Amir Zuhair
Saya terbaca tulisan Nurul Haq yang dengan begitu yakin menghukum,
“TIDAK SAH SOLAT JUMAAT SEDEMIKIAN.”
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pengumuman bahawa solat Jumaat akan dilaksanakan di Parlimen sempena pembentangan Belanjawan 2027 bagi memudahkan Ahli-Ahli Parlimen dan warga yang terlibat, dengan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri dijadualkan sebagai imam dan khatib.
Atas asas fiqh yang mana terus dihukum “tidak sah”?
Nurul Haq ni cukup arif bab gereja hinggakan kalau tersalah tulis bab gereja, dengan cepat dia akan respon. Sekarang ni dia cuba buat pandai dalam hukum-hakam pula.
Sebab kalau hendak bercakap soal hukum, kita jangan bercakap berdasarkan sangkaan bahawa “solat Jumaat mesti dibuat dalam masjid yang digazetkan, kalau tidak maka batal”.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri pernah menjelaskan bahawa jumhur ulama, kecuali mazhab Maliki, tidak mensyaratkan solat Jumaat mesti dilaksanakan di dalam bangunan masjid. Malah Imam al-Nawawi dalam perbahasan mazhab Syafi‘i menjelaskan bahawa ia tidak disyaratkan didirikan di masjid dan boleh dilaksanakan di kawasan yang memenuhi ketetapannya.
Dalam penjelasan lain mengenai syarat sah Jumaat menurut mazhab Syafi‘i, Jabatan Mufti WP menyenaraikan antaranya ia didirikan dalam kawasan binaan yang mempunyai penduduk bermastautin, cukup bilangan jemaah yang disyaratkan, dilaksanakan dalam waktu Zuhur serta persoalan ta‘addud al-Jumu‘ah atau berbilangnya Jumaat dalam satu kawasan. “Bangunan itu mesti sebuah masjid yang telah digazetkan” tidak disenaraikan sebagai syarat sah Jumaat.
Ini beza antara hukum fiqh mengenai sah atau tidak sah Jumaat dengan persoalan kebenaran pentadbiran pihak berkuasa agama.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan pula, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memberikan kedudukan dan kuasa tertentu kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam pentadbiran masjid. Seksyen 73, misalnya, memperuntukkan bahawa sesuatu bangunan tidak boleh digunakan sebagai masjid tanpa kebenaran bertulis Majlis.
Tetapi sekali lagi, status sesuatu bangunan sebagai masjid dan sahnya solat Jumaat bukan persoalan fiqh yang seratus peratus sama.
Sebab itu saya agak hairan apabila seseorang boleh mendahului pihak berautoriti agama lalu dengan mudah mengisytiharkan tidak sah solat Jumaat sedemikian.
Ini bukan perkara kecil.
Apabila kita menyebut sesuatu ibadah umat Islam “tidak sah”, kita sedang mengeluarkan satu hukum. Ia memerlukan disiplin ilmu, penelitian terhadap tasawwur al-mas’alah, penelitian terhadap syarat-syarat Jumaat, isu ta‘addud, mastautin, keizinan wali al-amr serta fakta sebenar bagaimana pelaksanaannya akan dibuat.
Lebih-lebih lagi apabila program tersebut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri sebagai imam dan khatib. Kalau ada persoalan hukum, tanyakan. Kalau ada dalil yang berbeza, bentangkan. Kalau ada khilaf, bahaskan secara ilmiah.
Tetapi jangan kerana mahu menyerang Menteri Agama, akhirnya kita begitu mudah mendahului autoriti dan menghukum ibadah orang lain sebagai “tidak sah” sebelum keseluruhan tatacara dan asas hukum pelaksanaannya pun diperincikan.
Saya juga tidak berminat menjadikan latar belakang pendidikan seseorang sebagai satu-satunya ukuran benar atau salah hujahnya. Hujah mesti dijawab dengan hujah.
Dalam isu ini, soalan yang perlu dijawab oleh Nurul Haq, nyatakan dengan tepat, dalam mazhab Syafi‘i, kitab mana dan qaul mana yang mengatakan solat Jumaat tidak sah semata-mata kerana ia dilaksanakan di bangunan yang bukan masjid yang digazetkan?
Kita boleh berbeza pandangan dengan Menteri. Kita boleh mengkritik Mufti. Ilmu fiqh jauh lebih besar daripada itu.
Dan kalimah “tidak sah” bukan bahan untuk mencari perhatian di media sosial.
الدعوى بلا دليل لا تُقبل
Dakwaan tanpa dalil tidak diterima.