MP PKR tunjuk ‘dokumentari’ video seks buktikan Anwar bersih



TERKINI @ 06:26:31 PM 24-06-2011
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
June 24, 2011

PETALING JAYA, 24 Jun — Pemimpin PKR Datuk Johari Abdul petang ini mempertahankan ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) bahawa beliau bukan si pelaku dalam rakaman video seks yang ditayangkan oleh ‘Datuk T’ tiga bulan lalu sambil berkata ada “seribu kemungkinan” mengenai identiti individu terbabit.

Menjawab hujah dikemukakan di mahkamah pagi tadi, wakil rakyat itu menunjukkan kepada pemberita satu “dokumentari” video seks buatan sendiri, di mana beliau merupakan “hosnya”.

Tengah hari tadi, trio Datuk T menegaskan walaupun dijatuhkan hukuman kerana menayangkan bahan lucah, namun mereka menyifatkan ia “satu kejayaan” apabila dapat menyampaikan kepada rakyat identiti sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga Datuk T diijatuhkan didenda RM5,500 atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa mirip Anwar.

Ketika prosiding pagi tadi, kesemua mereka iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan.

Tegas beliau, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani sambil menegaskan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.

“Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrasi ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri dan kami berharap selepas ini, rakyat dapat menghakimi perkara yang sebenar.

“Tiada lagi kenyataan mirip-mirip Anwar... yang ada hanya Anwar Ibrahim,” katanya.

“Ada seribu kemungkinan berkenaan aktor dalam video (ditayangkan oleh Datuk T)... bagi kami, ia bukan Anwar, disebabkan banyak alasan,” kata Johari dalam video itu.

Video itu menunjukkan Johari bercakap kepada kamera dengan bahagian belakangnya menghala kepada televisyen skrin mendatar yang mempertontonkan bahagian-bahagian yang sudah diedit dan beberapa segmen video seks asal.

Ketika ditanya sama ada beliau sedar yang beliau boleh dicaj kerana menayangkan bahagian-bahagian tertentu video seks asal, Johari berkata, “saya mengambil tanggungjawab penuh.”

‘Dokumentari’ itu mengetengahkan ‘bukti’ dalam video yang menunjukkan lelaki dalam video seks itu bukan Anwar, dengan menekankan bahawa hidung individu terbabit berbeza daripada Ketua Pembangkang, keadaan fizikal yang berbeza dan lelaki dalam video mengenakan cermin mata.

“Semua kita tahu bahawa hidung Anwar mendatar... dan juga tidak lagi memakai cermin mata selepas pembedahan laser,” kata Johari lagi.

Video terbaru ini menunjukkan Joahri di satu lokasi yang tidak didedahkan, didakwa di Thailand, di mana seorang jurusolek mengenakan solekan pada muka Ahli Parlimen itu untuk beliau kelihatan seakan-akan seniman agung Tan Sri P. Ramlee.

“Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada memberitahu bekas pengawal Allahyarham Tan Sri Megat Junid bahawa dia mahu ke Thailand untuk melakukan sesuatu ke atas Anwar.

“Video seks ini datang dari Thailand,” kata Johari dalam video dengan memberikan pos di sisi gambar P. Ramlee.

“Malah anda juga boleh kelihatan macam idola,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani ini menekankan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap penerbitan ‘dokumentari’ itu dan Anwar sendiri belum melihatnya lagi.

Johari berkata beliau mengambil masa kira-kira 34 hari untuk menghasilkan video itu dan melakukan sendiri segala “penyelidikan.”

Kata beliau, ‘dokumentari’ itu dimuat naik ke dalam Youtube dalam waktu terdekat dan akan diedarkan ketika majlis ceramah kemudian.

“Ya, video ini akan diedarkan... tolong buat salinan. Kami berhutang kepada orang ramai satu penjelasan mengenai kebenaran (isu) ini,” kata beliau lagi.

Karikatur Hina Islam, PAS Demo Seluruh Negara

KUALA LUMPUR 24 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar Utusan Malaysia berhubung tindakan penyiaran karikatur ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusof menyatakan tindakan penyiaran karikatur itu menghina sensitiviti umat Islam di negara ini dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Utusan.

“Utusan telah menghina hukum agama Allah. Perhimpunan kita menyatakan bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan besar terhadap umat Islam dalam negara.

“Kepada pihak JAWI dan KDN supaya mereka menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap Utusan. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, kita akan meneruskan bantahan kita dengan skala yang lebih besar,” katanya.

Sabki berkata demikian sebelum mengadakan demonstrasi membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu.

Lebih 50 orang menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di perkarangan Majid Jamek Kampung Baru, di ibu negara.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, DPPP Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abd Aziz pula mendesak agar pihak KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia ekoran paparan akhbar itu yang sering menyimpang dari landasan sebenar.

“Tindakan awal kita menghantar memorundum kepada Utusan Malaysia agar mereka menarik balik karikatur terbabit dan memohon maaf kepada umat Islam. Kita juga minta KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia yang kita rasakan isu ini serius. Kalau mereka hina kita, kita boleh maafkan. Ini mereka menghina Islam seperti bantahan yang kita lakukan berhubung penyiaran karikatur di Sweeden dan Denmark,” katanya.

DPPP hari ini menggerakkan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur mengelirukan tentang hukum Islam dalam mengadili sesuatu kes jenayah.

Selain di Kuala Lumpur, demonstrasi turut diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.

Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan “Utusan Hina Islam”, “Hancur Utusan Malaysia”, Boikot Utusan Malaysa”, “Hidup Umat Islam”, “Jangan Hina Ajaran Islam” dan “Batalkan Permit Utusan Malaysia.”

Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada seseorang yang mirip seperti pegawai jabatan agama, namun ditolak kerana menurut watak itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Pada Jumaat lalu, Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia dan memberikan tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap kartunis yang berkenaan.

PR Galak Konsep 'Bina Dan Jual', Jana Industri Perumahan

SHAH ALAM 24 JUN : Campur tangan yang berterusan dari kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dijangka mampu memulihkan projek- projek perumahan terbengkalai yang sekaligus dapat melindungi pembeli dari risiko keberhutangan akibat rumah terbengkalai.

Langkah itu perlu dalam suasana harga barang yang semakin meningkat dan gaji rendah yang sedia menekan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan medianya berpandangan antara lain yang boleh dilaksanakan di peringkat negeri termasuklah mempercepatkan kelulusan perancangan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) projek- projek yang dibina di bawah konsep ini.

Kerajaan negeri juga diminta menyelia anak- anak syarikat yang terlibat dengan industri perumahan agar projek perumahan siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

Anwar juga berkata, majlis pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dan mencari kesepakatan untuk negeri- negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi menggalakkan pembinaan rumah di bawah konsep “bina dan jual” secara berperingkat.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mencari jalan penyelesaian kepada isu berbangkit sebelum konsep “bina dan jual” dilaksanakan sepenuhnya.

Kenaikan harga rumah secara mendadak ekoran kos pembiayaan projek perlu dipantau bagi melindungi hak pembeli.

Namun ia perlu juga mengambilkira keperluan nasional untuk menjamin keterlibatan pemaju- pemaju yang lebih kecil, dengan mendapatkan kemudahan pembiayaan projek pada kadar yang berpatutan.

Anwar berkata, jika kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri mempunyai kemahuan politik yang tinggi, semua ini boleh dilaksanakan dengan mengubah sikap dan struktur dalam industri perbankan dan perumahan.

Beliau menambah ekoran harga rumah meningkat secara mendadak dan tidak dapat dikawal, rakyat Malaysia kini tidak lagi mampu membeli rumah kediaman sendiri terutamanya bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Bagi mereka yang berjaya membeli rumah pertama, mereka terpaksa berhutang dalam suatu tempoh yang lama lebih- lebih lagi, rumah yang dibeli terbengkalai. Natijahnya, ramai dari mereka tidak mampu meneruskan bayaran pinjaman rumah dan disenaraihitamkan dari mendapat pinjaman di masa hadapan.

Untuk rekod, statistik terkini dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa sehingga 31 Disember 2009, terdapat 115,788 unit rumah yang tidak siap melibatkan 492 projek di seluruh negara.

PKR Terbit 'Dokumentari' Jelas Keraguan Video Seks 'Datuk T'

PETALING JAYA 24 JUN: Keraguan mengenai pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan oleh trio 'Datuk T' terjawab apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memaparkan sebuah dokumentari pendek menjelaskan secara terperinci video yang dipercayai direkayasa untuk menjatuhkan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Video sepanjang 40 minit itu ditayangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR selepas mahkamah tinggi pagi tadi menjatuhkan hukuman denda kepada ketiga-tiga individu yang mengaku bersalah menayangkan video lucah kepada umum pada 21 Mac lalu.

Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya menyiarkan dokumentari itu menjelaskan tujuan ianya dipaparkan adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat menilai dari aspek ketulenan fizikal pelaku.

"Saya menunggu masa yang sesuai. Tidak ada sebab untuk kita lawan di mahkamah. Saya sendiri bertanggungjawab (ke atas video) dan ini apa yang saya percaya.

"Saya tidak tuduh siapa-siapa tapi saya mahu beri peluang kepada masyarakat untuk lihat dan menilai," ujar beliau.

Dokumentari tersebut memaparkan Johari sebagai pengacara memberi penerangan mengenai bentuk tubuh badan pelaku yang amat berbeza dengan Anwar.

Ini termasuk pendedahan terbaru memperlihatkan individu dalam rakaman video tersebut memakai cermin mata walhal Anwar tidak.

Selain itu bentuk fizikal seperti perut, punggung, hidung, tali pinggang dan rambut yang digunting rapi ternyata amat bercanggah dengan susuk tubuh dan cara pemakaian Ketua Pembangkang.

Dalam dokumentari itu turut memuatkan sedutan video di mana Johari telah melawat ke negara Thailand untuk bertemu jurusolek profesional yang boleh mengubah rupa beliau mirip seniman P. Ramlee.

Ternyata hasil yang ditunjukkan kepada media memperlihatkan wajah beliau amat mirip dengan seniman agung itu dalam gambar hitam putih.

"Saya sampai ke Bangkok untuk ubah wajah saya. Jelas teknologi ini wujud," katanya lagi.

Johari kemudian memberitahu media bahawa beliau mengambil masa 34 hari untuk menyiapkan dokumentari itu termasuk menggunakan sumber kewangan sendiri dan bantuan pihak tertentu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata dokumentari tersebut akan dimuat naik di laman Youtube jam 4 petang ini dan menggesa rakyat untuk memuat turun dan meneliti perkara yang cuba disampaikan dalam video berkenaan.

Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,500 kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Shuib Lazim dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana didapati bersalah secara terbuka menayangkan video lucah kepada umum.

SMS Ugut : Pengirim Cuba Bangkit Sentimen Perkauman






KUALA LUMPUR 23 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan rasa kesal berhubung tindakan individu tertentu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh ke atas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan di samping cubaan mencetuskan ketegangan kaum.

Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin atau lebih dikenali sebagai Jonah berkata, SMS yang dikirim itu jelas mengandungi unsur-unsur menghina bangsa seseorang dengan kata-kata kesat.

Katanya, perbuatan itu adalah di luar jangkaan dan tidak boleh diterima sama sekali bagi masyarakat negara ini yang berbilang bangsa terutama generasi muda.

“Mesej seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Ambiga tadi yang berunsur ugutandan juga ancaman bunuh. Kami bagi Angkatan Muda Keadilan kita berasa kesal.

“Mesej yang disampaikan berunsur rasis “keling paria cina sial dan sebagainya” satu perkara yang tidak boleh kita terima khususnya kepada orang-orang muda generasi baru sekarang ini,” katanya.

Jonah berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media selepas membuar laporan polis di Balai Polis Bukit Travers di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap pihak polis dapat menyiasat perkara itu dengan segera sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein.

Katanya, AMK akan tetap bersama dan akan turut serta dalam perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

“Apa pun ancaman apa pun ugutan kita tetap turun ke jalan,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pula mengutuk keras perbuatan penghantar SMS misteri tersebut yang berbaur perkauman.

“Apa yang ingin kita lakukan dalam Bersih 2.0 adalah jelas untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya kerana kita mempunyai bukti akan ketidakadilan itu. Jadi mari berbincang dengan kita,”ujar beliau.

Tambah beliau , tindakan menghantar SMS seperti ini adalah amat tidak tepat kerana apa yang ingin dilakukan oleh Bersih 2.0 bukan mahu mewujudkan keadaan yang berunsur keganasan.

“Perhimpunan (Bersih 2.0) ini bukan berunsurkan keganasan dan kita tidak akan memberi respon terhadap keganasan juga,” katanya.

Video Seks : Trio Datuk T Mengaku Bersalah

KUALA LUMPUR 24 JUN : Ketiga-tiga individu yang menggelarkan diri mereka trio "Datuk T" mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka terhadap kesalahan menayangkan video lucah dan bersubahat berbuat demikian pada 21 Mac lalu.

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Shuib Lazim yang didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama seksyen 34 mengaku bersalah atas tuduhan secara terbuka menayangkan rakaman video lucah di Carsosa Seri Negara 21 Mac lalu.

Manakala bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang dituduh di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan juga mengaku telah berbuat demikian di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa proses perundangan yang dikenakan ke atas Datuk T hanya akan melibatkan hukuman seminima mungkin.

Terdahulu seawal jam lapan pagi tadi, kira-kira 50 penyokong Datuk T hadir untuk memberi sokongan.

Trio Datuk T terdiri daripada ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas benhari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menayangkan video lucah secara terbuka kepada wartawan terpilih di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka kemungkinan akan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman video 21 minit itu dan telah membuat laporan polis.

Najib Umum PRIMA Ekoran Tekanan PR

KUALA LUMPUR 24 JUN : ProjeK perumahan Rakyat 1 Malaysia atau singkatannya PRIMA yang diumumkan Perdana Menteri semalam hanya reaksi terdesak pimpinan itu apabila pembangkang mendedahkan berlakunya kepincangan dalam urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khuatir terus diasak, Najib bertindak mengumumkan bahawa sebahagian daripada tapak seluas 196.6 hektar itu akan dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik, kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Hakikatnya ujar Yusmadi, Najib tidak jujur mahu membela nasib rakyat bawahan dan apa yang dinyatakan hanyalah reaksi terdesak daripada serangan pembangkang di Dewan Rakyat.

" Ianya merupakan satu reaksi daripada tekanan Pakatan Rakyat yang nampak lebih mengariskan rancangan dan agenda rakyat.

" Jadi bagi saya projek ini (PRIMA) tidak pernah ada dalam perancangan pun, sebab itu saya mempertikaikan dari segi keseriusan kerajaan dalam merencana program rakyat seperti PRIMA rakyat ini,"kata Yusmadi.

Najib semalam berkata, pihaknya telah berbincang dengan syarikat seperti SP Setia, Sime darby dan Perbadanan Putrajaya untuk membangunkan PRIMA.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual di konti Radio One FM di Sri Pentas.

“Ia merupakan satu kawasan yang selesa, besar dan mampu memberi impak yang penuh.

“Bayangkanlah... satu kawasan ini (yang bernilai tinggi) dijadikan kawasan perumahan mampu dimiliki oleh rakyat,” ujar Najib.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa pangkalan TUDM Sungai Besi akan dipindahkan ke Sendayan di Negeri Sembilan.

Justeru tapak seluas 196.6 hektar di situ dipindahkan kepada 1MDB yang akan memajukannya menjadi Bandar Malaysia, yang merupakan satu pembangunan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang yang antaranya akan memuatkan projek perumahan mampu milik seperti dicanang Najib.

Namun menurut Yusmadi,di sebalik kenyataan Najib itu, beliau bimbang projek di Pangkalan Tentera Udara Sungai Besi itu sekali lagi menyisihkan rakyat bawahan seperti projek-projek mega pemerintah sebelum ini.

"Cadangan Datuk Seri Najib itu sebenarnya menggambarkan agenda pembangunan sebenar Umno-BN, pada pandangan saya ianya bukan untuk rakyat bawahan, agenda projek Sungai Besi dan yang lain-lain di bawah Greater Kuala Lumpur itu, sekali lagi akan meminggirkan golongan rakyat bawahan ini." jelas Yusmadi.

Terdahulu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Dewan Rakyat, Perdana Menteri dan Jabatan Audit Negara mendedahkan kerugian yang ditangung oleh 1MDB.

Difahamkan, dana melalui jaminan bon kerajaan persekutuan ditambah sebanyak RM10 bilion sehingga 2013, menjadikan jumlah keseluruhan RM15 bilion untuk syarikat pembangunan strategik itu.

Namun penyata kewangan enam bulan pertama sehingga 30 September 2010, menunjukkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta dengan kos operasi untuk 6 bulan yang berjumlah RM 20.5 juta.

Ia bercanggah dengan kenyataan Najib yang sebelum itu mendakwa 1MDB memperoleh keuntungan.