Bajet 2012 : Pakatan Kaji Tingkat Gaji Minimum

PETALING JAYA 27 OGOS : Pakatan Rakyat komited dalam memelihara kebajikan golongan pekerja menerusi penetapan jumlah gaji minimum kepada semua golongan pekerja di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diambil bagi menyelaraskan produktiviti yang disumbangkan golongan pekerja dengan pulangan yang diterima oleh mereka.

"Kita mengambil kira satu kajian yang diperkukuhkan oleh Bank Negara dimana wujud peningkatan dalam produktiviti dalam negara tetapi tidak selari dengan upah atau gaji,"katanya dalam sidang media selepas siri rundingan gagasan itu dengan Kesatuan Sekerja dan beberapa wakil daripada syarikat ekonomi di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Bagaimanapun Anwar berkata, perkara tersebut tidak boleh dilakukan secara berasingan dan ia perlu dijalankan serentak dengan dasar untuk mengurangkan rasuah dan meningkatkan kecekapan, khususnya dalam sektor kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kami kesal kerana walaupun GLC seperti Proton dan Perodua membayar gaji asas di bawah garis kemiskinan pada RM650 sebulan.

"Dengan dasar alternatif untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan, tidak rasuah dan mengurangkan kos melalui tender dan rundingan semula tawaran yang tidak adil seperti tol lebuh raya, kami berharap untuk mempunyai lebih banyak penjimatan dan peningkatan hasil ... yang membolehkan kita boleh untuk membantu pekerja dengan perjanjian yang lebih baik dan lebih adil, "katanya.

Selain itu, siri rundingan ini juga mendedahkan bahawa Barisan Nasional selama ini cuba berdolak dalih dan tidak mahu membuat satu penetapan jumlah gaji minimum kepada golongan pekerja di seluruh negara.

"Kita telah memutuskan supaya hal ini diberikan perhatian dan kita akan adakan beberapa rundingan tambahan bagi membincangkan hal ini agar ia selari dengan pendirian kita dalam buku jinga."ujarnya.

Merujuk muka surat 23 dalam Buku Jingga, Anwar berkata, di bawah dasar bersama Pakatan Rakyat, antara lain berjanji memperkenalkan skim gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

Jelasnya lagi, ia juga akan memperkenal Akta Peluang Saksama bagi memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua rakyat, sekiranya gabungan itu mengambil alih Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa Buku Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga mampu memberi tamparan hebat dalam kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak apabila satu persatu perubahan dilakukan sebagai respon kepada isi kandungan buku tersebut termasuk isu gaji minima yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat.

"Kejayaan buku jingga ini berjaya memaksa kerajaan dan Dato Seri Najib Razak untuk membuat beberapa perubahan termasuk pindaan undang-undang bagi memperkenalkan majlis perundingan yang khusus membincangkan soal gaji minima."

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.