Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai sedikit kelebihan kepada
calon calon KEADILAN kerana terdapat pertambahan pengundi muda yang baharu
pertama kali mengundi, dan boleh dibentuk sikap politik mereka.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata demikian dalam ucapan pelancaran jentera KEADILAN dari negeri tersebut membantu kempen di DUN Bukit Naning, semalam.
"Kita nak menangkan Johor. Menangkan calon Ysahrudin. Kita sekarang mesti bekerja dengan penuh dedikasi, penuh taktikal, tidak boleh lagi macam PRN yang lalu.
"Orang sini kena mark anak muda, kena pastikan berapa ramai boleh bawa. Pengundi Cina, India kita tidak boleh ambil mudah. Kita juga anggap undi Melayu tak lari. Tempoh hari kita dapat 2,000 undi sekarang ada tambahan pengundi, jadi 2,500 wajib kita dapat.
"Kita kena jumpa semua, Pas, Umno siapa pun kita jumpa. Saya bawa jentera AMK, juga KEADILAN Seremban," katanya.
Beliau mengharapkan jentera tempatan akan berkerja keras lebih daripada biasa manakala jentera dari Negeri Sembilan sebagai pembantu.
"Kita bantu dari segi tugas dan program. Saya harap jentera tempatan terutamanya.
"Pengalaman kita di Melaka dan Sarawak adalah jentera. Sarawak ada jentera tetapi tak cukup banyak. Di Melaka jentera tempatan merajuk. Sekarang apabila kita umum awal (calon) kita boleh selesai isu, jangan kita bakar kelambu lagi," katanya.
Selain itu, beliau juga menyarankan jentera yang berkempen agar menerangkan kepada pengundi supaya tidak takut untuk membuang undi.
Katanya, Covid 19 tidak memberi gejala teruk seperti dahulu kepada yang telah divaksin. Hanya berada pada tahap 1 dan 2, demam ringan dan selsema.
"Mereka takut keluar mengundi. Walaupun kes Covid 30,000 ke 40,000, kita kena faham. Sekarang ini hanya kategori 1 dan 2. Kategori 1 demam, ada orang tak rasa apa apa, selsema pun tak keluar. Kategori 3, 4, 5 baru ke hospital
"Khairy Jamaluddin (Menteri Kesihatan) pun dah umum kalau di hospital (petugas) kategori 1 dan 2 wajib berkerja. Kita kena sampaikan ini kepada masyarakat Melayu dan bukan Melayu," katanya lagi.