Pemilihan parti bagi pemegang jawatan KEADILAN sesi 2022 hingga
2025 ditangguh ke tarikh baharu dari 13 Mei sampai 18 Mei 2022.
Katanya, KEADILAN telah mengeluarkan notis pekeliling perubahan tarikh bagi kesemua jawatan termasuk sayap wanita dan pemuda di peringkat Cabang yang akan diadakan selama lima hari pada bulan Mei ini.
"Pemilihan diadakan pada tarikh yang sama bagi jawatan presiden, timbalan presiden serta empat naib presiden dan jawatan yang sama di sayap wanita serta pemuda bagi peringkat pusat.
"Mesyuarat semalam juga menetapkan 8 April hingga 10 April sebagai hari pencalonan bagi peringkat Cabang. Sementara 11 April ditetapkan untuk pencalonan untuk jawatan MPP," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, kelayakan memilih tertakluk kepada anggota KEADILAN yang berdaftar sebelum atau pada 31 Januari 2022. Hanya anggota yang memenuhi syarat berkenaan sah memilih barisan calon pimpinan di peringkat pusat atau cabang.
"Daftar anggota parti untuk kegunaan pemilihan 2022 akan dikeluarkan kepada cabang-cabang mulai 24 Februari ini. Manakala calon-calon yang bertanding dalam apa jua peringkat jawatan akan dibekalkan dengan daftar pemilih parti selepas pencalonan mereka disahkan oleh JPP," katanya.
Manakala kelayakan bertanding, sambung Saifuddin, adalah kepada anggota-anggota KEADILAN yang mendapat pencalonan daripada dua orang anggota yang telah menjelaskan yuran keanggotaan serta layak mengundi dan menjadi anggota parti tidak kurang daripada dua belas bulan dari tarikh kelulusan anggota 31 Jan 2022
Tambah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, penangguhan pemilihan selaras dengan peruntukan Fasal 47.3 Perlembagaan KEADILAN.
Sebelum ini, pemilihan parti dijadualkan pada 22 hingga 29 April dan Kongres Nasional dari 10 hingga 12 Jun ini.
Pencalonan pula bermula 11 hingga 19 Mac, namun tarikh itu bertembung dengan Pilihan Raya Negeri Johor yang jatuh pada 12 Mac ini.