Eletrik Naik : Daya Saing Negara Turun, Kata Teresa




Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) menaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus akan memberi kesan negatif kepada sektor perindustrian sekali gus menjejaskan daya saing negara.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor Teresa Kok Suh Sim berkata kenaikan itu akan memberi kesan kepada industri pembuatan di negeri ini yang bergantung kepada penjanaan tenaga letrik yang tinggi untuk menghasilkan produk masing-masing.
Beliau berkata kenaikan mendadak tujuh peratus bil elektrik bermakna kos menghasilkan barangan seperti peralatan elektrik akan meningkat di Malaysia berbanding negara lain.
" Ia (Kenaikan tariff elektrik akan menjadikan industri pembuatan yang banyak menggunakan tenaga elektrik ini menjadi kurang kompetitif atau hilang daya saing berbanding negara lain. Produk yang dikeluarkan industri tempatan akan mengalami kenaikkan harga barangan terbabit.
Teresa berkata kerajaan persekutuan harus memikirkan pendekatan yang sesuai untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan tariff elektrik.
Usaha juga harus dibuat oleh memastikan orang ramai tidak membazir menggunakan bahan tenaga itu.
" Saya ingin menyeru kerajaan melancarkan satu kempen untuk menjimatkan penggunaan elektrik dan memberi lebih banyak insentif untuk menggunakan peralatan elektrik,” kata beliau.
“Saya rasa kerajaan juga perlu menambah lagi insentif bagi orang ramai yang menggunakan alat elektrik supaya menggunakan alat yang menjimat tenaga seperti plug penjimat tenaga dan kuasa solar di mana boleh,” tambah beliau.
Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara.

Selain itu harga gas asli juga dinaikan kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016 setelah diapung sepenuhnya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamad mendakwa kenaikan itu hanya akan memberi kesan minima kepada kadar inflasi negara yang kian tertekan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan seperti gula baru-baru ini.

Menteri Tenaga Teknoloji Hijau dan Air Datuk Peter Chin pula mendakwa kenaikan kadar elektrik itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus daripada pengguna yang menggunakan lebih daripada 300KW tenaga setiap bulan.

Sebelum ini Perdana Menteri Najib Razak menyatakan subsidi yang diumpamakan seperti 'candu' harus dikurangkan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Rakyat Malaysia terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan pimpinan Najib Razak memotong subsidi yang mengakibatkan harga barangan keperluan seperti gula dan petrol meningkat secara mendadak.

Kerajaan sebelum ini menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

Keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barangan berpaksi kepada dasar-dasar tidak seimbang kerajaan khususnya yang membabitkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar.

Harga barangan meningkat turut disebabkan tata urus kewangan negara, khususnya keghairahan mengadakan projek-projek mega yang akhirnya menyebabkan defisit negara antara yang tertinggi di rantau ini.


Elektrik : Kerajaan Bela IPP, Hukum Rakyat






SHAH ALAM 30 MEI: Kenaikan mendadak tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus oleh Putrajaya akan menyebabkan kadar inflasi melonjak dalam tempoh tiga bulan, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Beliau berkata peningkatan itu sepatutnya boleh dikekang jika kerajaan menyemak semula pemberian subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), namun ini tidak dilakukan dan sekali lagi rakyat terpaksa menanggung akibatnya, tambah beliau.

"Sepatutnya subsidi untuk IPP patut diuruskan (terlebih dahulu). Rundingan dengan IPP penting untuk mengurangkan bayaran elektrik yang dikenakan supaya TNB boleh jual elektrik kepada rakyat pada kadar yang berpatutan dan pada masa yang sama tidak terlalu bergantung kepada subsidi gas untuk mengekalkan tarif elektrik," kata beliau.

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kw sejam daripada 31.31 sen kw sejam, berkuatkuasa Rabu ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Peter Chin dalam kenyataannya mendakwa ianya sebahagian daripada proses merasionlisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau mendakwa langkah itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 300 kw elektrik sebulan.

Rafizi menegaskan rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga bil elektrik tetapi harga barangan juga akan naik akibat peningkatan kos elektrik dalam sektor perindustrian.

Pelajar universiti yang menyewa rumah dengan kelengkapan komputer dan penghawa dingin juga akan terbeban memandangkan tenaga elektrik digunakan secara komprehensif.

Rafizi berkata dakwaan bahawa mereka yang menggunakan 300 kilowatt ke bawah terkecuali daripada kenaikan harga itu tidak relevan kerana purata penggunaan elektrik sesebuah keluarga khususnya di bandar melebihi jumlah itu.

Beliau menambah purata bil elektrik bagi sebuah keluarga lebih RM200 sebulan dan mereka akan terpaksa membayar lebih susulan kenaikan tarif yang diumumkan hari ini.

Justeru, Rafizi mahukan kerajaan pusat untuk memberi tumpuan serius kepada mengkaji subsidi yang diberikan kepada IPP.

"Kerajan harus fokus kepada perjanjian dengan IPP kerana perjanjian itu merupakan punca semua masalah tarif elektrik di Malaysia ini. Mereka yang telan subsidi gas, dapat banyak untung sebab paksa harga mahal kepada TNB. Tapi kerajaan ambil jalan hukum rakyat dan hukum TNB," katanya lagi.

Dalam pada itu ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata polisi yang sering bertukar-tukar berhubung IPP mencetuskan kemusykilan terhadap layanan kerajaan kepada rakyat.

"Pada tahun 2007, Menteri Tenaga ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah berjanji dan menyatakan secara terbuka kalau subsidi gas dihentikan kepada IPP, ianya tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

"Maka pada saya, pengumuman kenaikan tarif elektrik ini perlu diperincikan tentang siapa yang akan terkesan, bagaimana mekanisme itu terjadi, dan saya takut kalau ianya menjadi satu lagi sandiwara kepada Umno-Barisan Nasional untuk menjustifikasi kenapa akhirnya mereka terpaksa memotong subsidi RON95,"katanya.

Pertahankan Putrajaya dari korupsi, salah guna kuasa… – oleh Muhammad Zir

Pertahankan Putrajaya dari korupsi, salah guna kuasa… – oleh Muhammad Zir


30 MEI – Bagi kebanyakan remaja yang menghadiri pesta Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya sepanjang hujung minggu lalu, ia memang menjadi sumber hiburan kepada mereka. Lagi pun ia persembahan percuma, hasil kutipan wang sumber asli negara dan cukai rakyat.

Bermacam-macam acara diadakan selama tiga hari yang berakhir malam tadi. Acara-acara yang penuh meriah ini meliputi persembahan artis, karnival, forum, pesta buku, acara keagamaan, gerai pameran dan jualan, perhimpunan persatuan anak-anak yatim, perhimpunan warga belia OKU, belia orang asli, pertandingan nyanyian dan hiburan, kempen-kempen kesedaran dan keselamatan oleh badan-badan berkanun, pertandingan sukan motor, sukan lasak dan sebagainya.

Dari satu segi, ia boleh dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menghargai peranan belia dalam pembangunan negara. Pesta ini menghimpunkan ribuan pengunjung yang bukan sahaja dari golongan belia, malah bapa-bapa dan ibu-ibu belia pun turut sibuk dengan pelbagai acara itu.

Dari segi yang lain pula, ia mendedahkan betapa terdesaknya Datuk Seri Najib Razak untuk memastikan undi orang muda berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional. Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu secara terang-terang menjadikan pesta hiburan itu sebagai medan propaganda politik.

“Kalaulah di Mesir, sejuta belia negara itu berhimpun di Dataran Tahrir untuk menunjuk perasaan supaya pucuk pimpinan kerajaannya diganti dengan yang lain tetapi di Malaysia, sejuta belia berhimpun untuk mempertahankan Putrajaya.

“Sanggupkah belia pertahankan Putrajaya? Sanggupkah?” bersungguh-sungguh Najib merayu di di hadapan hadirian pada malam minggu yang lalu.

Mengapa perlu Putrajaya dipertahankan? Daripada siapa Putrajaya mahu dipertahankan? Siapa musuh negara? Apakah yang cuba dimaksudkan oleh Najib dengan menggunakan perkataan tersebut secara terbuka di khalayak?

Seperti para pemimpin UMNO yang lain, Najib masih menganggap kebanyakan belia tidak ada kesedaran politik, tidak peduli tentang masalah negara, dan dengan itu menganggap mudah untuk dicucuk hidung mereka.

Yang Najib mahu hanyalah belia mempertahankan Putrajaya agar UMNO dan BN terus berkuasa. Tidak salah dari segi propaganda politik kalau guna duit parti tetapi masalahnya UMNO dan BN adalah parti politik – jadi bagaimana mungkin acara rasmi anjuran kerajaan, peruntukan wang kerajaan dan jentera kerajaan yang semuanya hasil wang sumber negara dan cukai rakyat, boleh menjadi medan untuk kempen parti politik mereka?

Kenyataan Najib ini tidak menggambarkan beliau mewakili kerajaan untuk semua rakyat, sebaliknya kerajaan yang pro-UMNO sahaja. Ucapan Najib amat bertentangan dengan ungkapan Abraham Lincoln iaitu “government of the people, by the people and for the people”. Malah Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebagai “rayuan BN yang sudah terdesak” hingga sanggup menyalahgunakan pentas “rakyat” untuk kempen sempit parti politik mereka.

Dan, tambah menarik lagi, adakah ini bererti Najib mahu menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk melakukan perkara yang sama – menggunakan pentas kerajaan untuk kempen politik?

Garis pemisah di antara keperluan kempen untuk parti dan peranan sebagai kerajaan harus jelas dan dipraktikkan. Agar kita semua melaksanakan apa yang kita pernah katakan. Jadikanlah peristiwa ini sebagai teladan buat kita pada masa hadapan. Menyalahgunakan tempat, harta dan kuasa adalah budaya yang harus ditinggalkan oleh kita semua.

Memang UMNO sudah kemaruk undi khususnya undi belia. Pakatan sepatutnya lebih tinggi standard dan tidak perlu mengikut jejak langkah UMNO dan BN yang terus menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka.

Mungkin Najib tidak sedar apabila para belia berteriak balas “Sanggup” untuk mempertahankan Putrajaya, mungkin mereka maksudkan mahu memastikan Putrajaya bersih dari anasir-anasir korup, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Bukankah itu yang dilakukan oleh sejuta belia di Kaherah dahulu? – Roketkini.com

Saifuddin : PAS Cukup Kuat, Anwar Bukan Faktor




SHAH ALAM 30 MEI: Reputasi dan kredibiliti pimpinan yang menjadi tunjang dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan antara parti terawal di Malaysia, tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh elemen luar, menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana, ketokohan dan disiplin yang diterapkan dalam jiwa setiap ahli parti itu menjadikannya sebagai sebuah entiti yang matang dan tidak gentar dilanda badai.

Meskipun bergabung di bawah satu nama yang menyatukan parti tersebut bersama PKR dan DAP di bawah satu wadah perjuangan yang sama, namun menurut Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, masing-masing menghormati sejarah perjuangan setiap parti terutama PAS, yang jauh lebih berpengalaman.

Kenyataan Saifuddin itu sekaligus menyangkal dakwaan bahawa PKR dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebagai faktor wujudnya pembahagian puak dalam PAS seperti yang dibangkitkan pihak pro Umno-Barisan Nasional mutakhir ini.

"Suatu parti (PAS) yang matang tidak boleh dipengaruhi mana-mana elemen yang dikaitkan dengan elemen luar apatah lagi dengan pengaruh Anwar Ibrahim.

"Tidak pernah menjadi amalan Anwar atau parti Keadilan sendiri untuk campur tangan dalam urusan rumah tangga parti lain," kata Saifuddin ketika dihubungi Tv Selangor.

Menjelang Muktamar PAS ke-57 hujung minggu ini, media pro Umno-BN dilihat sering kali menuding jari ke arah Anwar dan PKR sebagai faktor wujudnya puak 'erdogan' dalam parti yang ditubuhkan sejak 31 Mei 1955 itu.

Malah ada pihak yang turut berani mempersoalkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Ketua Pembangkang dari tuduhan liwat kedua dan rakaman video seks selain menyifatkan beliau meletakkan PAS dalam bahaya.

PAS sebelum ini menolak tanggapan kononnya wujud dua kumpulan dalam barisan kepimpinan parti Islam itu yakni persaingan antara pihak pro Anwar dengan golongan ulama yang dilihat ‘berpengaruh’.

 Malah PAS menegaskan yang wujud hanyalah kelainan pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli dan rakyat dalam parti itu.

Saifuddin kemudiannya menegaskan bahawa asas penubuhan yang didokong setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat juga berbeza, sekaligus tidak mengganggu atau mempengaruhi perkembangan setiap parti.

Jelasnya lagi, fokus utama Pakatan Rakyat adalah untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang semakin tidak relevan kepada masyarakat majmuk negara ini termasuk menjaga kepentingan bersama.

"Asas kerjasama dalam Pakatan Rakyat ialah Barisan Nasional adalah musuh utama. Jadi kita tidak bercakap asas parti. Mustahil parti PAS, DAP dan Keadilan boleh disatukan dengan polisi yang sama.

"Tetapi atas nama Pakatan Rakyat kita ada satu persamaan iaitu musuh kita yang satu (BN) dan kita memperjuangkan prinsip keadilan sejagat. Jadi siapa pun kepimpinan yang dipilih oleh PAS, saya yakin kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan hanya diperkuatkan dan tidak akan terjejas sama sekali," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, calon Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kecaman media terutama akhbar Utusan Malaysia mengenai ulasan Nik Aziz terhadap pemfitnah Anwar perlu diabaikan.

Ini kerana menurut beliau laporan yang disiarkan hanya bertujuan untuk memburukkan imej penasihat parti itu.

"Tidak perlu komen sebab (laporan) seperti tidak siuman. Tak perlu ulas," katanya.

Tarif Eelektrik : Putrajaya Umum Keputusan Petang Ini




KUALA LUMPUR 30 MEI : Kementerian Tenaga, Hijau dan Air akan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang ini, tiga hari selepas kerajaan mengatakan bahawa ia sudah memuktamadkan kajian semula tarif elektrik, yang ramai meramalkan ia akan mengalami kenaikan.

Pegawai-pegawai kementerian yang dihubungi Reuters tidak memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi berhubung perkara tersebut.

Laporan itu berkata kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan tarif dalam usahanya mengawal kos subsidi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik.

“Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan... terpulang kepada mereka,” kata Najib.

Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: “Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham.”

“Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

“Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC, Jumaat lalu.-TheMalaysianInsider

Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan tenaga di negara ini supaya berlaku adil kepada rakyat.

Menurut beliau, selepas menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kambing hitam oleh kerajaan, Petronas pula terpaksa menanggung bebanan sehingga RM21 bilion setiap tahun.

“Untuk berlaku adil, keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan elektrik perlu dikaji. TNB dipaksa menandatangani perjanjian membeli elektrik dari penjana bebas pada kadar yang tinggi. Lebih dari separuh kos TNB adalah untuk membayar Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Yang dimarahi rakyat adalah TNB kerana TNB yang menjadi kambing hitam dan budak jahat.

“Lebih teruk, apabila perjanjian itu juga menyebut kalau ada sebarang kenaikan kos bahan api (gas, arang batu), IPP ini tidak perlu menanggungnya.

“Akibatnya Petronas pula yang terpaksa menanggung sehingga berjumlah RM21 bilion setiap tahun berdasarkan anggaran terbaru kita,” kata Rafizi yang juga bekas Pengurus kanan di Petronas.

Untuk rekod, TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal manakala Petronas pula diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada syarikat tersebut.

IPP pula kemudian membeli tenaga lebih mahal daripada Indonesia dan kawasan minyak JDA di sempadan Malaysia-Thailand.

Rafizi baru-baru ini mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.

Katanya, ekoran keresahan Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan rakyat berhubung kenaikan tarif elektrik, mereka terpaksa menenangkan rakyat kononnya kerajaan memotong subsidi korporat.

“Bila rakyat mula bangkit, BN resah dan mahu menenangkan rakyat dengan menghebahkan kononnya memotong subsidi korporat. Tetapi jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api (arang batu dan gas) ditanggung oleh rakyat.

“Ini akan beri kesan kepada harga barang dan melonjakkan lagi kadar inflasi yang sudah tinggi akibat beberapa siri kenaikan harga baik gula, harga petrol, diesel dan lain-lain sejak kebelakangan ini.

“Dalam keadaan gaji rakyat yang tidak naik akibat kegagalan BN mewujudkan agihan kekayaan yang adil, ini akan menyukarkan lagi hidup seharian rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.com.

Selain itu katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bijak bagi mengelakkan kenaikkan tarif elektrik yang membebankan rakyat.

“Runding dengan IPP supaya caj yang terlampau mahal yang dikenakan kepada TNB atas elektrik yang dijual dikurangkan, kerana caj yang terlalu tinggi hingga memberi keuntungan besar dan berat sebelah inilah yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia tinggi.

“Apabila caj dari IPP ini dikurangkan, barulah beban kewangan TNB boleh dikurangkan dan subsidi bahan api (gas dan arang batu) boleh dikurangkan agar wang boleh digunakan untuk tujuan lain sementara tarif lektrik dikekalkan kerana penjimatan dari caj IPP yang lebih rendah boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api,” kata beliau.

Skandal Scorpene: Gelombang Perancis bermula

LAPORAN kemas kini tiga kumpulan hak asasi Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menjangkakan tuntutan mahkamah berkenaan rasuah yang difailkan ke atas syarikat senjata api tentera laut Perancis DCNS akan didengari di mahkamah terbuka dan perbicaraan akan bermula pada Mei atau Jun ini.

Ini akan membuka jalan bagi rakyat Malaysia untuk akhirnya mendapatkan akses kepada butiran yang boleh dipersoalkan mengenai perjanjian kapal selam RM6.7bilion yang ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan mereka pada tahun 2002, dan terus dirahsiakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DCNS merupakan vendor kapal selam tersebut dan Najib telah dituduh memberi keuntungan kepada teman rapatnya, Razak Baginda dengan komisen 114 juta euro melalui perjanjian tersebut.

“Terdapat bukti kukuh mengenai rasuah dan antaranya adalah maklumat baru mengenai rasuah baru yang didedahkan semasa penyiasatan.

“Sebahagian daripada ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif atau memalukan kepada kerajaan Malaysia tapi ini adalah sebahagian daripada proses untuk membantu pembayar cukai Malaysia mendapatkan semula wang mereka yang hilang melalui perjanjian korup,” kata Pengarah Urusetia Suaram, Cynthia Gibrael kepada Malaysia Chronicle.

Pada Disember 2009, Suaram memfail tuntutan awal terhadap DCNS di mahkamah Paris untuk ‘rasuah aktif dan pasif, pertukaran untuk pertolongan dan penyalahgunaan aset syarikat’ selepas gagal membuat sebarang kemajuan dengan kerajaan Malaysia, yang enggan memberikan sebarang butiran walaupun tidak henti-henti didesak oleh ahli-ahli pembangkang di Parlimen.

Perjanjian yang dipersetujui antara Najib yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu, dan DCNS melibatkan penjualan dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta kepada kerajaan Malaysia.

Di bawah konvensyen OECD 2000 di mana Perancis merupakan ahli, mana-mana individu rakyat Perancis ataupun syarikat Perancis yang didapati terlibat dalam perjanjian korup dengan kerajaan asing boleh dihukum 10 tahun penjara dan didenda 150,000 Euro.

Keputusan ini memberikan ruang terhadap permohonan Suaram untuk mencuba dan mendapatkan kembali wang pembayar cukai yang hilang melalui transaksi yang salah.

“Kami telah memohon agar hakim siasatan untuk mempengerusikan perbicaraan terbuka. Ini akan membuat perbicaraan itu lebih bebas dan kami pasti akan mendesaknya untuk mengarahkan lebih banyak penyiasatan dan siasatan yang lebih terperinci,” kata Cynthia dipetik.

Sememangnya, seorang hakim yang dilantik kerajaan Perancis mungkin kurang neutral memandangkan DCNS yang berpengaruh ini merupakan salah satu syarikat terbesar di Perancis.

Seks dan pembunuhan C4 Altantuya

Aspek sensasi dari perjanjian taruhan tinggi ini adalah pembunuhan rakyat Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu, seorang penterjemah dan perantara yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada Razak Baginda dan syarikat Perancis tersebut.

Dia dibunuh di Kuala Lumpur dengan bahan letupan C4 di hutan cerang di Shah Alam setelah dia dikatakan cuba mengganggu Razak untuk bahagiannya daripada komisen tersebut.

Dua daripada bekas pengawal Najib telah dijatuhi hukuman gantung bagi pembunuhan itu, tapi perbicaraan mahkamah mereka telah dikecam sebagai tidak adil.

Bekas-bekas polis itu mendakwa mereka dibayar RM100,000 untuk membunuh Altantuya, tetapi testimoni ini telah ditolak oleh hakim perbicaraan Malaysia, yang juga menangkis segala usaha oleh peguam pembela untuk bertanya tertuduh, siapa yang memerintahkan mereka untuk membunuh Altantuya.

Akhbar Perancis – La Liberation melaporkan bahawa si rupawan Altantuya, yang boleh bercakap empat bahasa termasuk Russia, memberitahu kedua-dua pembunuh itu bahawa dia mengandung dan telah merayu agar dirinya tidak diapa-apakan sebelum mereka menembaknya di kepala, mengikat C4 di tubuhnya dan kemudian meledakkan bahan letupan yang hanya tersedia untuk tentera di Malaysia.

Seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Razakmenyatakan bahawa Najib yang bertemu Altantuya di pameran berlian di Singapura, dan mereka mempunyai hubungan sebelum beliau ‘melepaskan’ Altantuya kepada Razak.

Tetapi Altantuya akan dipertonjolkan dalam perbicaraan Perancis itu, bahagian yang lebih besar dari perbicaraan itu akan berpusat kepada kapal selam dan kos transaksi antara DCNS dan kerajaan Malaysia.

Kos perjalanan Razak dan Altantuya 2.5 juta Euro

Kemungkinannya, di antara saksinya adalah bekas pengurus pentadbiran dan kewangan DCNS, Gerard-Philippe Menayas, yang telah disoal siasat oleh polis Perancis melibatkan kes serupa di Pakistan. Gerard telah mengaku mempunyai bukti untuk menyokong sogokan yang terlibat dalam perjanjian Malaysia tersebut.

Pada mulanya, Amaris, anak syarikat DCNS dan Thales, telah disyaki membayar komisen sebanyak 114 juta euro kepada sebuah syarikat Malaysia bernama Perimekar, yang diterajui oleh isteri Razak.

Namun, maklumat terkini menunjukkan bahawa bukan Armaris tetapi kerajaan Malaysia yang telah membayar 114 juta euro kepada Perimekar, untuk membolehkan syarikat Perancis itu memintas konvensyen OECD.

Perlu diambil perhatian bahawa ia bercanggah dengan penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Zainal Abidin Zin di Parlimen pada tahun 2006 di mana Zainal mengatakan bahawa kerajaan Malaysia yang telah membayar US$100 juta komisen bagi perjanjian untuk membeli tiga kapal selam tersebut.

Sementara itu, dua bukti baru yang telah ditemui, termasuk bayaran 30 juta euro oleh DCNS kepada salah satu syarikatnya sendiri dan bayaran 2.5 juta euro kepada perantara yang masih tak dikenali.

“Para penyiasat kami masih menyiasat perantara tersebut tetapi kami mendapati bahawa sebuah syarikat bernama Gifen telah ditubuhkan di Malta oleh seseorang bernama Jean-Marie Boivin untuk memudahkan pemindahan kewangan bagi tujuan membiayai perjalanan Baginda dan Altantuya,” tambah Gabriel.

* Rencana ini dipetik dan diterjemah dari Malaysia Chronicle.

Skandal Scorpene dibicara di mahkamah terbuka Perancis


KUALA LUMPUR: Siasatan pemberian komisen pembelian kapal selam Scorpene kini memasuki peringkat perbicaraan terbuka di mahkamah Perancis.


Penyelaras Suaram, Cynthia Gabriel berkata Kementerian Pertahanan termasuk kerajaan Malaysia boleh disapina untuk memberikan keterangan, manakala bukti akan didedahkan sepanjang perbicaraan tersebut.
Menurut Cynthia, pendakwa Perancis telah menyimpulkan siasatan awal dan satu permohonan untuk perbicaraan terbuka dibuat akhir Mac lalu.


“Kes ini spesifik kepada pemberian komisen 114 juta Euro yang diberikan kepada syarikat Perimekar. Malah, dalam siasatan sebelum ini terdapat penemuan 2 lagi bayaran komisen berjumlah 30 juta Euro kepada Thales dan 2.4 juta yang Euro yang penerimanya tidak lagi dipastikan,” katanya ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di Jalan Maharajalela di sini hari ini.

Justeru, Suaram akan menganjurkan dua program jamuan makan malam bagi mengumpul dana guaman Suaram pada 21 dan 23 Julai di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Berita selanjutnya menyusul

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14360

AMK Persiap Jentera Pilihan Raya




PETALING JAYA 30 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) bakal menggerakkan jentera pilihan rayanya seawal Jun ini bagi mendepani arus Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Walaupun masih belum diputuskan mana-mana kawasan yang perlu diberikan tumpuan oleh sayap parti itu, namun perbincangan awal mengenainya sudah dibuat.

“Jentera Angkatan Muda Keadilan ini akan kita gerakkan di semua kawasan tumpuan di mana masih lagi belum dimaklumkan oleh pimpinan pusat tetapi saya dan pimpinan pusat telah berbincang.

" Jentera khususnya Angkatan Muda Keadilan akan disiapkan dahulu. Pada peringkat pertama ini, ia dilakukan di kawasan yang mana kita bertanding,” kata ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat AMK di Ibu Pejabat PKR, di sini semalam.

Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang ditandingi oleh calon AMK selain calon PKR di seluruh negara.

Jelasnya, perbincangan mengenainya telah dijalankan dengan pimpinan pusat biarpun belum dipastikan secara khusus kawasan mana yang akan ditandingi.

Berdasarkan perkembangan semasa, AMK menjangkakan PRU ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat iaitu kemungkinan pada Julai ini.

Ujar Shamsul, AMK akan membantu semua calon Pakatan Rakyat khususnya PKR yang bertanding bagi mengekalkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selain calon lain bagi meraih kemenangan pada PRU ke-13 nanti.

Katanya, gerak kerja itu akan dilakukan jentera AMK yang akan memberi tumpuan khusus di semua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak bermula Jun ini.

Selain itu jelasnya, AMK juga akan mengenal pasti individu dari angkatan itu yang akan diketengahkan sebagai calon di peringkat Parlimen atau DUN.

“Kita (juga) akan buat tapisan dan saringan kerana kita mahu kekalkan rekod bahawa calon-calon Angkatan Muda Keadilan yang bertanding dan menang kita kekalkan dan istiqamah bahawa calon Keadilan yang menang tidak ada seorangpun yang melompat parti,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, AMK telah memilih 18 Jun ini supaya semua jentera pilihanraya AMK dan bakal calon dapat dihimpunkan untuk satu program khas iaitu sehari sebelum konvensyen pilihan raya PKR yang dijangka diadakan pada 19 Jun.

Jelasnya, AMK juga akan memastikan segala hubungan dan jaringan yang berkaitan dengaan angkatan itu diberikan tumpuan khusus seperti golongan profesional muda.

Satu pertemuan khusus anjuran AMK telah diadakan semalam di antara kumpulan itu dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pertemuan itu, golongan profesional muda ini diberi peluang untuk bertukar pandangan dan berbincang mengenai isu semasa.




AMK Jamin Bersih 2.0 Capai Sasaran




PETALING JAYA 30 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan bersama-sama 100,000 rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan fahaman pada 9 Julai ini dalam perhimpunan Bersih 2.0 sebagai menyatakan sokongan kepada objektif perhimpunan itu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin yakin, perhimpunan itu nanti bakal mengumpulkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang mendokong sepenuhnya demokrasi tulen supaya pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih, adil dan telus.

“Angkatan Muda Keadilan telah bermesyuarat dan membincangkan tentang mobilisasi jentera AMK di seluruh negara untuk bersama-sama dengan perhimpunan Bersih 2.0 ini yang dijangka diadakan pada 9 Julai dan kita menjangkakan bahawa sasaran 100,000 rakyat, yang mana kita nyatakan daripada awal akan berjaya kita capai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, malam tadi.

Tambahnya, AMK tidak memerlukan sebarang pengumuman seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Najib Razak pada Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya yang gagal mencapai sasaran.

Difahamkan himpunan itu hanya berjaya mengumpulkan 8,000 belia iaitu kurang 10 peratus daripada yang disasarkan.

Walau bagaimanapun menurut Shamsul, Bersih 2.0 yang mempunyai objektif jelas pastinya akan mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum dan usaha untuk mengumpulkan rakyat akan diperhebatkan.

Perhimpunan ini jelasnya amat penting kepada rakyat untuk menyampaikan mesej jelas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) betapa sesebuah pilihan raya itu perlu diadakan dengan telus.

“Kali ini kita nak pastikan yang betul-betul hadir itu adalah rakyat daripada pelbagai agama, kelompok dan fahaman berkumpul dan jumlahnya mencecah 100,000 dan itu peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh AMK dan sebenarnya dalam tujuan itu kita telah pun mengatur sesi jelajah seluruh negara.

“Kita ingin menyatakan dengan tegas bahawa sudah sampai masanya SPR harus memahami bahawa mereka tidak boleh selama-lamanya diperalatkan oleh jentera di bawah kepimpinan Umno dan juga Barisan Nasional,” katanya.




Najib-Muhyiddin Tak Setuju Tarikh PRU-13?




TEMERLOH 29 MEI : Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin dilaporkan berselisih mengenai tarikh untuk memanggil Pilihanraya Umum ke-13 akibat pergelutan kuasa dalam parti itu, kata seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Muhyiddin dilaporkan mendesak Najib untuk mengadakan pilihanraya secepat mungkin walaupun Timbalan Presiden Umno itu menyedari langkah itu mengundang padah untuk Umno berasaskan sentimen semasa pengundi, kata Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid.

Menurut beliau, kekalahan untuk Umno pada PRU-13 akan membuka laluan untuk Muhyiddin mencabar Najib pada pemilihan parti yang akan datang, dan jika menang, Muhyiddin sekali gus akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib.

"Ramai yang ramalkan PRU bulan julai ini, saya ingin berkongsi, teman-teman saya di dalam Umno memberitahu apa yang berlaku ialah terdapat desakan daripada kumpulan pro Muhyidin Yassin mendesak supaya Najib Razak istihar pilihanraya dan bubar parlimen dalam waktu terdekat."

"Kerana penguasaan, Muhyidin ingin berkuasa tetapi Najib masih berbelah-bagi, Namun kumpulan ini terus mendesak (mahukan PRU cepat)," kata Nizam.

Nizam berkata kumpulan pro Muhyiddin menggunakan taktik yang sama untuk mengusir Tun Abdullah Ahmad Badawi dari Putrajaya selepas beliau memanggil PRU ke-12 pada Mac 2008 atas desakan pihak tertentu.

Keputusan itu berakhir dengan Umno-BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen.
Pakatan Rakyat turut menawan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah disamping mengekalkan Kelantan.
Tidak lama selepas itu, Muhyiddin dilaporkan antara pemimpin utama yang mendesak supaya Abdullah berundur "demi masa depan Umno."

Nizam berkata apa yang berlaku dalam Umno ketika itu adalah kes "kawan makan kawan" dan kini episod itu sedang berulang sekali lagi antara Muhyiddin dan Najib.

"Muhyidin mahu perangkap Najib agar nasib yang diterima oleh Abdullah Ahmad Badawi akan terjadi kepada Najib, sebab apa ianya berlaku...dari maklumat yang kita terima Muhyidin mengesa anak buahnya kerana beliau sudah berumur berbanding Najib. Jadi sebab itu Muhyidin mahu jadi Perdana Menteri"

Hadir sama pada majlis itu Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim, Adun Kuala Semantan, Syed hamid Syed Mohamad dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pahang, Fauzi Abd Rahman.

Kira-kira 300 orang dan pemimpin masyarakat memenuhi perkarangan Markas Pas Temerloh menghadiri majlis itu.