Tarif Eelektrik : Putrajaya Umum Keputusan Petang Ini




KUALA LUMPUR 30 MEI : Kementerian Tenaga, Hijau dan Air akan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang ini, tiga hari selepas kerajaan mengatakan bahawa ia sudah memuktamadkan kajian semula tarif elektrik, yang ramai meramalkan ia akan mengalami kenaikan.

Pegawai-pegawai kementerian yang dihubungi Reuters tidak memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi berhubung perkara tersebut.

Laporan itu berkata kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan tarif dalam usahanya mengawal kos subsidi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneliti laporan hasil mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (NEC) berhubung dengan tarif elektrik.

“Apa pun kita akan tengok dulu. Kita tak boleh kata apa. Itu laporan... terpulang kepada mereka,” kata Najib.

Mengulas mengenai pendirian kerajaan mengenai subsidi serta kesannya kepada rakyat, beliau berkata: “Saya sudah maklumkan dasar kita tetapi banyak orang tidak berapa faham.”

“Ini bukan pengurangan subsidi tetapi sebenarnya kurangkan kenaikan subsidi. Subsidi bukan sahaja tetap diberikan tetapi bertambah daripada RM11 bilion kepada RM20 bilion.

“Jadi, kerajaan terpaksa cari tambahan lebih RM8 bilion, bukan satu jumlah kecil,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata isu berhubung semakan harga gas dan tarif elektrik telah dibincangkan dalam mesyuarat NEC, Jumaat lalu.-TheMalaysianInsider

No comments: