SUBANG JAYA 27 JUN : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri supaya melaksanakan tugas dengan penuh tatkelola yang baik dalam memastikan unjuran peningkatan ekonomi negeri dapat berlangsung baik.
Menurutnya, perbelanjaan kerajaan negeri perlu mengambilkira keupayaan menjana pendapatan agar hasil yang diperolehi dapat dinikmati semua pihak.
“Kita menyeru dan merayu rakan-rakan pimpinan dan para pegawai supaya ruang untuk mempertingkatkan kecekapan kita dapat diterjemahkan dengan kelulusan itu dibuat dengan cara secepat mungkin. Melengahkan pemberian khidmat itu, membebankan rakyat jelata,” katanya.
“Kalau perbelanjaan itu tidak bertanggungjawab misalnya dalam pengurusan ekonomi rumah tangga, yang menjadi bebannya adalah kepada anak dan dikelilingi dengan hutang piutang. Maka perbelanjaan kita perlu mengambilkira keupayaan kita menjana pertumbuhan dan mendapatkan pendapatan,” katanya.
Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dianjurkan untuk membuka ruang kepada semua pihak bagi mengemukkan pandangan untuk dipertimbangkan kerajaan Negeri sebelum dirumuskan dalam Belanjawan 2012.
Menurut beliau, segala pandangan pelbagai pihak sama ada dari peringkat pelabur sehingga ke akar umbi suara rakyat perlu didengar dan dipertimbangkan agar tidak ada yang terpinggir dan perlaksanaan yang baik dapat dilakukan.
“Kerangka ini harus dijelaskan kerana dasar yang dibentangkan pimpinan harus difahami. Dialog ini memberikan ruang agar dasar dan aspek yang dibentangkan boleh diubahsuai memandangkan ianya peluang untuk memperoleh input daripada khalayak yang akhirnya rakyat akan memperoleh manafaat daripadanya,” katanya.
Tegas Anwar, prinsip kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang dipegang dan pengamalan etika yang tempang merupakan dua kerangka utama yang perlu diberikan perhatian memandangkan perkara ini merupakan pokok utama kepada ketirisan dan kegagalan pengurusan ekonomi.
“Bila ia dirumuskan, maka dua perkara tertonjol. Yang pertama adalah etika, kerana isu pengurusan ekonomi itu tidak berdasarkan ketelusan, prinsip dan kerangka dasar yang jelas maka dorongannya adalah ketamakkan, dimana peringkat sekalipun berjangkit, pimpinan dengan keinginan untuk mendapat keuntungan maka rasuah, penipuan akan menjadi peraturan. Mengambil tanah rakyat, mengambil komisyen daripada kontrak, itu menjadi lumrahnya. Sama ada caranya canggih atau tidak. Dan ini mesti dihindari.
“Kedua, Kerajaan Negeri dan pengursan kewangan adalah pemegang amanah. Kalau prinsip ketidak bertanggungjawaban itu tidak ada maka dia akan mengambil keputusan yang difikirkan wajar tanpa rasa bertanggungjawab dan beranggapan bahawa wang itu bukan wang dia,” tegasnya lagi.
Ujar Anwar lagi, kekayaan ekonomi dan dana yang pesat mampu meningkatkan hasil zakat negeri seperti sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam membantu mengurangkan beban kemiskinan yang ditanggung rakyat.
“Pendekatan yang ingin saya sentuh, dana mesti menjana pertumbuhan. Negeri mesti kaya kalau tidak zakat akan kecil. Falsafah zakat yang dikupas oleh Sheikh Yusof al-Qardawi cukup jelas, kalau ekonomi tidak berkembang zakat kecil. Kalau pelaburan besar, ekonomi berkembang, pentadbiran juga cekap dan efisyen.
“Kita berbangga kita mewarisi satu sistem pentadbiran yang mampu memberikan khidmat yang cekap dan kita harap ianya akan dapat dipertingkatkan agar lebih cepat dan berkesan. Hanya dengan pelaburan dan menjana pertumbuhan pendapatan yang pesat maka hasil zakat akan bertambah,” katanya.
Majlis Dialog Bajet Selangor 2012 merupakan anjuran Perbendaharaan Negeri Selangor dihadri seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk barisan Exco dan Adun.
Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor pada Mac 2008, dasar ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ diperkenalkan dalam memastikan segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dinikmati dan dikembalikan kepada rakyat.