UMNO MEROYAN

Mula-mula dikatakan PAS mengikut telunjuk DSAI dan hanya akan menjadikan PAS parti serpihan sahaja.Malah menyelar PAS korbankan prinsip islam...Sebelum itu dikatakan jika PAS tidak menyertai Umno pun tidak mengapa asal keluar dari Pakatan Rakyat.Hari ini lain pula bunyinya ..pintu masih terbuka..Maka sah lah Umno ini masih gila talak atau meroyan tak tentu pasal mengajak PAS sertai Umno...

Muhyiddin selar PAS korban prinsip Islam kerana politik

Muhyiddin: Meskipun PAS terus tolak, pintu Umno masih terbuka


KUALA LUMPUR, 5 Jun — Meskipun PAS terus menolak kerjasama dengan Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi bahawa pintu komponen BN itu masih terbuka kepada parti Islam tersebut untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Timbalan presiden Umno itu berkata, idea berkenaan adalah demi Islam, bukan kerana kepentingan politik.

“Demi kepentingan rakyat, kita tidak pernah menutup pintu (kepada PAS). Sama ada menerima atau tidak, itu soal lain.

“Pelawaan kami bukan kerana politik, tetapi demi kepentingan politik. Dan, itu yang membezakan Umno daripada PAS, Umno melihat kepentingan rakyat secara keseluruhan manakala PAS hanya fokus pada kepentingan parti,” kata beliaus selepas mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi di ibu negara petang ini.

Dalam ucapan dasarnya kelmarin, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian partinya akan terus bersama Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 meskipun dihujani siri pelawaan dan jemputan daripada kepimpinan Umno sepanjang tiga tahun lalu.

“PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Dasar Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS,” kata beliau.

Kata Hadi, ia melibatkan satu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.

“Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat,” katanya.

Sejak pilihan raya umum 2008, PAS menerima pelawaan demi pelawaan sama ada secara langsung daripada Umno sendiri ataupun daripada pihak-pihak yang pro-Umno termasuk beberapa tokoh agama agar ia meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama BN atau berganding dengan Umno.

Idea itu termasuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Pelawaan itu sendiri pernah dipanjangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN dan presiden Umno dan juga Muhyiddin sendiri.

Awal tahun ini, The Malaysian Insider pernah membawa laporan bahawa empat pemimpin dari PAS dan Umno bertemu di Istana Terengganu di sini dan dilaporkan ada menyentuh soal kerjasama kedua-dua parti.

Hadi menambah, “kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan Umno-BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila.”

“Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan,” katanya.

Pemilih: Pakatan tak boleh kekal jika gagal sekat BN, kata Mat Sabu


GOMBAK, 5 Jun — Timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu memberi amaran negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Selangor, yang menjadi idaman pentadbiran Najib, sukar boleh dipertahankan jika perikatan itu gagal menangani pendaftaran pemilih baru dalam satu jumlah yang besar.

“Tumpuan utama mereka sekarang ini adalah untuk tawan Selangor. Tapi adakah kita boleh kekal Selangor jika program daftar ini giat dibuat oleh BN?” kata beliau (gambar) ketika membentangkan usul berkaitan Himpunan Bersih 2.0 pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di sini hari ini.

Usul itu mendakwa empat tuntutan utama Himpunan Bersih 2007 belum dilaksanakan.

Tuntutan itu ialah akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik, melaksanakan penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda, memansuhkan sistem undi pos dan umur 21 tahun secara automatik didaftar sebagai pengundi.

Tahun lalu, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta BN mempertahankan Selangor dengan apa cara sekalipun.

Dua minggu lalu, Najib menggesa hadirin Himpunan Sejuta Belia agar mempertahankan Putrajaya daripada dikuasai pembangkang.

Ketika membentangkan usulnya, Mohamad berkata, pendaftaran pemilih kini giat dijalankan oleh Umno-BN lebih-lebih lagi di Selangor.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, pada pilihan raya tahun 2004, pendaftaran pemilih mengalami peningkatan antara empat hingga tujuh peratus.

Katanya, “tujuh peratus itu berlaku apabila pendaftaran itu berlaku secara aktif.”

“Di Terengganu, pada tahun 1999 hingga 2004, pertambahan daftar pemilih meningkat sehingga 17 peratus. Tak ada parti politik lain yang mampu buat semua ini, lebih-lebih lagi dapat pertolongan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis,” katanya lagi.

Usul dibawa Mohamad disokong oleh perwakilan dari Hulu Selangor, Mohd Khairudin Osman.

Beliau berkata, pertumbuhan undi pada tahun 2010 melonjak sehingga 4,807 pengundi.

“Selain itu, jumlah keseluruhan pertambahan undi pada suku pertama tahun 2011 pula ialah sebanyak 80,000 dan peningkatan ini mengalahkan 17 peratus di Terengganu yang dicakap oleh timbalan presiden,” katanya.

Mohamad turut menyifatkan kemenangan Umno pada setiap pilihan raya adalah disebabkan adanya undi pos sebagai penyelamat.

Kata beliau, undi pos merupakan salah satu senjata yang digunakan oleh Umno semasa pilihan raya.

“Sebagai contoh semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang, PAS sudah mendahului dengan 1,000 undi. Tetapi bila sampai sahaja undi pos, kita kalah dengan 58 undi sahaja dari Umno,” katanya.

Oleh itu, dalam ucapan usul itu, Mohamad menyeru agar semua ahli PAS akan turut serta dalam Himpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2 (Bersih 2) pada 9 Julai di Kuala Lumpur.

“Saya menyeru, agar pada perhimpunan itu, ahli PAS sahaja melebihi 300,000. Kita akan bekerjasama dengan parti politik lain, NGO untuk membuat tuntutan dan berusaha agar pilihan raya umum ke-13 nanti akan diadakan secara adil,” katanya.

Nik Aziz: ‘Mat Sabu menang kerana undi sah, bukan sebab undi MyKad’


Suasana dalam dewan ketika Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan ceramahnya sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewarm Gombak malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 5 Jun — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperakui kemenangan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden baru sambil menyifatkan pemimpin vokal itu menang dengan “undian sah” perwakilan yang yakin kerana kepimpinannya.

Mohamad atau dikenali sebagai “Mat Sabu” menang kerusi nombor dua itu dengan menewaskan dua calon termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, sekali gus menyaksikan majoriti barisan kepimpinan parti itu kali ini dikuasai kumpulan profesional.

Dilihat merujuk kepada dakwaan pendaftaran pengundi kalangan rakyat asing menjelang pilihan raya umum, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Mohamad mencapai kejayaannya menerusi undian sah daripada perwakilan PAS.

“Dia (Mat Sabu) bukan menang sebab undi MyKad, bukan undi dari Bangladesh tetapi undi daripada PAS sendiri.

“Perwakilan PAS yakin dengan kepimpinan Mat Sabu. Oleh sebab itu mereka mengundinya,” kata beliau pada ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS di sni malam tadi.

Mohamad memperoleh 420 undi. Nasharudin yang menyandang jawatan itu sejak 2005 hanya menerima 224 undi manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat 399 undi.

Jelas Nik Aziz, Mohamad telah melibatkan diri dalam politik khususnya bersama-sama PAS sejak di peringkat universiti.

Ujarnya, ketika Mohamad masih belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), beliau sudah terlibat dengan PAS.

“Itulah kelebihan Mat Sabu sebenarnya,” ujar Nik Aziz lagi.

Selain itu, beliau juga menyatakan rasa bangga apabila musuh-musuh politik membenci presiden dan timbalan presiden PAS — yang dilihat merujuk kepada serangan Umno dan BN terus-menerus dan ia meningkat menjelang pemilihan parti itu.

“Itu perkara bagus pihak lawan benci jawatan utama dalam PAS.

“Saya hanya mendoakan dia (Mohamad) diambil Allah kerana ketaqwaannya,” ujarnya lagi.

Nik Aziz menambah, Mohamad rapat dengan umat Islam, bukan Muslim serta bukan ahli-ahli PAS kerana cara dan perwatakan beliau.

“Dia lebih rapat dengan orang bukan Muslim disebabkan dia mudah mesra.

“Saya pun tidaklah rapat sangat sepertimana Mat Sabu rapat,” ulas Nik Aziz lagi.

Sehubungan itu, beliau yakin Mohamad boleh memainkan peranan segera untuk memikat golongan bukan Islam dan bukan ahli PAS menyokong parti itu dalam pilihan raya umum.

“Kita sudah ada pemimpin yang rapat dengan orang sekeliling. Ini akan memudahkan PAS menarik undi,” tambah Nik Aziz.

Dalam ceramahnya, Naib Presiden PAS baru Datuk Paduka Husam Musa pula berkata, mandat diberikan perwakilan merupakan satu tanggungjawab besar.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu menambah, beliau berharap barisan kepimpinan 2011-2013 mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

“Rumah Umno sudah hampir runtuh. Kita perlu tunjangi PAS dan melalui sebuah proses demokratik dengan adanya barisan kepimpinan ini.

“Kita tak pindah dari konsep kepimpinan ulama walau sedetik kerana kita dididik oleh ulama dan kepimpinan tertinggi PAS juga merupakan golongan ulama,” katanya.

Menyentuh mengenai Himpunan Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, Husam beranggapan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umpama petanda Putrajaya akan “jatuh.”

“Hal ini kerana Najib memberi amanat kepada generasi muda agar mempertahankan Putrajaya pada hari tersebut.

“Dalam ucapan Najib tempoh hari, nampak seperti Putrajaya ingin jatuh. Saya nak tanya, Putrajaya memang nak jatuh kah, sampai perlu mengumpul sehingga beribu-ribu belia dan memberi amanat?

“Kalau Umno di ambang kejatuhan... apa tunggu lagi. Takkan nak tunggu sampai rumah runtuh baru nak lari. Saya harap rakan dalam Umno juga boleh sama-sama kami berjuang untuk ke Putrajaya kerana rumah mereka sendiri sudah nak runtuh dah,” katanya lagi.

Selain Husam, dua lagi naib presiden ialah Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang mempertahankan kerusi mereka.

Selain kedua-dua mereka, ceramah turut disampaikan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad, Salahuddin dan Mahfuz.

Muktamar 2011 akan berakhir petang ini.

Mat Sabu: Dulu lain sekarang lain, saya tak serang lagi Anwar

Mohamad Sabu ketika diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS pagi tadi. – Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 4 Jun – Mohamad Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden baru PAS menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak lagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun musuh politik beranggapan beliau tidak akan sebulu dengan Ketua Umum Pakatan Rakyat berdasarkan perkembangan dekad-dekad lalu.

Beliau mengakui pernah mengecam dan menyerang secara politik pada 1980-an dan 1990-an iaitu ketika Anwar masih berada dalam Umno.

“Pada masa 80, 90-an, Anwar dalam Umno. Dia mendokong dasar-dasar Umno. Sebab itu saya kecam.

“Kini, Anwar sudah beralih ke Pakatan, jadi kita sama-sama bekerjasama dalam satu pasukan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di akhir hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” memperoleh 420 undi untuk menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa yang hanya memperoleh 224 undi dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima 339 undi.

Anwar menyertai Umno 1982 dan dipecat pada September 1998.

Sejak 2008 Anwar mengetuai Pakatan Rakyat dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Petang tadi, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mendakwa suara Anwar dalam PAS ekoran keputusan pemilihan 2011-2013 ditentukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwanya sebagai “pak turut.”

“Suara Anwar dalam PAS ditentukan oleh (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Aziz dan (Presiden PAS) Haji Hadi (yang) jadi pak turut... yang lain tidak releven... memang ada yang Erdogan, ulama dan macam-macam lagi.

“Tetapi semua tidak beri apa-apa kesan kecuali Datuk Nik Aziz dan pak turut Haji Hadi,” kata Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Kelantan ini pada pilihan raya umum 2008 bertanding dan menang menggunakan lambang PAS.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali pula berkata kemenangan Mohamad pasti akan mengecewakan Nik Aziz, Hadi dan puak ulama dan puak Erdogan.

“Mat Sabu hanya belajar di ITM dan tidak tamat, bukan lulusan pengajian agama Timur Tengah. Ianya memalukan gulongon ulama PAS kerana Mat Sabu tiada kelulusan akademik manakala puak Erdogan juga lagi kecewa kerana Mat Sabu tidak sokong Anwar,” katanya dalam kenyataan berasingan.

“Malah Mat Sabu yang mengelar Anwar Al-Juburi... kehebatan Mat Sabu, namanya Muhamad sama nama Rasullulah, tapi nama bapa Sabu.. tiga naib presiden pula adalah tokoh duniawi iaitu dua ada ijazah dan satu lagi dikatakan hanya SPM saja.

“Pada pendapat saya barisan pimpinan PAS baru ini semakin menyukarkan usaha ke arah perpaduan Melayu,” kata beliau lagi.

Mengenai kecaman itu, Mohamad yang kelahiran Pulau Pinang berkata, itu perkara biasa dan sesiapa sahaja boleh mengecamnya sebab beliau juga ada mengecam orang.

“Jadi, ini bukan masalah. Sekarang, saya menjadi timbalan, akan ramai lagi yang kecam saya. Saya sedia hadapi kritikan orang,” kata Mohamad yang pernah menjadi anggota Dewan Rakyat.

Mengulas pandangan Ibrahim itu, Mohamad berkata, itu pendapat peribadi wakil rakyat berkenaan dan “suka hati dia nak cakap apa.”

“Saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau itu pandangan organisasi, lain ceritalah. Ini pandangan peribadi,” katanya lagi.

Pendaftaran PKR : ROS Puas Hati, PKR Tarik Saman




PETALING JAYA 3 JUN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berpuas hati dengan penjelasan dikemukakan dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftaran PKR yang diterima parti itu minggu lalu.

Setiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam kenyataan medianya memaklumkan, pihak ROS tidak akan meneruskan tindakan tersebut.

Ekoran keputusan itu katanya, pihak parti memutuskan untuk membatalkan hasrat menyaman ROS memandangkan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

Sebelum ini, PKR memfailkan tindakan undang-undang terhadap ROS bagi mencabar keputusan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lalu yang dikeluarkan ROS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966, untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Ini berikutan terdapat kes kononnya PKR memecat ahlinya yang bernama A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin parti terlebih dahulu walhal perkara itu tidak berlaku dalam parti itu kerana Fasal 32.2.1 Perlembagaan Parti tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

PKR mendakwa keputusan ROS bagi membatalkan pendaftaran parti itu dibuat berdasarkan niat jahat (malafide) dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian dalam pilihanraya umum akan datang.

Video Seks : Umno Makin Terdesak




SHAH ALAM 3 JUN: Tindakan gerombolan blogger pro-Umno-Barisan Nasional (BN) menyebarkan tiga lagi klip video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempengaruhi PAS supaya merenggangkan diri dari Pakatan Rakyat tidak akan berjaya, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Malah sebaliknya, kata beliau, ia menjadi dalil lebih kukuh di kalangan pimpinan PAS bahawa Umno-BN kini semakin terdesak di ambang menghadapi pilihanraya umum ke-13 apabila ikatan di kalangan kerabat Pakatan Rakyat kini adalah lebih akrab.

Ditokok hakikat bahawa tindakan jijik mereka ini terus diberi imuniti oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dan sekaligus berterusan memperlekeh bidang kuasa polis di negara ini, ia menyemai kebencian yang lebih menebal di kalangan rakyat, kata Rafizi.

"Mereka ini mendapat gaji dan upah daripada Umno secara langsung. Mereka tidak boleh menyembunyikan orang seperti PapaGomo dan lain-lain. Bila dia teruskan juga permainan ini dan polis tidak mengambil tindakan kepada juak Umno ini maksudnya Umno sudah hilang arah dengan isu-isu rakyat," ujar beliau.

Rafizi yang dihubungi Tv Selangor petang tadi memberi respon terhadap pendedahan terbaru tiga rakaman video seks berlainan sudut dengan mendakwa muka pelaku kelihatan "lebih jelas dan mirip Anwar".

Tiga video berkenaan dimuat naik laman blog anwarcctv.wordpress.com pagi tadi melalui notis sebuah email yang dihantar kepada wakil-wakil media oleh individu bernama Salina Aina.

Tindakan itu dipercayai dilakukan sempena Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke-57 yang bermula hari ini di Taman Melewar, Gombak.

Rafizi kemudian mengulangi pendirian PKR bahawa Umno-BN tidak mampu berdepan dengan isu rakyat termasuk harga rumah tinggi, purata pendapatan rakyat rendah dan kenaikan harga barang.

Tambahnya, setiap serangan daripada parti itu akan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan Pakatan Rakyat menentang politik kotor seraya mengangkat semula martabat rakyat.

 Beliau berkata, jika Umno-BN meneruskan usaha meracuni pemikiran rakyat melalui kaedah politik lucah maka parti itu akan terus dihindari pengundi.

"Orang Umno sahaja yang mahu tengok video lucah itu. Kita tidak pernah dibuktikan ada apa-apa petanda yang menunjukkan lebih berminat dan menerima baik (video).

"Setakat ini bila kita bertemu dengan rakyat, majoriti tidak suka. Maklumat mana Umno dapat mengatakan rakyat suka dan isu ini akan jadi daya tarikan besar kepada mereka?" ujar Rafizi lagi.

Rafizi berkata, negara harus fokus kepada dakwaan pemberian komisyen berjumlah RM534 juta oleh kerajaan Malaysia dalam isu skandal pembelian dua kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ini kerana perbicaraan itu melibatkan integriti kepimpinan tertinggi negara Malaysia dan dipercayai berkait rapat dengan jenayah pembunuhan jurubahasa warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

"Saya setuju antara banyak-banyak perkara yang kita perlu tumpukan adalah kes Scorpene dan rakyat lebih terkesan dalam kes ini. Tapi Umno memang tidak mahu berdepan dengan kes-kes seperti ini," katanya.

Tiga klip rakaman video lucah yang didedahkan hari ini dipercayai telah disunting daripada video asal yang ditayangkan oleh trio 'Datuk T' kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu di Hotel Carcosa Seri Negara.

Rakaman pertama berdurasi 15 minit dan 3 saat, manakala klip kedua adalah selama 17 minit dan 59 saat serta klip ketiga selama 13 minit dan 36 saat.

Berbeza dengan sebelum ini, klip video kali mempunyai latar muzik yang bermula dengan Hawaii 5-O, diikuti lagu dangdut Kelantan, lagu 'It Wasn't Me' oleh artis reggae Shaggy, lagu kumpulan tempatan The Fabulous Cats - Papa Jahat dan diakhiri dengan lagu Zee Avi - Kantoi.

Mahfuz : Kalah Atau Menang, Kesetiaan Tetap Pada Parti




GOMBAK 3 JUN : Pemilihan PAS yang diadakan ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 memperlihatkan keutuhan parti berusia 60 tahun itu.
Malah PAS kini boleh berbangga dengan kematangan politik dan kesetiaan ahlinya dalam menjayakan demokrasi dan mendapat tempat di hati rakyat negara ini.
Calon Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa dilihat tenang dan bersahaja ketika menyatakan situasi itu kepada TV Selangor hari ini.

"Ini tunjukkan kesepaduan yang ada dalam PAS. Walaupun ada pertandingan semua bersatu padu.

"Pertandingan paling hangat ialah Timbalan Presiden. Tapi saya juga menang ikut pemilihan...perbezaan pendapat di kalangan ahli adalah untuk kebaikan kerana semua berlumba-lumba untuk beri sumbangan kepada parti," kata beliau.

Seorang lagi calon jawatan tersebut Mohamad Sabu menyatakan betapa ini merupakan keistimewaan PAS yang jarang dilihat pada parti lain.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS yang mengamalkan keterbukaan dalam pemilihan calon pilihan raya mengelakkan ahli mereka dari cuba melobi dengan cara yang tidak sihat untuk menang.

"Calon pilihan raya tak semestinya yang menang. Kalau rasanya boleh menang di suatu kawasan, ahli baru pun boleh bertanding. Sebaliknya walaupun jika seseorang itu Ahli Jawatankuasa Pusat, jika tempat tidak sesuai, beliau tidak dibenarkan bertanding," kata beliau.

Calon Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan betapa ahli parti itu jauh lebih matang dalam politik berbanding BN.

"Ini buktikan PAS ada kematangan. Soal pemilihan mesti diteruskan, Muktamar mesti diteruskan, pilihan raya mesti bersedia.

"PAS tidak takut berhadapan risiko seperti Umno dan parti BN lain. Setiap mereka yang bertanding, menang atau kalah tetap setia kepada parti," kata Mahfuz.

Hal ini turut dikagumi oleh mereka yang baru menyertai dan mengenali PAS dengan lebih mendalam.

Bekas pelawak Bob Lokman ketika ditemui TV Selangor menyatakan beliau melihat Muktamar PAS ibarat pertemuan keluarga yang besar.

"Banyak perhimpunan yang saya sertai tapi perhimpunan PAS paling 'cool'. Semua berpegang pada satu perkara. Walaupun ada pertandingan. Kita nampak semua bersatu, macam dalam keluarga yang besar," ulas beliau yang pertama kali menghadiri Muktamar PAS selepas menyertai parti itu beberapa bulan lalu.