TUNJUKKAN DIMANA KEZALIMAN KAMI

Tunjukkan dimana kezaliman kami - Guan Eng
Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 2 Julai: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan 'demo jalanan' di hadapan Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) semalam supaya tunjukkan dimana kezaliman kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Buktikan di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat sejak mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008," kata Lim Guan Eng.

Semalam Pemuda Umno telah membuat demonstrasi kononnya membantah Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng kerana menyokong Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 yang bakal diadakan di ibu negara pada 9 Julai 2011 ini.

Mereka membawa sepanduk dan banner-banner kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai anti Islam, dan menyebabkan perpecahan Islam.

Mereka juga turut memakai pengikat kepala yang bertulis kalimah "Lailahaill Allah". (gambar atas)

Namun di sebalik perhimpunan ini, ada perkara yang harus diketahui oleh semua pihak. Antaranya bagaimana wanita ini turut memakai kain pengikat kepala dengan kalimah "Lailahaill Allah" secara terbalik. Malah dia juga tidak menutup aurat.

Bagi Lim Guan Eng, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk memastikan rakyat mendapat manafaat hasil penjimatan, anti rasuah dan tidak menggunakan pengeluaran untuk kroni.

"Beri contoh di mana kezaliman Kerajaan Pakatan Rakyat pernah lakukan, Adakah bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), golongan miskin, bantuan kepada anak yang nak ke Univesiti RM500 dan sebaganya merupakan kezaliman. Susahlah jadi macam Umno, Gerakan, MCA atau MIC mereka asyik kutuk tapi tak tahu menilai, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penghargaan RM1,000 kepada 380 waris warga emas yang meninggal dunia peringkat Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Besar Sungai Dua pagi tadi.

Menurutnya, kenapa Umno dan NGO yang terlibat tidak pernah memahami dasar Kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas membantu semua kaum tanpa memilih bulu seperti yang BN laksanakan semasa memerintah dulunya.

Sebenarnya Umno dan BN dengki melihat perkembangan terbaru di mana rakyat telah mula sedar apa yang kerajaan korbankan demi rakyat umpamanya menambah peruntukan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) ke tahap yang lebih tinggi.

Begitu juga peruntukan kepada agama lain, kata beliau.

Mereka selalu gunakan alasan Kerajaan Negeri menganiaya peniaga Melayu tetapi sebenarnya bukan.

Kejadian sebenar ialah kerajaan cuba selamatkan mereka daripada mendapat sakit dirempuh kenderaan apabila berniaga di kaki jalan, kotor dan mengganggu jalanraya.

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai maklumat siapa yang inaya siapa, kata beliau.

Peniaga Melayu yang terlibat dengan pengrobohan gerai hanya sekitar 15 peratus sahaja itu pun diberikan lokasi ganti yang cantik manakala peniaga bukan Melayu ramai iaitu 85 peratus.

"Kita roboh ada alasan bukan menginaya peniaga sendiri lagipun bukan melayu sahaja diroboh tetapi cina dan India turut terlibat, " tegasnya.

Bersih 2.0 : Khutbah Jumaat Jadi Wadah Sebar Fitnah?




KOMENTAR : Keunggulan Islam di Malaysia akan tercemar jika umat Islam tidak bangkit untuk menolak penggunaan masjid bagi mencapai agenda politik parti pemerintah.

Penggunaan Khutbah Jumaat untuk menfitnah penganjur dan peserta Bersih 2.0 harus dibidas oleh seluruh umat Islam; tidak kira mereka di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terpaksa mendengar khutbah itu sebelum menunaikan solat Jumaat semalam.

Selama ini, masjid tidak pernah diheret secara langsung dalam sesuatu pertikaian politik yang melibatkan agenda Umno, PAS mahupun Parti Keadilan Rakyat.

Campur tangan bingkas pihak Istana juga diharap dapat memastikan tidak ada pihak yang memperalatkan kesucian masjid untuk mencari kemenangan di kotak undi.

Bagaimanapun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menukar segala sifir itu semalam apabila mengarahkan semua masjid di ibu negara dan Putrajaya membacakan Khutbah Jumaat bertajuk “Memelihara Nikmat Keamanan.”

Tidak ada masalah dengan tajuk sebegitu namun intipati khutbah itu yang dipertikaikan. Ia disulami dengan tuduhan dan tohmahan bersabit Bersih 2.0 walaupun perhimpunan itu belum pun berlaku.

Berikut dua petikan daripada Khutbah yang dimaksudkan:

“Mutakhir ini kita dibimbangi oleh gerakan PELAMPAU yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil. Golongan ini pada asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam. “

“Dalam usaha mencapai matlamat perjuangan, golongan ini akan melakukan demonstrasi jalanan, perhimpunan haram. Mereka akan berarak ke hulu- hilir, berkumpul untuk BERTINDAK GANAS, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang negara, malah SANGGUP MENCEDERAKAN PASUKAN KESELAMATAN.”

JAWI melakukan dosa besar dalam membuat tuduhan melulu terhadap Bersih dalam keghairahan menyokong usaha pemerintah untuk membatalkan perhimpunan itu.

Dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh JAWI adalah tanpa bukti dan boleh diibaratkan rekayasa untuk disebarkan menerusi masjid-masjid supaya umat Islam menolak Bersih.

Apakah JAWI dianugerahkan “kuasa ajaib” untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada 9 Julai?

Atau, adakah JAWI sekadar ikut telunjuk Umno dan memomok-momokkan apa yang disebut oleh pemimpin parti itu yang kemudian diulang oleh polis dan media arus perdana?

Bukankah JAWI sepatutnya membuat penilaian sendiri terhadap Bersih 2.0 secara objektif dan mengambil kira nas-nas Islam sebelum mengeluarkan khutbah mengupas agenda Bersih secara jujur?

Malangnya, ini tidak dilakukan. Sebaliknya, teks ucapan Khutbah Jumaat JAWI mengenai Bersih 2.0 tidak ubah seperti membaca Utusan Malaysia atau mendengar pengumuman polis menerusi TV3.

Selain membuat tuduhan-tuduhan yang disebut di atas, Khutbah Jumaat JAWI semalam juga mendakwa golongan “pelampau” Bersih meniru tindakan keganasan yang berlaku di negara asing bagi menekan dan mengugut pemerintah dalam memenuhi tuntutan mereka.

“Mimbar ingin menegaskan tindakan golongan “PENGKHIANAT” seperti ini merupakan satu tindakan yang zalim dan haram bagi umat Islam mengikutinya kerana cara ini sebenarnya satu tindakan yang boleh mencampakkan manusia itu di dalam kebinasaan serta mendatangkan keburukan, kegelisahan dan kesusahan kepada masyarakat.”

Untuk maklumat JAWI, beberapa maklumat asas mengenai Bersih 2.0 adalah seperti berikut:

1. Ia dianjurkan oleh 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) namun disokong oleh parti-parti politik yang mahukan sebuah Suruhanjaya Pilihan Raya yang berwibawa dan sistem pilihanraya yang adil dan telus.

2. Semua pemimpinnya, termasuk Pengerusinya, Ambiga Sreenevasan dan Zaid Kamaruddin daripada Jemaah Islah Malaysia (JIM) memberi jaminan perhimpunan itu sebuah tuntutan masyarakat sivil yang aman.

3. Lima ribu sukaralewan akan bertugas untuk memastikan perhimpunan berlangsung secara aman dan teratur. Pasukan-pasukan peguam dan doktor juga disediakan untuk menangani sebarang keadaan.

Apa yang diperlukan ialah kerjasama polis untuk memastikan tidak berlaku kesesakan lalu lintas dan sebarang masalah lain yang berbangkit.

Sebaliknya, polis sudah pun mengharamkan gerakan ini, menangkap lebih 100 orang dan “mengecap” perhimpunan Bersih sebagai usaha menghidupkan fahaman komunis, malah di dalangi oleh agen asing!

Hanya Tuhan sahaja tahu apa yang akan dilakukan oleh polis pada 9 Julai ini. JAWI bagaimanapun sudah pun menjangka peserta Bersih akan bertindak ganas dan sanggup mencederakan pasukan keselamatan!

Hari ini pula Perdana Menteri Najib Razak cuba membakar sentimen keagamaan oleh Melayu apabila mendakwa Ambiga adalah musuh Islam kerana terbabit dalam kes Lina Joy.

Hanya Najib boleh menjawab bagaimana tindakan Ambiga membela Lina Joy boleh membahayakan Islam dan dasar 1Malaysia yang dibawanya.

Begitu juga JAWI harus menjelaskan bagaimana martabat dan syiar Islam boleh dipertingkatkan menerusi tuduhan dan tohmahan tidak berasas terhadap penganjur dan peserta Bersih.

JIka Khutbah Jumaat tajaan Jawi semalam dibiarkan berlalu begitu sahaja, maka ia akan membuka pintu untuk Umno selaku Pemerintah memperalatkan masjid setiap kali parti itu dalam keadaan terdesak untuk memenuhi agenda politiknya.


Wan Ahmad Dicabar Buktikan Kata-Katanya



SHAH ALAM 2 JULAI : Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicabar supaya tampil dengan bukti kukuh bahawa "hampir mustahil" seorang pengundi boleh membuang undi sebanyak dua kali pada satu-satu pilihan raya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Wan Ahmad bukan hanya berhujah lantang, sebaliknya membuktikan kata-kata beliau berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Soal mustahil atau pun tidak itu adalah pandangan SPR yang tidak dikemukakan dengan bukti dan asas yang kukuh, saya ingin mencabar SPR untuk menjawab beberapa siri pendedahan yang dikemukakan yang terdapat pengundi mengundi lebih daripada sekali,"cabar Shamsul.

Menurut Shamsul,situasi sebegini sering berlaku apabila menjelang pilihan raya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 di Pulau Pinang apabila isteri-isteri tentera telah didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa kebenaran mereka.

Taktik ini katanya tidak mustahil akan digunakan sekali lagi pada pilihan raya umum ke 13 untuk memenangkan kerajaan pemerintah.

Oleh itu menurut Shamsul, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dan Pakatan Rakyat punya asas yang kukuh apabila mahu penggunaan dakwat kekal direalisasikan di negara ini bagi mengelak hal sama berulang.

Walau bagaimanapun, saranan itu disambut hambar oleh SPR.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat meminta dan mendesak supaya SPR menggunakan teknik untuk mempertingkatkan lagi ketelusan mereka menggunakan dakwat kekal tetapi sehingga sekarang SPR tidak berani untuk melaksanakan dasar tersebut walaupun dalam pilihan raya yang lalu secara prinsipnya mereka telah bersetuju untuk melaksanakan (tetapi dibatalkan) kononnya dengan alasan dakwat itu terlalu mahal,"kata Shamsul lagi.

Jelas beliau, situasi seperti ini boleh berlaku apabila terdapat nama pengundi di dua lokaliti berlainan, biasanya nama mereka ini terdapat dalam dua DUN
yang berlainan malah mungkin dalam negeri yang berlainan.

Beliau juga tidak menolak cubaan SPR dalam memperbodohkan rakyat apabila menggunakan alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menidakkan pilihan raya yang
telus.

"Banyak kenyataan-kenyataan yang saya fikir bersifat seolah-olah memperlekeh dan memperkecilkan kebijaksanaan rakyat kerana kita (Pakatan Rakyat) melihat dalam konteks yang lebih besar. Apa yang ingin kita tentukan adalah satu perubahan dalam sistem pilihan raya,"ujar beliau.

Tegasnya SPR adalah satu badan yang bebas dan berasaskan kepada perlembagaan negara yang seharusnya bersifat telus.

Malah badan itu perlu menjadikan amalan penambahbaikkan dalam mewujudkan sistem yang adil dan tidak terikat kepada kerajaan pemerintah.

Terdahulu, Wan Ahmad berkata , "hampir mustahil" terdapat pengundi yang mengundi dua kali kerana SPR menggunakan sistem nombor pengenalan 12 digit di MyKad,
melainkan pengundi berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah beliau juga turut mengeluarkan kenyataan berbaur politik apabila mendakwa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan bagi membina momentum untuk gagasan itu menawan Putrajaya.

Wan Ahmad juga turut mendakwa pembangkang mahu menggerakkan Bersih 2.0 setelah menyaksikan bagaimana perhimpunan tahun 2007 membawa kepada 'tsunami' politik yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan pada PRU ke-12 yang lalu.

MP Sg. Siput Dan Lima Yang Lain Ditahan Di Bawah Akta Darurat




KUALA LUMPUR 2 JULAI : Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain ditahan di bawah Akta Darurat setelah mereka dibebaskan pada jam 2 petang tadi.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Aruchelcan ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan hal itu sebentar tadi.

" Ya beliau ditahan di bawah Akta Darurat bersama lima yang lain.

" Mereka tadi dibebaskan dan mereka akan dibawa ke Bukit Aman pukul empat petang ini,"kata beliau.

Menurut peguam mereka, antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.

Dr Jeyakumar pada 25 Jun lalu ditahan polis bersama 31 yang lain ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.

Bendahari PSM Siva Rajan pada sidang media di luar mahkamah Butterworth berkata kumpulan itu dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang tadi.
Namun mereka ditangkap semula oleh anggota polis Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan.

Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini.

Aktivis tersebut menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM).

Akta Darurat merupakan suatu akta yang menggunakan pendakatan penahanan tanpa bicara seperti yang diamalkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tahan Anggota PSM : Cubaan Terbaru Gertak Ahli Politik, Orang Ramai Tidak Sertai Bersih 2.0

SHAH ALAM 2 JULAI : Penahanan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar adalah cubaan terbaru kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menakut-nakutkan orang ramai dan pemimpin politik dari terus menyertai perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar,tidak cukup dengan tindakan rakus polis secara semberono menahan sesiapa sahaja pemimpin pembangkang mahupun orang awam yang memakai pakaian berwarna kuning, polis terus menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk menyekat hak kebebasan orang ramai untuk bersuara.

" Tindakan itu adalah tindakan untuk menakutkan orang ramai dan pemimpin-pemimpin politik khususnya bahawa ini adalah satu isyarat, kalau kamu teruskan Bersih, inilah akibatnya, kamu akan terima hukuman seperti ISA.

"Tapi saya percaya, bagi pemimpin politik, walaupun kami membantah ISA, tetapi kalau itu yang dihadapkan kepada kita, kita terima sebagai pengorbanan untuk masa depan negara,"kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Menurut Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, tindakan polis menahan enam ahli PSM di bawah Ordinan Darurat adalah bertujuan untuk menutup helah yang digunakan kerajaan dalam menghalalkan penahanan yang dibuat ke atas ahli PSM.

Ujar beliau, kerana tidak mempunyai hujah kukuh apabila menyabitkan anggota PSM dengan cubaan menghidupkan fahaman komunis, mereka kemudiannya ditahan di bawah Ordinan Darurat yang membolehkan mangsa ditahan tanpa bicara.

Pada masa sama cuba memberi amaran kepada pemimpin pembangkang dan orang ramai supaya tidak menyertai himpunan Bersih.

" Ini menunjukkan kerajaan tidak ada alasan di atas penahanan yang mereka lakukan. Jadi mengheret mereka ke atas Akta Darurat adalah sesuatu yang tidak adil,"tambah Mahfuz lagi.

Enam ahli PSM tersebut hadir ke mahkamah Butterworth pagi tadi apabila tempoh tahanan reman mereka berakhir hari ini.

Walau bagaimanapun, baru seminit dibebaskan, mereka kemudiannya ditahan di bawah Ordinan Darurat dan dibawa ke Bukit Aman.

Selain Jeyakumar, turut ditahan Timbalan Pengerusi PSM M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M. Sugumaran, G Pakialetchumy dan Sarat Babu.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969.

Ini membolehkan keenam-enam mereka ditahan selama 60 hari tanpa perbicaraan.

Mengulas penahanan terbabit, ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye menyifatkan ia sebagai suatu tindakan zalim oleh kerajaan pemerintah demi menyekat kebebasan rakyat bersuara.

" Adalah tidak munasabah untuk tahan mereka di bawah Ordinan Darurat. Ini adalah satu akta yang zalim,"katanya.

Mengulas isu sama, ahli parlimen Beruas yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, penggunaan Ordinan Darurat ke atas anggota PSM jelas
menggambarkan ketakutan kerajaan terhadap suara pembangkang yang mewakili suara rakyat.

" Ordinan darurat ini digunakan ialah untuk menangkap mereka yang menggugat ketenteraman awam. Kita semua tahu bahawa Dr D. Jeyakumar tidak menggugat ketenteraman awam tetapi mungkin beliau boleh menggugat Umno-Barisan Nasional daripada terus mentadbir Malaysia,"katanya.

Khutbah Jumaat Dipolitikkan Mirip Rejim Mubarak




SHAH ALAM 1 JULAI : Tindakan ulama Jabatan Agama Islam (JAWI) menggunakan medium khutbah untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan BERSIH 2.0 dilihat mirip kepada tindakan rejim bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Tatkala masyarakat Mesir keluar beramai- ramai untuk mendesak Hosni supaya berundur dari tampuk pemerintahan, khutbah Jumaat di masjid- masjid berkumandang, menyeru dan melarang rakyat daripada berkumpul di Tahrir Square, untuk menyatakan pendirian mereka.

Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu berkata demikian mengulas tindakan JAWI mengheret institusi masjid dalam cubaan membatalkan perhimpunan BERSIH 2.0 pada minggu hadapan.

"Ini khutbah yang dipolitikkan. Jawi sepatutnya tidak buat begitu. Mereka perlu tahu apa tujuan (Bersih) dahulu dan merujuk kepada ahli ulamak. Ini dia buat sesuka hati sahaja.

"Ianya digunakan oleh (universiti) Al Azhar di Mesir untuk khutbah supaya melarang rakyat keluar ke Tahrir Square," ujar beliau ketika dihubungi Tv Selangor petang tadi.

Beliau berkata JAWI sepatutnya memelihara institusi agama Islam Malaysia bukannya diperalatkan rejim Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menyebarkan fitnah tanpa merujuk pandangan ulama-ulama seluruh negara.

Masjid- masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini dibekalkan teks khutbah Jumaat yang dipercayai mempunyai unsur menuduh penganjur Bersih sebagai “pengkhianat”.

Selain itu, teks yang dibacakan oleh imam-imam itu turut membayangkan peserta himpunan itu “akan bertindak ganas, merosakkan harta benda... malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan".

Antara lain teks yang bertajuk “Memelihara Nikmat Keamaman” itu turut menuduh golongan yang akan menyertai program Bersih hanya memperjuangkan kepentingan diri.

Ia turut mendakwa Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk “meniru” keganasan di negara asing demi menekan pemerintah.

Walaupun pengajur Bersih telah berulang kali memberi jaminan bahawa perarakan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong itu nanti akan berlangsung secara aman, namun kerajaan Umno-BN bertegas menafikan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru Mat Sabu tidak menolak kepimpinan agama khususnya Islam gagal mengasingkan diri dengan kepentingan politik.

"Rejim untuk menyokong rejim Mubarak, ayat yang sama juga digunakan seperti di Putrajaya. Ini semua ulama upahan Umno-Barisan Nasional," tambah beliau lagi.

Bersih 2.0 : Polis Tahan 14 Orang Di Alor Setar

ALOR SETAR 2 JULAI :Polis Kedah hari ini menahan 14 orang yang sebahagian besar mereka ahli PKR kerana didakwa terbabit dengan kempen perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di sebuah kedai kopi di sini, pagi ini.

11 lelaki dan tiga wanita, termasuk timbalan ketua pemuda PKR Kedah Gooi Hsiao Leung ditangkap kira-kira jam 9.20 pagi ini, lapor portal Malaysiakini.

Mereka juga didakwa cuba menjual kemeja T kuning dengan logo Bersih.

Sebelum sidang media mereka yang dijadualkan di Pekan Cowboy, Alor Setar sempat bermula , polis terus menyerbu dan mengheret beberapa pemimpin PKR itu yang dijadual berucap ke tepi sehingga mencetuskan kekecohan.

Gooi menjerit: “Beritahu kami apa dakwaannya sebelum tangkap kami.

"Ini tidak demokratik,” katanya.

Namun, rayuannya tidak dihiraukan oleh pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Adzman yang terus mengheretnya tanpa memberitahu apa dakwaanya.

Hampir 100 anggota polis berkawal di tempat aktivis berkenaan dijadual berucap.

Ketika dihubungi Gooi berkata mereka kini ditahan Pusat Latihan Mentalon, Anak Bukit tetapi belum dimaklumkan mengenai dakwaan yang bakal dikenakan itu.

Katanya, ahli PKR lain yang ditangkap termasuk Fazil Shari, K Naidu, Suraya Hashim, Asmalela Mohd Ghazali, Lee Kim Hock dan ahli majlis Leslie Daniel.

"Kami baru hendak mula sidang akhbar tetapi polis terus serbu. Ini amat memeranjatkan dan mengarut,” katanya.

Sementara itu ketua polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata semua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan kerana didakwa membantu menyemarakkan kempen Bersih.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu atau mana-mana majlis yang berkaitan Bersih.

"Kita juga sedang memanatu semua ceramah di negeri ini. Kita memang bersiap sedia,” katanya kepada wartawan.

"Kita tidak akan bertolak ansur dan tidak teragak-agak untuk menangkap sesiapa yang berani melanggar undang-undang.

“Jika ada yang degil dan berkeras mahu menyertai majlis-majlis ini, berfikirlah dua kali dahulu,” tegasnya lagi.

Apa Jua Halangan, Bersih Tetap Diteruskan-Maria Chin

KUALA LUMPUR 2 JULAI : Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun pihak polis menegaskan akan memastikan perhimpunan itu tidak akan berlaku.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan cuba memohon untuk mengadakan dialog kali kedua bersama pihak polis,lapor KeadilanDaily.com.

Namun sekiranya gagal berbuat demikian, beliau menegaskan bahawa perhimpunan itu akan tetap diteruskan.

“Kalau mereka berkeras saya amat kecewa dengan tindakan mereka. Namun kita masih memohon agar sesi dialog akan dibuat untuk kali kedua.

“Apapun kami tetap akan mengusulkan dan membuat rundingan sekali lagi.Walau apapun halangan, perhimpunan akan diteruskan,” kata Maria.

Beliau memberi reaksi berhubung kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis telah menutup semua pintu rundingan dengan penganjur.

Ia ekoran pertemuan Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi mencari jalan rundingan dengan polis sendiri menentukan jalan laluan peserta Bersih ke Istana Negara.

Bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas peserta perhimpunan itu.

Menurut Maria, Bersih kecewa kerana polis masih berkeras, malah mengancam menggunakan ISA yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia.

“Polis sudah tidak ada idea dan cara lain selain kekerasan iaitu ISA, saya nak tanya PM kenapa bila kita dah buka cara untuk berdialog dan cuba berbincang tapi masih lagi tidak dapat terima?,” soal beliau.

Menurut Maria, Bersih telah memberikan cadangan dan usul yang munasabah untuk diterima pihak polis.

“Ianya mudah dengan memberitahu tiga tempat berlainan di mana tiga kumpulan akan berkumpul untuk berarak,” kata beliau.

“Kita juga menjamin keselamatan peserta kerana Bersih sendiri sudah menyediakan 5000 petugas untuk mengawal keselamatan dan perarakan juga tidak akan melebihi 2 hingga 3 jam,” tegasnya lagi.