Tsunami Jepun - Nazri Bela Rosmah

17/03/2011


KUALA LUMPUR 17 MAC : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz hari ini mendakwa kenyataan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor bersabit malapetaka gempa bumi dan tsunami di Jepun kononnya diputarbelitkan oleh pembangkang.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang ditemui tetap menyifatkan Rosmah bertindak keterlaluan apabila mengaitkan bencana itu kepada isu teknoloji hijau dan pemanasan global.

TV Selangor menyiarkan Rosmah sebagai di petik berkata bahawa gempa bumi dan tsunami di Jepun harus memberi pengajaran kepada seluruh dunia.

"Ini pada diri saya adalah satu pengajaran kepada negara-negara lain untuk apa-apa pun mereka buat atau sebarang pembangunan yang mereka nak lakukan seharusnya berkait dengan “climate change” dan green technology," Rosmah di petik sebagai berkata oleh stesen telivisyen Awani Ahad lalu.

Kenyataan itu mengejutkan kerana Rosmah seolah-olah membayangkan malapetaka itu berpunca atas kelalaian Tokyo menguruskan pembangunan yang mesra alam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata tidak timbul soal komen Rosmah itu diputarbelitkan.

“Dalam keadaan orang sedang bersedih apabila berhadapan dengan bencana, selalunya kita memberikan ucapan atau kata-kata semangat. Kenapa isteri Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan sedemikian? Ini mengundang masalah, “ kata beliau.

“Negara ini ditadbir oleh mereka yang diberikan kuasa untuk mentadbir. Isteri Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa. Jadi mengapa dia sibuk untuk membuat komen-komen yang memberikan kesan kepada kita,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Naib Presiden PAS Salahuddin turut melahirkan rasa kesal atas kenyataan Rosmah itu kerana mempertikaikan kewibawaan kerajaan Jepun menguruskan negaranya.

“Ia merupakan satu insiden yang tidak sepatutnya berlaku di saat negara Jepun mengalami kesedihan dan malapetaka yang dashyat, tiba-tiba datang satu komen yang mempertikaikan tentang keselamatan dan persediaannya dari segi tsunami dan gempa bumi itu sendiri,” kata Sallehuddin.

“Di saat kesedihan melanda masyarakat Jepun, kita harus bersifat lebih menunjukkan lebih simpati dan kebersamaan kita dalam perkara ini,” tambah beliau.

Di dalam Dewan Rakyat, Nazri di minta memberi penjelasan kenapa Rosmah mengeluarkan kenyataan sebegitu. Nazri bagaimanapun mendakwa kenyataan Rosmah di putarbelitkan dan tidak diambil “dalam konteks yang penuh.”

“Ayat itu mesti dibacakan dalam kandungan yang penuh” kata Nazri, tanpa merujuk lanjut kepada wawancara Rosmah yang disiarkan oleh Awani itu.

Klip yang mengandungi komen Rosmah itu menarik lebih 240,000 “hits” dalam Youtube dan turut dimuatkan oleh dalam laman web stesen telivisyen antarabangsa CNN.

Ummi Fail Saman Terhadap Baginda, Malaysiakini

17/03/2011

KUALA LUMPUR 17 MAC : Ummi Hafilda Ali hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap ahli perniagaan Nor Azman Abdullah Baginda Minda dan Malaysiakini.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

Ummi mendakwa sebuah artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini pada hari Selasa, yang memetik Baginda sebagai berkata beliau akan mendedahkan dakwaan salahlakunya.

Ummi juga memohon injunksi terhadap Baginda dan Malaysiakini daripada mengulang atau menyiarkan lagi kenyataan-kenyataan yang memfitnahnya.

Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut, Ummi berkata Baginda telah mencemarkan reputasinya ekoran perbicaraan kes liwat pertama terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Ummi yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan itu, mendakwa Baginda telah digunakan oleh pihak peguambela untuk memberi keterangan bagi mencabar kredibilitinya.

Ummi juga mendakwa bahawa Baginda hanya menjadi alat yang digunakan oleh Anwar untuk memfitnahnya, sambil menegaskan bahawa PAS dan PKR menggunakan perkara itu untuk kepentingan mereka sendiri.

Katanya, dia mengambil tindakan undang-undang itu bukan kerana takutkan Baginda berceramah mengulangi dakwaan fitnah terhadapnya, tetapi ia demi menjaga reputasi dan integritinya.-Malaysiakini

Loji Nuklear di Malaysia : Muhyiddin Digesa Jangan Terlalu Angkuh









SHAH ALAM 16 MAC : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Kepenggunaan dan Alam Sekitar Selangor Elizabeth Wong kesal dengan kenyataan sombong dan tidak berlandas fakta dan nilai saintifik Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa projek Janakuasa Nuklear Malaysia tetap akan diteruskan walaupun ia mendatangkan bahaya seperti yang berlaku di Jepun.

Elizabeth turut mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia yang meluluskan projek sebelum penilaian keselamatan dilakukan.

"Pegangan Muhyiddin bukannya sains, atau pelaksanaan polisi berdasarkan fakta, ia hanyalah keangkuhan.

"Ini bukan cara menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia. Semua teknologi merbahaya perlu melalui penilaian dan proses yang teliti melalui pelbagai
agensi selain dipamerkan untuk penilaian awam sebelum sebarang kelulusan polisi diberikan untuk pelaksanaannya," tegas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan ketika sidang media di Putrajaya semalam Muhyiddin tidak memberi kenyataan jitu mengenai hal ini tetapi menyatakan perkara paling penting
ialah soal keselamatan negara dan rakyat.

Beliau juga menaruh kepercayaan terhadap agensi yang bertanggungjawab atas alasan 'mereka' (agensi terbabit) tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin
mereka melaksanakan yang terbaik

Apabila ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia
dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.

Isu projek Nuklear Malaysia menjadi kecoh berikutan kejadian magnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun sehingga mengakibatkan reaktor nuklearnya
di Fukushima, yang hanya kira-kira 250 km dari Tokyo menghadapi kemungkinan musnah dan menyebabkan puluhan ribu masyarakat yang tinggal berhampiran pusat itu juga terpaksa dipindahkan kerana kebimbangan kebocoran radiasi.

Elizabeth turut menyuarakan rasa kurang senangnya terhadap sikap Muhyiddin yang tidak peka terhadap perkembangan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng yang didakwa diserahkan kepada sebuah syarikat Australia.

Menurut Elizabeth lagi, pendedahan akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) melaporkan pekan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan
pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia bernilai RM700 juta yang sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp membuktikan
betapa kerajaan hanya pentingkan keuntungan berbanding keselamatan rakyat.

"Kerajaan Persekutuan perlu menetapkan fikiran. Mana lebih penting? Keselamatan Awam atau janji dengan rakan niaga mereka? " soal Elizabeth lagi.

Mufti Selangor Larang Pengedaran Kitab Injil Guna Kalimah Allah




PATUTNYA ADANYA PELARASAN.........KDN NI LEMBAB NI...





SHAH ALAM 16 MAC : Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid mengesahkan 5,000 naskah Kitab Injil berbahasa Melayu dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia
tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah didalam Kitab Suci Kristian itu.

Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran Kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut di tarik balik, mengikut pengumuman Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang semalam.

Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam
Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu Kitab-Kitab Injil berbahasa Melayu itu yang diimport dari Indonesia.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," kata beliau.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan isu itu akan dibincangkan di mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat ini. Beliau menegaskan Jemaah Menteri harus berbincang isu itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak
Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah Kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum
dibenarkan pengedaran.

Syarat itu ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab
suci mereka.

“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.