2/3 KETUA BAHAGIAN UMNO SABAH KELUAR PARTI PETANG INI.Umno BAKAL PUPUS DI SABAH ?

PASCA DEMO ICERD: MALAYSIA PERLU KELUAR DARI PERKAUMAN KOLOT – PELABUR

BANK NEGARA TEGUR TH SEJAK 2015

Foto Zul Mohamed.

Tiada peningkatan dalam pengeluaran Tabung Haji - Zukri


Tarikh kemaskini: 12/12/2018
 
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Tiada peningkatan mendadak dalam pengeluaran wang daripada Tabung Haji (TH) susulan pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula organisasi, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Zukri Samat hari ini.

Katanya TH masih menerima sokongan daripada pendeposit sekalipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan organisasi itu akan diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) bermula tahun depan dalam usaha menambah baik tadbir urusnya.

“Tiada apa-apa yang berlaku. Kami dapati tiada peningkatan mendadak dalam pengeluaran dan orang ramai masih menyokong kami. Malah hari ini saya diberitahu ada 170 orang membuka akaun dengan kami.

“TH mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meletakkan TH di bawah seliaan BNM memandangkan bank pusat itu mempunyai pengurusan risiko dan kerangka kerja kecairan yang mantap yang harus dipatuhi oleh institusi bawah seliaannya, sekali gus meningkatkan keyakinan pendeposit,” katanya pada sidang media di sini.

Zukri berkata TH dalam proses memulakan kerangka kerja pengurusan risiko bagi memastikan polisi pelaburan masa depan sesuai dengan model perniagaan baharunya.

Zukri berkata TH sedang menimbang kaedah untuk mengurangkan kos operasi haji bagi mengekalkan kos mengerjakan ibadah itu manakala langkah-langkah pemotongan kos telah dilaksanakan bagi mengurangkan kos overhed.

Sementara itu, Zukri berkata TH akan membuat pengumuman rasmi susulan kenyataan bekas pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa TH tidak mengambil kira laporan audit Ernst & Young yang telah melakukan penilaian kesemua aset TH selain Jabatan Audit Negara.

Mengenai penafian Abdul Azeez berhubung penyelewengan RM22 juta milik Yayasan Tabung Haji untuk kegunaan politik, Zukri berkata TH menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.


ISU TABUNG HAJI - KENAPA UMNO DAN PAS TIDAK BERHIMPUN?



Satu demi satu institusi yang menjadi harapan besar orang Islam dan Melayu menjadi mangsa salah guna kuasa serta diseleweng oleh kerajaan lalu.

Dulu Mara, kemudian Felda, dan kini Tabung Haji. Kalau ada 300 syarikat milik orang Islam dan Melayu seperti ini, mungkin kesemua 300 itu juga akan lingkup.

Pengurus serta pengarahnya orang Islam dan Melayu. Namun orang Islam dan Melayu itulah nampaknya mengkhianati pemegang umat Islam dan Melayu yang berharap kepada mereka.

Siapa lagi kalau bukan "orang kita" daripada kumpulan perompak sama yang menyamun 1MDB.

Sama seperti dalam kes hutang negara yang melebihi RM1 trilion yang didedah kerajaan Pakatan Harapan (PH). Namun apabila ia didedahkan Umno mendakwa kerajaan menakutkan pelabur asing.

Soalnya: Adakah kita mesti tunggu hutang negara mencecah RM7 trilion baru wajar didedah?

Dalam kes TH pendedahan dibuat Dr Mujahid Yusof tentang liabititi ditanggung agensi itu didakwa Ketua Pemuda Umno Asraf Wajdi Dusuki sebagai akan menakutkan pendeposit dan boleh mencetuskan krisis.

Soalnya: Kalau tidak didedahkan sekarang Umno dan PAS mungkin - pada kemudian hari - menuduh PH yang bersalah.

Dalam kes 1MDB pula presiden PAS berkata biarlah Najib menghabiskan penggal pentadbirannya sebagai perdana menteri sambil berharap dia memperbetulkan kesilapannya.

Sejarah menunjukkan memang Najib menghabiskan penggalnya. 

Dan selepas itu isu 1MDB menjadi lebih parah dan hutang menjadi berlipat kali ganda.

Nampaknya penyokong PAS dan Umno yang mendakwa diri mereka pembela agama dan bangsa sepakat dalam pendekatan mereka dalam isu salah guna kuasa.

Kes Tabung Haji dan 1MDB menunjukkan pola itu.

Mereka tidak memandang berat isu tersebut apabila suspek ialah orang yang dirasakan sama seperti mereka - kononnya pejuang Islam dan Melayu.

Mereka tidak peduli bahawa pendeposit TH - antaranya - ialah peniaga kecil, petani dan nelayan miskin. Dan mereka hampir semuanya beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Salah guna kuasa hanya mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dan menjadikan Melayu dan Muslim terbabit lebih merana.

Isu kewangan Mara, Felda, 1MDB - dan sekarang TH - setakat ini tidak pula membawa PAS dan Umno berhimpun serta berarak.

Sedangkan ia adalah kerugian "real" dan diakui sudah parah. Di mana pembela Islam dan Melayu dari PAS dan Umno?

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diksriminasi Kaum (Icerd) tidak dilaksanakan pun dan Putrajaya sudah mengesahkan ia tidak diterima, namun himpunan tetap diadakan.

Isu RUU355 dibentang namun ditangguh tiga kali di parlimen melalui adegan yang nampaknya melibatkan kerjasama PAS dan Umno.

Selepas itu himpunan diadakan di Padang Merbok kerana kononnya PH menghalang RUU355.

Hari ini selepas PRU ke-14 berlalu, hilang senyap langsung isu RUU355.

Kerugian Mara, Felda dan TH adalah tragedi ke atas orang Islam dan Melayu akibat kerakusan dan salah guna kuasa oleh orang yang sebangsa dan seagama mereka.

Ia bukan kerana salah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau orang Cina atau India.

Ini adalah tragedi buatan orang Melayu Islam yang mengkhianati orang Melayu-Islam lain. Dan Melayu-Islam dari Umno dan PAS masih berdolak-dalih bangkit membela.

Mereka cuma mahu melaungkan: Hidup Melayu!

Kenyataan Anggota Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali hari ini yang mendakwaan isu TH mungkin rekaan PH sangat tidak munasabah.

Beliau mungkin tidak sedar selain laporan audit syarikat akauntan antarabangsa PriceWaterhouseCoopers, sebelum pada ini Bank Negara pun sudah mengeluarkan amaran kepada TH.

Adakah sekarang PAS mahu berkata Bank Negara juga terlibat dengan komplot rekaan PH?

Sebenarnya itu menunjukkan sikap setia kawan PAS mempertahankan sahabat baru mereka iaitu UMNO.

Raja Bahrin Shah
Pengerusi
Pakatan Harapan Terengganu.


Apa punya manusia, Tabung Haji pun mereka noda



Berita buruk yang luar biasa mengenai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memeranjatkan lagi.
Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada BN pada 9 Mei lalu, satu demi satu skandal kewangan terbongkar.
Semakin hari apa yang ditakuti semakin menjadi kenyataan iaitu bawah telunjuk bekas perdana menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, kerosakan berlaku secara sistematik dan meluas.
1MDB, Felda, FGV dan sekarang Tabung Haji (TH). Daripada apa yang kita dengar, senarai ini akan menjadi lebih panjang.
Felda tenat kerana Mohd Najib, atas nasihat konco-konconya yang tamak, menjual harta Felda dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012.
Tujuan tersiratnya adalah mengumpul dana untuk pilihan raya umum 2013 bagi pihak BN sambil mengisi kocek konco, kawan dan rakan.
Ladang dan aset Felda yang dulunya digunakan untuk menjana pendapatan tambahan bagi membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh dipindahkan kepada FGV.
Oleh sebab kaedah korporat yang tidak lestari serta penyelewengan oleh pengurusan, harga saham FGV jatuh merudum – daripada harga IPO RM4.55 kepada 77 sen sekarang – dan ia gagal menjana pendapatan tambahan untuk Felda.
Akibat manipulasi korporat melalui FGV inilah Felda mengalami kerugian besar dan hilang kemampuan untuk membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh.
Sebaliknya Felda kini terpaksa menjalani proses pembersihan dan pembinaan semula.
Giliran Tabung Haji
Sekarang giliran TH pula. Apa lagi hendak kita katakan apabila tabung simpanan untuk mengerjakan haji dan memperkukuhkan ekonomi umat Islam pun dinodai?
Buat sekian lama kita mendengar berita dan dakwaan mengenai penyelewengan dan pelanggaran urus tadbir dalam TH, khususnya apabila orang kesayangan keluarga Najib, Abdul Azeez Abdul Rahim, dilantik menjadi pengerusi pada bulan Julai 2013.
Tetapi semuanya dinafikan dan orang yang membuat pendedahan dikutuk dan dikenakan tindakan. Media massa arus perdana turut bersubahat menghebahkan yang salah dan membenamkan yang benar.
Daripada kenyataan media Dr Mujahid Yusof, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018, kita dapati sebaik saja Abdul Azeez menerajui TH, pelanggaran urus tadbir mula berlaku.
Dasar duit tunai adalah raja (cash is king) atau lebih tepat amalan menggunakan duit tunai bagi membeli undi mula diamalkan dengan membelakangkan undang-undang tubuh TH sendiri.
Hibah (dividen) diisytiharkan dan dibayar walaupun tidak memenuhi syarat. Sejak tahun 2014 hingga tahun kewangan 2017, hibah dibayar walaupun dua syarat wajib tidak dipenuhi.
Dua syarat wajib itu adalah (1) aset (harta) tidak boleh kurang daripada liabiliti (hutang) dan (2) ada keuntungan yang boleh diagihkan.
Inilah yang diingatkan oleh Zeti Akhtar Aziz ketika beliau menjadi gabenor Bank Negara. Dalam surat kepada pengurusan TH pada tahun 2015, Zeti memberi ingatan bahawa TH tidak lagi boleh membayar hibah kerana hutangnya melebihi harta. Masa itu nisbahnya adalah 98 sen harta bagi setiap RM1 hutang.
Namun begitu, bukan saja peringatan sukarela beliau itu tidak dihiraukan sebaliknya disanggah oleh para penyokong dan penggilap apel Najib seperti ketua pemuda Umno sekarang, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Syukur kepada Tuhan pintu hati saya dibuka untuk membantah pelantikan Abdul Azeez dalam tulisan-tulisan saya kerana saya tahu sedikit sebanyak sejarah TH dan kenal siapa Abdul Azeez.
Kewangan TH
Akaun tahun kewangan 2017 TH yang dibentangkan di Parlimen semalam (10 Disember) menunjukkan aset keseluruhan TH sebanyak RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutang/tanggungan) RM74.4 bilion. Ini bermakna TH mengalami defisit (kekurangan) RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.
Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, pengisytiharan dan pembayaran hibah bagi tahun 2017 (yang dibuat Februari lalu) melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Najib ketika mengalu-alukan pengisytiharan hibah itu dilaporkan berkata bahawa kecekapan pengurusan TH membolehkan kadar yang lebih tinggi dibayar.
Kata Mujahid: “TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.”
“Berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH,” tambah beliau.
Inilah yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru TH yang dilantik oleh kerajaan PH mulai Julai lalu. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengembalikan TH ke landasan kewangan dan pengurusan haji yang betul dan lestari.
Pemerhatian
Izinkan saya membuat pemerhatian ringkas. Rasanya amat sesuai bagi kerajaan dan pengurusan TH membaca balik dokumen dan sejarah TH mulai 1963.
Ada dua tujuan utama TH ketika itu. Pertama mengurus pengerjaan haji oleh orang Islam Malaysia dan kedua memudah serta menggalakkan orang Islam menabung.
Pertama saya tidak pasti apa peranan subsidi haji dan kegiatan pelaburan TH. Apakah kaitan penunaian haji dengan subsidi kalau kewajipan haji adalah ke atas orang yang mampu sahaja?
Kedua mengenai kegiatan pelaburan yang nampaknya menjadi keutamaan dan kegilaan (obsession) pengurusan TH. Adakah ini matlamat TH?
Harus ada perbezaan di antara menabung untuk mengerjakan haji dengan melabur. Serentak itu, kita tidak mahu orang Islam menabung sekadar untuk melayakkan diri mendapat subsidi.
Justeru itu, isu subsidi haji dan pelaburan ini wajib dikaji semula dan difahami di segi agama dan perniagaan. Adakah TH agensi perniagaan yang matlamatnya keuntungan atau agensi pengurusan haji dan penabungan?
Pelan pemulihan
Menurut Dr Mujahid, lembaga pengarah TH telah mencadangkan rancangan pemulihan yang membabitkan penubuhan sebuah badan khas – special purpose vehicle atau SPV.
SPV ini akan ambil alih, pulihkan dan maksimumkan nilai harta TH yang sekarang rendah prestasinya. Dengan itu beban hutang TH dapat dikurangkan atau dimansuhkan terus.
Kata Dr Mujahid, pelan itu telah diteliti dan diberi sepenuh sokongan oleh kabinet. Selaras dengan itu, kerajaan telah bersetuju meletakkan TH bawah pengawasan Bank Negara.
“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019 ,” kata Dr Mujahid.
Dulu lain sekarang lain. Sewaktu TH diasaskan pada tahun 1963, niatnya suci dan orang yang dilantik bagi menguruskannya terdiri daripada orang yang berkepakaran dan amanah. Bukan jenis cium tangan.
Masa itu perdana menteri, almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, tidak berpura-pura tunjuk alim. Orang Islam pun belum tergila-gila berjubah macam orang Arab. Tetapi mereka ikhlas dan amanah.
Kesimpulannya, dalam kita berusaha memulihkan TH, kita hendaklah kembali ke pangkal jalan bagi memahami dan menghayati tujuan asal penubuhannya.
Kita perlu pastikan sama ada melabur, membuat keuntungan, membayar hibah dan memberi subsidi adalah sebahagian daripadanya.
TH rosak kerana melantik orang yang tidak amanah dan tidak berpengetahuan atau juga kerana terlalu mengejar keuntungan seolah-olah ia adalah badan perniagaan.
Mulai sekarang, lebih kita pagar sawah bendang kita daripada asyik marahkan pegar. Menang tabiat semula jadi burung pegar makan padi. Kalau kita harapkan pegar menjaga padi, menang bodohlah kita. 

Himpunan IC(uri)E(engkau)R(amai-ramai)D(efend)


Kini sedang beredar di media sosial satu bahan lawak yang mengatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak hadir pada himpunan Anti-ICERD pada Rabu kerana mahu menjadikannya himpunan itu sebagai himpunan IC(uri)E(engkau)R(amai-ramai)D(efend), iaitu suatu bentuk sokongan terhadap pemerintahan kleptokratik beliau dan skandal rasuah yang membelenggu 1MDB.

Tidak mungkin, kerana sukar untuk percaya bahawa ribuan yang berhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu menyokong Najib dan rekod kleptokratiknya, termasuk skandal kleptokratik 1MDB yang dikenali di seluruh dunia.

Kehadiran Najib pada perhimpunan Anti-ICERD baru-baru ini paling dipersoal, lebih-lebih apabila beliau disahkan, bersama-sama bekas Pengerusi 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bakal didakwa esok atas dakwaan meminda laporan 1MDB yang dikeluarkan Ketua Audit Negara.

Sehari selepas himpunan Anti-ICERD, New York Times menerbitkan sebuah laporan panjang bertajuk “A Yacht, a Monet, a See-Through Piano: The U.S. Collects on a Fugitive’s Shopping Spree”yang menceritakan mengenai skandal kleptokratik 1MDB.

“Dana yang sedang menjadi tumpuan siasatan, dipanggil sebagai dana 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB, sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia biasa. Ia meminjam berbilion dolar wang daripada bank dan meminjam daripada pelabur, kononnya untuk membiayai projek seperti usaha sama dengan sebuah syarikat minyak Arab Saudi serta pengambilalihan loji kuasa.

“Bagaimanapun pihak pendakwa raya berkata 1MDB telah menjadi sebuah skim pengubahan wang haram yang bersifat “mega, tidak tahu malu dan terang-terangan”, di mana berbilion wang dilencongkan ke dalam akaun bank pegawai kanan, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, keluarganya dan rakan subahatnya serta Encik Low.”

Mungkinkah akan ada himpunan Anti-Kleptokrasi selepas ini, dan adakah dua penceramah utama himpunan Anti-ICERD iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hadi Awang sudi untuk berucap pada himpunan seumpama itu bagi mengutuk skandal 1MDB.
Sudah tentu tidak.

Hari ini adalah hari terakhir sidang belanjawan Parlimen untuk Dewan Rakyat.

Sepanjang 20 hari pembukaan sidang Parlimen ke-14 pada Julai/Ogos dan 30 hari sidang belanjawan pada Oktober, November, Disember, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pembangkang dari UMNO dan PAS menyatakan pendirian mereka berhubung sama ada skandal 1MDB merupakan malapetaka kepada negara dan sama ada Najib harus dipertanggungjawabkan kerana menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.  

Untuk beberapa tahun lalu, Malaysia dihantui dan dibayangi oleh skandal RM50 billion 1MDB, menjadikan hutang negara meningkat sehingga RM1 trilion ringgit. Adakah ini pembohongan dan fitnah?

Jika Malaysia mahu menjadi negara bertaraf dunia, rakyat Malaysia harus meninggalkan politik toksik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan agama, apatah lagi pembohongan bahawa kononnya skandal 1MDB adalah konspirasi dunia terhadap Malaysia atau pembohongan bahawa kononnya ICERD anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu dan kononnya sebuah “agenda Freemason” untuk memusnahkan Malaysia dan Islam. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Parlimen pada Selasa, 11 Disember 2018.

TABUNG HAJI KENAL PASTI RM20 BILION ASET TIADA HASIL UNTUK BAYAR DIVIDEN