Cukai berganda jika GST dilaksanakan


Oleh Redzuan (Emel penulis ini)


Penjelasan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Awang Adek Hussin di Dewan Negara 5 Mei lalu bahawa Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) akan diteruskan apabila sesi Dewan Rakyat disambung pada Jun depan amat mendukacitakan kebanyakan rakyat .

Sebelum ini mereka menarik nafas lega apabila pembentangan GST ditangguhkan pada sesi Mac untuk mendapat lebih banyak maklumat dan pandangan awam. Namun apabila disambung semula dalam tempoh dua bulan kemudian, banyak pihak bertanya maklumat apakah yang telah kerajaan perolehi dalam tempoh sebegitu singkat sehingga mereka tidak bertangguh lagi membentangkan rang undang-undang GST.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad kerajaan BN hanya melakukan muslihat apabila menangguhkan akta GST pada Mac lalu agar tidak mencemarkan pembukaan parlimen walaupun hakikatnya kerajaan amat memerlukan akta itu

“GST tidak ditunda sebenarnya. Rakyat pula tidak diambil pandangan. Pada saya semua ini satu taktik supaya pembukaan parlimen tidak dicemar dengan isu GST. Namun GST tetap akan menjadi rang undang-undang apabila kerajaan membentangkannya pada sesi Jun.

“Kerajaan tertekan kerana tidak memiliki aliran tunai yang banyak. Sebab itu kita lihat mereka menerbitkan bon luar negara. Jika GST dilaksanakan, kerajaan akan menikmati limpahan aliran tunai terutama dari sektor industri dan perniagaan yang membayar cukai,” katanya.

GST tidak rendahkan cukai

Dr Dzulkifly menolak andaian Awang Adek bahawa dengan GST cukai yang dikenakan kepada peniaga dan individu akan berkurangan daripada kadar sekarang. Kata Awang cukai akan dikurangkan selepas GST dilaksanakan sebanyak 2.17 peratus berbanding 2.38 peratus sekarang. Dr Zulkifly menempelak perbandingan sedemikian.

“Hujah pada angka memang kelihatannya benar sebab hanya 4 peratus (kadar GST). Namun keadaan sebenarnya jauh berbeza. Sistem cukai SST yang diamalkan sekarang amat berbeza dengan GST.

“Dalam falsafah SST (cukai jualan dan perkhidmatan) semua barang tidak dikenakan cukai melainkan dikatakan kena. Misalnya menginap di hotel, makan di restoran dan sebagainya dikenakan cukai. Dalam regim GST pula semua barangan dikenakan cukai kecuali dikatakan tidak kena. Hanya barangan yang ditarafkan sebagai sifar (0) peratus cukai seperti makanan dan perkhidmatan asasi yang tidak dikenakan cukai. Selain itu semuanya akan dicukai. Pada akhirnya rakyat akan dibebankan lebih daripada yang mereka perlu bayar dalam regim percukaian dahulu. Inilah perkara yang tersembunyi dalam GST yang tidak diterangkan kerajaan kepada rakyat,” jelas Dr Zulkifly.

Menurut beliau lagi, perkara yang lebih menonjol dalam isu GST bukan sahaja rakyat berpendapatan rendah yang menentang cukai ini namun Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (SMM) juga menentangnya. Dalam sistem GST pengilang akan diberi ribet pengembalian cukai dalam tempoh 14 hari jika barangan yang dibuat itu dieksport namun pengilang tetap tidak menerima tawaran itu.

“Sepatutnya kelompok ini, pengilang, pembekal, pengeksport dan sebagainya menyokong kuat GST kerana dapat refund namun mengapa mereka membantah? Jawapannya GST akan menggugat aliran tunai mereka. Pada pendapat saya mereka tidak percaya dengan sistem refund kerajaan. Mereka tahu sangat tabiat kastam dan jabatan yang berkaitan dengan percukaian .

“Pada pandangan mereka kecairan tunai yang banyak pada pengilang, pengeskport dan sebagainya akan berpindah kepada kerajaan. Kerajaanlah yang akhirnya kaya tunai bukan usahawan atau pemodal.

“Selain itu, GST juga akan mencetuskan inflasi pada awal perlaksanannya. Sistem percukaian GST sangat rumit. Di Australia kos menukar sistem percukaian lama kepada GST menelan kos $ 4.8 bilion dollar. Di mana $2 bilion ditanggung oleh kerajaan dan $ 2.8 bilion ditanggung peniaga.

“GST memerlukan latihan semula kepada kakitangan syarikat. Ia bukan sahaja pertukaran sofeware komputer tetapi juga cara pengiraan cukai dan pemulangan cukai yang amat rumit. Akhirnya kos ini tentunya akan dipulangkan kepada pengguna dengan penambahan harga barangan,” ujarnya lagi.

gaji pekerja rendah

Kebaikan yang dikatakan kerajaan kecil berbanding kesan besar pada jangka panjang. Tambahan pula rakyat Malaysia masih ramai yang berpendapatan rendah dan hanya segelintir sahaja yang layak membayar cukai. GST hanya sesuai dilaksanakan sekiranya rakyat berpendapatan tinggi.

“Di negara ini daripada 12 juta yang berkerja hanya 15 peratus yang layak dicukai. Apabila dilaksanakan, GST mengenakan cukai atas perbelanjaan. Lebih banyak rakyat berbelanja lebih besar amaun cukai dikutip.

“Sedangkan 40 peratus dari rakyat Malaysia gajinya kurang RM1,500 dan 80 peratus yang berkerja hanya berkelulusan SPM. Najib berjanji akan menjadikan rakyat Malaysia golongan berpendapatan tinggi. Dari AS$ 7,500 sekarang kepada AS$ 14,000. Bagi saya unjuran itu tidak realistik.

“Bayangkan selama BN memerintah tidak berlaku peningkatan upah yang sepatutnya. Pada 1980an gaji permulaan pemegang ijazah adalah RM1,400 kini gaji permulaan mereka RM1,500 atau lebih sedikit. World Bank mengakui gaji di Malaysia hampir tidak ada peningkatan, hanya meningkat 2 peratus, sedangkan inflasi telah naik berkali ganda. Sedangkan gaji permulaan bagi graduan di Singapura S$2,500. Bagaimanakah sistem cukai baru hendak diperkenalkan dalam keadaan seperti ini,” bidas Dr Zulkify.

Tegas beliau, sistem SST masih relevan cuma kerajaan perlukan ketelusan dalam perlaksanaannya.

“Dengan gaji yang masih rendah sebaiknya sistem lama diteruskan. Untuk mendapat lebih dana menjana pembangunan tutup sahaja ketirisan. Mudah.Ketua Audit Negara dalam laporannya berkata RM28 bilion boleh dijimatkan jika tidak berlaku ketirisan dalam kerajaan.

“Amalkan tender terbuka dan galakkan persaingan. Hapuskan sistem penganugerahan kepada kroni. Kalau projek kerajaan seperti Istana Negara, landasan berkembar, mahkamah dan sebagainya digandakan kosnya maka kita tetap akan kekurangan wang biar pun GST dilaksanakan,” akhiri Dr Dzulkifly.

Dibekalkan laporan perubatan, permohonan Anwar ditolak


18/06/2010 12:32pm

KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan dengan laporan perubatan dan sampel serta dokumen berkaitan sebelum memeriksa balas pakar am Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari Azlan, dua hari selepas dia didakwa diliwat.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian selepas mendapati tiada peruntukan atau asas perundangan untuk membenarkan permohonan tersebut.