Red2Green perlu sukarelawan doktor dan paramedik bantu pejalan kaki


Pejalan kaki red2green meneruskan laluan mereka menuju ke Karak hari iniPejalan kaki red2green meneruskan laluan mereka menuju ke Karak hari ini
  Risiko cuaca panas fenomena Equinox ke atas pejalan kaki Red2Green dari Kuantan ke Parlimen dalam misi membawa Memorendum Rayuan Menentang Pencemaran Bauksit kini memerlukan doktor dan pramedik untuk tampil membantu pejuang rakyat ini.
Seramai 30 pejalan kaki yang telah memulakan destinasi mereka dari Kampung Kubang Badak, Beserah pada 12 Mac lalu,  kini dilaporkan sudah tiba di Lancang.
Hari ini mereka akan meneruskan berjalan kaki menuju ke Karak sejauh 22km yang akan mengambil masa lebih kurang 4 jam dalam misi sejauh 254km untuk tiba di  Parlimen Malaysia pada 28 Mac ini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, beliau amat mengambil berat berkenaan kebajikan para pejalan kaki Red2Green di dalam keadaan cuaca panas dalam keadaan fenomena equinox.
"Justeru itu di atas sifat kekuatiran tersebut saya terpanggil untuk menyeru dan merayu kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin terutama para doktor dan paramedik untuk tampil membantu pejuang rakyat ini.
"Supaya ada pemerhatian rapi dari mereka yang pakar keatas pejuang-pejuang ini sepanjang perjalanan mereka." ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Fuziah lagi beliau amat khuatir terdedahnya mereka dengan risiko strok haba yang di sebut di dalam kenyataan yang di keluarkan oleh Menteri Kesihatan semalam.
"Tambahan pula dikalangan pejalan kaki Red2Green kini berada di Lancang yang merupakan diantara kawasan paling panas sehingga mencatat suhu 43'Celcius di waktu siang.
"Saya juga dapati semangat para pejuang Red2Green begitu kental sekali dan mereka bertekad mahu terus mara di dalam perjalanan mereka walaupun dalam keadaan cuaca yang begitu mencabar.
Pejalan kaki Red2Green membawa misi kemanusiaan membela nasib warga Kuantan yang diancam kesihatan mereka akibat pencemaran dari aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal.
"Kini giliran warga Kuantan yang terancam. Perkara ini tidak mustahil berlaku di kawasan lain pula nanti. Solidariti dari anda semua amat bermakna buat warga Kuantan," ujar Fuziah.
Dikalangan doktor dan paramedik sukarelawan yang mahu membantu boleh berhubung dengan Tommy (012-9899446) dan Jeff (014-2930593) untuk mengetahui lokasi terkini pejalan kaki Red2Green.

LAPORAN BERGAMBAR PENUH DALAM SUARA KEADILAN MINGGU HADAPAN