TUN M PATUT LETAK JAWATAN SEKIRANYA BELIAU SENDIRI TIDAK PERCAYA KEPADA KABINET YANG BELIAU BENTUK


Jangkaan saya tepat, apabila Tun M sendiri mengakui bahawa perlantikan Lateefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dibincangkan di dalam Majlis Presiden jauh sekali melalui Kabinet.

Kenyataan PM itu disahkan sendiri oleh Dato' Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung KEADILAN. Ini juga bermakna KEADILAN sendiri tidak dimaklumkan tentang perlantikan mengejut menjelang Aidil Fitri.

Tun M dengan selamba menyatakan bahawa beliau sendiri perlu buat keputusan tanpa rundingan dengan Kabinet bagi mengelakkan beliau terikat dengan keputusan yang beliau hajati. Apakah Tun M mahu mencorakkan kerajaan PH ini sama seperti kerajaan Umno/Bn yang beliau pernah terajui? Apakah Tun M telah bersedia untuk menjadi diktator kembali? Mengapa Tun M berfikir bahawa keputusan melalui perbincangan sesama rakan komponen PH akan menyusahkan beliau?

Tun M seharusnya menghargai kepercayaan rakan-rakan di dalam PH yang mengharapkan beliau berubah dan mampu melaksanakan reform di dalam negara ini apabila PH sebulat suara mengangkat beliau sebagai PM sejurus PH berjaya menumbangkan rejim Umno/Bn. Jangan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada beliau. Negara tidak perlu kepada rejim Umno/Bn 2.0.

Apa hebatnya Lateefa Koya sehingga beliau dilantik secara bersendirian oleh Tun M? Wanita yang terkenal dengan sikap emosi dan sering berbicara kasar dan celupar itu dianggap layak mengetuai SPRM? Kita tidak nampak hebatnya Lateefa Koya ini, bahkan sepanjang beliau di dalam parti pun beliau tidak pernah dipilih oleh ahli-ahli parti untuk sebarang jawatan kecuali melalui lantikan. Beliau dikenali di dalam parti hanya kerana "mulut besar'nya itu sahaja.

Ini bukan soal peribadi. Ini bukan soal Lateefa Koya mampu menyelesaikan kes RM90 juta yang dibabitkan dengan Pas atau mampu mencari salah laku pemimpin Umno/Bn. Ini soal ketelusan dan integriti serta maruah PH. Di mana maruah kerajaan PH sekiranya keputusan yang penting ini dibuat secara mengejut oleh satu kepala iaitu Tun M? Apakah Tun M sudah tidak yakin dengan kabinet atau Majlis Presiden?
Kalau Tun M merasa beliau sering ditekan atau diikat di dalam perbincangan di dalam Kabinet mahupun Majlis Presiden, beliau tidak seharusnya malu untuk mengumumkan meletak jawatan sebagai PM dan menyerahkan kepada Anwar.

Kita menerima Tun M sebagai PM kerana kita yakin Tun M akan bekerjasama dengan PH bagi merealisasikan reform ke atas negara ini. Malangnya, sedikit demi sedikit Tun M mahu mengheret PH ke arah cara Umno/Bn.

Tun M dipilih sebagai PM atas perbincangan sesama PH. Susah senang kita tanggung bersama sebelum ini. Mengapa setelah berada di kedudukan PM, Tun M tidak lagi mahu mendengar pandangan rakan-rakan di dalam PH bahkan Kabinet sendiri? Kita beri masa kepada Tun M mengikut masa yang beliau sendiri tetapkan iaitu lebih kurang dua tahun untuk melaksanakan tugas sebagai PM bukannya untuk dia membuat keputusan ikut kepalanya sendiri. Jika beliau beranggapan sedemikian, beliau ternyata silap. PH bukan tempatnya.

Saya mengharapkan Tun M masih waras untuk memikirkan semula keputusan yang telah beliau buat. Tolong hormati pimpinan-pimpinan PH, Majlis Presiden dan Kabinet yang beliau bentuk sendiri. Kalau dengan Kabinet yang beliau bentuk itu pun beliau tidak percaya untuk dibawa berbincang, eloklah beliau letak jawatan.

WFAUZDIN NS

TUN M BINCANG DENGAN SIAPA SEBELUM LANTIK LATHEEFA?


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengesahkan perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah merupakan pilihannya.
Beliau juga mengakui tidak berbincang dengan kabinet berhubung perlantikan itu.
“Saya tidak bincang dengan kabinet.
“Biasanya saya buat keputusan sendiri sebab saya tak perlu minta kebenaran kabinet siapa yang harus saya luluskan,” katanya.
Meski demikian, Tun Mahathir berkata, beliau ada berbincang dengan beberapa pihak lain sebelum melantik Latheefa Koya memegang jawatan tersebut.
Siapakah mereka yang Tun Mahathir ajak berbincang itu?
Adakah ia Tun Daim Zainuddin?
Adakah ia anaknya Marina dan Mukhriz?
Adakah ia Azmin Ali?
Adakah ia Ketua Setiausaha Negara?
Siapa? Siapa? Siapa?
Kenapa dalam memutuskan perlantikan memegang jawatan yang begitu penting dalam kerajaan, Tun Mahathir boleh mengenepikan kabinet?
Apakah beliau mengurus kerajaan ini secara bersendirian?
Namun, mengapa pula dalam masa yang sama terdapat beberapa pihak lain diajaknya berbincang sebelum melantik Latheefa Koya itu?
Bolehkah Tun Mahathir mendedahkan siapa beberapa pihak yang diajaknya berbincang itu?
Atau adakah Tun Mahathir fikir beliau sekarang ini bukan kerajaan PH dan beliau masih seperti Presiden UMNO dan Pengerusi BN dahulu? (Shahbudindotcom 05/06/2019)