The Xanthophobic

Kakitangan Awam Jana Ekonomi Rakyat Selangor- Anwar

SUBANG JAYA 27 JUN : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri supaya melaksanakan tugas dengan penuh tatkelola yang baik dalam memastikan unjuran peningkatan ekonomi negeri dapat berlangsung baik.

Menurutnya, perbelanjaan kerajaan negeri perlu mengambilkira keupayaan menjana pendapatan agar hasil yang diperolehi dapat dinikmati semua pihak.

“Kita menyeru dan merayu rakan-rakan pimpinan dan para pegawai supaya ruang untuk mempertingkatkan kecekapan kita dapat diterjemahkan dengan kelulusan itu dibuat dengan cara secepat mungkin. Melengahkan pemberian khidmat itu, membebankan rakyat jelata,” katanya.

“Kalau perbelanjaan itu tidak bertanggungjawab misalnya dalam pengurusan ekonomi rumah tangga, yang menjadi bebannya adalah kepada anak dan dikelilingi dengan hutang piutang. Maka perbelanjaan kita perlu mengambilkira keupayaan kita menjana pertumbuhan dan mendapatkan pendapatan,” katanya.

Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianjurkan untuk membuka ruang kepada semua pihak bagi mengemukkan pandangan untuk dipertimbangkan kerajaan Negeri sebelum dirumuskan dalam Belanjawan 2012.

Menurut beliau, segala pandangan pelbagai pihak sama ada dari peringkat pelabur sehingga ke akar umbi suara rakyat perlu didengar dan dipertimbangkan agar tidak ada yang terpinggir dan perlaksanaan yang baik dapat dilakukan.

“Kerangka ini harus dijelaskan kerana dasar yang dibentangkan pimpinan harus difahami. Dialog ini memberikan ruang agar dasar dan aspek yang dibentangkan boleh diubahsuai memandangkan ianya peluang untuk memperoleh input daripada khalayak yang akhirnya rakyat akan memperoleh manafaat daripadanya,” katanya.

Tegas Anwar, prinsip kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang dipegang dan pengamalan etika yang tempang merupakan dua kerangka utama yang perlu diberikan perhatian memandangkan perkara ini merupakan pokok utama kepada ketirisan dan kegagalan pengurusan ekonomi.

“Bila ia dirumuskan, maka dua perkara tertonjol. Yang pertama adalah etika, kerana isu pengurusan ekonomi itu tidak berdasarkan ketelusan, prinsip dan kerangka dasar yang jelas maka dorongannya adalah ketamakkan, dimana peringkat sekalipun berjangkit, pimpinan dengan keinginan untuk mendapat keuntungan maka rasuah, penipuan akan menjadi peraturan. Mengambil tanah rakyat, mengambil komisyen daripada kontrak, itu menjadi lumrahnya. Sama ada caranya canggih atau tidak. Dan ini mesti dihindari.

“Kedua, Kerajaan Negeri dan pengursan kewangan adalah pemegang amanah. Kalau prinsip ketidak bertanggungjawaban itu tidak ada maka dia akan mengambil keputusan yang difikirkan wajar tanpa rasa bertanggungjawab dan beranggapan bahawa wang itu bukan wang dia,” tegasnya lagi.

Ujar Anwar lagi, kekayaan ekonomi dan dana yang pesat mampu meningkatkan hasil zakat negeri seperti sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam membantu mengurangkan beban kemiskinan yang ditanggung rakyat.

“Pendekatan yang ingin saya sentuh, dana mesti menjana pertumbuhan. Negeri mesti kaya kalau tidak zakat akan kecil. Falsafah zakat yang dikupas oleh Sheikh Yusof al-Qardawi cukup jelas, kalau ekonomi tidak berkembang zakat kecil. Kalau pelaburan besar, ekonomi berkembang, pentadbiran juga cekap dan efisyen.

“Kita berbangga kita mewarisi satu sistem pentadbiran yang mampu memberikan khidmat yang cekap dan kita harap ianya akan dapat dipertingkatkan agar lebih cepat dan berkesan. Hanya dengan pelaburan dan menjana pertumbuhan pendapatan yang pesat maka hasil zakat akan bertambah,” katanya.

Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 merupakan anjuran Perbendaharaan Negeri Selangor dihadri seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan Adun.

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor pada Mac 2008, dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ diperkenalkan dalam memastikan segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dinikmati dan dikembalikan kepada rakyat.

Dakwa BERSIH Guling Kerajaan, Kabinet Najib Mula Gentar




KUALA LUMPUR 27 JUN : Bahang perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung 9 Julai nanti semakin dirasai oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hingga wujud tanggapan bahawa rakyat berhasrat menggulingkan kerajaan menerusi demostrasi jalanan.

Ini berikutan hampir 81 orang aktivis- aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaporkan kini telah ditangkap dengan pelbagai alasan kurang munasabah.

Sehubungan dengan itu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak merasakan seolah-olah ditentang oleh rakyat walhal isu yang disuarakan semata- mata bersabit tuntutan perubahan dalam sistem demokrasi negara.

"Saya fikir pihak media juga perlu menilai justifikasi penahanan dan saya juga ada risalah yang dianggap membahaya oleh kerajaan memperincikan tuntutan Bersih 2.0. Antaranya saya fikir membahaya untuk BN iaitu untuk mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

"Jadi sekali lagi perkara ini langsung tidak boleh diterima akal," ujar beliau di lobi parlimen pagi tadi.

Tiga puluh orang aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar yang ditahan polis ketika mengedarkan risalah "Udahlah... Bersaralah" di Pulau Pinang semalam didakwa atas alasan berhasrat untuk menentang Yang di-Pertuan Agong dan menghidupkan fahaman komunis.

Mereka kini masih ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Nurul Izzah kemudian berkata, kerajaan Umno-BN khuatir akan maklumat yang dimuatkan di dalam risalah "Udahlah... Bersaralah" berhubung indeks persepsi rasuah termasuk indeks demokrasi dunia sampai ke pengetahuan rakyat.

Jelas beliau, sekiranya rakyat terdedah akan kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi negara maka reputasi kerajaan Umno-BN akan terjejas lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Sehubungan dengan itu Nurul Izzah bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain mendesak agar polis membebaskan aktivis-aktivis yang ditahan dengan kadar segera kerana ianya bertentangan dengan prinsip demokrasi negara.

Kerahan Tenaga Untuk Media Dayus Perdana

KOMENTAR : Kini seluruh jentera media arus perdana dikerah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan telus.

Media cetak, televisyen dan radio digerakkan untuk merakamkan “keresahan” peniaga mengenai kehilangan rezeki yang menurut media akan mencecah jutaan ringgit. Bagaimana taksiran ini dibuat – Wallahu a‘lam.

Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam yang amat dihormati, kini dilabel oleh media sebagai tali barut pembangkang yang mahu menjatuhkan BN menerusi demostrasi jalanan.

Rasanya tidak perlu dihuraikan di sini apa yang dilaporkan oleh akhbar dan TV mengenai pemimpin-pemimpin seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan “buah hati” mereka, Anwar Ibrahim.

Akhbar The Star yang selama ini dilihat sebagai “cuba” memberi perimbangan dalam laporan-laporannya, akhirnya tunduk kepada tekanan BN, khususnya Umno, dan kini menfitnah Ambiga, Anwar dan Bersih 2.0 secara keseluruhannya.

Maka secara rasmi, The Star kini menyertai kelab media dayus perdana yang dipelopori oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, Tv3 dan New Straits Times.

Hujah The Star dan media arus perdana lain bahawa kononnya Bersih 2.0 akan menyebabkan peniaga rugi berjuta-juta ringgit adalah dangkal dan tidak masuk akal JIKA lunas-lunas demokrasi dihormati.

Antara prinsip demokrasi yang dimaksudkan itu adalah hak rakyat berkumpul secara aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang dirasakan penting untuk negara.

Malaysia tidak akan “tutup kedai” (shutdown) mahupun mengalami kemusnahan ekonomi (meltdown) jika peserta Bersih dibenarkan berkumpul dan berarak di dua tiga batang jalan raya untuk menyampaikan sebuah memorandum kepada Istana Negara.

Namun jika polis bertindak secara provokasi iaitu menutup jalan , menahan sesiapa yang memakai baju T kuning, menembak gas pemedih mata dan air berkimia terhadap pemimpin dan peserta Bersih serta membelasah mereka dengan belantan – ya, perhimpunan Bersih akan dicemari dengan keganasan.

Segala tindakan polis yang dinyatakan di atas, berlaku pada perhimpunan Bersih pertama tahun 2007.

Sebaliknya, jika polis menjalankan tanggungjawab untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi kerjasama kepada penganjur supaya perhimpunan Bersih dilaksanakan secara teratur, adakah ini akan mendatangkan kerugian kepada Negara?

Malah sebaliknya, ia akan menjadi mercutanda betapa suburnya amalan demokrasi di Negara ini dan akan menanam keyakinan pelancong dan pelabur asing betapa sopan, tertib dan teraturnya penghayatan demokrasi di Negara ini.
Pilihan itu hak pihak polis dan pegawai atasan serta menteri serta cabinet Malaysia. Itu baru namanya anak jantan yang sihat akal fikirannya dan murni serta ikhlas akal budinya untuk menabur bakti kepada Negara.
Kerjasama sedemikian oleh polis akan memperagakan kepada pelawat asing, sebuah Malaysia moden yang mengamalkan demokrasi tanpa menjejaskan kehidupan harian.

Tapi sayang, kerjasama polis yang diharapkan adalah ibarat pungguk rindukan bulan.

Polis sudahpun memulakan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang memakai T-shirt Bersih selain penganjur menjadi sasaran.

Apakah yang begitu menakutkan BN mengenai Bersih 2.0 sehingga pemimpin-pemimpin kerajaan, Pemuda Umno, Perkasa, Polis dan media dayus perdana digerakkan secara begitu agresif untuk membanterasnya?

BN sebenarnya khuatir perhimpunan Bersih akan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat terhadap Umno-BN kerana mencabuli kewibawaan institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam beberapa minggu lepas, kebejatan SPR semakin terserlah dengan pendedahan-pendedahan yang menzahirkan masalah pengundi hantu, penukaran pengundi biasa kepada pengundi pos secara haram dan pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini diburukkan dengan dakwaan Projek IC Sabah - yang menyaksikan ratusan ribu warga asing diberi kerakyatan Malaysia untuk membolehkan mereka mengundi BN - kini menular ke Semenanjung Malaysia. Pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti pembangkang khuatir Umno-BN akan mengotakan janji untuk memenangi PRU-13 dengan apa sekali cara pun.

Wartawan-wartawan kanan di akhbar The Star, New Straits Times, Tv3, malah Utusan Malaysia sendiri cukup arif mengenai isu pengundi hantu dan pengundi pos dan impaknya ke atas keputusan di kerusi-kerusi tertentu semasa PRU yang lalu.

Namun akhbar-akhbar berkenaan tidak menegur SPR di atas kepincangan-kepincangannya, tetapi memilih untuk melancarkan tohmahan dan fitnah terhadap penganjur Bersih 2.0.

Wartawan-wartawan yang pernah mewawancara Ambiga, pengerusi Bersih 2.0, akan memberi pengakuan bahawa beliau seorang berprinsip dan bukan tunduk di bawah telunjuk pembangkang mahupun kerajaan.
Malangnya, pengakuan ini tidak boleh diberikan secara terbuka kerana ia tentunya akan mengundang tindakan daripada media itu sendiri atau Kementerian Dalam Negeri . Itulah realiti politik di negara ini. Kes bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari yang dipecat oleh Utusan kerana mengkritik arah tuju laporan-laporan Utusan adalah contoh hidup dan nyata!

London, New York, New Dehli, Bangkok, Jakarta – semua bandaraya-bandaraya ini sering menyaksikan perhimpunan dan bantahan. Tiada pula laporan system ekonominya ranap kerana demonstrasi.

Hakikatnya adalah, perhimpunan yang bersih dan teratur dengan kawalan polis tidak pernah menyebabkan sebarang masalah kepada peniaga, menyusahkan rakyat atau menggugat kestabilan Negara yang mahukan kelangsungan pemerintah yang menghormati asas demokrasi.

BERSIH 2.0 : Pak Samad Sedia Beri Keterangan Di Mahkamah

KUALA LUMPUR 27 JUN : Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said hari ini memberi keterangan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 Seksyen 4 (1) dan Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.

Bagaimanapun A. Samad Said yang lebih mesra dipanggil sebagai Pak Samad kelihatan tenang sahaja dan menyatakan beliau bersedia memberi keterangan jika didakwa di Mahkamah kelak.

"Saya cuma diambil keterangan mengapa saya hadir membaca puisi di pelancaran Bersih 2.0 dan saya beri jawapan saya akan jelaskan bila dipanggil ke Mahkamah nanti. Saya tak kata apa-apa jadi sebarang kata-kata akan dijelaskan di mahkamah nanti, "kata beliau di hadapan wartawan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Semalam, beliau menemui sebuah notis yang dimasukkan ke tingkap rumahnya untuk hadir memberi keterangan kerana bacaan sebahagian puisi beliau "Unggun Bersih" ketika Pelancaran Bersih 2.0 19 Jun lalu.

Seksyen 4 kurungan 1 menyatakan kesalahan Mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apaperbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut.

Jika didakwa Pak Samad berhadapan dengan hukuman didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Pak Samad terus mempertahankan Bersih sebagai gerakan yang baik dan membawa perubahan Positif kepada negara.

"Sangat salah untuk menyatakan gerakan ini (Bersih) akan memporak-porandakan. Saya fikir gerakan ini untuk membantu tumbuhkan suasana lebih bagus dan sepatutnya disokong dan bukan dibanta, "kata beliau.

Pak Samad diiringi oleh dua peguam NGO Lawyers For Liberty iaitu N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri.

Menurut Surendran soalan yang dikemukakan kepada Pak Samad berunsur pelik dan cuba mengaitkannya dengan politik.

"Ini kali pertama Sasterawan Negara dipanggil polis dan disoal-siasat semata-mata kerana baca puisi yang merdu.

"Soalan yang ditanya juga pelik seperti 'Dari mana dia mendapat anugerah Datuk, adakah dia dibayar untuk baca puisi itu, dan adakah ia didokong oleh parti politik," kata Surendran.

Malah Surendran dan Fadiah turut diberikan notis 111 untuk memberi keterangan pada keesokan hari kerana hadir ke pelanmcaran bersih 19 Jun lalu.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

BERSIH 2.0 Dan Tuntutan Murtad Dua Perkara Berbeza

SHAH ALAM 27 JUN : Tindakan media arus perdana mengaitkan peranan dan tugas Pengerusi BERSIH 2.0, Ambiga Sreenavasan sebelum ini, sebagai peguam yang mewakili kes murtad dengan himpunan aman BERSIH 2.0 sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak relevan sama sekali.

Ini kerana ia dua perkara yang amat berbeza, lantaran tugas mewakili anak guamnya Lina Joy yang memohon untuk murtad adalah bersangkut paut dengan syariah manakala tuntutan BERSIH 2.0 bertumpu pada desakan agar pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata dua isu yang dibangkitkan saling tidak berkait.

"Jangan kira persoalan akidah, pro-murtad dan sebagainya, Umno berselindung disebalik kepentingan mereka tentang benda-benda seperti ini, tetapi mereka sebenarnya adalah dalang besar.
"Umno-BN nyaris lemas, mereka mahu buat himpunan tetapi gagal himpunkan orang yang ramai, mereka takut kebangkitan rakyat yang besar (himpunan Bersih 2.0), dan kita bukannya mahu jatuhkan kerajaan menerusi jalanraya, tetapi kita hanya mendesak sebuah proses pilihanraya yang baik, maksudnya kita menyokong pilihanraya," katanya.

Beliau juga membidas media arus perdana yang ghairah menyerang peribadi Ambiga dan mengaitkannya dengan perjuangan BERSIH 2.0.

Justeru Badrul menegaskan, himpunan BERSIH 2.0 bukan perjuangan peribadi Ambiga mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia merupakan perjungan rakyat yang dahagakan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Saya tidak ambil pendekatan siapa salah siapa tidak, tetapi lihat bertapa hipokrasi dan munafiknya Umno-BN, sengaja bangkitkan isu IFC, kalau IFC itu salah kenapa setiap kali persidangan IFC berlangsung maka akan ada menteri yang rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan di dada akhbar Berita Mingguan, terbitan kumpulan Utusan semalam yang sengaja membangkitkan insiden melibatkan sensitiviti agama dan perkauman lampau untuk menafikan kewajaran rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Dengan tajuk 'Orang melayu harus selidiki siapa Ambiga' serta melabel perhimpunan haram dianjurkan oleh individu perlekeh islam, media milik UMNO BN itu dilihat berkerja keras untuk melumpuhkan himpunan aman rakyat itu, 9 Julai depan.

Badrul berkata pelbagai pihak termasuk rakyat seharusnya meneliti terlebih dahulu dasar- dasar himpunan Bersih 2.0, sebelum melabelkan himpunan aman tersebut adalah bersifat politik.

Seperkara yang perlu mereka faham dan jelas adalah, himpunan Bersih 2.0 bukan didalangi oleh Pakatan Rakyat, tetapi dinaungi oleh badan- badan bukan kerajaan (NGO).

Pakatan Rakyat hanya sekadar menyokong penganjuran himpunan aman tersebut sahaja.

Mengulas lanjut perkara ini, Badrul menyifatkan ianya adalah amalan lazim setiap parti pemerintah di dunia ini yang meniti zaman kejatuhannya.
"Ini adalah trend rejim pemerintah diseluruh dunia dihujung usianya, mereka akan menggunakan apa sahaja, mencipta pelbagai slogan untuk menipu rakyat, mereka akan membesarkan imej-imej tertentu dan mereka juga akan menggunakan profesor-profesor kangkung yang dilihat hanya memperdagang nilai akademik," katanya.

Unggun Bersih. A Samad Said

Unggun Bersih
A Samad Said

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11.

TAK BANGANG KE GITU???

Dihalau keluar masjid kerana pakai baju Bersih
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar berasa kesal dengan sikap angkuh salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Bandaraya, Likas, yang menghalau seorang pemuda daripada menunaikan solat di masjid itu semata-mata kerana memakai baju Bersih. (Gambar kanan)

Blog Pemuda PAS Sepanggar melaporkan kejadian yang berlaku di masjid tersebut kelmarin dapat dilihat oleh seluruh ahli kariah yang turut sama bersolat di masjid tersebut.

Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering bersolat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid ketika selesai bersolat Maghrib.

Selain menghalau pemuda tersebut, AJK masjid tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat dengan menuduh pemuda tersebut sebagai munafik.

Tidak cukup dengan kata-kata kesat, beliau turut menolak pemuda tersebut dengan kasar.

Situasi yang memalukan itu akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur.

Ahli kariah itu dengan nada yang tegas telah menegur AJK masjid tersebut kerana sikapnya yang memalukan itu. (Gambar kiri)

Beliau membela pemuda tadi, dan memarahi AJK masjid tersebut kerana menghalau anak muda dari bersolat semata-mata kerana mamakai baju Bersih.

Justeru, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar melihat perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Sehubungan itu, DPP Sepangar menggesa agar Jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap AJK masjid tersebut di atas sikapnya yang merosakan imej Masjid Bandaraya yang sememangnya terkenal di kalangan para pengunjung dan pelancong.

Mengenai himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini, DPP Sepangar menyeru seluruh rakyat Sabah agar berpakaian berwarna kuning dan keluar ke bandar-bandar beramai-ramai bersama keluarga.

Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis

Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis

June 27, 2011
Penyokong-penyokong Bersih bersorak sewaktu Ambiga (kiri) membuat ucapannya semalam di Kuala Lumpur. — Foto Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu.

Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih”.

Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat “Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/”.

Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau.

Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi.

Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini.

Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno.

“Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini),” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis.

“Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!,” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa “murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.”

“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?”

“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni,” kata Samad lagi.

Anwar: Najib, saya tahu apa kamu buat di PD

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak perdana menteri ekoran kenyataanya bahawa "mencari kebenaran" adalah paling penting untuk menentukan sama ada lelaki dalam video seks adalah Anwar.

NONEMemandangkan pakar asing dilaporkan berkata video - yang menunjukkan pasangan melakukan aksi seks dalam sebuah bilik - 99.99 peratus menyerupai Anwar, maka Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata rakyat boleh menghakimi sendiri ketulenan video tersebut.

Anwar berkata Najib dan isterinya, Rosmah Mansor tidak layak bercakap tentang moral, walaupun ketua umum PKR itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.

Katanya, beliau telah dicabar untuk mendedahkan apa yang beliau tahu tentang Port Dickson.

Anwar merujuk kepada satu skandal yang didakwa berlaku pada pertengahan tahun 1980-an, ketika berucap dalam ceramah di Pokok Sena, Kedah malam tadi.

Bagaimanapun, kata Anwar, bukan cara beliau untuk mencerca atau memfitnah hanya untuk menang.

Sebaliknya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau mahu menang dengan moral yang mantap.

Berucap kepada kira-kira 700 hadirin, Anwar berkata kerajaan Najib tidak memberi respons sewajarnya terhadap semua isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0, Kata Dr Haron Din




KUBANG PASU 27 JUN : Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini.

Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka.

Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak.

"Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya.

"Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin.

Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam.

Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini.

Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu.

Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau.

Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat.

"Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau

Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr Nasir

SHAH ALAM 27 JUN : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu ada keberanian terlebih dahulu untuk menunaikan segala tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0, jika mahu mencabar Pakatan Rakyat bersaing di arena itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim yang juga bekas tahanan Bersih 1 pada 2007, Najib sepatutnya hanya mencabar Pakatan Rakyat bertanding selepas beliau melaksanakan gesaan rakyat di bawah gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan di negara ini yang mahukan pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

" Kalau kita lihat semua tuntutan Bersih, ia adalah tuntutan yang memang semua orang mahukan untuk dapatkan pilihan raya yang adil.

" Kalau ini dapat kita laksanakan, lepas itu kita boleh berlawan (secara adil). Sekarang ini kalau pilihan raya memang berat sebelah. Cuba kita lihat tuntutan Bersih itu, boleh mereka kata tidak mahu.. Kalau mereka tak mahu, maknanya mereka tak mahu pilihan raya yang bersih," kata Dr Nasir merujuk kepada pendirian Najib dan rakan-rakannya dalam Umno-Barisan Nasional(BN).

Semalam Najib mencabar Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 sebagai "anak jantan" dan bukan turun di jalanan untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Dakwa Najib, himpunan Bersih 2.0 bukan bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bertujuan mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan
berdepan dengan undang-undang,” Najib dipetik sebagai berkata ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di Kuala Lumpur, semalam.

Najib juga turut memberi amaran bahawa beliau akan mempertanggungjawabkan segala insiden pada hari berkenaan kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan menerima "akibat" dari perbuatan itu.

Melihat kepada pendirian Najib dan tindakan polis mutakhir ini menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning terutamanya yang mempunyai logo Bersih jelas mencerminkan ketakutan yang begitu memuncak dalam jiwa pemimpin negara itu.

" Najib sekarang ini memang paranoid, takut pada bayang-bayang sendiri. Nampak orang baju kuning pun tak boleh.
" Oleh kerana 2008, rakyat sudah berubah. Ramai orang yang mengundi kita... tetapi oleh kerana penyelewengan, kemenangan kita itu nampak kecil kita menang (majoriti undi)," katanya.

Oleh itu katanya, segala bentuk perundangan hatta nama Yang di-Pertuan Agong akan digunakan bagi mengekang kemaraan rakyat kerana mereka tahu tuntutan yang dibawakan oleh Bersih 2.0 akan meranapkan impian mereka mempertahankan Putrajaya.

" Sekarang ini kalau kita berentap, memang berat sebelah kepada dia (Umno-BN). Sebab itu mereka tak mahu ikut Bersih, mereka akan bermasalah, mungkin mereka akan jatuh.
" (Trend pengundian) ini yang mereka takutkan sebab kalau tidak ada penyelewengan, mereka tidak akan lepas (menang pilihan raya). Sebab itu tuntutan Bersih yang sememangnya adil, tidak ada satu pun yang boleh dipertikaikan kepada sesiapa yang mahukan pilihan raya adil, inilah yang harus diikuti.. tetapi mereka tak mahu itu. Jadi kalau kata nak bertanding secara saksama, tapi tak mahu ikut cara yang betul macam mana?," kata Dr Nasir.



Arutchelvan: Tohmahan KDN dan polis terhadap PSM adalah tindakan terdesak

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkutuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahim Jaafar dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein yang cuba melabel PSM sebagai mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pembohongan besar ini turut digunakan ke atas 30 orang peserta yang terlibat dalam Kempen Udahlah- Bersaralah - sebuah kempen kesedaran Nasional PSM yang berjalan dari 24 sehingga 26 Jun 2011. Mereka yang sepatutnya dibebaskan kini direman selama tujuh hari ekoran cubaan polis mengukir satu cerita fantasi di mana seksyen yang digunakan ke atas mereka adalah seksyen 122 Kanun Kesiksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agung.

Kenyataan pihak Berkuasa dan dakwaan keatas Aktivis PSM adalah tidak berasas, tidak masuk akal, pembohongan, bermotifkan politik dan sandiwara dan oleh yang demikian, PSM meminta kesemua mereka yang direman dibebaskan serta merta dan pihak Kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini.

PSM merasa lucu bahawa Pemerintah cuba mengaitkan PSM dengan Komunis dengan terjumpanya beberapa baju T-shirt dan bahan-bahan yang mempunyai imej pemimpin komunis. Untuk makluman Polis, ini adalah skrip zaman perang dingin di mana hari ini, semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, Kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunsi Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain.

Selain daripada itu, kerajaan Malaysia juga telah menandatangani perjanjian damai dengan PKM pada tahun 1989 dan pemimpin-pemimpin komunis kanan seperti Rashid Maidin, Suriani dan Abdullah CD juga telah diperkenan dengan DYMM Sultan Azlan Shah. Oleh yang demikian, cubaan terdesak polis membawa balik bogey "Komunis" dalam zaman pasca perang dingin adalah satu cubaan terdesak rejim UMNO-BN untuk terus berkuasa dengan cara menakutkan rakyat dan sekali gus mencari peluang untuk menggunakan ISA.

PSM adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan ini memang diketahui umum. PSM juga mengiktiraf sumbangan parti-parti kiri sebelumnya yang telah menyumbang kepada kemerdekaan Negara seperti PKMM, API, AWAS, dan PKM. Cubaan polis yang sering melabel parti-parti lain sebagai agen PKM adalah satu taktik lama dan sudah basi.

Pihak Media kawalan UMNO-BN telah menghebohkan tohmahan dan pembohongan ini untuk menakutkan orang ramai menjelang perhimpunan BERSIH 2.0. PSM menyokong penuh perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun Kempen Udahlah Bersaralah PSM tidak ada kena mengena dengan BERSIH 2.0, tetapi pihak polis cuba mengaitkan dua aktiviti tersebut untuk menyekat perhimpunan BERSIH 2.0.

PSM sesunguhnya percaya dan sedar bahawa tuduhan keatas PSM hanyalah tindakan terancang pihak polis untuk mengujudkan musuh bayangan dengan niat untuk mengujudkan satu suasana "darurat" untuk membolehkan pemerintah melakukan penahanan besar-besaran "crackdown" untuk mengagalkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang telah mendapat sokongan yang begitu memberangsangkan dari rakyat.

Tindakan polis terkini ke atas PSM tidak akan menghalang PSM untuk terus berjuang dan memperjuangkan hak rakyat Malaysia.

Hidup Rakyat! Hidup Sosialis!

*Kenyataan media oleh S. Arutchelvan (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung PSM.

(function() { var d = document, w = window; w

Kenali tiga golongan penyebab negara kita mundur

  POSTED BY AMIR WRLR Himpunan 400 anak muda dan himpunan 107 Ahli Parlimen dikecam dengan pelbagai andaian. Bodoh, tidak takut mati, gila k...