Ahmad Awang dapat pencalonan pertama, Hadi layak tanding presiden


Bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang ialah nama yang ketiga yang dicalonkan untuk jawatan presiden PAS selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mac, 2015. 


Bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang ialah nama yang ketiga yang dicalonkan untuk jawatan presiden PAS selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Mac, 2015. 

Bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang mendapat pencalonan pertama sebagai presiden PAS dari kawasan Parit Sulung, manakala penyandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat pencalonan kedua untuk jawatan itu dari kawasan Kuala Kedah, sekali gus melayakkan beliau mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan pada muktamar Jun ini.

Dengan pencalonan Ahmad, 3 nama kini dicalonkan sebagai presiden PAS selain Hadi, iaitu penyandang naib presiden Datuk Husam Musa, yang menerima 2 pencalonan, dan seorang lagi naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu manakala Husam masih belum membuat apa-apa pendirian sehingga kini.


Pada masa sama, Tuan Ibrahim mendapat pencalonan pertama bagi jawatan timbalan presiden dari kawasan Kuala Kedah semalam.
  Mesyuarat agung PAS Kuala Kedah itu memilih Hadi untuk dicalonkan sebagai presiden selepas beliau mengalahkan Ahmad yang turut dicalonkan.

Hadi mendapat 91 undi manakala Ahmad hanya mendapat 27 undi daripada perwakilan mesyuarat agung kawasan yang sebelum ini diketuai presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Phahrolrazi melepaskan semua jawatannya dalam PAS untuk memberikan tumpuan kepada PasMa.
Sementara itu, Ahmad dipilih sebagai calon presiden melalui mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) PAS kawasan Parit Sulong yang pertama, selepas mendapat mandat daripada mesyuarat agung mereka.

"Mesyuarat kami pada 18 Mac memilih Ahmad selepas majoriti AJK memilih beliau berbanding Hadi," kata Yang Dipertua PAS Parit Sulong, Khairudin Abdul Rahim kepada The Malaysian Insider.

Menurut sumber lain di kawasan itu pula, PAS Parit Sulong juga mengekalkan pencalonan bagi semua jawatan utama yang lain – Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden dan Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim dan Husam sebagai naib-naib presiden.  – 21 Mac, 2015.

"TALAQQI & PRATIKUMLIVE DARI ZON KULIAH: KITAB MASYARAKAT DAN ISU SOSIAL" -Ustaz Kamaruddin Kassim


Pimpinan PAS perlu perubahan, kata Nizar


AJK PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berpendapat krisis parti berkaitan dengan pemikiran pemimpinnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mac, 2015. 


AJK PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berpendapat krisis parti berkaitan dengan pemikiran pemimpinnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Mac, 2015.


Perubahan perlu dilakukan terhadap kepimpinan parti memandangkan krisis utama dihadapi PAS sekarang ini ialah berkaitan pemikiran pemimpinnya, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

"Jika mereka ini ada unsur-unsur mempamer kelemahan, maka perlu diubah, ini hak perwakilan dan ada dalam perlembagaan parti. Ubah pimpinan, sebab pemikiran tu bersama pimpinan," katanya di Kuala Kedah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden PAS dengan alasan beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi.


Ahmad dilapor berkata, walaupun Perlembagaan PAS memberi ruang untuk sesiapa sahaja memilih calon yang layak bagi menggalas tugas itu, namun sehingga kini keperluan Hadi menjadi presiden PAS dilihat masih tinggi.
  Ditanya apa perlunya bagi PAS untuk terus bersama dengan Pakatan Rakyat, Nizar berkata ianya penting bagi memastikan kedudukan PAS di hati orang bukan Melayu.

"Bila PAS berkeseorangan sepanjang 12 tahun, kita tak dapat tempat di hati pengundi bukan Melayu, tapi bila kita sama Pakatan Rakyat, kita banyak menang di kawasan yang bukan majoriti Melayu."

Justeru katanya, pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang menegaskan parti itu meletakkan perjuangan menegakkan hukuman hudud sebagai ketetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pakatan pembangkang itu adalah pendapat peribadi Haron.

Nizar berkata pada masa ini terdapat dua pemikiran dalam PAS iaitu pemikiran ulama dan pemikiran progresif profesional. – Bernama, 20 Mac, 2015.