Mufti
kena terjun, berenang dalam kolam politik
Oleh ZOLKHARNAIN
ABIDIN / February 22, 2022
Fikir saya, Mufti Perlis
perlu terjun ke dalam kolam politik. Suaranya sebagai mufti sebuah negeri
terkecil dengan taraf jawatan Jusa C (?) tidak membawanya ke mana-mana.
Laungnya tenggelam timbul dalam pelbagai keriuhan di sana-sini.
Hal ini penting supaya
dia benar-benar berada pada posisi yang suaranya bukan sekadar didengar tetapi
dilaksana.
Dalam posisinya
sekarang, hanya kelihatan peminat setianya yang begitu ghairah menzahirkan
sokongan untuknya dalam apa jua isu yang dia ketengahkan.
Pihak-pihak lain yang
lebih berautoriti kelihatan biasa-biasa saja. Sokongan pengikut setianya tidak
membawanya ke mana-mana kecuali mendapat isyarat suka yang banyak di media
sosial.
Mungkin di Perlis
suaranya didengar dalam banyak hal, tetapi kedudukan itu tidak menjadikan
suaranya didengar pada tahap tertinggi di peringkat Persekutuan.
Dia perlu berada pada
posisi yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya menteri untuk membolehkan
harapannya tercapai. Jika tidak, banyak lagi pihak yang akan menjadi mangsa
kebencian pengikut setianya kerana suaranya tidak disokong atau tidak didengar.
Ada beberapa pilihan
untuk beliau terjun ke dalam kolam politik:
1) Masuk Pas dan saya
percaya Pas akan memberinya kerusi Parlimen boleh menang di Kelantan.
2) Masuk BN. Ini agak
sukar kerana ramai pemimpin BN yang kurang selesa dengannya.
3) Masuk Bersatu. Ini
lebih serasi dan mudah hasil hubungan akrabnya dengan Mahiaddin.
Kenapa saya tak sebut
masuk Keadilan atau AMANAH? Saya fikir saya tidak perlu sebut sebab, pada tahap
ini, hal itu mustahil boleh berlaku.
Tapi kalau dia mahu
mencuba, tiada mana-mana pihak yang menghalang. Namun, jika semuanya tidak
mungkin, dia boleh tubuh parti sendiri. Dalam tempoh singkat, pengikut setianya
akan menyertai parti pimpinannya di seluruh negara. Percayailah saya.
Ini penting. Saya bukan
main-main atau cuba mempersendanya. Ini lontaran fikir yang jujur. Dia perlu
mencontohi dua sahabat karibnya yang berjaya di dalam kolam politik iaitu
Maszlee Malik dan Juanda Jaya.
Dr Azri bersama rombongan Pondok Darul Ulum Jerteh diketuai mudir, Abd Hadi Yaakob baru-baru ini.
Mereka berjaya berada
pada posisi yang menjadikan suara mereka didengar dan dilaksana meskipun dalam
ruang yang terbatas, namun lebih baik daripada sekadar ruang yang dimiliki oleh
seorang mufti.
Ya, ada ruang lain
selain terjun dalam kolam politik seperti menjadi Ketua Setiausaha Negara atau
Ketua Hakim Negara atau Ketua Polis Negara.
Tapi saya yakin posisi
itu memerlukan keajaiban tahap mega untuk boleh dicapainya. Satu-satunya
pilihan yang relevan, boleh dicapai dan sesuai untuk orang sepertinya ialah
terjun dan berenang di dalam kolam politik.
Saya harap dia melihat
cadangan ini secara serius. Sebab, selagi mana suaranya tidak didengar dan
diterima sepenuhnya, saya bukan risaukan dirinya, tetapi saya risaukan para
pengikut setianya.
Ribuan pengikutnya atau
dalam istilah yang lebih kasar pentaksubnya sudah melangkau batas-batas
rasional dalam berbeza pandangan.
Saya terbaca satu
kiriman, orang yang tidak menyetujui mufti dihukum “kafir” oleh “pengikutnya”.
Ya, saya tahu itu bukan kehendak mufti dan saya tahu beliau tidak bersetuju
dengan tindakan itu, tetapi secara realitinya, hal itu berlaku.
Saya juga tahu mufti
tidak mampu nak kawal seluruh pengikutnya kerana dia tidak ada bidang kuasa
untuk itu, namun wajarkah hal itu dibiar berlarutan?
Ini fikir saya yang
pernah saya lontar suatu masa lalu. Jika Mufti Perlis mahu melihat buah fikir
dan usahanya beroleh hasil maksimum, hanya terjun kolam politik sebagai langkah
paling relevan untuk masa ini.
Dia tidak boleh marah
mana-mana pemimpin parti politik yang dilihat tidak menyokongnya atau tidak
bersama-sama dengannya dalam beberapa isu kritikal negara. Hal itu biasa
kerana, itulah orang politik.
Sekian, luahan jujur
Zola.