
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 8 Oktober 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pengumuman berhubung isu lantikan pegawai perubatan secara kontrak akan dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pembentangan Belanjawan 2027, di Dewan Rakyat, petang esok.
Perkara tersebut disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) seraya menyebut, usaha menamatkan sistem lantikan kontrak itu menjadi antara hasrat utama beliau sejak kembali menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini sudah pun dipertimbangkan, mungkin kita perlu sedikit sabar menanti pengumuman yang bakal dibuat.

“Kita mengangkat pelbagai permohonan dan ada harapannya pada pembentangan belanjawan nanti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan perihal melonggarkan syarat kelayakan bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak yang memohon jawatan pegawai perubatan.
Jelas beliau, KKM memberi keutamaan kepada penuntut universiti di kedua-dua negeri berkenaan, namun syarat permohonan jawatan tertakluk kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Kita semua mahu memastikan jurang dan kelompangan ini akan dapat kita atasi dalam waktu terdekat,” katanya.

Isu doktor kontrak yang membelenggu KKM disasar untuk diselesaikan menjelang 2028 dengan menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah selepas menamatkan latihan masing-masing.
No comments:
Post a Comment