Anwar masuk ke ICU Azizah


Harakahdaily



KUALA LUMPUR, 22 April: "Alhamdulillah kesihatan terkawal - belum ke ICU hanya ICU khas jagaan Azizah," tulis Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui twitternya hari ini ekoran berita yang tersebar kononnya sakit tulang belakang beliau berulang kembali.

"Insyaallah akan terus dengan jadual ke PK (sabtu) dan Kuching (Ahad)," sambung beliau.

Malayskini hari ini menyiarkan berita Ketua pembangkang dan ketua umum PKR itu telah membatalkan lawatan dua harinya ke Pulau Pinang yang sepatutnya dijadualkan bermula hari ini.

Menurut sumber dalaman parti, Anwar, yang juga ahli parlimen Permatang Pauh terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di Kuala Lumpur kerana sakit tulang belakangnya berulang.

Sumber itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sejauh keseriusan sakit tersebut berikutan jadual ketat Anwar ketika berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali dijangka menggantikan Anwar di Pulau Pinang.

Anwar dijadualkan menghadiri beberapa majlis termasuk menghadiri perbincangan 'maqasid syariah' di Dewan Sri Pinang di Georgetown.


Kenapa UMNO BN Bermati- matian Mahu Cemar Nama Baik Anwar



SHAH ALAM 22 APRIL : Tv3 selesai merakamkan siri laporan terbaru merangkumi tuduhan- tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu bergelut dengan fitnah video lucah 'Datuk T', sumber- sumber memberitahu Tv Selangor.

Laporan yang bakal disiarkan di Buletin Utama itu akan menyaksikan S. Nallakarupan membuat pelbagai dakwaan terhadap Anwar, sumber- sumber yang rapat dengan bekas pemimpin MIC itu mengesahkan.

“Kemungkinan besar dakwaan- dakwaan Nallakarupan itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat untuk memberikan lebih tekanan kepada Anwar, “ kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Kebanyakan dakwaan- dakwaan Nalla itu “bukan perkara baru,” cuma disadurkan dengan butir- butir terperinci dalam usaha meyakinkan rakyat terutama pengundi Melayu, kononnya Anwar pemimpin tidak bermoral.

Rasanya tidak perlu dihuraikan rekod Nalla, seorang rakan karib Anwar yang kemudian merajuk dan berpaling tadah apabila tidak dipilih menjadi calon untuk pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2006.

Hakikatnya adalah, dakwaan dan tuduhan terhadap Anwar diperhebatkan di Tv3 dan media arus perdana kawalan UMNO sejak pilihanraya Sarawak.

Walaupun PRN Negeri itu sudah berlalu, namun serangan terhadap Anwar tetap dipanjangkan dan menimbulkan persepsi BN, khususnya UMNO, sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya umum dalam tempoh terdekat.

Awal minggu ini, Parti Keadilan Rakyat memberi amaran kepada rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tetap akan mencari ikhtiar untuk mendakwa Anwar bersabit video lucah Datuk T.

Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu.

Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan.

Pada masa sama, Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan UMNO memetik sumber- sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video 'Datuk T' sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio metrik.

Semua “fakta- fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP.

Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video 'Datuk T'.

Pada masa sama, individu- individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan- tuduhan lain terhadap Anwar.

Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar ?

Jawapannya berkait dengan Piliharaya Umum ke- 13 dan pemilihan UMNO yang akan datang. Kedua- duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para strategis UMNO menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan.

Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik- beratkan soal agama dan moral – justeru itu Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu- talu dalam hasrat UMNO untuk memberi isi kepada persepsi itu.

Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah 'Datuk T' dimainkan di kem- kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.

Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan Presiden UMNO akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Walaupun pemilihan UMNO masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan- garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem- kem tertentu dibentuk dan dipupuk.

Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno.

Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri.

Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar Ibrahim harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum.

Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu, Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum.

Sementara menunggu detik itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3.

Biometrik : Undang PKR Analisis Video Seks, Jika Benar Terbukti Berkesan


SHAH ALAM 22 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti terhadap laporan analisis rakaman video seks sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan, yang mengatakan pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, analisis yang kononnya menggunakan proses biometrik itu tidak akan bermakna jika tidak disusuli dengan fakta dan bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan laporan akhbar Berita Harian semalam berjudul 'sepadan anwar' tidak lebih daripada agenda politik jahat UMNO BN untuk mengaburi mata rakyat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini bertindak menghantar sampel rakaman video seks itu kepada agensi penyiaran terkemuka itu untuk dianalisis, 4 April lalu.

Keputusan analisis kononnya menggunakan proses biometrik atau mesin imbasan diri berkomputer, itu diperolehi Acryl 10 April lalu.

Rafizi menambah, jika benar apa yang didakwa agensi penyiaran terkemuka itu, polis seharusnya mengemukakan bukti dan mengundang parti PKR untuk turut sama menganalisis video itu menggunakan teknik yang sama.

“Kalau mereka betul-betul berani dan yakin bahawa laporan pakar tu betul dia patut bagi satu salinan kepada kita untuk kita juga hantar kepada pakar yang kita lantik.

“Sebab pakar berdasarkan rekod dia selama ini yang dia kata pakar itu tak pakar pun yang dia buat test itu sebenarnya tak wujud semata-mata dibuat cerita untuk jadi bahan politiklah,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor hari ini," kata Rafizi.

Beliau berkata, cerita terbaru ini adalah satu lagi cerita yang direka kerana sebelum ini terdapat beberapa cerita yang dilaporkan berhubung kes video seks itu.

Rafizi juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang bersikap sambil lewa dan tidak menjawab kepada persoalan pokok. Beliau juga dilihat seringkali memberikan hasil laporan yang tidak lengkap kepada pemberita.

“Sebelum ini pun dia gunakan plot yang sama dia buat cerita dalam media tanpa memberikan fakta yang sepenuhnya pada rakyat contohnya kalau dalam cerita video ini mulanya dia cerita pasal jam Omega. Kemudian dia kata dia sudah dapat kenal pasti siapa tuan punya jam Omega.

"Hari ini dalam laporan yang sama polis beritahu bahawa dia tidak boleh kenal pasti jam Omega tu siapa-siapa sebab pendaftaran nama jam Omega hanya bermula tahun 2008,” katanya.

Muhyiddin Memburu Guru, Kebajikan Terabai


KUALA LUMPUR 22 APRIL: PAS kesal terhadap sikap Kementerian Pelajaran di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Dr Fuad Zarkashi yang sibuk memburu guru-guru yang terlibat dengan pembangkang sebaliknya mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah.

Terkini, tindakan pertukaran Cikgu Maaruf Mutalib daripada Sekolah Menengah Tenang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengelih Pengerang Kota Tinggi, adalah satu contoh "politik barbarian" yang diulang semula di Kementerian Pelajaran.

Pertukaran kerana surat cuti sakit Cikgu Maaruf semasa pilihan raya kecil Tenang.

“Persoalannya surat sakit yang dikemukakan ialah daripada doktor hospital kerajaan, bukan daripada dukun,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin dan Dr Fuad perlu turun ke padang melihat sendiri kebajikan guru-guru yang dibebankan dengan berbagai tugas.

Menurutnya, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai tuntutan perjalanan yang dibuat oleh guru-guru yang pergi kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sejak bulan Mac 2010 masih tidak dapat.

Begitu juga, katanya lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 merupakan satu lagi ukuran kegagalan Muhyiddin dan Dr Fuad untuk membuat unjuran keperluan guru-guru di sekolah-sekolah.

“Akhirnya guru ini terpaksa mengajar mata pelajaran lain daripada pengkhususannya.

“Apabila keadaan ini berlaku yang menjadi mangsanya ialah murid-murid sedangkan Muhyiddin begitu lantang mengkritik tawaran Pakatan Rakyat kepada guru-guru, imbuhan bulanan RM500, sehingga menuduh negara akan hancur dan bankrap.

“Nampaknya sekarang siapa yang bankrap sehingga peruntukan untuk kementerian beliau tidak cukup,” ujarnya.

Beliau berkata, jika itulah watak menteri yang menguruskan kilang yang melahirkan modal insan, maka negara akan hancur kerana meritnya bukan kebolehan tetapi ketaksuban kepada Umno.

Idris turut mempersoalkan kenapa Pengarah Pendidikan Johor, Markom Giran tidak diambil tindakan kerana berkempen kepada guru-guru ketika pilihan raya kecil Tenang.

“Akhirnya kita ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin janganlah kamu melakukan kezaliman, kerana doa orang yang zalim tidak ada hijab dengan Allah.

“Ingatlah bahawa kamu ada anak isteri dan keluarga, kalau kamu tidak suka dizalim, Cikgu Maaruf dan Cikgu Normala juga tidak suka dizalimi,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khas untuk Fuad Zarkashi mengenai kata-kata Asy-syahid Syed Qutb di dalam buku yang dibaca sewaktu bersama PAS dahulu iaitu "kezaliman walaupun nampak kuat, ia tidak kekal, sedangkan kebenaran walaupun nampak lemah, ia akan menang".-Harakahdaily

PKR kepada polis: Dedah siapa di sebalik video seks 1999 "Siapa Anwar"

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan hari ini dalam portal Internet "The Malaysian Insider" yang ditulis oleh Shannon Teoh, seorang bekas pegawai polis Mat Zain Ibrahim mendedahkan sebuah video bertajuk "Siapa Anwar" yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim diedarkan di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum November 1999.

Laporan polis dibuat berkenaan video tersebut. Mat Zain yang ketika itu mengetuai Jabatan Penyiasatan Jenayah, Kuala Lumpur memaklumkan bahawa siasatan dibuat berikutan laporan polis tersebut dan polis mengenalpasti sumber video seks 1999, tetapi tidak dapat mengenalpasti siapa di belakang video seks 1999 ini, tetapi tidak dapat mengenalpasti siapa di belakang pengedarannya kepada orang ramai.

Beliau turut mencadangkan bahawa Rahim Thamby Chik mungkin dikaitkan dengan video yang muncul pada 1999, bermotifkan balas dendam terhadap Anwar Ibrahim memandangkan Anwar telah membuat laporan polis pada 20 Ogos 1999 daripada penjara Sg.Buluh terhadap Rahim yang menuduh tindakan jenayah dan rasuah oleh Rahim, hanya tiga bulan sebelum kemunculan video 1999 tersebut.

Kami mengambil maklum bahawa polis telah mendedahkan butir-butir mengenai siasatan video seks terkini secara aktif dan luar biasa pada tempoh-tempoh yang tertentu.

Parti Keadilan Rakyat menggesa Ketua Polis Negara, Ismail Hj Omar, untuk memaklumkan kepada orang ramai siapakah yang dikenalpasti polis pada 1999 sebagai pihak di belakang video seks 1999. Keadilan juga menggesa KPN untuk memaklumkan kepada orang ramai apakah tindakan yang diambil terhadap pihak yang dikenalpasti di belakang video seks 1999.

*Kenyataan media oleh Sivarasa Rasiah (gambar kiri) selaku ahli Biro Politik, Parti Keadilan Rakyat merangkap ahli parlimen Subang.

Tarikh PRU 13: Jun 2011, atau 2013?


Lim Hong Siang

Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak kini berada dalam dilema, sama ada untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 pada Jun 2011, lantas menutup ruang untuk persediaan pembangkang; ataupun menunggu sehingga tahun 2013? Keputusan Najib bergantung kepada pertimbangannya, sama ada untuk menawan semula hati pengundi Cina / Kristian, ataupun hanya menyasarkan undi Melayu?

Demikianlah ulasan Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong terhadap senario politik selepas PRN Sarawak. Menurut Liew, Najib terpaksa memilih, antara pendekatan untuk mengembalikan sokongan Cina, atau menerima pandangan yang diketengahkan melalui Utusan Malaysia, iaitu usah lagi mempedulikan pengundi Cina, dan mendukung konsep "1Melayu 1Bumi" pada masa yang akan datang.

Namun demikian, Liew menambah, sementara pengundi Cina memperlihatkan kecenderungan yang jelas untuk menyebelahi Pakatan Rakyat, Najib dan UMNO tidak pasti sejauh manakah sokongan masyarakat Melayu terhadap UMNO-BN. Lebih-lebih lagi, apabila Sarawak yang disifatkan sebagai "deposit tetap" BN, kini menunjukkan kecenderungan untuk pembangkang.

Taib Mahmud dan PBB

Liew Chin Tong mengulas selanjutnya, keputusan PRN Sarawak meletakkan BN pada dilema ketika berdepan dengan Taib Mahmud. Seandainya Taib Mahmud masih enggan berundur dari jawatan Ketua Menterinya, maka isu ini akan dimainkan semula dalam PRU 13.

Namun demikian, ini bukan bermakna BN tidak menghadapi masalah seandainya Taib Mahmud berundur. Taib yang sudah sekian lama menguasai politik di Sarawak, mampu memenangkan kerusi untuk BN. Berbeza dengan Semenanjung, parti tempatan di Sarawak meletakkan pemimpin utama mereka di dalam DUN, sebaliknya mereka yang bertanding untuk kerusi parlimen adalah pemimpin garisan kedua, atau ketiga dalam parti.

Justeru itu, penguasaan terhadap akar umbi masyarakat tempatan oleh pemimpin pinggiran tidak sekuat pemimpin utama. Keadaan ini akan menjadi sukar untuk BN kerana "sistem lama" Taib itu telah dicabut, menyusuli langkah Taib. Apatah lagi apabila Sarawak perlu berdepan dengan "perompakan terakhir oleh kroni Taib" sebelum orang kuat ini berundur dari pentas politik.

Liew Chin Tong menambah, di Semenanjung Malaysia pula, Najib belum menyelesaikan masalah jurang kaya-miskin yang melebar dalam masyarakat Melayu sendiri. Malah, masalah inflasi lantaran kenaikan harga minyak, harga barang bakal menambah rintihan masyarakat Melayu, yang belum pastinya memberi sokongan kepada UMNO-BN.

Liew (gambar kiri) memberi angkanya, iaitu PRU ke-12 memperlihatkan 51% pengundi Semenanjung menyokong DAP, PAS dan PKR, walaupun PR memperolehi 80 kerusi berbanding BN dengan 85 kerusi. BN terselamat kerana kerusi dari Malaysia Timur. Namun, berdasarkan keputusan PRN Sarawak pada 16 April 2011, Liew Chin Tong berkata ia bakal diterjemahkan kepada kekalahan BN sebanyak 10 kerusi parlimen di Sarawak. Malah seandainya pola pengundian Cina sedemikian berlaku di seluruh negara, maka BN mungkin kehilangan 20 hingga 30 kerusi dari negeri lain, misalnya Johor, Sabah dan sebagainya.

Demikianlah analisa Liew Chin Tong dalam satu forum anjuran Oriental Daily, berjudul "Angin perubahan dalam komuniti Cina: Adakah Sarawak masih ATM?" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Eksekutif Ketua Pengarang Oriental Daily, Ding Lee Leong dan pengkaji politik, Wong Chin Huat juga hadir sebagai panelis untuk berkongsi pandangan mereka dengan kira-kira 200 orang hadirin.

Strategi kemenangan DAP

Selain itu, Liew Chin Tong juga berkongsi strategi kemenangan DAP. Berbeza dengan SUPP yang mempertanggungjawabkan syarikat pengiklanan untuk bahan iklannya, iklan DAP direka oleh pekerja partinya yang muda. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana DAP boleh respon secara langsung dan berkesan terhadap serangan musuh politik, malah dengan cara yang kreatif dan menarik.

Liew Chin Tong mengisahkan bagaimana tema kempen mereka direka, bermula dari perbandingan Ketua Menteri antara Lim Guan Eng dengan Taib Mahmud, dan kemudian berubah kepada "memeluk harapan" pada dua hari terakhir sebelum hari pengundian. Suasananya amat terharu apabila hadirin tampil membawa anak-anak mereka ke ceramah, malah berebut-rebut untuk membeli mascot "ubah" DAP.

Ding Lee Leong (gambar kanan) pula berkata, SUPP sebenarnya dikalahkan oleh dirinya. Parti ini dibelenggu dengan pelbagai masalah, sudah diberi tamparan ketika PRN Sarawak 2006. Misalnya, pengganti Presiden SUPP yang dicadangkan George Chan, kesemuanya sudah tua-tua belaka - mustahil menggarap imaginasi pemuda. Bagaimanapun, beliau berkata kekalahan teruk SUPP kali ini bukan disebabkan pengundi muda (kerana pengundi muda tidak menyokong SUPP sebermulanya), sebaliknya pengundi tua yang berpaling tadah.

Ding Lee Leong menambah, pandangan bahawa "pembangkang akan kalah bila berdepan dengan politik wang" hilang mujarab kali ini, jikalau diambil contoh kemenangan Baru Bian yang berjaya menangkis serangan wang. Namun, kemenangan ini memerlukan syarat, iaitu perkhidmatan di komuniti orang asal yang berjangka panjang.

Wong Chin Huat (gambar kiri) pula menekankan kepentingan "kabinat bayangan", mendesak agar barisan pembangkang menggarap imaginasi rakyat dengan menampilkan pasukannya kepada rakyat. Beliau berkata pembangkang tidak boleh hanya "berperang", sekadar "menawan", tetapi tidak menunjukkan tekad mereka dalam "urus-tadbir" negara.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Fitnah diyakini makan tuan


aziz Muda

KUALA LUMPUR, 21 April: Sebaran fitnah yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Datuk Mohd Ghazali menerusi pemasangan banner-banner tidak bertanggungjawab hari ini, diyakini akan memakan tuannya sendiri.

Keyakinan itu disandarkan kepada pengakuan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan Kampung Baru sendiri, berkaitan sikap dan tindakan sebenar Dr Lo' Lo' berhubung kejadian itu yang sememangnya sudah berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu mangsa dan mengatasinya.

Beberapa orang penduduk yang ditemui mengakui, sebaliknya yang jelas tidak bertanggungjawab berhubung kejadian itu bukanlah Dr Lo' Lo', tetapi pihak yang menyebarkan fitnah itu sendiri, sehingga mereka bukan sekadar tidak melakukan sebarang tindakan bagi membantu mangsa dan mengatasi kejadian itu, malah tidak pernah menjenguk ke tempat kejadian sejak kejadian itu berlaku.

"Itulah yang dapat disimpulkan. Jadi pihak yang menjadi mangsa fitnah, khususnya Dr Lo' Lo', tidak perlu risau dengan fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menerusi pemasangan kain rentang itu kerana ia dapat dinilai oleh orang ramai sendiri.

"Sebaliknya, pihak yang menyebarkan fitnah itu pula yang perlu berjaga-jaga kerana fitnah itu diyakini akan berpusing kepada mereka sendiri pula nanti," tegas seorang penduduk di Kampung Baru, Yusof Sukarman, 47, ketika ditemui di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemasangan banner-banner berunsur fitnah terhadap Dr Lo' Lo' hari ini, ekoran kejadian tanah jerlus di Jalan Syed Mahadi di Kampung Baru jam 12.15 malam, 14 April lalu.

Kejadian tersebut berlaku akibat longkang yang berada di bawah tanah di jalan tersebut pecah, apabila palung besar yang berada di atasnya yang membawa aliran air dari Sungai Bonus bersebelahan wisma Bernama ke Sungai Kampung Baru atau Sungai Klang, bocor kerana tersumbat dengan sampah sarap yang terlalu banyak.

Ini menyebabkan berlakunya penyerapan air ke dalam tanah yang membawa kepada mendapan tanah sehingga mencetuskan tanah jerlus dan banjir lumpur di kawasan itu, sekali gus merbahayakan rumah-rumah kediaman di sekitarnya.

Demi kepentingan politik kotor pihak tidak bertanggungjawab, mereka telah mengambil kesempatan memasang banner di beberapa tempat di Kuala Lumpur hari ini untuk memburukkan Dr Lo' Lo'.

Setakat yang dapat dikesan, banner-banner tersebut telah dinaikkan di tiga tempat iaitu di jejantas Jalan Raja Abdullah dekat Kampung Baru, jejantas berdekatan Tabung Haji dan jejantas dekat Jalan Gurney.

Lontoran kata-kata yang dipaparkan pada banner-banner itu masing-masing berbunyi "Dr Lo' Lo' hanya pandai cakap/janji tapi tak mampu selesaikan isu tanah mendap di Kampung Baru", "Tanah Kampung Baru mendap, apa Dr Lo'Lo' mampu buat?" dan "Tanah Kampung Baru mendap, rakyat perlu nilai kemampuan Dr Lo'Lo' selesaikan masalah".

Mengulas kejadian itu dengan lebih lanjut, Yusof berkata, seluruh penduduk di Kampung Baru sudah melihat sendiri Dr Lo' Lo' sememangnya tidak berdiam diri dengan kejadian itu, malah kerap kali dilihat berada di tempat kejadian dan melawat mangsa di pusat penempatan sementara bagi membantu mereka dari segala aspek.

Selain itu, Dr Lo' Lo' juga turut mengadakan pelbagai rundingan segera dengan pelbagai pihak berwajib sehingga mereka yang terbabit dibantu dengan sewajarnya, sehingga mereka dibenarkan pulang kembali ke rumah masing-masing setelah terjamin selamat.

"Tanah jerlus dan banjir lumpur yang berlaku di Jalan Syed Mahadi itu pun bukan salah Dr Lo' Lo'. Ia berpunca dari perancangan pembangunan yang tidak betul sejak puluhan tahun dulu lagi di Kampung Baru yang dah berlaku sejak Umno BN berkuasa di Kampung Baru.

"Penduduk Kampung Baru sendiri pun sejak dulu lagi tak setuju dengan perancangan pembangunan yang dilakukan oleh pihak Umno BN itu. Banyak benda yang tak kena. Sekarang ia telah mengakibatkan terjadinya tanah runtuh di Jalan Syed Mahadi.

"Itu pun nasib baik longkang sahaja yang pecah. Kalau palung besar yang berada di atas longkang itu yang pecah, pasti akan mengakibatkan kejadian lebih buruk lagi," tegasnya.

Kesemua itu, menurutnya, perlu dihalusi sendiri oleh pihak yang menyebarkan fitnah itu kerana ia jelas berpunca dari pihak mereka sendiri.

"Sebenarnya saya tahu siapa yang memasang banner-banner itu. Saya juga tahu siapa dalangnya. Tapi saya taknak sebutlah. Biar orang ramai tahu sendiri supaya orang ramai dapat menilai sendiri buruknya sikap dan tindakan mereka sejak sekian lama dulu.

"Saya hanya berharap agar pihak yang melakukan pekerjaan terkutuk itu sedar dengan apa yang mereka lakukan kerana setiap yang buruk pasti akan mendatangkan keburukan kepada pelakunya sendiri nanti," tegas beliau.

Kenapa PAS dikritik


Kenapa PAS dikritik
Harakahdaily

TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

“Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

“Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih “menyayangi” (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

“Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.

“Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

“Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS,” terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

“Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan,” katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, ‘sekiranya itu dan sekiranya ini’ walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

“Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN,” ulasnya secara positif.

Bookmark and Share

AMK : Tiada Kanun Keseksaan Boleh Mensabitkan Anwar




SHAH ALAM 21 APRIL: Di sebalik kesungguhan polis menyiasat ketulenan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, anehnya, tiada satu pun laporan polis dibuat mengenainya.

Dan sekali lagi, jika pun benar pelakunya adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu, tiada peruntukan mahupun kanun keseksaan untuk mendakwa Anwar melakukan sebarang kesalahan jenayah, kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Walhal katanya, ketiga-tiga individu yang jelas berdepan dengan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan itu masih bebas sehingga kini.

"Dalam kes ini, tidak ada satu laporan pun yang dibuat mana-mana pihak untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar dengan apa-apa kes jenayah. Hanya laporan yang dibuat di seluruh negara menjurus secara khusus kepada Seksyen 292.

"Dan tidak ada satu kesalahan pun dalam mana-mana kanun keseksaan yang boleh mensabitkan (Datuk Seri) Anwar sekiranya betul pelakon itu adalah beliau, di mana kita menafikan ianya sekeras-kerasnya," ujar beliau.

Shamsul yang dihubungi Tv Selangor tidak menolak kemungkinan adanya campur tangan politik selain desakan daripada pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga Peguam Negara didesak memulangkan semula kertas siasatan tersebut kepada polis hari ini.

Katanya, polis seolah-olah berada dalam keadaan keliru memandangkan tiada asas kukuh dalam siasatan terbaru untuk mensabitkan Anwar dengan individu dalam video 21 minit berkenaan.

Justeru beliau menyatakan kekesalan terhadap tindakan Tan Sri Ghani Patail yang sekali lagi dilihat menjadi pencacai Umno-BN dalam usaha memusnahkan karier politik Anwar sejak tahun 1998.

"Saya hairan mengapa peguam negara memulangkan kertas siasatan itu (kali ke 2) seolah-olah pihak polis menyiasat dengan tidak sempurna. Apa yang ingin diketahui adalah satu perkara yang menghairankan.

"Di situ timbul satu persepsi dan kita menjangkakan bahawa peguam negara tidak berminat untuk membuat pertuduhan terhadap ketiga-tiga (trio Datuk T) suspek jenayah," ujar beliau lagi.

Shamsul tetap menegaskan bahawa ketulenan rakaman tersebut masih dipertikai kerana ianya berwarna hitam putih.

Rentetan perkara itu ujar Shamsul, kerajaan terus menggunakan helah media arus perdana sebagai medium untuk meracuni pemikiran rakyat.

"Sekarang ini mereka guna strategi baru pula iaitu dengan menggunakan kononnya pakai imej dan menyiarkan di muka hadapan akhbar (Berita Harian) lalu mengesahkan ianya imej Anwar

Trio 'Datuk T' iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay dan bekas bendahari Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa), Shuib Lazim mengaku mendalangi pendedahan rakaman video 21 minit kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara pada 21 Februari lalu.

Mereka mendakwa Anwar adalah individu yang melakukan aksi seks dengan pelacur berbangsa Cina namun di lokasi yang masih menjadi tanda tanya selain melakukan intimidasi jenayah dengan mengugut supaya beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Umum.

Anwar walau bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan seterusnya membuat laporan polis terhadap ketiga-tiga individu terbabit untuk disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan sekiranya bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun dan denda.

Kes Kematian Pegawai Kastam : Keluarga Tidak Puas Hati, Nak Tahu 'Kisah Sebenar'



KUALA LUMPUR 22 APRIL : Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh bagi mengetahui punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Sebaliknya, menurut sumber rapat keluarga Ahmad Sarbani ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain didakwa cuba “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.

“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.

“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,” katanya.

Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbani sedia maklum punca kematian Allahyarham adalah jatuh dari paras tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana beliau boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.

“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.

“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?

“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kelalaian sekali gus membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangkan bersama keluarga terdekat.

“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.

Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata, beliau menyerahkan kes tersebut kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Katanya, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Jelas Zulkifli, punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbani memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Kematian Ahmad Sarbani merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja