Arutchelvan: Tohmahan KDN dan polis terhadap PSM adalah tindakan terdesak

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkutuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Abdul Rahim Jaafar dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein yang cuba melabel PSM sebagai mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agung dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pembohongan besar ini turut digunakan ke atas 30 orang peserta yang terlibat dalam Kempen Udahlah- Bersaralah - sebuah kempen kesedaran Nasional PSM yang berjalan dari 24 sehingga 26 Jun 2011. Mereka yang sepatutnya dibebaskan kini direman selama tujuh hari ekoran cubaan polis mengukir satu cerita fantasi di mana seksyen yang digunakan ke atas mereka adalah seksyen 122 Kanun Kesiksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agung.

Kenyataan pihak Berkuasa dan dakwaan keatas Aktivis PSM adalah tidak berasas, tidak masuk akal, pembohongan, bermotifkan politik dan sandiwara dan oleh yang demikian, PSM meminta kesemua mereka yang direman dibebaskan serta merta dan pihak Kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini.

PSM merasa lucu bahawa Pemerintah cuba mengaitkan PSM dengan Komunis dengan terjumpanya beberapa baju T-shirt dan bahan-bahan yang mempunyai imej pemimpin komunis. Untuk makluman Polis, ini adalah skrip zaman perang dingin di mana hari ini, semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan. Selain itu, Kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunsi Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain.

Selain daripada itu, kerajaan Malaysia juga telah menandatangani perjanjian damai dengan PKM pada tahun 1989 dan pemimpin-pemimpin komunis kanan seperti Rashid Maidin, Suriani dan Abdullah CD juga telah diperkenan dengan DYMM Sultan Azlan Shah. Oleh yang demikian, cubaan terdesak polis membawa balik bogey "Komunis" dalam zaman pasca perang dingin adalah satu cubaan terdesak rejim UMNO-BN untuk terus berkuasa dengan cara menakutkan rakyat dan sekali gus mencari peluang untuk menggunakan ISA.

PSM adalah sebuah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan ini memang diketahui umum. PSM juga mengiktiraf sumbangan parti-parti kiri sebelumnya yang telah menyumbang kepada kemerdekaan Negara seperti PKMM, API, AWAS, dan PKM. Cubaan polis yang sering melabel parti-parti lain sebagai agen PKM adalah satu taktik lama dan sudah basi.

Pihak Media kawalan UMNO-BN telah menghebohkan tohmahan dan pembohongan ini untuk menakutkan orang ramai menjelang perhimpunan BERSIH 2.0. PSM menyokong penuh perhimpunan BERSIH 2.0 walaupun Kempen Udahlah Bersaralah PSM tidak ada kena mengena dengan BERSIH 2.0, tetapi pihak polis cuba mengaitkan dua aktiviti tersebut untuk menyekat perhimpunan BERSIH 2.0.

PSM sesunguhnya percaya dan sedar bahawa tuduhan keatas PSM hanyalah tindakan terancang pihak polis untuk mengujudkan musuh bayangan dengan niat untuk mengujudkan satu suasana "darurat" untuk membolehkan pemerintah melakukan penahanan besar-besaran "crackdown" untuk mengagalkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang telah mendapat sokongan yang begitu memberangsangkan dari rakyat.

Tindakan polis terkini ke atas PSM tidak akan menghalang PSM untuk terus berjuang dan memperjuangkan hak rakyat Malaysia.

Hidup Rakyat! Hidup Sosialis!

*Kenyataan media oleh S. Arutchelvan (gambar kanan) selaku Setiausaha Agung PSM.