PRK RANTAU UJIAN PENTING BUAT ANWAR, JIKA BOLEH LETAKLAH CALON MELAYU LAWAN BEKAS MB





PRK Rantau yang akan diadakan tidak lama lagi adalah ujian penting buat PKR dan Anwar Ibrahim, selain tentunya kepada PH juga.
Setelah kalah dalam dua PRK sebelum ini iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih, PH sebolehnya tidak boleh kalah buat kali yang ketiga.
Jika kekalahan menimpa tiga kali berturut-turut kepada PH, ia bukan saja alamat tidak baik kepada kerajaan dalam menghadapi tahun-tahun mendatangnya, malah dalam masa yang sama akan melonjakkan lagi semangat UMNO dan Pas yang baru memulakan kerjasama mereka.
Oleh kerana di Rantau ini yang bertanding adalah PKR, bermakna parti itu tidak boleh memandang ringan mengenainya, terutamanya berhubung pemilihan calon.
Walaupun calon PKR sebelum ini iaitu S Streram tentunya mahu bertanding semula menguji kekuatannya untuk berdepan dengan Mohamad Hassan berikutan dalam PRU14 lalu beliau dihalang mengemukakan borang pencalonannya kerana ketiadaan pas masuk, tetapi suasana antara dulu dengan sekarang sudah banyak berubah.
Berdasarkan arus perubahan dalam PRU14 lalu, kalau pun tidak menang, Streram barangkali mampu memberi cabaran sengit kepada Mohamad Hassan jika beliau dibenarkan bertanding.
Tetapi dengan berlakunya pelbagai perubahan dalam politik negara, terutama selepas tragedi rusuhan kuil di Subang dan inkues kematian seorang anggota bomba dalam peristiwa itu masih berjalan serta bercantumnya UMNO dan Pas, meletakkan semula Streram mungkin mengundang lebih bahaya buat PKR dan PH.
Ia secara tidak langsung memberi ruang kepada pihak BN memainkan semula sentimen kaum dan menyalahkan kerajaan bagi tujuan meraih sokongan maksimum daripada pengundi Melayu.
Selain PKR harus memahami sentimen itu yang memungkinkannya lebih mudah dikalahkan, Streram sendiri harus berjiwa besar dalam hal ini.
Beliau boleh mencontohi MIC yang sanggup melepaskan kerusi dalam PRK Cameron Hiighlands untuk ditandingi oleh UMNO demi semata-mata tidak mahu calonnya terkorban begitu saja.
Di waktu yang sama, PRK Rantau juga adalah ujian penting kepada Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri ke-8 dan kemudian menang dengan bergaya di Port Dickson serta dipilih menjadi Presiden PKR menggantikan Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Jika mampu menang di Rantau dengan mengalahkan Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang sedang menjalankan tugas-tugas Presiden, nama Anwar dengan sendirinya akan melonjak lebih tinggi.
Anwar sendiri sebenarnya tiada pilihan lain selain perlu bekerja lebih keras mencari kemenangan atau setidak-tidaknya menjadikan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan bakal Perdana Menteri merupakan suatu kelebihan dan dihargai oleh pengundi-pengundi Rantau.
Untuk itu, PKR sebaik-baiknya mesti meletakkan calon Melayu untuk memberi kelebihan kepadanya di Rantau ini. Bertambah lagi kelebihan itu jika calon yang dipilih itu seorang yang ada nama dan dikenali ramai.
Untuk berlawan dengan Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan serta sudah beberapa penggal menjadi Adun di kawasan itu, PKR tidak boleh sekadar meletakkan orang yang biasa-biasa saja sebagai calonnya.
Di waktu yang sama, jika Streram tidak dipilih sebagai calon, jangan pula beliau diketepikan begitu saja. Beliau harus diberi peranan mendekati dan menarik sokongan pengundi kaum India yang merangkumi 27 peratus jumlahnya.
Dengan semua pihak saling memahami dan sedia berkorban, tiada sebab PH tidak boleh menang di Rantau nanti. (Shahbudindotcom 04/03/2019)

MCA, MIC PERTIMBANG CARI PAKATAN LAIN