan Malcom X? Atau, seandainya Malcom X memilih pendekatan yang sama sebagaimana yang digunakan Martin Luther King Jr., di mana agaknya kedudukan tangga reputasinya dalam sejarah? Atau soalan yang lebih relevan mungkin berbunyi, apakah kaum kulit hitam akan berjaya dalam perjuangan hak mereka, atau dipecah-belahkan ketika itu?

Bukan maksud dan niat saya untuk mendukung politik dendam dan merestui pendekatan keganasan. Maksud saya, setiap manusia memainkan peranan yang berbeza untuk menggerakkan kemajuan sejarah ketamadunan. Sesungguhnya perwatakan atau peranan seseorang itu mungkin dipertikai seandainya dilihat menggunakan kaca mata zaman ini, namun kita perlu merenungi, apakah pilihan yang ada dalam konteks masyarakat ketika itu?

Persoalan yang sama, seandainya tiada perang gerila dalam hutan yang melibatkan Parti Komunis Malaya (PKM), apakah penjajah British sanggup berunding di atas meja bersama wakil UMNO, dan bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Malaya pada 31 Ogos 1957? Antara pasukan Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin yang bersenjata, dengan perikatan antara Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambanthan yang bermuka senyum, gandingan manakah yang akan dipilih oleh penjajah untuk "berunding"?

Sesungguhnya ia sesuatu yang senang difahami. Meskipun perjanjian ditandatangani dengan dakwat, namun kemerdekaan diperjuangkan dengan titisan darah. Begitu juga keadaannya sekarang, kalau tandatangan pada memorandum boleh membawa perubahan, siapa pula yang sanggup ditembak meriam air berkimia di jalan raya? Sebaliknya, tanpa mereka yang turun untuk melaungkan slogan dalam kepulan gas pemedih mata, tuntutan dalam memorandum hanya akan kekal sebagai dokumen bersejarah yang berdebu.

Perlu difahamkan bahawa dalam zaman perang, sama ada saya menembak, atau saya ditembak; sama ada saya membunuh, atau saya dibunuh. Kita tidak semestinya menyetujui kesemua ideologi yang didukung oleh mereka yang meletakkan nyawa mereka di hujung senapang. Namun kita perlu bersetuju bahawa kemerdekaan itu juga diperjuangkan dengan titisan darah anggota PKM, yang akhirnya memaksa penjajah British untuk berunding dengan Tunku Abdul Rahman.

Masing-masing memainkan peranan mereka dalam sejarah perjuangan kemerdekaan. Sumbangan Tunku dan perikatannya dipahat dalam sejarah, sementara tiada tempat untuk nama PKM dan rejimennya. Untuk sekian lama titisan peluh, air mata, dan darah mereka dilenyapkan; untuk sekian lama perjuangan mereka dinafikan, dicemuh dan dicaci dengan pelbagai tuduhan liar.

Namun, ingatlah bahawa mereka benar layak untuk mendabik dada dan menyanyikan "Negaraku, tanah tumpahnya darahku...". Jika tidak mengiktiraf pun, siapakah pula kita untuk memahat label "pengkhianat" ke atas anggota PKM yang pernah mendabik dada sebagai perisai untuk menghalang kemaraan peluru penjajah?

Dan yang paling jelik, orang yang isterinya memiliki cincin bernilai RM24 juta, tanpa segan silu sanggup berbuat demikian.

Persepsi: Mengintai Peluang PAS di Terengganu

Adik Mat Indera hilang?



Keadilandaily.

Adik bongsu Mat Indera, Johan Shah Indera

KUALA LUMPUR: Adik Mat Indera, Johan Shah Indera gagal dihubungi sejak isu Mat Indera dimainkan media arus perdana.

Bahkan,Yang Dipertua Pas kawasan Ayer Hitam, Husin Sujak memaklumkan rumah Johan di Yong Peng tidak berpenghuni sejak beberapa hari lalu.

“Kita tak tahulah ke mana beliau pergi. Mungkin kerana mahu elak dari liputan media,” kata Husin kepada Keadilandaily.com

Difahamkan polis datang ke rumah Johan sejurus selepas kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kaiat seperti dilaporkan media petang Isnin lalu.

Terdahulu, aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard bertemu Johan dalam program ‘Menjejak Mat Indera’ diiringi Husin Sujak, 3 September lalu.

Johan adalah ahli keluarga Mat Indera yang pertama muncul di media dengan liputan pertemuan dimuatkan di blog dan portal politik dan mendapat reaksi hangat.

Namun, laporan media arus perdana pada minggu berikutnya menyelar peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman melabelkan Mat Indera sebagai pengganas.

Sehingga petang ini, usaha untuk menghubungi Johan Shah Indera, 68, yang merupakan bekas kakitangan Majlis Daerah Yong Peng gagal.

Johan Shah Indera adalah anak bongsu dari 6 orang adik beradik, seibu sebapa dengan abangnya Muhammad Indera. Beliau pernah dibuang daerah ke Singapura bersama bapa, ibu tiri dan neneknya ke Singapura pada 1950 hingga 1954.

Dalam pada, itu abang tirinya, Bahrom Shah Indera ketika dihubungi Keadilandaily memberitahu, adiknya kini mungkin sedang ‘bersembunyi’.

Bahrom Shah adalah anak ketiga dari isteri kedua Indera dari empat orang adik beradik.

“Mungkin dia nak elak dari gangguan, kita tak tahu. Tapi saya yakin dia selamat dan akan pulang ke rumah,” kata Bahrom.

Bahrom sebelum ini tampil pada sidang media di ibu pejabat Pas pusat menuntut kerajaan membersihkan nama abangnya.

Beliau turut menyeru sejarawan untuk mengkaji semula sejarah dan peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

SAMM Terbitkan 'Fitnah' Untuk Ingatkan Rakyat Tentang Perjuangan Sebenar

SHAH ALAM 10 SEPT : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bakal menampilkan buku kedua terbitannya, bertajuk 'Fitnah' yang menerangkan secara ringkas, padat dan mudah mengenai 'Fitnah 1' yang bermula dengan buku 50 Dalil, 'Fitnah 2' dan isu video seks yang menghiasi arena politik negara mulai 12 september ini.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, penerbitan buku ini bertujuan mengingatkan masyarakat umum bagaimana bermulanya kisah bersatunya rakyat untuk menentang regim yang rakus dan zalim dalam mempertahankan kekuasaan yang dimiliki mereka.

Namun bagi yang baru sahaja mengikuti perkembangan politik negara, buku ini katanya harus dimiliki berdasarkan kandungannya yang padat namun ringkas serta mudah difahami.

"Harus diingatkan ia (perjuangan) bukan kerana susuk Anwar semata - mata, kes Anwar hanya penyatu untuk rakyat bangkit dan sedar mengenai kebobrokan negara dan perlunya reformasi demi kelansungan negara ini,"kata Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard.

Menurut Chegubard lagi, penerbitan buku ini juga memahamkan betapa pentingnya untuk rakyat bangkit membebaskan Jabatan Kehakiman, polis dan maruah negara dari terus dipandang sinis oleh dunia.

"Perbicaraan fitnah 1, fitnah 2 dan konspirasi video seks membuktikan bagaimana negara ditadbir dengan begitu rakus oleh pihak terdesak,"katanya.

"Bagi kita semua khususnya yang berminat menjadi 'penyampai' yang baik buku ini menyingkap semua peristiwa fitnah bermula dari buku 50 Dalil, fitnah 1, fitnah 2 dan terkini konspirasi video seks. Terdapat juga beberapa dokumen mahkamah yang mungkin belum anda temui. Juga perbagai fakta yang tidak disangka. Semuanya akan membantu anda menjadi penyampai yang padat, mudah dan ringkas,"ulasnya lagi.

Menurusi satu kiriman email, Chegubard memaklumkan buku setebal 260 muka surat ini menceritakan bagaimana perbicaraan fitnah 1, fitnah 2 dan konspirasi video seks melambangkan terdesaknya kerajaan pemerintah pada hari ini.

Mengulas lanjut mengenai terbitan 'Fitnah', Chegubard menjelaskan bahawa negara tidak harus mempersoalkan susuk tubuh Anwar semata-mata sebaliknya rakyat perlu bangkit dan sedar mengenai kebobrokan negara dan perlunya reformasi demi kelansungan negara ini.

SAMM yang bergerak menerusi gerakan anak muda 'non-formal structural' dengan menghimpunkan anak-anak muda Malaysia dari pelbagai latar belakang berharap kemunculan 'Fitnah' mampu mengubah landskap pemikiran rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam memperjuangkan keadilan dalam negara ini.

"Berjuang bersama Anwar tidak semestinya Anwaris, kita anak muda memilih untuk bersama Anwar Ibrahim untuk mengambil kesempatan ke atas beliau mempergunakan kesnya bagi menyatukan semua tenaga bagi melawan regim warisan penjajah demi masa depan tanahair,"katanya lagi.

Bagi yang ingin menempah awal buku ini melalui POS sila hantarkan wang POS RM 20 (RM15 harga buku,RM5 caj POS) tulis atas nama EDY NOOR REDUAN ke alamat C-16-02, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, 59200 K.Lumpur

MPN : Mat Sabu Berhak Beri Pendapat Tentang Sejarah Negara




PUTRAJAYA 9 SEPT : Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Zakri Abdul Hamid menyatakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapatnya berkaitan sejarah negara.

Namun, katanya adalah menjadi tanggungjawab badan-badan seperti MPN dan sejarawan untuk memberikan intepretasi yang tepat kepada masyarakat.

"Dalam negara demokrasi, itu hak beliau. Orang boleh menyuarakan apa-apa pandangan. Tapi samada pandangan itu betul atau tidak, itu tanggungjawab badan-badan seperti MPN untuk memberikan sumbangan," jelas Zakri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Menurut Zakri, pihaknya mengambil pendirian untuk bersikap neutral serta tidak mahu memberi respon politik terhadap kenyataan Mat Sabu itu.

"Kita ingin membetulkan fakta dan intepretasi yang tidak betul. Itu yang kita mahu buat. Respon kita bukan aspek politik," tambahnya.

 Mat Sabu didakwa memesongkan fakta sejarah dengan mengangkat Ahmad Indera atau Mat Indera yang menganggotai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dan bukan anggota polis yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong.

Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan yang dirinya cuba mengaitkan perjuangan Mat Indera dengan komunis seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 27 Ogos lalu.

Sementara itu bekas profesor di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam yang memberi respon terhadap penulisan buku 'Pengukir Nama Johor' (2004) berkata, Allahyarham Ismail Adnan hanya melontarkan pandangan tentang Mat Indera.

Malah Ramlah berkata Allahyarham tidak langsung menyebut anggota Rejimen ke 10 PKM itu sebagai pejuang kemerdekaan.

"Macam buku yang menjadi kontroversi, penulis itu Allahyarham Ismail cuma membuat persoalan. Dia tidak menulis ayat yang jelas bahawa Mat Indera itu seorang pejuang. Dia cuma melontarkan pandangan.

"Jadi itu adalah pandangan beliau. Itu bukan tanggungjawab pihak-pihak yang menerbitkan buku itu," katanya.

Ujarnya mungkin penulis memperolehi banyak maklumat sehingga mengakibatkan dirinya meragui dasar perjuangan Mat Indera.

Sehubungan dengan itu Ramlah berkata aspek akdemik di negara ini sentiasa menggalakkan penyelidikan dan percambahan minda untuk memperbaiki bahan ilmiah dari semasa ke semasa.

Kisah Mat Indera Terus Popularkan Mat Sabu

TAIPING 10 SEPT : Di sebalik kontroversi ucapan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor 21 Ogos lalu terus dikecam hebat oleh media kawalan Umno-Barisan Nasional, kelibat pemimpin PAS itu terus mendapat perhatian rakyat.

Buktinya, ceramah perdana anjuran Pakatan Rakyat malam tadi mendapat sambutan menggalakkan rakyat apabila ia membariskan Mohamad sebagai salah seorang tetamu.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu dalam ucapannya di hadapan kira-kira 6,000 hadirin berkata, hakikatnya apa yang dipaparkan oleh media arus perdana tidak menggambarkan hal yang sebenar.

Dalam ceramah berasingan, beliau turut memaklumkan akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia Isnin ini berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong.

Tempoh 24 jam yang diberikan kepada Utusan Malaysia telah tamat semalam.

"BN memperkudakan media arus perdana khususnya lidah Umno, Utusan Malaysia mengecam saya bertubi-tubi selama lebih 13 hari termasuk hari pertama Hari Raya Aidilfitri walaupun ajaran Islam menyuruh sifat maaf bermaafan sempena musim Bulan Syawal,"kata Mat Sabu.

Dalam ceramahnya di Padang Menora, Mat Sabu menyifatkan Ahmad Indera atau Mat Indera adalah pejuang sebenar kemerdekaan dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu.

Namun kenyataan Mat Sabu itu diputar belit sehingga memperlihatkan beliau seolah-olah mengagungkan komunis.

Dalam pada itu, ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata, Umno-BN kekontangan idea sehingga sanggup mengubah kenyataan Mat Sabu dan dipaparkan dalam versi mereka.

" Oleh kerana itu terpaksa memakai taktik kotor dengan kempen fitnah untuk menghina sifat pemimpin PR walaupun serangan peribadi yang bersifat politik akhirnya semua terbukti palsu dan remeh.

"Umno mengecam Mat Sabu cuba bela komunis tetapi adalah fakta umum Setiausaha Agong Umno, Dato Seri Tengku Adnan Bin Mansor telah menandatangani perjanjian

kerjasama dengan Parti Komunis Cina di Beijing pada tahun 2010. Selain itu, Parti Komunis Cina yang merupakan Bapa kepada Parti Komunis Malaya(PKM) adalah tetamu kehormat khas di Perhimpunan Agong Umno atas jemputan parti tersebut,"katanya lagi.

"Ini terbukti Umno bersikap talam dua muka dan cuba memperdayakan rakyat dengan usaha licik yang cukup hipokrit,"tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 6,000 warga Taiping yang membanjiri Ceramah Perdana anjuran Pakatan Rakyat di Kampung Bukit Jana sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih tiga kilometer, malam tadi.

Beliau juga menyifatkan kehadiran rakyat dari pelbagai kaum dalam ceramah Pakatan Rakyat membuktikan bahawa gagasan itu berjaya mewujudkan landskap politik baru dalam negara ini.

Justeru katanya, beliau yakin nasib rakyat juga akan lebih terbela di bawah pimpinan yang dekat di hati rakyat.

“Rekod Jabatan Perdana Menteri sendiri mengakui Perak kini telah menjadi Negeri yang mempunyai bilangan paling ramai keluarga miskin diseluruh Negara dengan 192,000 buah keluarga dalam negeri Perak mempunyai purata pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan. Jika tidak ubah sekarang, bila lagi?,"katanya.

Selain Mat Sabu dan Nga Kor Ming, ceramah malam tadi turut dihadiri naib pesuruhjaya PAS negeri, Ustas Misbahul Munir, ADUN Aulong, Yew Tian Who, dan pesuruhjaya PAS parlimen Taiping, Ustaz Pakaruddin.

Rakyat Anggap Cukai Perkhidmatan Enam Peratus Membebankan



SHAH ALAM 9 SEPT : Reaksi rakyat kebanyakan sudah dijangkakan. Rata-ratanya melahirkan kekecewaan apabila kerajaan dan syarikat telekomunikasi (Telco) memutuskan untuk mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Malah pendapat itu turut dikongsi oleh agen tambah nilai prabayar dan pek permulaan kad SIM, Roslinda Samad yang menyifatkannya sebagai beban kepada pengguna.

"Kenaikan caj perkhidmatan enam peratus ini bagi tambah nilai bagi saya satu kadar yang tinggi, sebelum ini pun caj untuk seminit mencecah 30 sen, ditambah dengan caj enam peratus itu jelas sangat membebankan kepada pengguna, saya sebagai agen telekomunikasi sejujurnya rasa ini tidak wajar, bagi syarikat telekomunikasi itu sendiri caj yang dikenakan untuk masa berbual pun sudah menguntungkan,"katanya kepada Tv Selangor.

Syarikat telekomunikasi melalui satu kenyataan semalam memberitahu, kadar cukai perkhidmatan enam peratus itu bukan sesuatu yang baru.

Namun yang pasti, seramai 26.2 juta pelanggan talian telefon mudah alih prabayar di negara ini bakal menerima kesan akibat pertambahan kadar enam peratus setiap kali membeli kad tambah nilai.

Cukai perkhidmatan ini meliputi tiga syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara iaitu Celcom (Xpax) seramai 9 juta pelanggan, DiGi seramai 7.7 juta orang dan Maxis (Hotlink) 9.5 juta orang.

Dengan penguatkuasaan caj itu, seorang pelanggan yang membeli kad tambah nilai berjumlah RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen adalah cukai perkhidmatan.

Sementara itu menurut Rosmaharza Zainuddin, seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah di bandar ini, turut melahirkan rasa kesalnya di atas caj tambahan ini.

"Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku, saya yang masih belajar sedia maklum memerlukan banyak perbelanjaan untuk pelbagai keperluan,"katanya lagi.

Manakala bagi seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairul Anwar Musa yang masih belum berpeluang menyambung pengajian berkata, walaupun pertambahan caj hanya enam peratus namun bagi pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah, ia cukup membebankan.

Apatah lagi katanya, penggunaan telefon bimbit merupakan satu keperluan asas pada hari ini.

"Saya sejujurnya tidak setuju sekirannya kadar ini dinaikkan, keadaan ini agak membebankan,"katanya.

(function() { var d = document, w = window; w

KAMI TELAH DIKENCING

  Sham Ghaz 1. Hudud tak laksanakan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Malaysia. 2. RUU 355 juga tidak dibentang untuk dilulus dan dilaksana...